m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Tuesday, March 10, 2020

Memancing di taman tasik comel

22 Februari 2020 - Cacing-cacing tanah di kedai Ah Fatt (bukan nama sebenar) bagai sedang melambai-lambaiku ketika aku menghampiri kedai itu. Aku tak dapat menolak permintaan mereka agar aku membela mereka, dan menghulurkan mereka ke mulut ikan-ikan di air. Aku bayar RM2.50 untuk sebungkus cacing tanah yang segar-bugar. Lalu aku beredar.

Kira-kira jam 6.30 petang, kami sekeluarga telah ke Taman Tasik Sentosa Rimba (bukan nama sebenar) untuk memancing. Aku pernah melihat beberapa kali ada orang memancing di situ. Ini adalah kali pertama kami ingin mencuba nasib kami di sini setelah pihak berkuasa tempatan mencantikkan taman tasik ini. Tanpa berlengah, aku terus meyiapkan set pancingku. Cacing yang kubeli tadi kutancapkan pada mata kail halus yang sangat tajam, Lalu kulemparkan ke air, mengharapkan ada yang sudi menyambutnya. Isteriku pula melemparkan mata kail bersalut roti ke dalam tasik. Kita lihat siapa yang kena dulu.

Menanti dengan sabar dan penuh harapan.
Isteriku mendapat ikan yang pertama - seekor anak tilapia.
Ini pula adalah ikan pertamaku. Tilapia juga.
Bergambar sebelum kulepaskan.
Ikan tilapia dari dekat.
Seekor lagi ikan tilapia.
Tak lama menanti, seekor anak tilapia menarik rakus tali pada joran isteriku. Comel ikan itu. Tetapi terlalu kecil untuk digulai atau digoreng. Lalu kami lepaskan semula agar ia boleh membesar sebagai juara di tasik itu. Selang beberapa minit, pancingku pula yang mengena. Ikan dari spesis yang sama dengan saiz yang lebih kurang sama besarnya. Walau pun kecil aku berasa sangat seronok dan terhibur kerana dah berzaman juga kami tak menaikkan ikan dengan joran dan mata kail.

Tiba-tiba datang seekor kucing jantan jalanan mendekatai kami. Wajahnya serius. Tiada senyuman langsung yang terukir di bibirnya. Dia menyapa kami dengan sapaan yang tidak kami fahami dengan jelas. Katanya, "Meouww..." Kami mengajak kucing itu untuk duduk di samping kami serta mendoakan kami agar memperolehi ikan yang lebih besar yang boleh kami berikan kepada kucing itu untuk dimakan. Kami tak perlu menanti lama. Seekor ikan kerapu lombong tiba-tiba membawa umpanku jauh. Aku menyentap. Lalu kukarau tali menggunakan kekili sehingga ikan kerapu lombong itu berjaya kubawa naik ke darat. Setelah bergambar, aku lucutkan mata kail dari mulut ikan itu. Lalu kulempbarkan ikan itu ke arah kucing jantan tadi. Mengharapkan ia akan sudi menjamahnya. Kucing itu sekadar menghidu. Namun tidak terdetik untuk menjadikan ikan itu sebagai juadah petangnya.

Seekor kucing jantan menghampiri kami.
Aku memperolehi seekor kerapu lombong.
Ikan ini sama tarafnya dengan kerapu laut. Si kucing dah mula bersuara.
Meneruskan pancingan.

Umpan roti yang dihulur oleh isteriku akhirnya disambut baik oleh seekor lampam yang sisiknya berwarna keemasan. Aku tak pasti jenis lampam yang berjaya dinaikkan isteriku. Aku menegur ikan itu dengan berkata, "Kabare?" Kalau ikan lampam jawa sudah pasti ia akan menjawab, "Waras." Tetapi itu tidak berlaku. Maknanya ikan itu bukanlah dari spesis lampam jawa. Sejurus melihat ikan itu bergelek-gelek di daratan, si kucing jantan tadi terus menghampiri dan mengiau meminta ikan itu diberikan kepadanya. Tanpa keberatan, aku pun menghulurkan ikan itu. Si kucing menggonggong ikan dan membawanya pergi untuk dimakan. Nampak berselera sungguh ia makan. Sampai licin!

Bergambar dengan ikan lampan yang diperolehi isteriku.
Boleh tahan juga saiznya.
Sedap kalau digoreng.
Ikan lampam kebanggaan.
Aku memperolehi seekor lagi ikan tilapia kecil.
Si kucing membawa lari ikan lampam.
Mencari port yang sesuai untuk dimakan.
Aku dapat ikan oren. Kuat juga tarikannya.
Sabriena turut teruja.
Rasa isi ikan ini sebiji seperti buah oren.
Bergambar sebelum kulepaskan kembali ke air.
Kerapu lombong ini juga perlu kulepaskan.

Kami meneruskan lagi pancingan dan mendapat beberapa ekor lagi ikan bersaiz anak. Kira-kira jam 7.20 petang, kami dihampiri seorang pemuda bermotorsikal. Katanya kepada kami, "Tempat ni tak boleh memancing sebenarnya." Ohhh... ya ke? Baru kami tahu. Aku melepaskan ikan kerapu lombong dan ikan oren yang baru kupancing kembali ke dalam tasik. Ikan-ikan itu sangat gembira bila kulepaskan mereka sambil bersorak "Horreeeyyyy!!!" dengan kuat sekali. Memang kami pun sudah mahu bergerak pulang kerana maghrib sudah mendekat. Kami puas dapat pancing dalam lebih kurang setengah jam. Next time dah tak boleh datang memancing di sini lagi gamaknya. Kena cari port yang lain pula.

Sedapnya ikan lampam ini.
Kalau masak kari tentu lagi sedap.
"Aku nak makan sampai licin," kata sang kucing.


No comments:

Post a Comment