11 Februari 2018 - Keluarga besar kami sedang merancang-rancang untuk membuat Hari Keluarga seperti zaman dulu-dulu. Seperti waktu Allahyarham Ayahanda dan Allahyarhamah Bonda masih ada. Hari Keluarga memang memenatkan. Tetapi sangat menyeronokkan. Dan merapatkan naluri kekeluargaan kami. Itu yang paling penting. Kami meninjau tempat. Tempat itu ialah di
D'Jeram Grill & Steamboat yang terletak di Jalan Jati, Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor yang diusahakan oleh ipar dan birasku.
|
Abang Zai menjadi pemerhati mesyuarat. |
|
Mesyuarat agung sedang dilangsungkan. |
|
Abang Zai memberikan cadangan untk mengadakan acara tarik tali di dalam selut pantai. |
|
Kak Long jadi pengerusi majlis. |
|
Wife aku jadi setiausaha. |
|
Menyedari betapa rumitnya mengendalikan sebuah aktiviti tahunan yang bertemakan kekeluargaan. |
|
Wife aku membacakan beberapa keputusan yang telah dipersetujui di dalam mesyuarat. |
Kami ke sini untuk bermesyuarat. Cara bagaimana Hari Keluarga ini hendak dilangsungkan. Tugasan perlu diberikan kepada siapa. Berbincang soal acara. Penginapan. Makan. Pemasangan khemah. Hadiah dan cendera hati. Pertandingan memancing. Sukaneka. Pakaian beragam. Dan segala macam hal sehinggalah ke perkara-perkara yang terperinci. Merencana perlu bersungguh. Namun apa yang akan jadi sudahnya, kami akan reda. Abang Hasni turut berpesan, boleh rancang apa saja, tapi kalau tidak menjadi seperti apa yang dirancang, kita buat santai-santai ajelah. Tak perlu stress atau berkecil hati. Aku sangat setuju pandangan itu.
|
Abang Leman pula memberikan cadangan untuk pertandingan memancing ikan air tawar dari pantai. |
|
Abang Zai berdiri kerana sangat bersetuju dengan cadangan Abang Leman itu. |
|
Abang Hasni mencadangkan acara yang santai-santai saja sifatnya. |
|
Berfikir dengan lebih serius untuk mendapatkan idea yang lebih "out of the box". |
Yang hadir dalam perbincangan itu tak ramai. Selain keluarga aku, turut ada dalam mesyuarat ialah Kak Long dan Abang Zai, Abang Leman, Abang Hasni dan Kak Ogie. Bila kata aje nak ke Pantai Remis, aku dah mula menyiapkan peralatan memancingku sebanyak lima set. Aku bawak set-set memancingku yang terbaik. Yang terpilih. Yang terhebat. Bagi mengendalikan ikan-ikan yang bakal aku naikkan nanti di Pantai Remis, seperti ikan kerapu bara, ikan layaran, ikan mersuji dan ikan jemuduk atau GT. Aku siap tengok jadual pasang surut air. Dan mengikut perkiraan aku, air laut akan mula pasang pada kira-kira jam 3.00 petang dan akan pasang penuh pada kira-kira jam 7 atau 8 malam. Aku telah bersiap. Mentalku jugak sudah siaga. Tak kiralah ikan apa yang sudi beradu tenaga denganku, pasti aku tidak menolak. "Wahai ikan, marilah kalian bersemuka denganku! Kita lihat siapa yang lagi hebat, kuderat lautkah, atau kuderat daratkah!!" laungku. Rupanya bukan aku seorang saja yang telah bersiap dengan gadget pancing. Abang Zai dan Abang Leman jugak telah cukup sedia seperti aku.
|
Suraya menemani Sabriena bermain di pantai. |
|
Sabriena nak buat aksi Titanic sikit. |
|
Sabriena melakarkan pelan harta karun di atas pasir. |
|
Lepas ni semua orang boeh cari harta karun peninggalan lanun zaman Melayu Melaka dulu sekitar abad ke-14. |
|
Masih melakar pelan. |
Puas dan cukup teliti aku memasang pancing. Menanti waktu yang sesuai. Tiba-tiba kami perasan air laut semakin lama semakin menjauh dari pantai. Terdetik dalam hatiku, bukankah sepatutnya pada waktu itu air laut akan pasang, dan sepatutnya semakin menghampir. Abang Leman membawa joran panjangnya ke pantai. Dan melemparkan umpan sekuat hati ke tengah. Dan umpan yang dibaling sekadar mencecah air pada kedalaman beberapa sentimeter sahaja. Jelas dan confirm, memang air sedang bergerak surut. Periksa punya periksa, rupa-rupanya aku salah tengok haribulan. Lain tarikh, lain pula jadual pasang surutnya. Aduh! Kecewanya kau tak dapat menduga penghuni di Pantai Remis. Kusimpan saja joran-joran yang telah kusiapkan tadi.
|
Joran terhebat yang telah kusiapkan untuk menduga ikan-ikan di Pantai Remis. |
|
Abang Leman turut bersiap-siap dengan peralatan memancingnya. |
|
Terlalu haus. Sabriena meminum air dalam botol ini sampai habis. |
|
Amier dan buah kelapa sakti. |
|
Berebut mendapatkan buah kelapa sakti. |
|
Okay-lah. Jom kita share buah kelapa sakti ini. |
|
Tapi Amier nak jugak buah kelapa sakti ini untuk dirinya sendiri. |
|
Sabriena mencuba mendapatkannya dari Amier. |
|
Sabriena gave up. Amier pemilik mutlak buah kelapa sakti ini. |
Di pantai, isteriku dan Sabriena sibuk mencari kulit siput yang banyak terdampar. Cantik-cantik kulit siput yang dibawa pulang mereka. Boleh dibuat perhiasan rumah. Siput-siputnya dari beraneka jenis dan bentuk. Sabriena sangat teruja. Aku juga sangat teruja.
Paling mengasyikkan ialah tatkala melayan nyaman angin yang berhembus dari laut. Berserak rambut Sabriena yang lebat panjang ditiup angin. Kalau ada layang-layang sudah pasti lebih menyeronokkan. Kami tunggu sehingga maghrib menjelma untuk melihat keindahan warna langit ketika matahari terbenam di ufuk barat. Setelah menjamu selera di sini, dan setelah solat maghrib, barulah kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Rencana Hari Keluarga 2018 perlu disebarkan kepada semua ahli keluarga. Kami harapkan kerjasama yang sepadu dari semua pihak. Dan dengan doa yang berterusan, insya Allah, ianya akan berjaya!
|
Sabriena mengumpul cengkerang pulak. |
|
Amier masih teruja dengan buah kelapa saktinya. |
|
Tapi Amier bukan bomoh buah kelapa ya? |
|
Posing di batu pantai. |
|
Waktu ni angin sedang bertiup nyaman. |
|
Sabriena nak join Mamanya berdiri di atas batu. |
|
Sambil tangan memegang cengkerang yang telah berjaya dikutip. |
|
Dan terus memanjat batu. |
No comments:
Post a Comment