24 Disember 2017 - Sebelum ini kami sempat melawat
Muzium Kota Lukut di Negeri Sembilan. Dari Lukut, kami tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya kami terus menghala ke Sepang. Ke Bagan Lalang. Ke sebuah jeti memancing yang terkenal bernama Jeti Memancing Wak Sempuh. Dah lama teman sepejabatku, Tuan Salam bercerita pasal jeti ini. Dan dah beberapa kali beliau menduga perairan ini untuk memburu ikan bersaiz gadang. Dan Tuan Salam sendiri pernah berjaya menaikkan seekor gemang yang agak kasar berumpankan udang hidup. Dan dah lama juga aku berhajat nak memancing bersama temanku itu di lokasi ini. Tapi masih tak berkesempatan. Sampailah temanku itu berpindah kerja ke Terengganu. "Sorry, Salam".
|
Di pekarangan Jeti Wak Sempuh. |
|
Jeti ini sangat popular sebenarnya. |
|
Kami makan-makan dan minum-minum dulu. |
|
Pekena sizzling yee mee dulu. |
|
Anak-anak pekena pisang goreng panas-panas. |
|
Seronok aku tengok wajah anak-anak yang tersenyum. |
Di kawasan Jeti Wak Sempuh, kami cari tempat makan dulu. Kebetulan tak jauh dari situ ada beberapa gerai yang beroperasi. Jadi perut-perut kami yang kelaparan kami penuhkan dulu sebelum kami pergi menduga penghuni muara di sini. Terlihat wajah kegembiraan anak-anak kami bila mendapat juadah yang mereka pesan. Maklumlah, dah petang masih belum makan tengah hari lagi. Dah sudah makan barulah kami anak beranak menghala ke jeti.
Jeti ini bagaikan sebuah rakit yang ditambat di tebing. Jadi pelantarnya turut berayun bila ombak memukul. Rasa macam memancing dari dalam bot. Itulah yang seronoknya. Masa kami pergi tu, umpan terbaik, iaitu umpan udang hidup tak dijual. Dah kehabisan stok. Para pemancing agak kecewa jika tak dapat menggunakan umpan yang paling laris itu. Biasanya umpan udang hidup dijual dengan harga 50 sen seekor. Kami terpaksa mencari umpan alternatif. Aku singgah ke pasar kecil bersebelahan dengan lokasi ini. Aku beli umpan ikan dan udang mati. Di jeti kami mulakan pancingan dengan harapan yang tinggi. Pemancing dikenakan yuran pancingan sebanyak RM5 untuk setiap joran yang digunakan. Memang murah. Cuma tiada jaminan akan berjaya mendaratkan ikan. Itu rezeki masing-masinglah.
|
Inilah tempat memancing Jeti Wak Sempuh. |
|
Kawasannya agak lapang juga. |
|
Amier merehatkan tubuhnya yang kepenatan. |
|
Sabriena lebih minat berada dekat dengan air. |
|
Sesekali wajah Sabriena ditiup angin dingin. |
|
Seronok dia melihat air. |
|
Dan pohon-pohon di seberang sana. |
Sebelum ini aku pernah melihat blog-blog pemancing yang lain. Kalau kena gayanya, kena waktu dan umpannya, boleh naik ikan-ikan dari gred A seperti ikan Einstein, ikan Isaac Newton, ikan ....... Eh! Apa yang aku merapu ni! Maksud aku ikan yang mahal harganya di pasaran antarabangsa seperti ikan kerapu, kurau, senangin, jenahak, tuna sirip kuning, great white shark dan killer whale. Jadi faham-faham sajalah. Bila memancing di sini sudah pastilah anganan aku perlu besar. Perlu target untuk memperolehi habuan yang lumayan juga, walaupun sekadar menggunakan umpan mati.
|
Pada hari itu nampaknya ikan tak berapa aktif menjamah umpan. |
|
Tetapi para pemancing tetap bersabar dan berharap. |
|
Joran-joran bersusun kemas. |
|
Bilalah agaknya ikan nak datang. |
|
Isteriku dengan joran telescopic ultra light. |
|
Casting sambil santai. |
Tak silap aku, aku pasang empat batang joran. Salah satu isteri aku yang guna. Isteri aku lebih suka main casting. Aku cuma baling, tinggal dan tunggu sampai ikan makan. Kadang-kadang aje aku casting. Lama juga kami menunggu untuk umpan digetu ikan. Terasa juga kadang-kala hujung tali ditarik ikan. Tapi ikan kecil kot. Sebab tarikannya sangat lemah. Akhirnya sepanjang aku memancing di situ, dua kali umpanku disambut oleh sang sesirat yang tak berapa besar. Malangnya tak ada gambar untuk membuktikan kesahihannya. Tapi sesirat aje pun. Bukannya kerapu bara. Hehehe...
Anak-anak kelihatanya sangat sabar melayan minat ayah dan ibu mereka. Masing-masing duduk diam di atas bangku tanpa banyak bicara dan bergerak. Terima kasih anak-anak Papa - Syahmie, Wanie, Amier dan Sabriena pasal memahami. Mereka terus tersenyum walaupun ketika bosan.
|
Amier, Syahmie dan Wanie sabar duduk di bangku. |
|
Aku menanti ikan makan. |
|
Bagai menanti kucing bertanduk. |
|
Bagai menanti kucing berkepak. |
|
Bagai menanti buah tak gugur. |
Sebegitu lama memancing, kira-kira dua atau tiga jam, masih tiada walau seekor ikan pun yang sudi menjamah umpan (selain ikan sesirat tadi). Akhirnya isteriku memutuskan untuk memancing dari daratan. Memburu anak-anak ikan yang kelihatannya bermain-main di gigi air. Memancing di situ rasanya lebih membuahkan hasil. Dan memang benar, isteriku berjaya juga menaikkan beberapa ekor ikan bersaiz tiga jari. Aku sendiri tak tahu jenis spesisnya. Gembira sungguh isteriku. Anak-anak yang memberikan sokongan juga berasa seronok. Akhirnya aku juga naik ke darat dan menyertai isteriku untuk memancing di situ. Ternyata memang lebih seronok dari melanguk menanti tanpa getuan ikan. Tapi aku tak bernasib baik. Seekor ikan pun tak melekat di mata kail.
Kami beredar dari situ sebelum masuk waktu maghrib. Kami solat asar dulu di sebuah ruang kecil sebelah jeti. Ketika kami bergerak pergi, masih ada lagi pemancing yang meneruskan pancingan. Ada juga yang membawa selimut dan khemah untuk bermalam di situ. Itu bukan aneh. Memang biasa penggemar aktiviti memancing melakukan sedemikian. Siap bawa keluarga lagi - anak-anak dan isteri. Walau pun kami pulang tangan kosong, pengalaman ini masih kurasakan menyeronokkan. Rasanya kami akan "repeat" lagi kalau ada kesempatan. "Hei Jeti Wak Sempuh. Mu tunggu, aku datang!"
|
Isteriku berjaya menaikkan ikan kecil. |
|
Ada seorang anak yang ditemani ibunya turut memancng di situ. |
|
Syahmie, Wanie, Amier dan Sabriena semua sudah ada di daratan meninggalkan aku di jeti. |
|
Pengalaman ini kurasakan sangat indah. Bersama isteri dan anak-anak tersayang. |
No comments:
Post a Comment