19 Februari 2016 - Pada hari Jumaat ini kami ke sekolah Wanie di Kajang. Ada majlis khusus buat pelajar-pelajar dan ibu bapa para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PT3 dan SPM pada hujung tahun ini. Majlis diadakan di Dewan Al-Syafie kira-kira jam 3 petang. Ibu bapa yang datang cuma segelintir. Yang lain semuanya para pelajar.
Kami masuk dewan agak lewat. Bonda Pengetua sedang memberikan taklimat mengenai pencapaian pelajar-pelajar pada tahun-tahun yang lepas. Dan taklimat mengenai target untuk tahun 2016 ini. Aku mendengar dengan memberikan separuh perhatian. Kami duduk agak terkebelakang. Kurang dapat menjiwai apa yang dituturkan oleh panel di sebelah hadapan. Setelah sessi ucapan selesai, menyusullah sessi ikrar. Bermula dengan pelajar-pelajar. Semua pelajar bangkit, mengangkat tangan kanan. Dan ikrar dilafazkan. Berjanji untuk berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai kecemerlangan. Setelah para pelajar, giliran para guru pula yang berdiri dan berikrar. Berjanji akan mendidik anak-anak Maahad Hamidiah dan membantu mereka memburu kegemilangan.
Sebelum majlis ditutup, para ibu bapa pula yang diminta berdiri. Aku tidak terkecuali. Ketika ibu bapa berdiri, anak-anak bertepuk tangan dengan gemuruh. Gamat dewan seketika. Tepukan anak-anak bagaikan meraikan ibu bapa mereka. Bagaikan mengharap sokongan padu, restu dan doa yang tak putus-putus dari ayahanda dan bonda. Ketika ini aku berasa sebak. Bukan saja aku, malah ibu bapa yang lain juga berperasaan sedemikian. Dan kami pula yang melafazkan ikrar. Berjanji untuk membantu anak-anak kami sedaya mungkin demi sebuah kejayaan. Sesudah ikrar dibacakan, aku terlihat ada sebahagian para ibu yang mengesat air mata mereka.
Setelah majlis bersurai, kami mengambil kesempatan berjumpa dengan beberapa orang guru yang mengajar Wanie untuk membincangkan soal strategi pembelajaran yang berkesan bagi Wanie. Kami pulang setelah azan asar dikumandangkan. Semoga anak-anak Maahad Hamidiah akan mencapai kejayaan yang diharap-harapkan - di dunia dan di akhirat.
Pemandangan di dalam Dewan Al-Syafie, Maahad Hamidiah Kajang. |
No comments:
Post a Comment