4 Ogos 2019 - Ini kisah baru berlaku semalam. Masih segar lagi. Tengah hari semalam, waktu tengah lapar, aku pekena nasi dengan ikan patin masak tempoyak. Masakan ni didatangkan khas dari Temerloh. Banyak jugaklah aku makan. Penuh nasi dalam pinggan. Sampai membukit. Tiga jam lepas tu, aku pekena pulak nasi mandy al-Arabia. Nasi arab ni dibeli sempena menyambut hari jadi anak saudara aku, Yana. Nasi arab dibedal bersama kambing dan jugak ayam. Round yang ni pun aku makan boleh tahan jugak banyaknya. Tiga jam lepas tu, aku telan pulak mi wantan. Kali ni kami makan kat medan selera di Sungai Ramal, Kajang selepas melawat Amier di asrama. Pekena pulak dengan air lencikang sejuk. Memang sangat mengancam!
Lepas tu kami ke Dengkil hantar Wanie. Dan kemudian ke Cyberjaya hantar sabun ke rumah teman. Lepas tu kami terus balik. Dalam perjalanan balik, tatkala menghampir ke Kuala Lumpur, tiba-tiba perut aku bagai menggelodak. Tali perut ni seolah-olah telah disimpul-simpul. Terpaksa aku menahan senak sambil memandu. Bila kami semakin hampir ke Ampang, aku mula berasa mual. Macam nak muntah. Loya dan lawyer bergabung membuat tekakku tak senang duduk. Bila sampai aje kat depan rumah, aku pun terus keluar dari kereta dan terus muntah. Muntah dan terus muntah. Berpanjangan. Membuak-buak muntahku di laman rumah. Habis keluar semua segala nasi, mi, patin, kambing dan ayam. Berketul-ketul. Memang aku makan pun tak kunyah dengan sempurna.
Bila dah selesai muntah, terus aku baring atas tilam. Pakai selimut dan terus tidur. Tak mampu nak buat apa-apa dah. Syukur, esok paginya bila bangun barulah aku berasa lega. Dan terus aku ke pejabat menyambung kerja.
No comments:
Post a Comment