m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Thursday, November 6, 2014

GP Motor di sekitar AEON Big Ampang

26 Oktober 2014 - Tolong ke tepi sikit Bro Ramdan Rosli, Bro Hafiza Rofa, Jorge Lorenzo, malah Valentino Rossi sekali pun. Meh nengok sini, ini dia jaguh baru sudah tiba. Amier! Siaplah korang semua dikalahkan oleh Amier nanti.

Asalnya kami tak plan pun nak naik kenderaan yang macam ATV (All Terrain Vehicle) versi kanak-kanak ni. Kami pergi shopping kat AEON Big di Ampang. Masa nak balik tu, Sabriena ternampak mainan tunggangan untuk kanak-kanak yang akan bergerak dan berlagu bila dimasukkan duit sen ke dalamnya. Lalu Sabriena meminta untuk menaiki salah satu dari mainan tu. Tapi masa tu orang tengah beratur sangat panjaaaaaannnngggg. Jadi kami cakap kat Sabriena, "Tak payahlah. Lain kali ajelah". Tapi Sabriena semakin tak puas hati. Lalu dia menjerit-jerit dan menangis-nangis sampai kat dalam kereta. Pujuk punya pujuk pun tak jalan jugak. Timbul rasa kesian kat dia. Kebetulan kat sebelah AEON Big tu ada tempat menunggang ATV kecil. Masa tu sorang pelanggan pun tak ada. Jadi kami pun ke sanalah dan bertanya harga sewa satu kederaan tu berapa. Peniaga tu kata kena bayar RM10 untuk 15 minit. Kira okay lah.

Bersama Sabriena di atas ATV kenit.
Bapak dan dua orang anak yang meminati arena permotoran.
Bergambar setelah tamat beraksi.
Jadi, kami pun sewalah tiga bijik ATV. Satu wife aku bawak. Satu Amier bawak. Dan satu lagi aku bawak. Sabriena naik dengan aku. Budak-budak dipakaikan topi keledar oleh si peniaga. Orang dewasa pulak, pandai-pandailah ambil risiko sendiri.

Setelah ditunjuk ajar cara-cara memandu ATV mini ni, aku terus menekan paddle minyak untuk menggerakkan kenderaan yang aku tunggang. Aku bawak sangat perlahan pasal bimbangkan keselamatan Sabriena yang turut menunggang bersamaku. Kerap kali juga kaki kuangkat dari paddle minyak yang menyebabkan kenderaan terhenti. Bila sampai selekoh, aku memang akan pastikan ATV yang kutunggang bergerak dengan sangat-sangat slow motion. Bila jalan lurus, barulah bergerak laju sikit.

Sessi latihan yang amat menyeronokkan.
Wife aku dan Yana jugak turut berkecimpung dalam bidang permotoran ini.
Pengalaman yang sangat menyeronokkan, terutamanya anak-anak kami.
Agak contrast dengan cara pemanduanku, Amier nampak gayanya menunggang dengan agak laju. Matanya pulak melilau-lilau melihat sana sini, dan tidak memberikan sepenuh perhatian kepada pemanduannya. Tiba di suatu selekoh, Amier memecut laju. Punyalah laju, hingga mencapai speed 350 km/jam. Tetiba, dan secara tak semena-mena, Amier terpelanting dan tercampak dari kenderaan yang ditungganginya. ATV Amier bergerak terus meninggalkan Amier yang dah tergolek atas jalan tarmac. Seluar jeans yang dipakai Amier koyak selebar sejengkal di bahagian lutut. Bibir Amier tergeser atas jalan, dan luka berdarah. Tapi Amier langsung tak menangis. Dia sekadar mengeluh kesakitan. Peniaga India tadi meletakkan ubat kuning dan menampal plaster pada luka di lutut Amier. Kemudian Amier sambung balik menunggang ATV tanpa rasa takut. Aku pun tak sangka yang Amier sebegitu berani dan konfiden bila tiba bab naik kenderaan yang macam tu. Cuma Amier ada berkata, sepatutnya dia dibekalkan dengan pelapik lutut, kasut, sarung tangan dan pelapik siku bagi memastikan kecederaan tak akan mengenai penunggang ATV apabila berlaku kes yang sedemikian.

Bergaya bersama ATV comel.
Sabriena sedang memeriksa peralatan ATV bagi memastikan semuanya dalam keadaan yang baik.
Sabriena memang cukup puas hati dapat naik ATV bersama aku. Dia dah tak menangis atau menjerit lagi. Kat rumah, Sabriena kerap buat bunyi motor, "Brrrrrooooom brrrrooommm". Nampak sangat dia happy dengan trip singkat di lapangan ATV petang hari tu.

Sabriena ceria bersama ATV.
Tak puas nampaknya Sabriena menunggang ATV tu.

Tuesday, November 4, 2014

Beraya di rumah Profesor Dato' Seri Ir Dr Zaini Ujang 2014

9 Ogos 2014 - Siapakah Profesor Dato' Seri Ir Dr Zaini Ujang? Beliau adalah Ketua Setiausaha 2, Pejabat Ketua Setiausaha 2. Sebelum ni pernah menjadi Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia. Tetapi, dari suatu sudut yang lain, beliau jugak adalah abang sepupu sulung Farid dan Yana, sebelah ayah mereka, Abang Mansor. Pada Syawal tahun 2014 ni, kami telah ke sana untuk beraya. Inilah first time aku dan isteri serta anak-anak menjengah ke rumah Along Zaini (panggilan keluarga).

Sedang mendengar Auntie bercerita.
Menjamu selera.
Berbual soal keluarga
Shawal dan Farid.
Farid dan Amier. Sedapnya makan.
Sabriena di sebelah kolam ikan.
Lama jugak Sabriena duduk lepak kat sini.
Dari petang, membawa ke maghrib.
Masa kami sampai tu masih ramai tetamu yang duduk sambil makan-makan dan berbual-bual. Aku dan isteri agak terpinga-pinga seketika bila masuk ke perkarangan rumah yang sangat besar dan cantik tu. Setelah bersalam-salaman dengan saudara-mara, kami pun mulalah mendapatkan makanan yang terhidang, dan makan sambil berborak-borak kosong. Biasanya kalau open house raya macam ni, Along Zaini akan menjamu para tetamunya dengan buah durian. Berbakul-bakul banyaknya. Tetapi kami sampai agak lewat. Maka stok durian nampaknya telah berkurangan. Tak kisahlah. Tapi hidangan char kuetiau dia memang sangat sedap. Apatah lagi bila dimakan panas-panas sejurus setelah ianya digoreng.

Aku dan Sabriena setelah solat maghrib.
Kami duduk kat ruang menonton televisyen.
Masa ni kebanyakan tetamu dah balik. Yang tinggal hanya saudara-mara aje.
Sabriena dan Amier cukup suka rumah ni, pasal ianya luas dan senang nak berlari-lari.
Melayan Sabriena main i-phone.
Kat ruang porch depan, ada satu kolam ikan kecil, serta air pancut. Sabriena bukan main suka bila nengok ikan-ikan berenang-renang kat kolam tu. Lama dia duduk menghadap ikan kat kolam tu. Bila aku bawak dia ke tempat lain, nanti Sabriena akan menjerit-jerit dan menangis-nangis pasal tak puas nengok kelibat ikan-ikan berenang-renang. Kami solat maghrib dulu kat ruang atas sebelum beredar meninggalkan rumah Along Zaini. Ribuan terima kasih kerana menjemput kami datang ke rumah.

Bergambar di ruang tamu.
Sebelum berangkat pulang.

Sunday, November 2, 2014

Syawal di rumah Abang Asri 2014

30 Ogos 2014 - Satu-satunya kawan tenis aku yang selalu menerima ajakan aku untuk bermain tenis (sebelum aku join Kelab Titiwangsa Tennis Community), adalah Abang Asri. Bila menyedari hakikat bahawa semakin lama semakin sukar untuk mendapatkan group tenis yang konsisten dari segi kehadiran bagi mencukupkan korum, maka aku dan Abang Asri telah sepakat untuk join Kelab Titiwangsa Tennis Community yang diterajui Presidennya, Faizal Alyas. Abang Asri telah berhenti bermain tenis suatu ketika dahulu kerana serangan jantung ketika di gelanggang tenis. Tetapi syukur, beliau masih kelihatan sihat, malah terus mengamalkan gaya kehidupan yang sihat bersama keluarganya yang tersayang.

Para jemaah sedang bertahlil.
Jemaah surau yang datang tak begitu ramai, tetapi cukup untuk menyempurnakan majlis.
Berdoa untuk keselamatan semua pihak, dan semoga kekal di dalam redha Allah.
Kami mendapat pelawaan Abang Asri untuk beraya di rumahnya pada penghujung Syawal. Aku yang tak berapa sibuk pada hari berkenaan telah menerima pelawaan beliau dan hadir bersama ahli keluargaku. Kami ke sana pada waktu petang. Dan hujan pun turun sangat lebat ketika itu. Namun semangatku tidak patah dek curahan air hujan dari langit tinggi itu. Kerana secara tak semena-mena bau kambing golek telah menusuk ke hidungku, dan meresap ke kalbuku.

Tak terlalu sukar untuk mencari rumah Abang Asri di Keramat. Sesampainya di situ, kami terus mencapai makanan. Dan sudah tentu, kambing golek menjadi juadah pilihanku pada petang hari itu. Setelah makan bermacam-macam jenis makanan yang terhidang, tetamu dari qariah surau berdekatan telah datang untuk membaca tahlil ringkas, serta doa kesyukuran kerana dikurniakan kesihatan bagi Abang Asri. Serta doa selamat bagi rakan-rakan qariah yang akan berangkat ke Tanah Suci Makkah pada musim haji nanti. Aku duduk bersama jemaah yang datang, sehingga majlis selesai.

Setelah majlis selesai, dan setelah perut kenyang, kami pun beredar. Dan ketika kami melangkah masuk ke dalam kereta, hujan rahmat masih terus mencucur deras. Kepada Abang Asri sekeluarga, kami ucapkan banyak-banyak terima kasih kerana telah menjemput kami serta menyajikan kepada kami juadah yang sangat hebat.

Mengaminkan doa.
Bersama Abang Asri - Part 1.
Bersama Abang Asri - Part 2.
Bersama Abang Asri - Part 3.

3 Syawal 2014 - Kehidupan nelayan Kalumpang di Aidilfitri

30 Julai 2014 - Kami memang seperti nelayan-nelayan yang lain. Walau panas membakar, walau hujan mencurah deras, walau ribut dan taufan, kami tetap akan keluar mencari rezeki yang halal, demi sesuap nasi. Malah di Aidilfitri juga kami akan melakukan tugas yang sama. Hari demi hari. Minggu demi minggu. Bulan demi bulan. Tahun demi tahun. Kurun demi kurun.

Ika dan Akid di rumah Tuan Haji Hasni dan Kak Hajjah Ogie.
Amier turut mencelah di tengah.
Setelah menjamu selera di rumah kakak iparku dengan menjamah sup tulang bercampur nasi yang sangat hebat rasanya, aku dan Syahmie terus aje solat asar di surau berdekatan. Dan setelah solat, kami mengeluarkan peralatan mencari nafkah kami - joran dan bakul ikan, menghala ke sungai, untuk mencari rezeki. Aku sempat menyuruh Syahmie mencapai sedikit hirisan ayam goreng untuk dijadikan umpan menjerat tengas. Umpan ayam goreng disangkutkan pada mata kail. Dan kulontarkan kail bersalut umpan itu ke dalam sungai. Tak lama kami di gigi air, Abang Haji Khalid datang menyertai kami. Aku pinjamkan satu set joranku kepada beliau. Umpan kami terasa digetu ikan. Tapi tak satu pun yang tersangkut di mata kail. Cuma kail Abang Haji Khalid saja yang nampaknya berjaya memikat seekor anak labi-labi yang comel. Ia terlepas sebelum sempat aku naikkan ke darat.

Rehat sebentar di sebuah wakaf berdekatan.
Amier nenanti umpan dijamah ikan.
Abang Haji Khalid menyertai ekspidisi pancingan kami.
Hujan turun agak lebat. Namun kami tetap meneruskan pancingan.
Hujan turun semakin melebat. Kami berlindung di bawah bumbung ruang kafeteria. Dalam keadaan hujan yang sedemikian, sukar jugak untuk kami menyusun strategi bagi menjerat tengas yang sangat bijak mengelakkan diri dari terperangkap dengan muslihat kami. Hujan tiba-tiba mereda. Air sungai lebih tenang alirannya. Memang sungai sudah sekian lama mencetek akibat musim panas yang agak berpanjangan sebelum ini. Namun ikan-ikan tengas masih ada di sekitar sungai bersembunyi di celah-celah batu yang besar.

Secara tak semena-mena Syahmie menegurku, sambil jarinya menuding ke arah sekumpulan tengas yang sedang berenang-renang di suatu sudut sungai. Aku terus ke arah kawanan tengas bermain-main. Kail dan umpan ayam aku labuhkan. Memang kerap kali tengas menyambar umpan yang jatuh ke air. Tetapi tak seekor pun tertancap ke mata kail yang kupasang. Rupanya mata kail yang aku gunakan terlalu tumpul, dan umpan ayam goreng tu pulak terlalu mudah terlucut dari mata kail. Aku lantas menukar mata kail. Dan dua orang budak yang bermain-main di air telah menawarkan sebahagian dari ayam barbeque yang dipegangnya kepada aku. Aku menerima dengan hati terbuka. Ya! Ayam barbeque ini memang sangat sesuai dijadikan umpan kerana isinya yang liat dan pejal, dan rasanya yang sangat enak.

Ikan pertama yang aku perolehi. Seekor tengas daun.
Yang juga merupakan ikan terakhirku pada petang itu.
Percubaanku untuk menjerat sang tengas akhirnya membuahkan hasil. Seekor tengas kecil berjaya kujinakkan. Aku berasa sangat bangga dengan diriku sendiri. Tak lama selepas aku beroleh ikan, Abang Leman datang mengeluarkan jorannya pulak. Abang Haji Khalid pula telah pergi meninggalkan lokasi. Dan jorannya telah digunakan oleh Syahmie pulak untuk menduga kehebatan penghuni sungai itu. Kami bertiga memancing sehingga mencucur keringat kami membasahi pakaian. Namun tiada hasil yang diperolehi.

Abang Leman sedang bersiap-siap untuk memulakan pancingan.
Abang Leman sedang memasang mata kail.
Bersungguh-sungguh Syahmie mencuba, namun satu pun tak mengena.
Tak lama kemudian, isteriku pulak datang ke lokasi. Dia mencapai sebatang joran dan memulakan pancingan di sungai. Setelah berusaha keras, akhirnya seekor tengas telah berjaya dinaikkan oleh isteriku. Kini jumlah ikan yang ada di dalam raga adalah sebanyak dua ekor. Aku dapat satu, isteriku dapat satu. Aku masih berusaha keras untuk menambahkan hasil tangkapanku. Tapi balingan-balingan umpanku lebih banyak yang tersangkut di tali yang merentangi sungai dari tersangkut di mulut ikan. Malah telefonku turut rosak akibat terendam di dalam air sungai ketika aku meredah sungai untuk melepaskan mata kail yang tersangkut di tali rentang.

Tiba-tiba isteriku berteriak, "Dapat lagi! Dapat lagi ikan!" Dengan keriangan dan wajah yang berseri-seri isteriku menunjukkan kepadaku seekor ikan tengas yang lebih besar dari kedua-dua ikan yang kami perolehi sebelum ini. Wah! Kasar jugak ikan tu, bisik hatiku. Kami terus memancing sehingga sebelum maghrib menjelang. Tiada lagi ikan yang berjaya diperdayakan oleh aku, Abang Leman, mahupun isteriku. Nampaknya pada petang tu, isteriku telah menang pertandingan memancing untuk tiga kategori:

1. Pemenang kategori ikan paling banyak - 2 ekor
2. Pemenang kategori ikan paling besar - tengas
3. Pemenang kategori pemancing paling bergaya.

Kami bertolak ke Kuala Lumpur selepas solat fardhu maghrib. Dan ketiga-tiga ikan tu kami bawa pulang untuk digoreng garing dan dimakan panas-panas. Memang cukup menyelerakan!

Isteriku mencari port yang paling strategik.
Para nelayan Kalumpang sedang beraksi.
Ibu dan anak memancing di sungai.
Tengas pertama!
Sangat gembira bila umpan dipasang telah mengena.
Tengas kedua lebih kasar.
Beratnya mencecah hampir 10 kilo!
Goreng pun sodap!!!

Sesat di Putrajaya, berakhir dengan mi rebus kambing

24 Oktober 2014 - Petang itu aku ada meeting dengan pihak Bomba di pejabat Bomba-Putrajaya. Kami bincanglah pasal cara-cara nak memadamkan api kat hutan-hutan di seluruh Malaysia, dan cara-cara nak menangkap ular sawa yang kian berleluasa di bandar-bandar. Serta adakah perlu pihak Bomba menangkap ular tedung, ular kapak dan ular katam tebu selain dari ular sawa. Perbincangan pasal ular tu aje makan masa berjam-jam lamanya. Itu belum bincang pasal tangkap biawak, buaya, dan tenuk.

Sebenarnya petang tu jugak aku kena ambil Wanie pulang dari asrama. Sekolah dia kat Sg. Ramal, Kajang. Lokasi tu dengan Putrajaya taklah jauh sangat. Cuma kira-kira sepelaung Tarzan aje. Sepatutnya boleh sampai dalam masa yang singkat. Setelah habis meeting dan solat asar, aku bertolaklah ke sekolah anak aku. Masa tu dah pukul 6.20 petang. Dan masa tu jugak hujan dah mula turun. Semakin lama semakin lebat. Dan langit semakin menggelap, walaupun belum tiba waktu maghrib.

Entah kenapa, dengan suasana hujan dan gelap yang sedemikian, aku punya fikiran jadi buntu. Jalan ke Sg Ramal yang tak seberapa jauh tu aku jadi tak nampak. Yang aku nampak ialah highway ke MEX Kuala Lumpur, jalan ke Puchong, ke KLIA, ke Banting, ke Dengkil, dan ke pekan Kajang. Sebelum aku tersasar lebih jauh, aku cepat-cepat patah balik menghala ke Putrajaya. Dari Putrajaya, aku mula mencari arah. Aku cuma nak ke highway PLUS aje. Pun begitu sukar nak jumpa. Dan dalam perjalanan di tengah-tengah hujan lebat tu, kilat yang sabung-menyabung turut mengganggu konsentrasiku dalam mencari arah. Setelah hujan agak reda sikit, barulah fikiranku lebih terbuka dan tenang. Akhirnya aku jumpa jugak jalan ke sekolah Wanie. Dan aku hanya tiba di destinasi kira-kira hampir jam 8 malam. Dan kelam-kabut aku pergi solat maghrib.

Setelah solat maghrib, aku tanya Wanie, "Wanie lapar tak?" Wanie menganggukkan kepalanya. Aku ajak Wanie ke Medan Selera Sg Ramal untuk beli burger bakar. Boleh makan kat kereta nanti. Maka aku pun pergilah ke kaunter burger bakar. Ingatkan nak order sorang satu, termasuk yang lain-lain kat rumah. Tapi satu burger tu harganya lebih RM10. Jadi aku order lima biji ajelah. Sementara menunggu tu, kami orderlah minuman sikit. Dua teh tarik untuk aku dan Wanie.

Kami duduk betul-betul depan gerai yang jual mi rebus kambing. Semakin lama kami kat situ, semakin aku terasa macam nak order sepinggan mi rebus kambing. Maka aku pun order-lah mi rebus kambing. Satu makan, dan satu bungkus, untuk dibawak balik ke rumah. Bila sampai aje mi rebus kambing tu kat meja kami, aku terus bahagi dua. Separuh untuk aku, dan separuh lagi untuk Wanie. Ketika makan tu, terasa macam sedap yang teramat sangat. Memang mi rebus tu mempunyai bau kambing yang sangat kuat bagaikan Badang. Sehinggakan orang-oang yang duduk di meja bersebelahan tertoleh-toleh ke arah kami, menyangkakan ada kambing tersesat di medan selera.

Ketika nak pulang setelah selesai makan, kami dikerumuni sekawan kambing yang menyangkakan kami ini adalah sebahagian dari mereka. Mungkin bau kambing yang super power tu telah menyebabkan kambing-kambing jalanan itu berfikir bahawa aku ini adalah ketua mereka yang selama ini telah menghilang. Puas jugak aku meng-explain bahawa aku adalah seorang insan biasa, bukannya kambing seperti mereka. Barulah kambing-kambing tu beredar dari kami. Dan ketika kakiku melangkah untuk masuk ke dalam kereta, kawanan kambing itu siap melambai-lambai kepada kami dengan harapan akan bertemu lagi dengan kami satu hari nanti.

Inilah hidangan super power mi rebus kambing.