14 Januari 2018 -Wiraku dilahirkan kira-kira hampir 17 tahun dahulu, pada tahun 2001. Tetapi ia duduk di bawah jagaanku hanya pada tahun 2002. Masa tu aku bekerja di Brickfields. Baru dapat bonus sikit. Dan aku menemukan Wiraku ini di sebuah kediaman kecil, di sekitar Ampang Hilir. Maka berurusanlah aku dengan Bank EON untuk memiliki Wira warna putih ini.
Wira adalah kereta keduaku selepas Nissan Sentra. Tapi merupakan kereta baru yang pertama yang aku miliki. Sentra ialah kereta second hand milik Allahyarhamah kekandaku. Bangganya aku memiliki Wira yang putih melepak bak Qu Putih. Rajin sungguh aku memandikannya setiap minggu (cuma pada peringkat awal sajalah).
Susuk tubuh Wiraku dari belakang. Bumper-nya dah mula melondeh. |
Dari sisi. Menjadi tempat istirahat kucing-kucingku serta lain-lain kucing yang singgah di rumahku. |
Dengan Wira, aku telah merantau jauh bersama keluargaku. Hingga ke Johor. Hingga ke Bukit Merah. Hingga ke Sungai Petani. Sampai terbatuk-batuk kadang-kadang kerana terlalu penat berjalan. Dan aku akan bagi ubat dan tonik supaya Wiraku sihat kembali. Tetapi semakin tua usia Wiraku, semakin tak dapat dielakkan lagi segala tulang temulang yang mereput dan anggota tubuh yang melemah. Wiraku cuma bertahan. Setakat yang ia mampu.
Wiraku pernah beberapa kali ditimpa kemalangan. Yang paling teruk adalah ketika aku dan ibuku dalam perjalanan ke Pasar Borong Selayang sesudah subuh. Pagi terlalu gelap tanpa cahaya dari lampu jalan. Wiraku terlanggar tiang lampu yang melintang di tengah jalan. Wiraku berpusing-pusing macam gasing seperti dalam filem Hollywood. Mujur aku dan ibuku tidak tercedera. Sekadar sakit otot sahaja.
Lebih setahun setengah Wiraku tersadai di depan rumah. Tidak bergerak ke mana-mana. Cukai jalannya dah lama mati. Berhabuk berdebu tubuhnya. Hancing dikencing kucing. Tetapi Wiraku tidak pernah mengeluh. Diam menerima takdirnya.
Wiraku sering sakit. Baterinya kong. Gear box-nya rosak. Kalau masuk gear 4 atau 5, pasti dia menendang. Brake pad pun dah haus. Dengar cerita, ada masalah alternator lagi. Bumper depan jatuh. Bumper belakang longgar. Absorber longlai. Meter reader sangkut. Tapi pendingin hawanya masih berfungsi dengan baik. Masih boleh menyejukkan tubuh yang kepanasan.
Kira-kira seminggu setelah gambar-gambar ini kuambil, Wiraku telah kuserahkan kepada seseorang yang kupanggil Abang Ujang. Sepupu kepada teman akrabku, Hj Noris. Aku tolak dengan harga RM800. Tak sempat aku ucapkan selamat tinggal kepada Wiraku. Sekadar memerhatikan dari jauh, sambil naluriku melambai-lambai sayu.
"Selamat tinggal Wiraku!"
Bahagian dalam. Sudah terserlah keriput wajahnya. |
Tempat duduk belakang. |
No comments:
Post a Comment