29 Disember 2018 - Tahun 2019, anak bongsu kami Sabriena akan ke sekolah "budak besar". Maknanya beralih dari sekolah tadika ke sekolah rendah. Pada tarikh ini ada hari orientasi di sekolah. Sabriena dan anak-anak lain akan dikenalkan dengan sekitaran sekolah, dengan bilik darjah, dengan guru. Dan kami turut menunjukkan kepada Sabriena di mana letaknya kantin tempat makan pada waktu rehat, dan di mana letaknya tandas untuk murid-murid perempuan. Kami juga memberi amaran kepada Sabriena supaya tidak melepasi kawasan sekolah. Kebetulan ada kerja-kerja pembinaan highway kat sebelah sekolah. Ini perlu diawasi supaya anak-anak tidak melewati kawasan pembinaan.
Membeli baju pinafore untuk ke sekolah kebangsaan. |
Baju kurung untuk ke sekolah agama. |
Baju kurung untuk ke sekolah kebangsaan. |
Beberapa hari sebelum hari orientasi, kami ke kedai berdekatan untuk membeli baju seragam sekolah - sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Pada hari orientasi, Sabriena dengan mudah bangun pagi penuh bersemangat. Dia tak menangis ketika mandi dan mengenakan pakaian sekolah. Cuma Sabriena kelihatannya teragak-agak bila kuajak naik kereta untuk ke sekolah. Pada hari tersebut juga, kami perlu mendengar taklimat di dewan, membayar yuran keperluan pembelajaran dan yuran PIBG. Dan di kelas, Sabriena dihulurkan sehelai kertas lukisan untuk diwarnakan.
Dan tanpa disangka-sangka, sepupuku Muhaimin a.k.a. Emin turut menghantar anaknya ke sekolah yang sama. Tetapi bilik darjah yang berlainan. Kami sempat berbual ketika di sekolah. Kepada anak-anak yang baru memulakan pengajian darjah satu mereka di sekolah ini, diharapkan agar segala urusan pembelajaran dipermudahkan oleh Allah. Semoga anak-anak semua berjaya di dunia dan di akhirat. Dan 2 Januari 2019 adalah hari besar bagi Sabriena. Dan bagi kami juga sebenarnya. Selamat menjalani alam persekolahan baru.
Beratur untuk mendaftar dan membayar yuran. |
Panjang jugak barisan ini. |
Sabriena dalam kelas. |
Nampak tenang dan relaks. |
Bersama dua pupunya di ruang kantin. |
Di depan sekolah. |
Satu lagi gambar sebelum balik. |