m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Tuesday, July 26, 2016

Pertunangan Syafiq dan Alia: Berdoa dan berselawat

Bahagian 3

Setelah selesai mengadakan perundingan pertunangan di antara pihak Syafiq dan pihak Alia, maka berdoalah sekelian Muslimin dan Muslimat ke hadrat Ilahi untuk kesejahteraan dan keberkatan sepanjang tempoh pertunangan. Dan semoga berpanjangan sehingga ke alam perkahwinan, dan seterusnya berbahagia sampai ke Jannah.

Oh! Tapi sebelum aku terlupa, sewaktu wakil pihak Alia, Datuk Abdul Wahab bertanya kepada Abang Zai mengenai jumlah hantaran yang akan diberikan kepada pihak Alia, Abang Zai telah menjawab dengan satu lawak jenaka versi Matematik. Begini lebih kurang dialognya:

Datuk A. Wahab: Berapakah hantarannya?
Abang Zai: Hantarannya? Hantarannya adalah..... Hantarannya? Hantarannya adalah...
Datuk A. Wahab: Jangan malu-malu. Nyatakan saja jumlahnya. Kami sedia menerimanya dengan hati terbuka.
Abang Zai: Hantarannya adalah "30000 x 2/3 - 958 + 888 kuasa dua bahagi 7326/33 x punca kuasa enam 4647 + 4500987". Itulah jumlah keseluruhannya.

Maka seluruh hadirin dan hadirat pun mulalah mengambil calculator serta sempoa lantas berkira-kiralah mereka semua demi mencari jawapan akan jumlah wang hantaran yang akan diberikan oleh pihak Syafiq kepada pihak Alia. Tak ubah seperti murid-murid yang sedang menjawab soalan Matematik Tambahan dalam peperiksaan SPM. Setelah cukup tempoh 2 jam 30 minit, maka Datuk Abdul Wahab pun meniupkan wisel dan menyuruh kesemua hadirin hadirat berhenti mengira. "Masa dah tamat!" teriak Datuk Abdul Wahab. Pen, pensil dan kalkulator pun diletakkan. "Berapakah jawapannya?" tanya Datuk Abdul Wahab. Masing-masing memberikan jawapan yang pelbagai. Ada yang kata RM 50. Ada yang cakap RM 2,507. Ada jugak yang kata RM 6,555,888. Dan macam-macam lagilah andaian mengikut perkiraan masing-masing. "Berapakah sebenarnya jumlah yang dimaksudkan, wahai tuan yang budiman?" tanya Datuk Abdul Wahab kepada Abang Zai. "Sebenarnya, kesemua jawapan itu tidaklah tepat. Jawapan yang tepat adalah RM 15,000." Sejurus mendengar jawapan dari Abang Zai, masing-masing menyemak semua kerja kira-kira yang dibuat tadi. Dan semua setuju dengan jawapan yang Abang Zai berikan itu. Okay. Dah lepas clear bahagian ni, barulah Tuan Imam membacakan doa selamat.

Tuan Imam memulakan dengan membaca Ummul Kitab - surah Al-Fatihah.
Doa dibacakan dengan penuh khusyuk.
Memohon selamat dan keberkatan yang berpanjangan.
Abang Zai dan  Abang Zahid turut mengaminkan doa.
Tn Hj Ismail turut berdoa.
Begitu juga dengan adik-beradik Syafiq yang lain - Syauqi, Abby dan Wawan.
Kak Long, Kak Timah, Kak Piah dan isteriku turut mengaminkan doa. Sabriena sibuk main i-phone pulak.
Kak Uda - ibu kepada Syafiq turut mengharapkan segalanya berjalan dengan selamat buat anak dan bakal menantunya.
Dato' Haji Norhasni dan Datin Hajjah Salamah turut berdoa.
Kini selawat ke atas Nabi dialunkan bersama-sama.
Setelah berdoa dengan penuh khusyuk, para hadirin dan hadirat diberikan sehelai kertas tertulis kata-kata Selawat ke atas Nabi untuk dialunkan bersama-sama. Ini satu lagi amalan yang aku rasa sangat wajar menjadi ikutan. Ruang tamu kini tepu dengan gema alunan suara hadirin hadirat berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad (s.a.w.). Setelah selesai berselawat, barulah majlis bersurai. Kami dijemput menjamu selera di halaman luar rumah. Manakala pihak ibu-ibu dijemput naik ke tingkat 3 untuk menyarungkan cincin ke jari Alia.

Bersambung...

Tuan Imam mengetuai pembacaan selawat ke atas Nabi.
Datuk Abdul Wahab dan Fai.
Abang Zai dan Abang Zahid. Abang Zahid bertaranum ikut lagu Tarannum Al-Bayyati.
Tn Hj Ismail dan Syauqi.
Tiga beradik ini berselawat berganding-gandingan.
Dato' Hj Norhasni dan Datin Hajjah Salamah berselawat bersama-sama.
Kak Uda, kak Long dan Kak Timah mengiringi pembacaan selawat.
Kois berselawat dari hari nuraninya yang suci.
Kak Piah, Kak Esah dan isteriku.
Para sepupu kepada Syafiq turut berselawat.
Tiga beradik - Sharifah Shakirah, Syed Saleh dan Syed Ali.
Selawat masih diteruskan dengan nada syahdu.
Bacaan selawat hampir selesai.
Sikit lagi dah nak habis.
Namun Sharifah Shakirah tetap terus berselawat sehingga menjelang malam yang gelap gelita.

Pertunangan Syafiq dan Alia: Muqaddimah dan salam perkenalan

Bahagian 2

Salam perkenalan telah pun diberikan kepada rombongan besar kami. Tn Hj Ismail, ayah kepada Alia telah membuat satu introduksi yang sangat hebat walaupun santai. Sedikit sebanyak telah menghilangkan debaran yang ada pada diri kami, khususnya Abang Zai, selaku juru cakap bagi pihak Syafiq.

Lalu mikrofon diberikan kepada Abang Zahid untuk memperkenalkan pula ahli keluarga dari pihak lelaki. Abang Zahid yang pada mulanya agak tersipu malu, akhirnya mencapai mikrofon, dan menggenggamnya dengan erat. Takut-takut dipintas oleh orang lain yang memang pantang menengok mikrofon. Dan Abang Zahid pun memulakanlah bicara dengan memperkenalkan setiap ahli keluarga kepada pihak Alia.

"Nama saya Zahid Ab Karim, ayah kepada Syafiq. Yang itu isteri saya, Nor Mahani Atan, ibu kepada Syafiq. Yang duduk di sebelah sini adalah anak-anak kami. Yang jadi juru cakap kami, ialah Zainuri Ahmad. Juga merupakan Pak Long kepada Syafiq. Dan itu isterinya, Kalsom Atan".

Begitulah seterusnya. Satu per satu diperkenalkan sampailah kepada aku, selaku juru kamera dan Pak Usu kepada Syafiq. Sangkaku ia tamat di situ saja. Tetapi tidak. Abang Zahid terus memperkenalkan individu-individu lain termasuklah jiran-jiran di taman perumahan tempat mereka tinggal, kawan-kawan sekolah, rendah, dan menengah. Kawan dan sanak-saudara kepada jiran-jiran. Tauke-tauke kedai yang berniaga dekat dengan rumah. Kawan kepada tauke kedai tadi, serta jiran-jiran mereka. Dan boleh dikatakan dekat lima juta orang jugak yang telah disebut nama mereka untuk diperkenalkan kepada keluarga Tn Hj Ismail. Sessi perkenalan ini berlangsung hampir tiga hari dua malam lamanya. Phew!

Adik-beradik Syafiq - Syauqi, Abby dan Wawan. Serta Denden.
Ahli keluarga kami mendengarkan ucapan dari Tn Hj Ismail.
Isteriku sempat ber-selfie sejenak.
Tn Hj Ismail masih memperkenalkan ahli keluarganya yang ramai.
Makcik-makcik kepada Syafiq - Kak Long, Kak Timah dan Kak Piah.
Barang-barang hantaran dari kedua-dua belah pihak yang cantik.
Barang kami beralas merah. Barang Alia beralas rumput hijau.
Keluarga pihak Syafiq - adik dan sepupu-sepapat.
Imam masjid turut hadir bagi membacakan doa.
Datuk Abdul Wahab berbaju warna pink - juru cakap bagi pihak Alia.
Abang Zai dan Abang Zahid. Serta Fatih.
Setelah tamat Abang Zahid memberikan salam pengenalan, kami semua ingat bolehlah diteruskan ke acara selanjutnya, iaitu berunding pasal majlis pertunangan dan pernikahan. Tetapi tetiba Abang Zahid nak buat satu request, "Saya dah lama tak dapat pegang mikrofon. Alang-alang mikrofon ada kat tangan saya ni, izinkanlah saya menyanyikan sebuah lagu berjudul Lamunan Terhenti, dari Aris Ariwatan." Dan kami pun terpaksalah mendengar dendangan lagu itu sampai habis.

Izinkanlah saya mendendangkan sebuah lagu puitis buat hiburan bersama.
"Entah mengapakah hatiku bergetaran......"
Dato' Norhasni dan Datin Salamah - pakcik dan makcik kepada Syafiq. Serta sepupu Syafiq - Kois (berbaju hitam).
Dua lagi sepupu Syafiq - adik beradik Syed Saleh dan Syed Ali.
Masih lagi Saleh dan Ali.
Datuk Abdul Wahab meluahkan kata-kata perundingan.
Sirih junjung ini menarik perhatianku kerana bunganya yang diperbuat daripada hirisan buah pinang.
Akhirnya, wakil pihak perempuan, Datuk Abdul Wahab Abdul Latip, ayah saudara kepada Alia membuka tirai perbincangan mengenai majlis pertunangan ini. Setelah itu, mikrofon diberikan pula kepada wakil pihak Syafiq, iaitu Abang Zai. Abang Zai mencapai mikrofon dengan tenang. Lama Abang Zai memegang mikrofon tanpa berkata apa-apa. Bagaikan sedang memikirkan sesuatu, atau sedang menyusun ayat untuk diungkapkan. Kami menanti dengan sabar. Setelah kira-kira lima belas minit membisu, akhirnya Abang Zai bersuara, "Oleh kerana saya dalam mood sayu pada hari ini, dan bersempena dengan bulan Syawal, maka izinkanlah saya menyanyikan sebuah lagu bertajuk Dendang Perantau". Dan kami terpaksalah mendengar lagu dinyanyikan sehingga selesai.

Bersambung...

"Sempena bulan raya, saya ingin menyanyikan lagu Dendang Perantau."
"Di Hari Raya, Terkenang daku kepada si dia..."
"Danau nan indah nun jauh di mata..." Fai tak dapat menerima nyanyian Pak Long nya.
Pendengar terhibur dengan nyanyian Abang Zai.
"Bagaimana dengan nyanyian saya, Datuk?" tanya Abang Zai. "Okay. Cuma ada pitching lari sikit masa korus tadi," jawab Datuk Abdul Wahab.
Tuan Imam menanti saat untuk membaca doa penutup.
Kak Esah menanti apa pulak kejutan selanjutnya.