m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Monday, December 23, 2019

GSSN 2019 - ZENI: Penyudah kisah Zeni

Bahagian 6

Di hospital kelihatan Zedi dan Zirah kembali bertemu di satu ruang terpencil. Ruang lengang dan nyaman. Zirah tempat Zedi bercerita. Meluah rasa. Berkongsi rahsia. Dan Zirah nyatanya memang seorang pendengar yang setia. Apa yang didengar tidak akan dihebah kepada sesiapa. Zedi mula berkisah tentang ayahnya. Simpati kepada sang ayah yang sehingga kini masih berasa bersalah di atas malapetaka yang menimpa Zedi. Zedi menyampaikan kesedihannya kepada Zirah. Dan sebagai teman yang paling akrab, Zirah akan sentiasa berusaha untuk menenang dan menteramkan Zedi. Ini adalah satu kebiasaan buat mereka.

Bersua lagi dua sahabat ini.
Zedi perlu bercerita agar perit jiwa yang membelenggu dapat diredakan.
Bercerita dari hati.
Mendengar juga dengan hati.
Bila Zedi berasa sebak, Zirah ada mententeramkan.
Sementara di satu lokasi yang lain, di sebuah balai seni lukis yang terletak di pinggir kota, kelihatan Ehran dan Zeni sedang meneliti lukisan-lukisan yang dipamerkan. Ada hasil lukisan terulung karya pelukis antarabangsa seperti Pablo Picasso, Vincent Van Gogh, Jackson Pollock, Leornado da Vinci, Salvador Dali dan Claude Monet. Dan lebih banyak hasil tangan pelukis tempatan seperti Ibrahim Hussein, Yusof Ghani, Latiff Mohidin, Yusof Gajah, Hoessein Enas dan Raja Azhar Idris. Walaupun sesetengah ciptaan ada yang agak abstrak sifatnya, Ehran masih mampu menafsir dan mengangkat karya-karya agung itu. "Ini barang hebat!" kata Ehran. "Ya," jawab Zeni tanpa memaksudkannya.

Ehran dan Zeni, lumrahnya bila berjauhan mereka saling merindukan. Bila bersua, pasti ada hal yang boleh mencetus pertengkaran. Hal itu mungkin satu perkara yang kecil. Sangat kecil. Sangat remeh. Tapi kelainan buah fikiran itulah yang sering menjadi permulaan kepada pertelingkahan bicara. Akhirnya mereka berpisah dengan amarah dalam diri. Dan esok lusa berjumpa lagi. Bertengkar lagi. Baik lagi. Bergaduh lagi. Tidak sudah-sudah.

"Cantik sungguh lukisan-lukisan di sini," kata Ehran.
"Aku suka karya pelukis Ibrahim Hussein. Adunan warna dan coraknya sangat luar biasa."
"Begitu juga dengan karya pelukis antarabangsa."
"Kalau boleh, aku ingin memiliki kesemua lukisan ini."
"Apakah kau tak mahu memilikiku?" tanya Zeni.
"Atau kau lebih menumpu ke arah lukisan-lukisan itu?"
"Ini bukan soal lukisan," jawab Ehran.
"Ini soal kanvas kosong dan warnanya."
"Aku tak faham apa yang kau maksudkan," kata Zeni.
"Jangankan kau. Aku sendiri pun tak faham apa yang aku maksudkan tadi," jawab Ehran.
"Daripada kita bercerita soal lukisan, lebih baiklah kita bercerita tentang kita," ajak Zeni.
"Tapi aku nak bercerita tentang Mohdi, bekas suamimu," kata Ehran.
"Mohdi datang menemuiku. Dia telah meracuniku. Maksudku meracuni fikiranku."
"Pagi petang siang malam dia meracuni fikiranku. Kataku kepadanya, lebih baik kau meracuni lalang di belakang rumah. Dan bercucuk tanam. Pasti hasilnya lumayan."
Tiba-tiba Zeni bagai terdengar suara Mohdi yang sedang dalam keberangan!
Tiba-tiba di sebuah ruang tamu yang sederhana besar, terdengar teriakan seorang lelaki yang sangat garau suaranya. Tersemat kebengisan yang luar biasa. Penuh dendam dan amarah. Itulah Mohdi. Bekas suami Zeni. Katanya mahu menjadi manusia. Pagi petang siang malam berusaha mendidik diri agar menjadi lebih santun. Itulah katanya. Tapi yang nyata, pagi petang siang malam itu jugalah Mohdi masih membiarkan ego buasnya bersarang dalam dirinya. Pagi petang siang malam memekik-mekik menyeru nama Zeni. "Zeni! Zeni!! Zeni!!! Pagi petang siang malam aku merinduimuuuu...!!! Lihatlah Zeni! Aku kini seorang manusia!! Bukan syaitan!!!" Begitu resam orang yang gila talak. Tak mungkin Zeni akan kembali kepada Mohdi. Tak mungkin! Pagi petang siang malam, memang tak mungkin!!

"Zeni!!! Di manakah kau!!!"
"Aku sudah tidak seperti dulu. Aku sudah berubah."
"Aku kini lebih segak dan bergaya."
"Lebih berharta."
"Lebih berkuasa."
"Tapi aku kekurangan sesuatu dalam hidupku."
"Dan sesuatu itu adalah kau, Zeni!!!"
Lazri Meon muncul lagi, membayangkan suasana lain jika Zedi tak pernah lumpuh.
Tentu terpamer keceriaan di mana-mana.
Tentu Zedi akan menari-nari.
Di satu alam terhijab, tetapi emosinya benar, Zeni bersuara pada dirinya sendiri. Alangkah lebih indah sekiranya Zedi tidak lumpuh. Bisa menari-nari menghibur hati. Mengukir senyum selalu. Alangkah lebih harmoni jika ibu masih ada. Ayah sudah pasti tidak murung dan bersendiri. Sudah tentu lebih kerap berjenaka sambil menyanyi-nyanyi lagu keluarga. Dan sudah tentu Zeni sendiri tidak akan keberatan menerima lamaran Ehran. Sudah tentu juga keluarga ini akan berasa nikmatnya bahagia. Namun semua ini tidak terzahir di dunia nyata. Yang nyata hanyalah rasa luka yang mencerminkan neraka!

(Tamat sudah kisah Zeni. Tapi kisah yang lebih menyeluruh  masih berbaki beberapa episod. Tungguuuu...)

Bersambung...

"Tunggu! Jangan pergi dulu!"
"Biarkan aku berbicara seketika."
"Atau menari sementara."
"Kerana ini adalah kisahku - ZENI."


No comments:

Post a Comment