10 Jun 2019 - Ini kisah raya tahun lepas. Kekadang kami mudik ke Ampang hulu, dan kembali ke Ampang hilir, kerana ada urusan-urusan tertentu yang perlu dilunaskan. Di tepi jalan kami terlihat sebuah gerai yang menjual pelbagai jenis periuk. Ada periuk aluminium. Ada periuk tanah liat. Ada periuk elektrik. Malah periuk yang lebih canggih dan terkini juga ada dijual. Tetapi itu semua tidak menarik perhatian kami. Yang menjadi tarikan pada kala itu ialah periuk kera - sejenis periuk yang sering digunakan oleh kelompok kera untuk memasak makanan kegemaran mereka. Periuk itulah yang berjaya menarik perhatian kami. Dan yang lebih istimewa, periuk-periuk itu telah pun digunakan untuk memasak ketupat. Dan aroma yang terbit darinya sangatlah mengancam keharmonian kalbu.
Harganya sedikit mahal. Tetapi kami beli juga untuk merasa keenakan ketupat periuk kera itu. Kami bawa ke rumah Kak Timah untuk dimakan bersama-sama. Sebahagian lagi kami bawa pulang untuk diberikan kepada ibu kami. Rasa ketupat periuk kera ini sangatlah lemak. Seperti lemak kolesterol. Isinya pula sangat lembut. Betullah seperti kata jiran kami sang monyet yang selalu bertenggek di pokok nangka belakang rumah - rasa ketupat periuk kera memang sangat enak. Cuma saiznya saja agak kecil. Pada edisi akan datang, aku akan cuba mendapatkan ketupat periuk gorila atau ketupat periuk King Kong pula. Tentu lebih besar dan lebih banyak pula isinya.
Sebahagian dari ketupat periuk kera yang kami beli di tepi jalan. |
No comments:
Post a Comment