m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Thursday, March 24, 2016

Selamat pengantin baru - Hafeeza dan suami

24 Januari 2016 - Kami dijemput untuk menghadiri satu majlis perkahwinan lagi. Kali ini perkahwinan kawan ofis wife aku - Hafeeza. Buat kat dewan di Putrajaya. Bila dah dijemput, kalau tak ada aral kami pergilah. Macam selalu, bila sampai aje kami teruslah makan. Nyomp nyomp nyomp... Sekian terima kasih.

Sabriena sedang makan dengan enaknya.
Menjamah cendol.
Menjamah kuih.
Masih menjamah cendol.
Bersama penganti baru.
Masih dengan pengantin baru.
Lepas makan, carilah pengantin yang sedang berlegar-legar melayan tetamu. Ambil snap dua tiga round. Dalam majlis tu ada nyanyian dari kumpulan nasyid. Aku tak ingat kumpulan nasyid apa. Tapi performance mereka memang hebat jugaklah. Semua tetamu nampak gayanya terhibur dengan persembahan mereka. Sekian terima kasih.

Kumpulan nasyid terkenal tanah air. Tapi aku dah lupa nama dia.
Lima serangkai mendendangkan lagu nasyid.
Bersama kawan-kawan ofis.
Kakak dan adik.
Bersama pangantin sekali lagi.
Bersama ibu dan ayah pengantin.
On the way back di sebelah swimming pool.
Makan sudah. Bergambar sudah. Berhibur pun sudah. Maka bersalam-salamanlah kami sebelum beredar. Masa balik menghala ke kereta, lalu sebelah swimming pool kanak-kanak. Anak-anak aku excited bila nengok swimming pool, especially Amier dan Sabriena. Ramai jugak budak-budak mandi-manda kat situ. Malah ada swimming instructor lagi yang mengajar anak-anak tu teknik berenang yang betul. Lepas tu kami terserempak pulak dengan Abang Hashim dan G-Ha. Lepas tu kami baliklah dengan selamat. Sekian terima kasih.

Terserempak dengan kawan baik.
Abang Hashim dan G-Ha.
One more shot before splitting.

Monday, March 21, 2016

Perginya sahabat kami - Pyan

19 February 2016 - Mohon para pembaca sekelian menyedekahkan bacaan Al Fatihah buat Allahyarham Ahmad Sufiyan Bin Kamaruzaman yang telah kembali ke Rahmatullah kira-kira sebulan yang lalu. Al Fatihah.


Allahyarham Pyan ketika dirawat di ICU Hospital Pusrawi. Sumber gambar - Facebook.
Allahyarham Pyan adalah salah seorang teman teater kami yang baru kami kenali kira-kira setahun yang lalu. Keramahan Allahyarham menjadikan kami mudah rapat dan berasa mesra dalam masa yang singkat. Pada 11 Februari 2016, kami ke Hospital Pusrawi untuk menziarahi Allahyarham Pyan yang pada ketika itu sedang dirawat di ICU. Solat sunat hajat turut diadakan di surau Hospital Pusrawi, memohon agar Allah memberikan kesembuhan, dan keafiatan kepada Allahyarham Pyan. Malah solat hajat turut diadakan pada hari-hari lain di surau-surau di taman perumahan tempat ahli keluarga tinggal.

Di ICU, setelah solat hajat, aku sempat menjenguk Allahyarham. Memang lemah tubuhnya. Lama aku berdiri melihat Allahyarham yang sangat lesu. Sebelum beredar, sempat aku menyentuh tangannya sambil memberi kata-kata semangat. Allahyarham memandangku dan mengangguk. Aku tahu kehadiranku disedari.

Antara yang hadir pada solat hajat d surau Hospital Pusrawi - Salman dan Rosman.
Abang Kamarul AR, ayahanda kepada Allahyarham Pyan sentiasa tabah menempuhi saat sukar ini.
Bersama Along Yusry.
Antara yang hadir pada malam solat hajat yang diadakan di Hospital Pusrawi.
Kira-kira lebih seminggu selepas itu, kami mendapat berita kembalinya Allahyarham ke Rahmatullah. Pagi Sabtu itu kami bergegas ke masjid tempat jenazah Allahyarham diuruskan. Kami sempat menyembahyangkan jenazah serta mengiringi jenazah ke tanah perkuburan. Salam takziah kami sampaikan kepada seluruh ahli keluarga yang kelihatan sangat sedih dan sayu. Memang kita semua menyayangi Allahyarham. Namun sayang Allah kepada Allahyarham Pyan tiada tolok bandingnya. Dan Dia Maha mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya di dunia dan di akhirat.

Di tanah perkuburan setelah sempurna urusan pengkebumian jenazah.
Pada 30 Mac 2016, kami ke rumah Ayahanda kepada Allahyarham Pyan, Abang Kamarul AR untuk memenuhi jemputan ke majlis membaca Yasiin dan tahlil buat Allahyarham. Ramai jiran, ahli surau, saudara-mara serta teman-teman teater hadir untuk sama-sama mendoakan rahmat buat roh Allahyarham di akhirat sana.

Semoga seluruh ahli keluarga sabar dan tabah dengan ketentuan Allah ini. Dan semoga roh Allahyarham digolongkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Semoga Allah memberikan perlindungan bagi roh Allahyarham dari segala kesengsaraan. Dan menempatkan roh Allahyarham di Jannatul Firdaus tanpa hisab.

Majlis tahlil di kediaman Abang Kamarul AR.
Sedang menjamu selera.
Amier sedang menjamah kuih.
Turut hadir - Abang Mubarak Majid dan Roslan Mohamad.
Salman dan Abang Rosli.

Friday, March 18, 2016

Pemergian ayah kepada sahabat baikku, Noris

4 Mac 2016 - Mohon para pembaca menyedekahkan bacaan Al Fatihah untuk ayah kepada seorang teman karibku, Haji Noris Helmi Haji Nordin. Al Fatihah!


Kurang seminggu setelah ayahku pergi menghadap Ilahi, menyusul pula ayah kepada salah seorang teman karibku. Beberapa hari sebelum pemergian Allahyarham, kami telah ke Hospital Ampang dan terserempak dengan Auntie Jamilah (ibu kepada kawanku, Noris). Dari penceritaan Auntie Jamilah, kami sedar betapa resahnya jiwa beliau akan keadaan Allahyarham waktu itu yang sangat-sangat memerlukan rawatan rapi.

Terserempak dengan Auntie Jamilah di Hospital Ampang. Auntie Jamilah bersama ibuku.
Di kafeteria Hospital Ampang.
Sehari sebelum pemergian Allahyarham, aku dan isteri ke Hospital Ampang lagi untuk menziarahi Allahyarham. Namun kami tidak berkesempatan bertemu, kerana ketika itu Allahyarham sedang menjalani rawatan dan tidak berada di wad. Kami sempat berbual panjang dengan Auntie Jamilah. Auntie Jamilah bercerita betapa Allahyarham sering sangat rindu dengan cucu-cucunya. Betapa beliau juga suka makan-makan di luar bersama keluarga, walaupun yang mampu dijamah hanya sedikit. Yang ini memang persis Allahyarham ayahku. Dan ketika ini hatiku mula berasa tersentuh. 

Keesokan harinya kami dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham. Aku sempat ke masjid di Taman Tun Dr Ismail untuk menyembahyangkan jenazah Allahyarham. Dan aku juga sempat ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara ketika jenazah dikebumikan. Aku sangat terharu dan bersyukur ke hadrat Allah kerana sangat ramai jemaah yang menyembahyangkan jenazah Allahyarham, dan bersama-sama mengiringi jenazah ke tanah perkuburan. Jelas betapa Allah sedang memuliakan Allahyarham. Kepergiannya pada malam Jumaat, dan dengan jemaah yang sebegitu besar bersamanya hingga ke pengkebumian. Allahyarham memang insan yang sangat disenangi oleh semua - keluarga, sanak-saudara, teman-teman, jiran-jiran, dan semua kenalan.

Sebagai seorang teman dan saudara seIslam kepada anak Allahyarham, aku mendoakan agar roh Allahyarham sentiasa dalam peliharaan Allah dan digolongkan di kalangan roh orang-orang yang beriman dan soleh. 

AMIN.


Di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Menjirus air di pusara.
Aku, Noris dan Jefri (paling kanan) masing-masing baru kehilangan ayah dalam tempoh tak sampai sebulan.

Thursday, March 17, 2016

Kembalinya Ayahanda tercinta ke Rahmatullah

28 Februari 2016 - Mohon sekelian pembaca menghadiahkan bacaan Al Fatihah buat Allahyarham ayahandaku, Haji Matari Bin Abdul Rahman. Al Fatihah...


Kira-kira lebih dua minggu yang lalu, Ayah telah dijemput Ilahi. Ayah yang pada mulanya boleh menikmati makanan dengan enak, tiba-tiba cukup tidak berselera. Yang diidam tidak mampu dikunyah. Yang dikunyah tidak mampu ditelan. Cuma air yang diminum berkali-kali sebagai penghapus dahaga. Tekak kian sarat dengan kahak yang pekat.

Pada hari Sabtu, 27 Februari 2016, aku dan isteri telah ke Kuantan, menghantar Abby bertunang. Bila pulang, aku lihat Ayah sudah tidak mampu menelan air yang kuberikan kepadanya. Lama aku menatap Ayah yang sengsara dengan tubuh yang longlai. Macam-macam yang bermain di fikiranku.

Esok harinya, Ahad 28 Februari 2016, ibuku menyuruh aku membawa Ayah ke hospital untuk dirawat. Fikirku, mungkin pihak hospital dapat memasukkan air ke dalam darah agar Ayah berasa sedikit segar. Dan dengan ubat-ubatan yang diberi doktor, mungkin kahak yang bertakung boleh dikurangkan. Aku berkata kepada Ayah, "Lepas solat zuhur kita pergi hospital ya?" Ayah mengangguk. Tubuh Ayah telah kubersihkan terlebih dahulu. Cuma kemeja sahaja yang belum kupakaikan. Sebelum ke hospital nanti, barulah akan kusarungkan kemeja ke tubuh ayahku.

Azan zuhur pun berkumandang. Aku solat zuhur di rumah. Terus aku ke bilik, melihat Ayah sedang berbaring seperti biasa. Kuambil sehelai kemeja lama, dan kupakaikan ke tubuh Ayah. Belum pun sempurna kemeja dipakaikan, Ayah terus berbaring semula. Tubuhnya betul-betul longlai kali ini. Tapi Ayah tidak berkata apa-apa. Aku lantas memeluk dan mendukung Ayah dan mendudukkannya di atas kerusi roda. Sejurus Ayah berada di atas kerusi roda, kulihat wajah Ayah sangat berbeza dari yang biasa kulihat. Terbit sedikit rasa panik. Aku bisikkan ke telinga Ayah, "Allah, Allah, Allah" berkali-kali. Lalu kupanggil Wanie (yang sepatutnya pulang ke asrama petang itu) untuk bersalaman dengan Ayah dan menyuruh Wanie mencium datuknya itu. Aku, ditemani anak saudaraku, Yana terus ke Hospital Pakar Ampang Puteri untuk mendapatkan rawatan.

Kami menanti giliran. Akhirnya nama Ayah dipanggil. Jururawat memeriksa tekanan darah Ayah. Bacaan tidak dapat diambil. Cuba lagi. Masih gagal. Jururawat memanggil Ayah dengan suara yang agak kuat. Tidak bersambut. Seorang jururawat yang lebih senior datang dan memeriksa nadi Ayah. "Panggil doktor!" kata jururawat itu. Ayah kemudiannya dibawa ke atas katil. Bacaan ECG diambil. Doktor memeriksa nadi dan mata Ayah. Dan di layar ECG menunjukkan tiada degupan jantung. Doktor mengesahkan Ayah telah tiada. Kata doktor, nadi Ayah mungkin telah terhenti sebelum kami tiba di hospital lagi. Aku tidak menangis atau berteriak. Aku masih tenang dan menerima hakikat ini. Cuma ketika hendak menyampaikan berita ini kepada Yana yang menanti di luar, kepada Ibu dan isteriku di rumah, aku jadi sebak.

Aku yang jahil dan naif mengenai kematian, tidak pasti bilakah sebenarnya roh Ayah telah diangkat keluar dari jasad. Adakah ketika kami dalam perjalanan ke hospital? Adakah ketika Ayah berada di atas kerusi roda? Atau adakah ketika aku sedang memeluk Ayah erat, ketika dada kami merapat, dan wajah kami bersentuhan? Sesungguhnya aku memang tidak tahu. Yang aku tahu cuma kini Ayah telah pergi meninggalkan kami buat selamanya.

Pada malam hari, ramai yang menziarahi Ayah - saudara-mara, jiran-jiran, kawan-kawan, bekas murid-murid Ayah. Malam itu aku tidur betul-betul di sebelah jenazah Ayah, di ruang tamu.

Jenazah Ayah dibawa ke Masjid untuk diuruskan.
Pusara Ayah.
Aku, Abang Mansor dan Farid sedang mengebumikan jenazah Ayah.
Pada esok harinya, jenazah dibawa ke Masjid Jamek Al Huda, di Kampung Melayu Ampang untuk diuruskan. Aku, Abang Mansor, Syahmie dan Farid, bersama dua orang petugas masjid bersama-sama memandikan jenazah Ayah. Waktu ini kurasakan sangat sayu dan hiba sekali. Menyedari inilah kali terakhir aku berpeluang memandikan Ayah. Jenazah Ayah dikafankan. Kemas. Sementara menanti waktu solat jenazah dimulakan, aku didatangi oleh seseorang yang tidak pernah aku kenali. Beliau mengenalkan diri sebagai Malik, teman sepejabat Ayah ketika di Kompleks Budaya Negara dulu. Lebih khusus, orang yang sering menemani Ayah ketika makan tengah hari. Ada sesuatu yang diungkapkan kepadaku mengenai Ayah yang membuat hatiku tersentuh. Air mataku mula menakung. Lekas-lekas kukesat sebelum ianya berlinang jatuh di pipi.

Setelah seketika menunggu, imam yang sepatutnya mengetuai solat jenazah tiba. Aku menghampiri Tuan Imam, dan memohon agar aku diberi kebenaran untuk mengimami solat jenazah ini. Tuan Imam menyetujui. Aku bersyukur ke hadrat Allah, hasratku ini kesampaian. Jenazah Ayah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Teratai Ampang. Dan itulah kali terakhir aku menatap wajah Ayah sebelum jenazahnya dilitupi dengan tanah sepenuhnya. Bersemadilah jasad Ayah di sisi kekandaku yang telah terlebih dulu pergi kira-kira dua tahun yang lalu.

Mengebumikan jenazah Ayah.
Sanak-saudara bekerjasama.
Imam membacakan Surah Kahfi dan talqin.
Jemaah mendengar dengan khusyuk.
Syahmie menjirus air.
Menabur bunga di pusara.
Pusara Ayah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Teratai Ampang.
Kira-kira seminggu setelah Ayah pergi, aku dan Amier telah pergi menziarahi pusara Ayah. Kami bertahlil di sana. Amier pula telah menyiapkan nesan sementara untuk diletakkan di pusara datuknya. Kini sudah tidak ada apa yang mampu kulakukan untuk terus berbakti kepada Ayah buat bekalan di alam sana. Melainkan aku MESTI menjadi seorang anak yang Soleh. MESTI! Dan berharap agar amalan dan doaku diterima oleh Allah dan dijadikan asbab untuk pelepasan Ayah dari segala kesengsaraan di alam akhirat. Semoga Ayah disatukan, dan digolongkan di kalangan orang-orang yang beriman yang mendapat redha dan lindungan Allah sentiasa. 

AMIN.

Amier menemaniku ketika menziarahi pusara Ayah.
Nesan sementara yang dibuat oleh Amier.

Tuesday, March 15, 2016

Mi Mamak - makan sambil beramal

Pada tahun 2012 dulu, aku pernah berkisah pasal penjaja mi goreng mamak di Ampang Jaya. Masa tu Bashir (penjaja mi goreng yang kini menjadi sahabatku) bergerak dengan hanya menggunakan sebuah motorsikal tua. Kini, berkat kegigihannya, dan rezeki yang dilimpah ruahkan oleh Allah, perniagaan sambilan Bashir telah berkembang maju. Bashir kini memiliki sebuah lori niaga

Lori niaga baru milik Chef Bashir.
Alamat dan nombor kontek semua ada tertera di sini.
Harga mi goreng mamak yang disediakan oleh Bashir telah sedikit meningkat menjadi RM4.00. Masih murah. Dah rasanya masih sesedap dulu. Cuma kali ini Bashir turut menyajikan ayam goreng panas. Dan kalau ada rezeki, insya Allah, cendol juga akan turut dijual. Di gerai aku nengok Bashir masih gigih menggoreng mi. Bila azan zuhur atau asar berkumandang, gerai akan ditinggalkan seketika. Solat jemaah di surau yang berdekatan perlu didahulukan.

Sedang menyediakan mi goreng yang dipesan pelanggan.
Segala macam adunan rahsia dimasukkan ke dalam ramuan ini.
Sikit lagi mau masak.
Okay! Satu mi goreng mamak siap!!!
Ada kalanya, pada hari-hari tertentu, Bashir akan menyediakan sebuah tabung kutipan amal untuk rumah anak yatim di Kelang. Pada hari-hari tersebut, semua hasil kutipan menjual mi goreng akan dimasukkan ke dalam tabung dan jumlahnya akan didermakan ke rumah anak-anak yatim tersebut. Bashir turut berpesan kepadaku, jika ada sesiapa yang ingin mendermakan wang ringgit atau pakaian terpakai, boleh saja diberikan melalui beliau. Seeloknya pakaian terpakai itu masih dalam keadaan baik dan bersihlah. 

Kepada semua pembaca, silalah menikmati keenakan mi goreng mamak masakan Chef Bashir yang berada di lokasi Jalan 1 Ampang Jaya. Berdekatan dengan taman permainan kanak-kanak, deretan kedai satu tingkat, dan dewan orang ramai. Dan sambil-sambil tu, berdermalah ke rumah anak-anak yatim - Institut Taufiq Islami, Kelang. Buat masa ini waktu operasi hanya pada hari Sabtu dan Ahad.

Wassalam.

Alamat yang tertera pada lori niaga.
Resit sumbangan derma kepada Institut Taufiq Islami, Kelang.