m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Monday, May 30, 2016

Memukul dengan anak-anak buah

17 April 2016 - Pada minggu itu aku tak dapat bermain tenis dengan kawan-kawan kelab (TTC) ku pasal ada percanggahan jadual. Jadi aku tempahlah court tenis di Kompleks Tenis Jalan Duta. Aku ajak kengkawan lamaku. Tetapi kebanyakan mereka tak dapat hadir. Aku ajak pulak anak-anak buahku. Aku tahu, anak buahku yang seorang ni memang boleh bermain tenis. Syafiq nama dia. Ada beberapa yang lain ada potensi, seperti Faiisal dan Hidayat. Cuma bakat mereka belum digilap lagi. Aku suruh Syafiq cari orang untuk cukupkan korum main double. Akhirnya Syafiq bawak Abby dan Akid bersamanya.

Aku book court dari pukul 8 sampai 11 pagi. Kami sampai court hanya kira-kira pada jam 9 pagi. Masing-masing sampai lambat. Masa tu matahari dah mula menegak sikit. Kami mula warm-up. Abby baru first time main tennis. Akid kata dia pernah main tenis. Tapi dah lama dia tak main. Sebelum memulakan permainan, aku kena buat basic coaching dulu. Masalahnya aku ni agak malas nak coaching. Jadi aku cuma pesan kat anak-anak buah aku, walau apa pun yang berlaku, jangan pukul bola terlalu kuat. Bagi asal lepas net aje. Dan nampaknya mereka mendengar arahanku.

Setelah seketika berlatih, aku ajak anak-anak buahku bertarung dalam satu set. Aku partner dengan Akid. Dan Syafiq partner dengan adiknya, Abby. Perlawanan berlangsung agak santai. Akid, walaupun memukul bola dengan pelan, tetapi bola selalu pergi jauh melayang. Seolah-olah macam ada suatu kuasa dalaman yang dipakai oleh Akid hingga menyebabkan bola meluru pantas. Kalau Akid pandai kontrol, sudah pasti pukulan itu boleh memberi masalah kepada pihak lawan.

Walaupun santai, perlawanan agak sengit jugaklah. Kami cepat letih pasal haba luaran mula masuk ke dalam tubuh kami. Akhirnya team aku dan Akid menang tipis. Tahniah kepada Akid dan Abby yang menunjukkan potensi dalam bidang tenis. Syafiq memang tak payah cakaplah. Cuma perlu lebih latihan untuk bakatnya lebih menyerlah. Okay guys! Kalau ada rezeki, kita ke gelanggang lagi!

Abby, Akid dan Syafiq. Kalau ikut gaya memang dah macam pro.
Kami berempat.

Sunday, May 29, 2016

Hari pertunangan Koas: Selesai sudah

Bahagian 3 (Akhir)

 Ustaz membacakan doa selamat. Kami semuanya mengaminkan doa. Penuh khusyuk, dan sungguh-sungguh mengharapkan taufiq dan hidayah dari Allah Yang Maha Esa. Amin ya Rabbal alamin. 

Setelah doa, kami terus dijemput untuk menjamu selera di bahagian luar. Nasi campur dengan lauk yang pelbagai sedang menanti kami di atas meja hidang. Tetapi yang paling menusuk kalbu kami adalah haruman kuah laksa utara yang sangat sedap dan tak mungkin dapat kami menolak. Aku sendiri menggabungkan nasi dan kuah laksa untuk santapanku. Aku memilih untuk duduk di sebelah Ustaz yang kelihatannya tidak berteman.

Kak Esah mengaminkan doa.
Ika dan isteriku turut berdoa.
Amiiin.
Doa telah selesai. Kak Uda sedang memikirkan bilakah masa makan akan menjelma.
Kak Uda, Abang Haji Khalid dan Abang Azman.
Eida, Harith dan Atika.
Kois whatsapp kepada Koas, "Abang dah sah jadi tunang! Congrats!"
Sambil makan, kami berbual santai. Ustaz bertanya kepadaku, siapa yang duduk di situ. Siapa yang berbaju hijau. Siapa yang pakai cermin mata tu. Semua orang ditanya, bagai ingin lebih tahu setiap tetamu yang bertandang ke rumahnya pada petang itu. Lalu aku memberi tahu beliau, yang itu bapa saudara Koas. Yang itu pulak mak saudara Koas. Yang itu adik-beradik Koas. Dan seterusnya. Kemudian kami berbual soal tempat kerja, tentang rumah, tentang keluarga. Dan tetiba Ustaz sempat berbisik kepadaku, "Jangan bukak cerita pasal ping-pong ya?" Aku mengangguk tanda setuju.

Beratur untuk makan. Kak Uda mengetuai rombongan makan.
Abang Haji Khalid melihat apakah juadah pada kali ini.
Di ruang tamu, acara menukar hadiah dilangsungkan.
Pelbagai hadiah dikeluarkan.
Kami happy melihat hadiah yang banyak ini.
Kami bertukar-tukar hadiah setelah menjamu selera. Banyak jugak hadiah yang dihulurkan kepada kami, tanpa kami menduga. Kami berterima kasih di atas pemberian itu. Sebelum beredar, kami bersalam-salaman, berterima kasih. Dan sangat bersyukur kepada Ustaz dan keluarganya kerana telah melayan kami dengan baik. Koas dan tunangnya bakal disatukan tak lama lagi. Semoga semuanya akan berjalan lancar. Dan kami semua tak sabar-sabar menantikan detik itu berlangsung.

TAMAT.

Abang Haji Khalid baru nak bergerak keluar.
Kois happy pasal abangnya dah bergelar tunangan orang.
Sempat berbual mengenai resipi tradisional sebelum meninggalkan pekarangn rumah Ustaz.
Perbualan semakin rancak.
Perbualan berlangsung hampir tiga jam setengah di luar rumah.
Kami mula beredar.
Oh! Sedapnya bunga ini!!!
Empat adik beradik dengan barang hantaran.
4 siblings.
Jom kita pulang!

Hari pertunangan Koas: Berunding dan bersetuju

Bahagian 2

Kita masih lagi dengan kisah pertunangan Koas.  Perundingan pertunangan dan perkahwinan ini sangatlah mudah dan singkat. Ustaz memiliki konsep yang agak terbuka. Semuanya biarlah dimudahkan. Biarlah sederhana. Koas juga sealiran dengan bakal ayah mentuanya. Kami happy pasal nampaknya semua bakal berjalan lancar.

Pak Uda Zahid membuat lawak jenaka antarabangsa. Ustaz tersenyum lebar.
Tiba-tiba Pak Uda meminta setangkai bat ping-pong. Ustaz terkedu lagi.
Pak Uda bercerita mengenai pengalamannya bermain ping-pong mengalahkan pemain-pemain ping-pong handalan dunia.
Ustaz mengingatkan Pak Uda, bahawa itu semua adalah dunia semata-mata. Pak Uda pulak yang terkedu.
Kami memperlihatkan cincin tunang yang cantik, tersimpan di dalam cepu berukir-ukir. Ustaz tak banyak bicara. Apa-apa pun diterimanya. Tak banyak soal dan tanya. Selanjutnya, Abang Azman selaku ayah pengantin, mula berbual rancak dengan Ustaz. Ustaz banyak menanya. Beliau ingin tahu dan berkenalan dengan kami semua. Kemudian beliau pula memperkenalkan seluruh ahli keluarganya, serta menantu-menantunya yang ada di sana. Kami berbual dengan hampir seluruh keluarga Ustaz yang sangat peramah.

Kak Timah menghulurkan cincin tunang kepada Pak Uda.
Pak Uda membuka cepu yang menyimpan cincin tunang dengan penuh kepayahan.
"Dengan bangganya kami mempersembahkan, cincin tunang!!!" kata Pak Uda kepada Ustaz. Ustaz sekadar tersenyum.
Pak Uda dan Ustaz bersalaman tanda janji telah dimeterai.
Abang Azman memulakan cerita mengenai keluarga.
Kemudian tibalah acara menyarungkan cincin. Tak perlu ada pelamin atau kerusi berhias. Tunang Koas sekadar duduk di atas sofa bersama Kak Esah. Dan Kak Esah pun menyarungkanlah cincin emas di jari manis tunang Koas. Settle satu hal. Ustaz membacakan doa selamat untuk anaknya dan bakal menantunya, serta untuk kami semua. Dan kami sambung berbual panjang mengenai kepanjangan landasan keretapi di Semenanjung Malaysia. Juga berbual panjang mengenai kepanjangan ular anaconda serta kepanjangan Lebuhraya Plus.

Bersambung...

Kak Esah menyarungkan cincin tunang ke jari manis bakal menantunya.
Cincin tunang yang sangat cantik.
Selesai sudah acara menyarungkan cincin.
Mempersembahkan barang hantaran.
Ustaz sedang menceritakan sebuah kisah lucu.
Pak Andak Khalid turut terhibur dengan cerita itu.
Tetiba Ustaz cerita pasal perkara serius pulak. Masing-masing tergamam seketika.
Bacaan doa oleh Ustaz.
Penuh khusyuk.
Turut mengaminkan doa.
Amin, ya rabbal alamin.

Hari pertunangan Koas: Rombongan tiba

Bahagian 1

9 April 2016 - Akhirnya anak buah kesayangan semua orang, Koas, memutuskan untuk menamatkan zaman bujangnya. Cari punya cari, Koas bertemu dengan seorang wanita, anak seorang Ustaz. Kami semua berasa gembira bila mendengar perkhabaran ini. Masing-masing sepakat nak menyumbangkan apa-apa yang patut untuk merealisasikan penyatuan ini. Paling tidak, menyumbangkan tenaga dan masa.

Bersiap sebelum masuk ke rumah Ustaz untuk melamar.
Rombongan kami yang sederhana besarnya.
Kak Esah, ibu Koas yang teruja dengan acara ini.
Makcik-makcik membawa hadiah yang pelbagai.
Kami semua berkumpul di rumah Kak Uda. Rombongan kami ada dalam 20 orang. Yang paling excited sudah pastilah para makcik. Koas sendiri tak dapat turut serta pasal perlu menghadiri kursus perkahwinan. Kami datang dengan membawa segala macam hadiah. Berdulang-dulang banyaknya. Walaupun kami telah berkali-kali diingatkan oleh Koas untuk bersederhana. Tak kisahlah. Kami cuma nak memberi. Bukan nak menerima. Memberi hadiah juga merupakan Sunnah.

Adik-adik Koas turut meraikan hari pertunangan abang sulung mereka.
Pak Andak Khalid selaku bodyguard yang memastikan kesemua ahli keluarga sentiasa selamat.
Rombongan kami diketuai oleh Pak Uda Zahid, selaku juru cakap, wakil kepada pengantin lelaki. Pak Uda siap membawa panji-panji kebesaran keluarga Allahyarham Haji Atan, yang berkibar-kibar bila ditiup angin petang. Sesampainya di pekarangan rumah Ustaz, kami disambut dengan mesra sekali. Yang ada cuma adik-beradik dan ipar duai sahaja. Ustaz memberikan senyuman manisnya kepada kami. Kami membalasnya dengan sengihan bak kerang busuk. Dan kami dijemput masuk dan duduk di ruang tamu. Pak Uda pun memulakan bicara:

"Bermain ping-pong di tengah laman,
Meja dibuka, jangan dilipat,
Apa khabar wahai Ustaz yang budiman,
Kami ini datang membawa hajat."

Bagaikan tak tahu apa yang sedang berlaku, Ustaz bertanya, "Apakah hajat kalian, wahai anak muda?"

Pak Uda tersentap, bercampur gembira bila dipanggil dengan nama 'anak muda'. Lalu Pak Uda menyambung pantun keramatnya,

"Bermain ping-pong kepakaran saya,
Smash men-smash serata meja,
Kami berhajat nak sunting bunga,
Apakah sudah ada yang punya?"

Ustaz menganggukkan kepalanya beberapa kali sambil tersenyum. "Kalau bunga yang itu memang belum. Dan kami berbesar hati kerana keluarga kalian ingin melamarnya". Pak Uda dan seluruh ahli keluarga menarik nafas lega bila mendengar kata-kata Ustaz. Lalu kami menghulurkan hadiah yang kami bawa, dan pihak Ustaz menerimanya dengan senang hati. Kami juga dijemput menjamu selera dengan kuih muih serta nasi berlauk dan laksa utara. Bukan main berselera sekali kami makan. Sambil makan, kami bersembanglah dengan ahli keluarga Ustaz yang budiman.

Bersambung...

Pak Uda Zahid memulakan bicaranya kepada Ustaz.
Ustaz terkedu bila Pak Uda ajak Ustaz pekena ping-pong satu round.
Abang Azman, selaku ayah, berbual mesra dengan Ustaz.
Kois turut gembira kerana abang sulungnya bakal menamatkan zaman bujangnya tak lama lagi.
Kois dan Mama Sophie.
Eida dan isteriku turut hadir.
Adik-adik Koas, Syura dan Intan bersama anak buah, Harith.
Mendengar perbualan di antara Pak Uda dan Ustaz.
Kami dijemput makan dan minum.
Antara barang hantaran - kek dan buah-buahan.
Lagi barang hantaran, termasuklah cokelat dan sebuah beg tangan hitam. Tapi beg tangan tu tak diletak di atas dulang pulak.
Cincin dan tepak sirih.
Ibu dan ayah pengantin.
Isteriku dan kakaknya.