m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Thursday, October 25, 2018

Festival Teater Malaysia 2018: Hari pertama di MATIC

15 Oktober 2018 - Festival Teater Malaysia kembali lagi pada tahun 2018! Kali terakhir dianjurkan pada tahun 2016 di Kedah. Tapi sebelum aku cerita lebih jauh lagi pasal festival pada tahun ini, ada baiknya aku kisahkan dulu sejarah kewujudannya.

Ehem ehem... Apa kata aku ciplak terus dari laman rasmi JKKN ini:

"Menyorot kembali sejarah penganjuran Festival Teater Malaysia (FTM), ia telah mewarnai dunia seni teater sekitar tahun 70-an hingga 1980-an yang dikenali sebagai Pesta Tarian dan Drama. Namun pada 1990, FTM mula dikenali sebagai Pekan Teater dengan format dan pendekatan baru yang lebih memfokuskan kepada genre teater sahaja. Setelah melewati tahun millenium barulah Festival Teater Malaysia dijenamakan pada 2002 dengan pendekatan mesra khalayak."

Terus terang aku katakan, sejak penjenamaan semula Pekan Teater kepada Festival Teater Malaysia pada tahun 2002, sekali pun aku tak pernah jengah ke pentas persembahan ini. Masa era Pekan Teater memang selalu aku datang dan tonton persembahannya, pasal Allahyarham Ayah memang selalu jadi juri yang mengadili.

Festival Teater Malaysia: 15-21 Oktober 2018 di MATIC.
6 kumpulan yang layak ke peringkat akhir.
Tapi, walau apa-apa pun, pada tahun ini aku kembali bersemangat melibatkan diri dalam festival berprestij ini, walaupun hanya sebagai penonton. Dan juru gambar tak rasmi. Dan kadang-kadang tolong sikit-sikit pihak urusetia di mana yang perlu. Tahun ini juga isteri aku menawarkan diri untuk turut teribat membantu pihak Pertubuhan Teater Malaysia (MTN) dalam penganjuran ini bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC). Mau tak mau aku terpaksalah terlibat jugak, kannn...

Persembahan Mono Teater pada setiap petang sebelum persembahan oleh kumpulan-kumpulan yang bertanding.

Pada tahun ini, enam kumpulan dari seantero Malaysia hadir untuk berentap merebut piala terulung pada alaf ini. Maksud aku terulung bagi orang-orang teaterlah. Berikut disenaraikan kumpulan-kumpulan yang telah berjaya melepasi peringkat negeri dan zon sebelum layak ke pentas akhir:

1.  Tronoh Teater Shop Kuala Lumpur (TTSKL) (Kuala Lumpur)
Mempersembahkan teater "Mahkamah Keadilan" karya Taufik Al-Hakim, terjemahan Nahmar Jamil, olahan dan arahan Prof. Dr Shark.

2. Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching (Sarawak)
Mempersembahkan teater "Metamorfosa Kosong", adaptasi naskhah Les Justes, karya Albert Camus arahan Mohamad Asri Ibrahim.

3. Politeknik Nilai (Negeri Sembilan)
Mempersembahkan teater "Dilarang Menyanyi Di Bilik Mandi" karya Seno Gumira Ajidarma, olahan dan arahan Noor Idlah Abdul Halim.

4. Persatuan Teater Opera Mimpi (TOPENG) (Perlis)
Mempersembahkan teater "Mat Derih Kola Perlih" karya Namron, dikonstruksi skrip oleh Siti Jasmina Ibrahim, arahan Syafiq Syazim.

5. Kelab Teater Smart (KERTAS) (Melaka)
Mempersembahkan teater "Warga S" karya dan arahan Norhan Fahmie Rayza.

6. Gandingan Waris dan Senandika dari Universiti Malaysia Pahang (Pahang)
Mempersembahkan teater "Asrama Ra" karya Khairunazwan Rodzy, arahan Fendi Shah.

Selain dari pertandingan teater peringkat akhir ini, turut dipersembahkan Santai Mono Teater - idea, konsep dan arahan Amran Nasrudin. Antara aktivis teater yang mengambil bahagain dalam persembahan mono teater ini termasuklah Marup Mustapah, Bard APA, Hj Kamarul AR, Anwar Pisang, Ladin Nuawi, Ain Sufia, Ash Mime, Rosli Mansor, Ramasundran, Chi Azim, Rosli Rahman Adam, Hamzah Tahir, Mardiana Ismail, Rozita Rohaizat, Sani Sudin, Dr Norzizi Zulkifli, Ewal Hafiz, Mubarak Majid, Roslan Madun, Fauziah Nawi, Dato' Ahmad Tarmimi Siregar, dan lain-lain lagi. Tapi aku tak sempat tengok mono teater ni pada hari kerja. Tengok masa hujung minggu ajelah gamaknya.

Marup Mustapah membuat perembahan mono drama pada hari pertama.
Disusuli oleh persembahan dari Haji Kamarul AR.
Izinkan aku bercakap pasal persembahan teater pada malam tu - Teater Mahkamah Keadilan oleh TTSKL. Ceeehhhh... bukan main santun lagi kannn? Maklumlah, aku bukan arif sangat pasal teater. Ilmu pun tak berapa nak ada. Aku rasa macam kurang adil kalau aku kritik persembahan orang lain secara terbuka macam ni, pasal aku sendiri pun tak tau apa yang baik dan apa yang buruk dalam falsafah orang berteater sebenarnya. Jadi aku cuma nak bercerita pasal elemen-elemen yang menarik saja yang sempat aku tonton. Boleh kan? Baiklah...

Kali pertama aku menonton pementasan naskhah ini adalah pada kira-kira tahun 1995, kalau tak silap aku. Pengarahnya ialah Allahyarhamah Rohani Yusoff. Dipentaskan di Paggung Eksperimen, Kompeks Budaya Negara (kini adalah sebahagian daripada tapak ASWARA). Antara pelakon yang terlibat termasuklah Allahyarham Dr Samat Salleh, Abu Bakar Omar dan Afdlin Shauki. Ada lagi beberapa nama besar yang aku dah tak ingat. Persembahan pada masa itu dibuat secara humor dan sangat menghiburkan. Namun sangat tertib dan kemas olahan gerak dan tutur para pelaku.

Persembahan oleh TTSKL pula telah melangkah lebih berani dengan menerapkan unsur-unsur sarkas dalam keseluruhan konsepnya. Penuh warna. Penuh bunyian yang pelbagai, dan karaktor yang bagai badut dari segi penampilannya. Memanglah tidak setanding persembahan yang pernah aku  tonton lebih dua puluh tahun dulu. Tapi keberanian TTSKL dalam bereksperimen itu wajar diberi sokongan positif. Kalau diberi masa lagi, aku pasti persembahan itu akan lebih menyerlah dan kemas. Di antara banyak-banyak watak, aku memilih watak Pemilik Itik Angsa yang paling menarik perhatian. Tapi itu pilihan akulah. Kalian ada hak untuk memilih sesiapa saja yang dirasakan mempamerkan lakonan yang paling mengesankan. Okay. Cukup komentar aku di sini saja.

Mahkamah Keadilan oleh TTSKL.
Selepas show, kami kumpul di luar bangunan. Di laman makan depan surau. Ada beberapa gerai dibuka. Dan meja disusun untuk para penggiat dan peminat teater berkumpul dan bersembang. Berjumpa teman-teman lama. Malah berkenalan dengan teman-teman baru juga. Suasana sebegini memang sangat dinanti-nantikan oleh semua. Duduk santai-santai sampai lewat malam, sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Faizal dan Que.
Omorq pun ada juga.
Turut hadir, Marup dan Abang Ibrahim.
Sembang teater.
Gerai nasi lemak dan nasi kerabu.
Kumpulan otai dalam dunia teater.
Aku sangat teruja melihat para otai dalam teater turut hadir memberikan sokongan padu terhadap pengajuran ini. Memang ada yang tidak kukenali nama mereka. Tapi perlahan-lahan aku mencuba untuk mencam dan memahat nama mereka ke dalam benakku. Kerana mereka inilah legasi teater tanah air. Aku sempat makan nasi lemak, minum teh madu ais, dan makan kentang cheese. Enak jugak rasanya.

Ada sebahagian dari kami membuat komentar mengenai persembahan oleh TTSKL sebentar tadi. Aku sekadar mendengar dan menilai dalam hati. Tidak terluah. Ada yang sependapat dengan aku. Ada juga yang berlawanan. Para juri sudah pasti ada pandangan mereka sendiri. Dan ini bakal kita tahu pada malam terakhir festival ini nanti.

Bersambung...

BK dan Marup.
Dean Sitara dan Faizal sangat bersemangat.
Dah berkilo-kilo makanan habis. Namun aktivis teater masih tidak berganjak dari tempat duduk.
Halim Zainal menghitung hari.
Atau barangkali menghitung untung.
Abang Haji kamarul AR bersama teman lama. Dari Terengganu katanya.
Pak Man, Abang Mubarak Majid dan Amran Nasrudin.
Para otai di suatu sudut laman.
Merenung masa depan teater di tanah air.
Masa untuk makan. Maka makanlah semua orang yang ada di sini.
Di sini ada Halim, Abang Ibrahim, Roslan, BK dan Mardau.
Di sini pulak ada Razi, Marup dan Anwar Pisang.
Bicara teater masih belum selesai.
Persidangan yang berlangsung sangat lama.


No comments:

Post a Comment