m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Wednesday, December 25, 2019

GSSN 2019 - ZENI: Teruja bersama Sasterawan Negara

Bahagian 7

Berakhir sudahlah pementasan Teater Zeni. Lalu pengacara majlis membuat curtain call, memperkenalkan seorang demi seorang yang terlibat dalam produksi naskhah ini. Aku telah lebih awal bersiap sedia untuk naik ke atas pentas sebab aku tahu, nama aku bakal dipanggil terlebih awal. Jadi sebelum nama aku diseru, aku telah menanti di satu sudut tangga bagai seorang pelari sprinter pesta Olimpik di atas garisan yang menanti bunyi tembakan mula dilepaskan. Bila dipanggil saja nama aku, tanpa berlengah walau sedetik pun, aku terus berlari pantas menaiki tangga, membuat somersault 3 kali dan terus berteriak sekuat-kuat hatiku, "Hoooorreyyy!!! Yahoooo!! Gooogle!!!" tanda segalanya telah selesai. Dan aku terus berdiri di sebelah kiri pentas menanti nama-nama yang lain dipanggil pengacara.

Seluruh team produksi dan pelakon dipanggil untuk naik ke atas pentas. Dekat dua ribu orang jugaklah semuanya. Dari pelbagai lapisan tugas yang dipertanggung jawabkan. Majlis seterusnya mempersilakan Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said untuk naik ke pentas bagi menerima cenderahati dari pihak penganjur dan produksi. Seluruh penonton memberikan hormat dan bertepuk tangan dengan gemuruh. Kami semua sedang bersiap-siap untuk menyanyikan lagu tema teater Zeni. Yuzailan juga terus memainkan muzik dengan keyboard-nya. Kami semua menantikan detik yang sesuai untuk memulakan nyanyian. Tapi tak siapa yang memberikan isyarat. Lalu tanpa mempedulikan orang di sekeliling, kami terus membuka mulut dan mula menyanyi dengan kuat dan bersemangat. Tiba-tiba ada isyarat dari penganjur mengarahkan kami untuk berhenti menyanyi kerana rupanya Datuk Seri A Samad Said ingin berucap sesuatu. Kami pun memberikan laluan untuk beliau melafazkan kata-kata.

Cenderahati ringkas dari penganjur Gempita Sastera Sasterawan Negara.
Abang Haji Kamarul AR menyampaikan cenderahati kepada Pak Samad.
Ini hadiah dari team produksi Zeni.
Poster berbingkai ini sangat sesuai digantung sebagai kenangan.
Pak Samad sedang meneliti butiran pada poster ini.
Teruja memberi, teruja menerima.
Tahniah buat semua.
Ucapan Pak Samad (nama panggilan SN Datuk Seri A Samad Said) agak panjang. Aku dapat merasakan bahawa beliau agak teruja selepas menyaksikan persembahan tadi. Beliau masih menulis, katanya. Lebih cenderung untuk menulis puisi. Kira-kira ada 200 buah puisi yang masih belum diterbitkan untuk bacaan umum. Kami yang mendengar terus memberikan tepukan perangsang buat beliau. Sesudah beliau habis berucap, barulah kami beramai-ramai menyanyikan lagu tema teater Zeni. Melodinya dicipta oleh Syel Ramlan. Senikatanya hasil nukilan bersama Syel Ramlan dan pengarahnya Tuan Haji Kamarul AR. Begini bait-bait liriknya;


Andai benar membenih cinta
Mampukan daku melayarinya
Apakah kan dikecap bahagia
Atau mekarnya sementara

Rahsia yang terbelenggu
Masih berlabuh di jantungku
Bertahun kumenahan pilu
Biar hilang di angin lalu

Di depanku sabar menanti
Di belakangku bagai duri
Mengejar bayang, memikat hati
Satu kuhindar sudah pasti

Belum sesiapa memahamiku
Apa yang tersemat di kalbu
Puas daku memendam laku
Pada Tuhan kuserah selalu


Pak Samad memulakan ucapan. Along Yusry bagai tidak puas hati dengan ucapan itu.
Ucapan diteruskan lagi. Berkisar soal puisi yang ditulis beliau.
Pak Samad banyak menulis puisi yang kontemporari sifatnya.
Semua mendengar dengan khusyuk.
Sesekali kami memberikan tepukan buat Pak Samad.
Bodyguard Pak Samad yang memakai blazer hitam sedang menjalankan tugas.
Kata-kata pun ditamatkan.
Kak Yatie dan  Roslan sedang menghafaz lirik lagu Zeni.
Kalau anda boleh baca, jom sing along.
Semua mula menyanyi.
Dengan penuh perasaan.
Abang Haji Kamarul turut dijemput untuk sama-sama menyanyikan lagi Zeni.
Menyanyi dengan penuh penghayatan dan perasaan.
Sedikit ulasan mengenai pementasan yang telah dipersembahkan. Secara umumnya semua pelakon telah berjaya menghayati dan membawakan watak masing-masing dengan berkesan. Walaupun sewaktu latihan bagai ada kekurangan di sana sini, namun pada malam pementasan sesuatu yang luar biasa telah diperlihatkan oleh para pelaku. Aku paling terkesan ketika babak Zeni bertemu Zedi di hospital. Sedikit sebanyak terasa sebak juga ketika menontonnya. Nasib baiklah aku dapat mengawal emosiku, dan menahan air mata yang bergenang dari meleleh mengalir ke pipi. Kalau tidak, pasti kalian akan terdengar suara raungan  seorang lelaki di dalam panggung kerana terlalu kesedihan ketika menonton teater. Ah! Itu sudah tentu mala petaka bagiku. Tetapi, dalam banyak-banyak watak yang ada, watak Bapak a.k.a Lazri Meon lah yang paling aku gemari. Lakonannya bagai santai, tapi penuh emosi dengan bait-bait kata yang terungkap dengan jelas. Pertukaran adegan dengan hanya menggunakan slide projection tanpa ada black-out sangat efektif untuk mengekalkan mood. Tahniah kepada pengarahnya dan seluruh yang terlibat. (Termasuklah aku. He he he...)

Bersambung...

Di mana saja Pak Samad berada, pasti ada pelakon latar yang ingin bergambar.
Kami semua memanfaatkan sepenuhnya kehadiran Pak Samad di panggung.
Hannah dan Ienah juga ingin bergambar dengan Pak Samad.
Abang Haji Kamarul dan Syel turut serta bergambar.
Kali ini dengan team produksi yang lebih ramai.
Pak Samad pun tidak keberatan untuk meluangkan sedikit masa bersama kami.
Peluang yang jarang-jarang datang - jangan disia-siakan.
Semua berasa teruja. Sangat teruja.
Masih tak puas nak bergambar dengan Sasterawan Negara yang ke-4 ini.
Kak Yatie masih tak puas hati. Dia nak bergambar solo pulak.
Dah dapat solo, barulah jiwa tenteram.
Roslan tak nak kalah.
"Aku pun nak solo jugak."
Pagi petang siang malam aku menantikan saat ini.


No comments:

Post a Comment