m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Tuesday, November 26, 2019

Teater JERAT: Curtain call

Bahagian 7

Akhirnya tamat juga kisah JERAT yang dipersembahkan oleh Pertubuhan Teater Hidayah. Para penonton berasa puas menyaksikan persembahan yang mantap dan menghiburkan. Para pelakon dan kru berasa lega kerana selesai sudah melaksanakan satu tanggungjawab pementasan dalam pertandingan. Para juri pula sebaliknya berasa pening dan kusut kerana tugas memuktamadkan satu-satu keputusan dirasakan semakin sukar. Hampir kesemua kumpulan yang bertanding menzahirkan kekuatan masing-masing yang unik. Biarlah. Itu kerja juri. Semua perlu akur dengan apa yang bakal diputuskan oleh pihak juri. Sudah pasti mereka ada rasionalnya tersendiri di sebalik semua keputusan yang dibuat.

Kita berkisah tentang 'curtain call' dulu. Isteriku sekali lagi dipertanggungjawabkan untuk memanggil nama kru produksi dan teknikal di belakang tabir, serta nama kesemua pelakon dan pengarah bagi Teater Jerat ini. Satu-satu nama dipanggil. Seorang demi seorang keluar di atas pentas, tunduk dan melambai kepada audien. Para hadirin memberi tepukan gemuruh bagi menyokong seluruh warga kerja Jerat. Malam itu panggung penuh. Sesak dengan penggiat dan penggemar teater. Terima kasih kerana sudi hadir memberi semangat kepada mereka yang telah bertungkus-lumus bekerja bagi menjayakan persembahan ini.

Sebahagian kru dan pelakon telah dipanggil nama mereka.
Pelakon senior - Shahriza Mahmud memberikan persembahan yang mantap sebagai Kuntum, ibu Hayati.
Kelihatan di atas pentas ialah Een, Azeera, Pangiran, Ibrahim, Yazid dan Shahriza.
Puak berhaluan kiri sedang beratur di sebelah kiri.
Puak berhaluan kanan menanti cabaran di sebelah kanan.
Kedua-dua kumpulan bakal berentap di sebelah tengah.
Cuba didamaikan oleh puak berhaluan tengah - Shahriza dan Ruby.
Nampaknya mereka dah mula berdamai dan memohon maaf kepada audien.
Tapi Syed Sadik masih tak puas hati nampak gayanya.
Begitu juga dengan Harez, walau pun beliau cuma mendiamkan diri, namun riak wajahnya menceritakan segalanya.
Mus sebagai penghulu kepada puak berhaluan tengah sekali lagi menyelamatkan keadaan.
Along Yusry: "Terima kasih kepada kesemua peminat-peminat dan fan club saya - The Yusrysianers!"
Hayatie Yusoff selaku pengarah dan ketua puak berhaluan tengah masuk ke pentas. Namun cuba dipengaruhi oleh Saddiq dari puak berhaluan kanan.
Tapi ketua puak berhaluan tengah tidak pernah mudah untuk dipengaruhi.
Suasana menjadi aman damai. Dan mereka mula berdiri dalam satu barisan melambangkan kemuafakatan.
Dean Sitara: "Eh! Tak balance! Pentas dah senget sebelah ni!!!"
Pengarah bersalaman dengan team produksi sambil mengucapkan terima kasih.
Sejurus habis acara curtain call, teman-teman dalam teater turut naik ke atas pentas bergambar dengan para pelakon dan team produksi. Teman-teman lama yang sudah lama tidak berjumpa sudah pasti berasa sangat teruja bila bersua kembali. Waktu ini memang biasanya merupakan waktu yang paling seronok bagi semua. 

Nak dipendekkan cerita, kita tengok sajalah gambar-gambar yang dipampangkan di sini.

Bersambung...

Kelihatan wajah-wajah orang kenamaan dalam teater - En Zakaria Ariffin, En Aris, En Amran Nasrudin.
Bergambar dengan pelakon pujaan.
Along Yusry agak gusar bila disuruh bersemuka dengan paparazzi tersohor alaf ini.
Along Yusry masih enggan bertentang mata dengan paparazzi.
Halim Zainal mengambil peluang berdamping dengan teman-teman seperjuangan.
Turut kelihatan Boss Fendy dan Saifulkhairi.
Pangiran belum puas bersilat rupanya.
Masih membuka jurus.
Dan buah silat.
Kelihatan En Aris, Pak Abang dan Tn Haji Kamarul AR serta Boss Fendy.
Pangiran dah puas bersilat.
Ruby, Azeera dan Een bergaya di satu sudut.
Oh! Nampaknya Pangiran sambung bersilat lagi!
Halim cuba mententeramkan dari belakang.
Namun semangat persilatan sejagat amat membara di jiwa Pangiran.
Hanya Kuntum mampu menjinakkannya.
Suasana kembali santai.
Roslan turut masuk dalam barisan.
Kenangan bersama.
Bersama teman-teman dan peminat.
Banyak yang datang untuk memberikan sokongan buat Shahriza Mahmud.
Jangan dilepaskan peluang yang datang.
Kita bertemu lagi di lain masa.



Saturday, November 23, 2019

Teater JERAT: Siapa kalah, siapa menang?

Bahagian 6

Babak Lapan

Pemergian Dol sangat-sangat dirasai. Terutamanya oleh Wan. Kesedihan menyelinap ke segenap kampung. Hilanglah sudah keceriaan yang sering dibawakan oleh Dol selama hayatnya masih ada.

Di rumah, Hayati masih lagi bermegah-megah dengan kemampuannya menundukkan Hamdan. Hamdan jatuh lumpuh hampir seluruh tubuhnya. Mulutnya herot, tak mampu berbicara seperti orang biasa. Pergerakannya sangat terbatas. Saban hari berbaring, atau mengesot andai ingin bergerak ke mana-mana. Hayati sambil tersenyum sinis sering kali mengherdik, mengejek dan mengajukkan tingkah dan tutur Hamdan yang tidak jelas butir katanya.

"Kau tewas juga di tanganku, Hamdan. Sekarang nak sebut nama sendiri pun kau dah tak mampu."
"Aku berazam untuk menaikkan nama Malaysia di arena bola sepak antarabangsa," janji Hayati kepada dirinya.

"Assalamualaikum!" Kedengaran ada yang memberi salam di luar rumah. Hayati berasa diganggu. Bingkas dia membuka pintu untuk melihat siapakah gerangannya si pemberi salam itu. "Oh! Abang Wan..." kata Hayati sopan bagi menutup perlakuan jahatnya terhadap Hamdan. "Hamdan ada di rumah? Masa pengkebumian Dol tadi pun dia tak kelihatan di sana." "Abang Hamdan tak ada di rumah. Dia pergi ziarah Dol tadi. Mungkin Abang Wan yang tak perasan," jawab Hayati masih cuba berselindung. "Abang datang sini nak jumpa Abang Hamdan saja ke? Hayati, tak nak jumpa?" Hayati semakin menghampir bagai menggoda. "Ttt... tak apalah, Hayati. Kalau tak ada, tak apa. Lagi pun tak manis kita dilihat berdua macam ni." "Baguslah kalau tak manis. Kalau manis sangat nanti kena kencing manis pulak." jawab Hayati sambil berloyar buruk.

Belum pun sempat Wan hendak melangkahkan kaki untuk pergi, terdengar suara orang berteriak kecil bagai memanggil namanya. "Hayati dengar tak bunyi tadi. Macam suara Hamdan?" "Eh! Mana ada. Itu mungkin bunyi binatang agaknya. Mungkin bunyi monyet, ungka, harimau, gajah, biawak, labi-labi, tenuk, atau mungkin juga ular anaconda." jawab Hayati penuh yakin. Hamdan berteriak semakin kuat dan memaksa. "Uuuuwaaaaannnn...!!!" "Eh! Itu memang suara Hamdan. Benarkan aku masuk," desak Wan. Hayati mula berang. Dia mengusir Wan dari situ. Wan bertegas untuk enggan beredar. Lantas meluru pantas ke dalam rumah.

"Ya Allah!! Hamdan!!! Apa dah jadi dekat kau ni!!!" tersentak Wan sejurus terlihat Hamdan dalam keadaan yang sangat memilukan itu. Sangat tidak terurus. "Apa yang telah kaulakukan terhadap Hamdan?!" soal Wan kepada Hayati. Keras nadanya. Hayati berasa semakin terancam. Amarahnya memuncak. "Oh! Kau mencabar aku, ya? Nah! Rasakanlah penanganku ini!!!" Hayati melibas selendang merahnya ke arah Wan sambil lidahnya melafazkan mantera ajaran bondanya. Sejurus terkena libasan selendang merah oleh Hayati, Wan terus melayang terpelanting melambung dari satu sudut ke satu sudut rumah yang lain. Maka bermulalah pertarungan terhebat alaf ini di antara Wan dan Hayati.

"Hamdan ada di rumah?" tanya Wan.
"Dah lama Abang Wan tak jumpa dia."
"Abang Wan tak nak jumpa Hayati ke?" tanya Hayati menggoda.
"Tak elok kita dilihat berdua macam ni." kata Wan mengingatkan.
"Kita bukan buat betul-betul. Berlakon aje kan?" jawab Hayati.
"Hamdan! Apa dah jadi pada kau!! Kenapa asyik tidur aje ni? Bangunlah cepat, pergi kerja."
"Kan Hayati dah bagi tau kat Abang Wan, Abang Hamdan tu memang malas nak pergi kerja."

"Cis! Nah! Argh! Yakh! Amekaw!" adalah antara suara-suara pertarungan yang kedengaran dihamburkan oleh Wan dan Hayati ketika mereka menduga ilmu kebatinan masing-masing. Wan membuka langkah silat. Jurus halilintar membelah bumi dari tujuh benua. Hayati pula dengan libasan selendang merah jurus petaka dari tujuh neraka terulung. Masing-masing berbalas aura positif dan négatif. Enggan kalah. Tak mahu tumpas. Utuh dengan kedegilan masing-masing. Sehinggalah Wan melafazkan ayatul Kursiy. Lantas menghentak telapak tangannya ke lantai rumah dengan sekuat hatinya. Kali ini Hayati pula yang melambung dan terhumban ke bawah. Tewas tanpa mampu bertarung lagi.

Wan lantas mendapatkan Hamdan yang masih terbaring. Merawat Hamdan untuk seketika sebelum menghampiri dan memulihkan semangat Hayati pula. Hamdan yang baru berasa tubuhnya semakin gagah ingin saja menerpa ke arah Hayati dalam keadaan marah. Wan menegah. "Bukan salah isterikau. Ini soal dendam. Kau maafkanlah Hayati. Dan Hayati, bertaubatlah kerana kesalahan yang telah engkau lakukan." nasihat Wan kepada kedua pasangan itu. Wan lantas berkhutbah dan memberikan tazkirah buat Hamdan dan Hayati. Lama juga Wan bertazkirah. Dekat tiga jam lamanya. Tazkirah yang panjang lebar itu telah membuat Hamdan dan Hayati insaf. Bukan saja Hamdan dan Hayati yang insaf, malah seluruh audien dalam panggung juga turut insaf dan terkesan dengan ceramah yang disampaikan oleh Wan. Dipendekkan cerita, akhirnya mereka live happily ever after. The end.

Bersambung...

Wan bagai terpukau dengan gerak selendang merah oleh Hayati. 
Wan mula membuka langkah silat.
Bermacam-macam jurus digunakan Wan. Hayati tetap kebal bak kereta kebal.
Malah Hayati sempat mentertawakan Wan yang masih terkial-kial mencari identiti.
"Aku pernah bertarung dengan harimau, singa, beruang, naga Tasik Cini dan Godzilla. Namun pertarungan ini ternyata lebih sukar," bisik hati Wan.
Wan mencuba jurus Naruto yang diimport dari Jepun. Masiih gagal.
"Nah! Amekaw. Ini jurus Ultraman!!" Zzzzzztttt...... Hayati berasa penangannya.
Wan memulihkan semangat Hamdan.
Wan menunjukkan teknik dan cara rawatan alternatif.
Kini merawat Hayati pula. 
Kedua-dua pasangan suami isteri itu telahpun dipulihkan oleh Wan.
"Kau jangan lambung aku macam tadi lagi. Ingat!" Wan memberi amaran kepada Hayati.
"Eh, bila kau sampai, Wan?" tegur Hamdan selamba.
"Abang Hamdan, Hayati nak ikut tengok keroncong," rayu Hayati kepada Hamdan.
"Inilah yang dikatakan hitam putih kehidupan," kata Wan. "Ini gambar hitam putihlah, Wan," jawab Hamdan.