28 Februari 2016 - Mohon sekelian pembaca menghadiahkan bacaan Al Fatihah buat Allahyarham ayahandaku, Haji Matari Bin Abdul Rahman. Al Fatihah...
Kira-kira lebih dua minggu yang lalu, Ayah telah dijemput Ilahi. Ayah yang pada mulanya boleh menikmati makanan dengan enak, tiba-tiba cukup tidak berselera. Yang diidam tidak mampu dikunyah. Yang dikunyah tidak mampu ditelan. Cuma air yang diminum berkali-kali sebagai penghapus dahaga. Tekak kian sarat dengan kahak yang pekat.
Pada hari Sabtu, 27 Februari 2016, aku dan isteri telah ke Kuantan, menghantar Abby bertunang. Bila pulang, aku lihat Ayah sudah tidak mampu menelan air yang kuberikan kepadanya. Lama aku menatap Ayah yang sengsara dengan tubuh yang longlai. Macam-macam yang bermain di fikiranku.
Esok harinya, Ahad 28 Februari 2016, ibuku menyuruh aku membawa Ayah ke hospital untuk dirawat. Fikirku, mungkin pihak hospital dapat memasukkan air ke dalam darah agar Ayah berasa sedikit segar. Dan dengan ubat-ubatan yang diberi doktor, mungkin kahak yang bertakung boleh dikurangkan. Aku berkata kepada Ayah, "Lepas solat zuhur kita pergi hospital ya?" Ayah mengangguk. Tubuh Ayah telah kubersihkan terlebih dahulu. Cuma kemeja sahaja yang belum kupakaikan. Sebelum ke hospital nanti, barulah akan kusarungkan kemeja ke tubuh ayahku.
Azan zuhur pun berkumandang. Aku solat zuhur di rumah. Terus aku ke bilik, melihat Ayah sedang berbaring seperti biasa. Kuambil sehelai kemeja lama, dan kupakaikan ke tubuh Ayah. Belum pun sempurna kemeja dipakaikan, Ayah terus berbaring semula. Tubuhnya betul-betul longlai kali ini. Tapi Ayah tidak berkata apa-apa. Aku lantas memeluk dan mendukung Ayah dan mendudukkannya di atas kerusi roda. Sejurus Ayah berada di atas kerusi roda, kulihat wajah Ayah sangat berbeza dari yang biasa kulihat. Terbit sedikit rasa panik. Aku bisikkan ke telinga Ayah, "Allah, Allah, Allah" berkali-kali. Lalu kupanggil Wanie (yang sepatutnya pulang ke asrama petang itu) untuk bersalaman dengan Ayah dan menyuruh Wanie mencium datuknya itu. Aku, ditemani anak saudaraku, Yana terus ke Hospital Pakar Ampang Puteri untuk mendapatkan rawatan.
Kami menanti giliran. Akhirnya nama Ayah dipanggil. Jururawat memeriksa tekanan darah Ayah. Bacaan tidak dapat diambil. Cuba lagi. Masih gagal. Jururawat memanggil Ayah dengan suara yang agak kuat. Tidak bersambut. Seorang jururawat yang lebih senior datang dan memeriksa nadi Ayah. "Panggil doktor!" kata jururawat itu. Ayah kemudiannya dibawa ke atas katil. Bacaan ECG diambil. Doktor memeriksa nadi dan mata Ayah. Dan di layar ECG menunjukkan tiada degupan jantung. Doktor mengesahkan Ayah telah tiada. Kata doktor, nadi Ayah mungkin telah terhenti sebelum kami tiba di hospital lagi. Aku tidak menangis atau berteriak. Aku masih tenang dan menerima hakikat ini. Cuma ketika hendak menyampaikan berita ini kepada Yana yang menanti di luar, kepada Ibu dan isteriku di rumah, aku jadi sebak.
Aku yang jahil dan naif mengenai kematian, tidak pasti bilakah sebenarnya roh Ayah telah diangkat keluar dari jasad. Adakah ketika kami dalam perjalanan ke hospital? Adakah ketika Ayah berada di atas kerusi roda? Atau adakah ketika aku sedang memeluk Ayah erat, ketika dada kami merapat, dan wajah kami bersentuhan? Sesungguhnya aku memang tidak tahu. Yang aku tahu cuma kini Ayah telah pergi meninggalkan kami buat selamanya.
Pada malam hari, ramai yang menziarahi Ayah - saudara-mara, jiran-jiran, kawan-kawan, bekas murid-murid Ayah. Malam itu aku tidur betul-betul di sebelah jenazah Ayah, di ruang tamu.
Jenazah Ayah dibawa ke Masjid untuk diuruskan. |
Pusara Ayah. |
Aku, Abang Mansor dan Farid sedang mengebumikan jenazah Ayah. |
Pada esok harinya, jenazah dibawa ke Masjid Jamek Al Huda, di Kampung Melayu Ampang untuk diuruskan. Aku, Abang Mansor, Syahmie dan Farid, bersama dua orang petugas masjid bersama-sama memandikan jenazah Ayah. Waktu ini kurasakan sangat sayu dan hiba sekali. Menyedari inilah kali terakhir aku berpeluang memandikan Ayah. Jenazah Ayah dikafankan. Kemas. Sementara menanti waktu solat jenazah dimulakan, aku didatangi oleh seseorang yang tidak pernah aku kenali. Beliau mengenalkan diri sebagai Malik, teman sepejabat Ayah ketika di Kompleks Budaya Negara dulu. Lebih khusus, orang yang sering menemani Ayah ketika makan tengah hari. Ada sesuatu yang diungkapkan kepadaku mengenai Ayah yang membuat hatiku tersentuh. Air mataku mula menakung. Lekas-lekas kukesat sebelum ianya berlinang jatuh di pipi.
Setelah seketika menunggu, imam yang sepatutnya mengetuai solat jenazah tiba. Aku menghampiri Tuan Imam, dan memohon agar aku diberi kebenaran untuk mengimami solat jenazah ini. Tuan Imam menyetujui. Aku bersyukur ke hadrat Allah, hasratku ini kesampaian. Jenazah Ayah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Teratai Ampang. Dan itulah kali terakhir aku menatap wajah Ayah sebelum jenazahnya dilitupi dengan tanah sepenuhnya. Bersemadilah jasad Ayah di sisi kekandaku yang telah terlebih dulu pergi kira-kira dua tahun yang lalu.
Mengebumikan jenazah Ayah. |
Sanak-saudara bekerjasama. |
Imam membacakan Surah Kahfi dan talqin. |
Jemaah mendengar dengan khusyuk. |
Syahmie menjirus air. |
Menabur bunga di pusara. |
Pusara Ayah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Teratai Ampang. |
Kira-kira seminggu setelah Ayah pergi, aku dan Amier telah pergi menziarahi pusara Ayah. Kami bertahlil di sana. Amier pula telah menyiapkan nesan sementara untuk diletakkan di pusara datuknya. Kini sudah tidak ada apa yang mampu kulakukan untuk terus berbakti kepada Ayah buat bekalan di alam sana. Melainkan aku MESTI menjadi seorang anak yang Soleh. MESTI! Dan berharap agar amalan dan doaku diterima oleh Allah dan dijadikan asbab untuk pelepasan Ayah dari segala kesengsaraan di alam akhirat. Semoga Ayah disatukan, dan digolongkan di kalangan orang-orang yang beriman yang mendapat redha dan lindungan Allah sentiasa.
AMIN.
Amier menemaniku ketika menziarahi pusara Ayah. |
Nesan sementara yang dibuat oleh Amier. |
No comments:
Post a Comment