m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Saturday, July 18, 2015

1 Syawal 2015 - Tragedi di pagi raya

17 Julai 2015 - Setelah pulang dari menziarah kubur di Taman Kosas, dan setelah bermaafan di pagi raya, kami pun berangkatlah ke Kampung Baru untuk beraya dan melawat ibu saudaraku, Wak Chong. Di rumah Wak Chong, ramai sungguh sepupu-sepupuku yang ada di sana. Wak Chong pula masih terlantar di atas katil. Tapi nampak tubuhnya lebih sihat dari selalu. Wak Chong tinggal bersama anaknya, Kak Hashimah sekeluarga.

Di rumah Wak Chong, aku tak berasa seperti nak makan apa-apa. Perutku tiba-tiba berasa sangat menikam kalbu. Mungkin terlalu banyak makan makanan yang macam-macam pada malam semalam. Semakin lama menunggu, semakin ia memulas-mulas. Bagaikan buah pulasan yang dipulas-pulas. Dengan segera aku terus meminta diri. Tak mahu lebih lama berada di situ. Khuatir isi perutku akan terburai di tengah jalan.

Dengan pantas kami terus naik ke kereta. Dan pemanduan bak F1 pun bermulalah. Dalam keadaan sakit perut yang sangat hebat, aku terpaksa menekan pedal minyak sekuat hati. Sampai nak tercabut pedal minyak tu. Keretaku meluncur laju membelah lebuhraya AKLEH. Kulihat pada meter had laju, mencecah 765 km/jam. Kebetulan Lewis Hamilton ada memandu F1 untuk beraya di rumah seorang temannya, agak terkejut bila aku berjaya memintasnya dengan selamba.

Pemanduanku yang sangat laju, tetapi masih berhemah itu akhirnya membuahkan hasil apabila kami telah berjaya sampai ke rumah dalam masa kurang 2 minit. Aku terus parking kereta betul-betul kat tengah jalanraya. Dan berlari pantas bak Usin Bolt menghala ke tandas. Dan melunaskan hajatku yang telah lama terpendam. Lama jugak aku bermukim di dalam kamar kecil. Bila keluar tandas, tubuhku menjadi agak lemah dan letih. Tapi aku cukup lega pasal perutku telah berasa agak selesa.

Rupa-rupanya, sewaktu aku di tandas, ada sebuah kereta yang telah menghon sekuat hati kerana keretaku telah menghalang perjalanannya. Lama dan pangjang sungguh bunyi hon keretanya. Semua jiran-jiran tetangga siap menjenguk keluar. Tertanya-tanya apa yang sedang berlaku. Marrrrrraaaaahhh sungguh orang itu, walaupun pada pagi raya. Bila ditanya, rupanya orang itu pun sakit perut macam aku jugak. Dia pun tengah kelam-kabut nak pergi ke tandas jugak, pasal dah nak masuk 7 kali dia nak terkucil. Anak saudaraku, Farid dengan tenang dan tersenyum, lantas mengalihkan keretaku itu sambil mengucapkan Selamat Hari Raya. Itulah semangat hari raya yang wajar dipamerkan. Kepada pemandu tadi, aku memohon maaf pasal meletakkan kenderaan di tempat yang menghalang laluan. Bukannya sengaja. Tapi dah terdesak. 

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin.


1 Syawal 2015 - Ziarah pusara di Taman Kosas

17 Julai 2015 - Selepas selesai solat Aidilfitri, kami terus ke Tanah Perkuburan Islam di Taman Kosas untuk menziarahi pusara ayahanda dan bonda mentuaku, serta menziarahi pusara anak sulung kami, Muhammad. Biasanya kami menziarah pada bulan Ramadhan. Tapi pada Ramadhan yang lepas kami tak sempat ke sini. Maka terpaksalah kami menziarahi pada pagi 1 Syawal.

Di tanah perkuburan ini kami lihat sangat ramai orang berkunjung. Tak sangka kami sebegitu ramai. Ada yang bertahlil anak beranak, membaca Yaasiin beramai-ramai, dan membersih-bersihkan pusara yang tidak kerap diziarahi. Kami menghala ke kubur anak sulung kami dulu. Masih seperti dulu. Tanahnya tak sebegitu kering. Maka rumput-rumput dan tumbuhan-tumbuhan kecil mampu hidup dan berzikir. Kami bertahlil ringkas dan berdoa. Yang ada bersamaku ketika itu hanyalah isteriku dan Syahmie.

Syahmie menjirus air mawar di atas kubur abangnya.
Syahmie masih di pusara abang.
Syahmie bersama mamanya.
Menabur bunga dan daun pandan serta menyiram air mawar.
Selanjutnya kami menziarahi pula pusara Bonda, dan kemudiannya pusara Ayahanda. Kedua-dua pusara ini sangatlah menghijau dengan rumput karpet yang tumbuh subur, serta pokok bunga mawar yang semakin membesar. Kami taburkan daun pandan dan bunga serta menjirus air mawar. Tahlil turut dibacakan dan disudahi dengan doa. Semoga roh-roh keduanya dihimpun bersama roh-roh orang-orang yang mendapat redha dan rahmat Allah subhanahu wataala. Amin.

Di pusara Bonda Rahmah.
Membaca tahlil ringkas dan berdoa.
Di pusara Ayahanda Atan.
Tahlil dan doa.
Syahmie dan mamanya.
Menyiram air mawar sebelum pergi meninggalkan pekarangan perkuburan.

1 Syawal 2015 - Keluarga kami

17 Julai 2015 - Hari pertama Syawal, macam biasalah, kami ke surau berdekatan untuk solat sunat Aidilfitri. Selepas tu kami pergi menziarahi kubur ibu dan ayah mentuaku serta anak sulung kami di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas.

Setelah tu barulah kami pulang ke rumah. Sebelum keluar rumah, kami berkumpul dulu anak beranak di ruang tamu untuk bersalam-salaman dan bermaaf-maafan sesama kami, sambil memberi duit raya kepada ahli keluarga sekadar yang mampu. Kemudian bergambar beramai-ramai sebagai kenangan Syawal pada tahun ini. Tahun ini kami pakai baju sedondon dengan tema warna emerald. Aku memang tak pernah tau warna emerald tu macam mana. Siap nengok kat Google lagi. Rupanya warna hijau tua. Warna ni dipilih pasal mengikut tema warna baju yang akan digunapakai pada majlis perkahwinan anak buah kami nanti. Masa tu tak payahlah cari baju baru yang lain. Pakai baju raya yang ini ajelah.

Aku ngin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Warna emerald warna dipilih,
Tema keluarga di tahun ini,
Aidilfitri lambang penyatuan kasih,
Tingkatkan amalan, bersihkan hati.

Ziarah-menziarahi sanak saudara,
Jauh dan dekat kunjung-mengunjung,
Menguntum senyuman, menyeri muka,
Siapa yang ikhlas, dialah yang beruntung.

Memohon maaf, menyusun jari,
Kepada Allah jiwa berserah,
Selamat hari raya aidilfitri,
Dari kami keluarga Adisarah.

Keluarga kami berenam orang.
Bersama ayah dan ibuku, adikku serta dua orang anak saudaraku.
Tahun ini berbaju warna emerald.
Bermaaf-maafan di pagi raya.

Tuesday, July 14, 2015

Orang api dan orang mekanikal

Kali ini aku bawakan dua orang lagi kawan aku yang bekerja di ofis ini. Kedua-duanya adalah engineer. Tetapi dari background yang berbeza. Seorang adalah Jurutera Mekanikal. Seorang lagi ialah Jurutera Kebakaran. Bukannya jurutera yang suka membakar. Tetapi jurutera yang arif pasal kebakaran, atau cara-cara dan keperluan perlindungan bangunan dari kebakaran. Dalam erti kata lain pakar kebombaan.

Mechanical Engineer tu nama dia David Wong. Orang Malaysia, tapi kerja dekat UK agak lama jugak. Dia punya cakap sangat laju dan sangat konfiden. Aku rasa kalau kat ofis tu, David lah yang paling konfiden sekali dari segi personalitinya. Lebih konfiden dari kesemua mat salleh yang wujud kat ofis tu. David ni jugak sangat terer main badminton. Sangat agresif bila di gelanggang badminton. Itu sajalah pasal David Wong.


Yatin adalah pakar kebakaran. Profession-nya adalah Fire Engineer. Jurutera Api. Kami selalu consult dia pasal api. Contohnya, jenis-jenis api di dunia ini. Atau macam mana nak hidupkan api atas pemukaan yang basah. Atau bagaimana nak membasmi semut api yang merayap kat rumah. Atau bagi kengkawan yang menghisap rokok, mereka akan bertanya, "Ada api?" Dan sebagainya. Yatin ni kira soft spoken orangnya. Senang didekati. Dan dalam pemerhatian aku, beliau disenangi oleh banyak orang, termasuk aku. Akan sedaya upaya membantu dalam hal-hal kepakarannya bila ditanya. Yatin adalah warga UK. Tapi beliau berketurunan kacuk India. Itu sajalah pasal Yatin.


Monday, July 13, 2015

Kawan-kawanku Engineer Mekanikal

Sengaja aku paparkan dua lagi gambar karikatur teman sepejabatku untuk tatapan kalian. Dah hujung-hujung bulan Ramadan ni, mood raya semakin memuncak. Mood bekerja semakin menurun. Aku pun belasahlah lukis gambar kengkawan sepejabat denganku bagi menghilangkan bosan. 

Kawan yang ini seorang Jurutera Mekanikal. Aku tak pasti sama ada dia bekerja di bawah ofis Mott MacDonald ataupun sekadar bertapak di ofis ini. Macam aku. Kami buat projek MRT fasa 1. Jadi semua konsultan dari firma-firma lain turut dikumpulkan di sini bagi memudahkan kerja dan koordinasi. Nama kawanku ini ialah Aiman. Nama panjangnya kalau tak silap aku ialah Aiman Tak Kisah. Itulah aje pasal kawan aku yang sorang ni.


Lagi sorang kawan aku ni pun Jurutera Mekanikal jugak. Nama dia Tang. Aku panggil dia Mister Tang pasal dia dah berusia sikit. Mr Tang ni kelakar orang dia. Kalau ketawa punyalah kuat. Satu bangunan boleh dengar gelak tawanya. Ha ha ha ha ha!!! Nama penuh Mr Tang kalau tak silap aku ialah Tang Mana? Agaknya lah. Tapi mungkin jugak aku salah. Itu ajalah pasal kawan aku Mr Tang. 

Sekian terima kasih. Mohon maaf kepada kedua-dua Aiman dan Mr Tang kalau tersinggung dengan joke bodoh aku ni.


Naresh dan Ali pulang ke India

29 Mei 2015 -Tarikh ini adalah tarikh terakhir dua orang kawan kami dari India bekerja di ofis. Lepas ni mereka kena balik ke negara masing-masing di India. Mereka merupakan Engineer Mekanikal dan Civil. Tapi kena buat kerja Architecture pasal team Architecture tak cukup orang pada masa tu. Mula-mula buat kerja Architecture, ada jugak yang agak kekok. Lama-lama semua berjalan lancar. 

Di antara keduanya, Naresh lah yang lebih peramah. Cuma kekadang terlebih peramah. Dan dia sangat cekap dalam penggunaan software Autocad. Selalu jugak kami jumpa dan consult dia untuk menyelesaikan isu-isu yang bersangkutan dengan penggunaan Autocad. Kejap aje nanti dia solve-kan masalah kami. Tapi ilmu Autocad tu dia tak nak ajar sangat kat kami. Sekarang bila dia dah balik kampung, letih jugak kami nak cari jalan untuk menyelesaikan problem yang timbul ketika menggunakan software ini. Nak buat macam mana. Kena belajar sendirilah.


Seorang lagi bernama Feroz Ali. Tapi kami panggil dia Ali aje. Dia ni seorang Muslim. Balik kampung ni katanya dia nak berkahwin. Hari tu dia ada hantar dalam Whatsapp gambar dia berkahwin. Tahniah buat Ali. Kalau lain kali dia datang lagi ke Malaysia, mungkin dia boleh bawak anak dia yang sulong sekali. Ali jenis tak banyak cakap. Kalau dia bercakap pun biasanya aku tak berapa boleh nak faham sangat. Bukannya dia bercakap bahasa Tamil dengan aku. Dia bercakap bahasa Inggeris, tapi versi Tamil. Macam mana tu ah? He he... Apa-apa pun semoga perkahwinan beliau penuh barokah dan sentiasa dalam rahmat dan redha Allah.

Sebenarnya mereka ni bercadang nak datang balik bekerja di Malaysia. Tapi tak tau pulak bila mereka akan datang. Mungkin jugak dalam masa yang terdekat ini...??? Tunggu dan lihat sajalah.

Sunday, July 12, 2015

Birthday Syahmie disambut awal - 2015

19 April 2015 - Hari tu hari Ahad. Tulat baru birthday Syahmie. Tapi masa tu Syahmie dah nak kena balik asrama di Gemencheh. Jadi kami pakat-pakat nak sambut birthday Syahmie tiga hari lebih awal. Syahmi tak kisah. Syahmie memang selalu tak kisah. Dia simple aje. Menurut aje kehendak mama dan papanya.

Kek birthday Syahmie yang cantik.
Dipenuhi dengan strawberi di luar, dalam, tepi, atas, bawah dan di semua tempat.
Sedang menanti kesemua ahli keluarga berkumpul di ruang tamu.
Tiga beranak dan sebiji kek.
Seisi rumah telah di sini. Wanie masih kat asrama. Tak dapat join untuk meraikan.
Amier dan Sabriena dah tak sabar-sabar nak menyanyikan lagu Happy Birthday.
Kami belikan kek di sebuah kedai kek berdekatan. Mama yang pilih kek untuk Syahmie. Kek tu penuh dengan strawberi. Selak strawberi baru nampak kek. Aku pun dah tak ingat apakah menu makanan malam pada hari itu. Tapi selepas makan malam, barulah kami hidangkan kek bersulam strawberi yang nampak cantik tu. Macam biasa, kami nyanyi lagu Happy Birthday dulu beramai-ramai. Lepas nyanyi, barulah Syahmie potong kek. Masa tu Wanie dan Farid tak ada. Mereka kat tempat pengajian masing-masing. Kat asrama. Cukuplah sekadar kami yang meraikannya.

Bersedia untuk memulakan nyanyian.
Menyanyikan lagu Happy Birthday beramai-ramai.
Masih menyanyi lagi.
Selesai sebuah lagu pendek untuk Syahmie.
Syahmie memotong kek.
Tak tahu nak potong macam mana, pasal atas kek terlalu banyak strawberi.
Syahmie masih pening tak tahu nak potong kek cara bagaimana.
Potong kek macam potong sayur ajelah.
Atau nak potong kek macam potong ikan?
Aaaaahhhh! Hentam sajalah...
Sambil tersipu malu, Syahmie potong kek strawberi tu secara berhemah. Lepas tu kek diagih-agihkan kepada seluruh ahli keluaarga yang ada kat ruang tamu tu. Masing-masing dapat sepotong. Dan kami pun makanlah. Strawberinya tak begitu masam. Sedap jugak. Lepas makan kek, kami pun kemas meja. Sekianlah kisah menyambut birthday Syahmie yang serba ringkas.

Lepas ni kena bahagi-bahagikan kek ni kepada semua orang.
Masa untuk makan kek.
Sedap jugak rasanya.
Semua orang tengah enjoy makan kek strawberi.
Kek ni terlalu besar. Tak boleh nak dihabiskan sekali hadap.