1 Disember 2017 - Hidup sebagai nelayan memang tidak mudah. Perlu meredah ombak yang ganas di laut luas untuk mencari rezeki yang halal buat keluarga yang disayangi. Kami tak terkecuali. Atas desakan hidup, kami berempat - aku, isteri, Syahmie dan Amier telah meredah gelita malam menuju rimba raya sebelum tiba di destinasi untuk menuai hasil laut dalam di Hulu Langat. Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 9.40 malam dan tiba di lubuk sang ikan pada kira-kira jam 10 malam. Di laut, tak banyak nelayan tempatan yang turun. Nelayan asing pun tak kelihatan. Suasana agak tenang. Kedengaran bunyi cengkerik dan katak bersahut-sahut. Dan sesekali bunyi air berkocak bila ikan-ikan melibaskan ekornya ke permukaan air.
|
Memasang joran sejurus sampai di tempat memangcing. |
|
Amier menjadi tuan manager yang memastikan semua berjalan lancar. |
|
Isteriku segera memancing dan melabuhkan umpan ke dasar air. |
|
Nelayan tegar - aku dan isteri. |
|
Teruja berpeluang untuk memancing di larut malam. |
Aku bawa bersamaku, lima batang joran. Satu untuk aku - yang ringan dan mudah untuk dikendalikan. Satu untuk isteriku. Dan satu lagi untuk Syahmie. Dua lagi kuletakkan di sisi bot. Tidak kugunakan. Kalau perlu, barulah akan aku siapkan kail dan umpannya. Amier tidak memancing. Amier bercadang untuk membuat laporan dan lintas langsung akan aktiviti kami ketika memancing ikan di samudera luas. Kami memilih satu lubuk terpencil di suatu teluk yang memang biasa kami kunjungi. Umpan cengkerik dan daging serta pedal ayam kami gunakan untuk memikat sang keli berkumis melenting. Setelah setengah jam berlalu, tiada sebarang getuan dari penghuni air. Kami masih menanti dengan sabar. Fikirku, mungkin kerana gelap malam, ikan-ikan tidak nampak kelibat umpan yang membuai-buai di dasar lautan ditolak ombak.
|
Isteriku dengan joran teleskopik yang telah banyak berjasa. |
|
Syahmie juga bertungkus-lumus berusaha untuk menaikkan ikan. |
|
Amier sedang meceritakan detik-detik cemas ketika menaikkan ikan jerung putih di perairan Australia kira-kira tiga tahun lalu. |
|
Syahmie sedang menjejak keli. |
|
Amier turut mencuba untuk menaikkan ikan. |
|
Memancing bersama ibu dan anak. |
Secara tak semena-mena, seorang petugas laut dalam bergerak ke arah kami dengan membawa bot pukat tunda yang sarat dengan ikan keli. Dilepaskan semua ikan itu ke laut, hampir dengan tempat kami memancing. Kami sangat teruja. Sempat jugak aku mengucapkan terima kasih kepada petugas tadi. Kami lantas melontarkan umpan kami ke arah ikan-ikan yang bermain-main di gigi air. Dan sang keli mula membaham umpan dengan rakus. Dan setiap bahaman berakhir dengan mulut ikan tersangkut pada mata kail yang tajam bak sembilu nipah. Satu per satu si ikan keli kami naikkan, dan dimasukkan ke dalam jaring besi. Kami mula menghitung seekor demi seekor sehingga kami tak terhitung lagi jumlahnya.
|
Syahmie berbangga dengan ikan tilapia bersaiz tiga jari yang berjaya dipancingnya. |
|
Isteriku berjaya menjerat seekor keli yang agak kasar. |
|
Syahmie bertungkus-lumus berusaha melepaskan mata kail dari mulut ikan keli. |
|
Seekor ikan keli yang terkapai-kapai dalam kehampaan. |
Syahmie yang telah lama tidak memancing, berasa agak cuak untuk menusukkan cengkerik ke mata kail. Malah pada awalnya, turut berasakan kekok untuk melepaskan mata kail dari mulut ikan keli yang telah berjaya dipancing. Terpaksa aku mengajar dan mengingatkan kembali akan teknik menyediakan umpan dan melepaskan mata kail. Sehingga akhirnya Syahmie faham dan mengerti apa yang perlu dilakukan.
|
Syahmie menjinjing ikan seberat 9 kilogram. |
|
Menimbang ikan. |
|
Aku dan anak-anak terunaku. |
Cukup tiga jam memancing, kira-kira jam 1.15 pagi pada ketika itu, kami berhenti memancing dan mula menimbang hasil tangkapan kami. Jumlah tangkapan ialah kira-kira 9 kilogram kesemuanya. Dan aku membuat bayaran kepada petugas lautan. Satu jam memancing berharga RM11. Tiga jam memancing berharga RM32. Kalau tiga orang yang memancing, perlu membayar sejumlah RM96. Okay-lah, okay-lah. Kami bukan memancing di lautan laaaahhh. Kami memancing kat kolam bayar Tepian Rimba. Tutup jam 3 pagi. Tapi nak pancing sampai waktu tu memang tak berapa nak laratlah. Dan nak membayar pun mahal jugak harganya.
Dalam kereta kami bermain teka-teki. Siapa yang dapat meneka jumlah ikan yang telah berjaya kami pancing akan dikira sebgai pemenang. Hadiahnya adalah, tepukan gemuruh dari seluruh ahli Persatuan Nelayan Sedunia. Aku teka 36 ekor. Syahmie teka 35 ekor. Isteriku teka 40 ekor. Dan Amier teka 47 ekor. Di rumah, kami hitung keli yang ada dalam bakul. Ada 47 ekor ikan keli dan seekor anak ikan tilapia. Wow! Amier lah yang telah berjaya meneka dengan paling tepat! Hebat jugak Amier meneka. Ikan-ikan itu disiang oleh orang gajiku. Dan sebahagiannya telah pun dimasak. Inilah lubuk ikan yang tak pernah mengecewakan kami. Pada lain masa, kami berharap untuk bisa membawa pulang sang patin, pacu dan baung.
|
Ikan keli yang berjaya dipancing. |
|
47 ekor ikan keli kesemuanya. |
|
Menimbang ikan sebelum pulang. |
|
Kira-kira seberat 9 kilogram. |
|
Inilah kolam memancing ikan Tepian Rimba di Hulu Langat. |
No comments:
Post a Comment