m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Tuesday, February 27, 2018

Neuformation di Avillion PD: Selamat tinggal Avillion

Bahagian 13 (Akhir)

Aku, isteri dan anak-anak sudah puas bermain pasir. Peluang yang jarang-jarang kami perolehi. Sekarang giliran kolam renang pulak. Sejurus wisel ditiup, kami terus berlari menuju swimming pool yang kelihatan kebiruan airnya. Preeeeeeeeeiiiittttt!!! Amier, Sabriena dan isteriku melompat masuk ke dalam air. Splashhhh!!! Syahmie dan Wanie kekal di darat mengawasi barang-barang serta adik-adik yang ada di dalam air. Isteriku memantau Sabriena yang masih tak berapa pandai berenang.

Memandangkan waktu agak suntuk, aku terpaksa bergegas ke bilik hotel. Perlu berkemas. Barang-barang perlu dimasukkan ke dalam beg. Kejap lagi dah nak balik. Aku bagi tau kat petugas di kaunter, nak mintak buat late check out. Dia cuma bagi stay lagi setengah jam aje. Maksudnya kami perlu keluar dari bilik hotel paling lewat jam 12.30 tengah hari. Okay-lah tu.

Amier seronok dapat berenang kali kedua.
Tadi air masin. Sekarang air tawar pulak.
Isteriku memantau pergerakan anak-anak.
Sabriena pun seronok jugak dapat main air.
Berenang-renang dengan pelampung.
Sampai menangis-nangis tak nak balik.
Kanak-kanak yang lain turut bermain air.
Masa di hari pertama bersiar-siar di tepi marina.
Amier tunjuk kelibat burung helang merah.
Kat kawasan bot berlabuh inilah ikan-ikan duduk berselindung.
Bilik kami duduk - twin bedded.
Bilik air dan bilik mandi.
Kira-kira jam 12.00 tengah hari, seluruh keluargaku telah berada di dalam bilik. Memastikan semua barang persendirian telah dimasukkan ke dalam beg. Tiada barang yang tertinggal. Aku buat final check. Confirmed! Kesemua laci dan almari telah kujenguk. Lalu kami keluar dan beredar dari bilik ketika waktu hampir pukul 12.30 tengah hari.

Dalam perjalanan menuju ke kereta, kami terserempak pulak dengan sang harimau. Sempat Sabriena bergambar dengan harimau itu yang kelihatannya sebegitu jinak sekali. Untuk kenang-kenangan, aku mengambil gambar isteriku di tepi signage nama hotel Avillion Admiral Cove. Dan kami terus menaiki kereta menghala ke utara, dan secara spontan, isteriku mengajak kami untuk mampir (singgah) di Kota Lukut. Ikutilah kisah kami di Kota Lukut dalam blog yang akan datang!

T A M A T

Sabriena dan maskot harimau.
Tidak gentar dengan harimau yang mengiaw.
Wajah hadapan Avillion Admiral Cove.
Bergambar kenangan dengan landmark.
Singgah sejenak sebelum beredar.
Adios Avillion!

Sunday, February 25, 2018

Neuformation di Avillion PD: Air dan pasir

Bahagian 12

Sementara aku dan Salam dengan aktiviti memancing, isteri dan anak-anakku terus berseronok di pantai. Bukan selalu kami ke laut. Bukan acap anak-anak berpeluang meneguk air masin. Kesempatan ini tak wajar dilepaskan. Ini sebahagian dari Selat Melaka. Airnya tak berombak ganas. Begitulah biasanya. Dasarnya juga agak landai. Dan di sini permukaannya berpasir halus. Tidak berselut. Sesuai untuk anak-anak mengeksplorasi buai ombaknya. Amier dan Sabriena kami biarkan duduk bersantai di atas pasir dalam air paras paha dengan pengawasan yang minimun. Tanpa perlu kami berasa terlalu gusar.

Amier menemani adiknya menikmati ombak laut.
Peluang yang jarang-jarang diperolehi.
Ombak laut di sini tidak ganas.
Pantainya landai.
Sabriena dengan pelampungnya.
Meneliti cengkerang kecil di tangannya.
Amier berenang merentasi Selat Melaka.
Belum sempat sampai ke Sumatra, Amier patah balik menghala ke Port Dickson.
Penat berenang jauh.
Syahmie ada agendanya tersendiri. Aku tak pasti apa. Ke hulu ke hilir menjinjing baldi kecil yang berisi pasir atau air laut atau mungkin juga ketam yang dijaring Salam sebentar tadi. Atau mungkin saja Syahmie sedang melakukan satu misi rahsia menyelamatkan alam dari rakus manusia. 

Tatkala abangnya dengan tugasan yang hanya difahami oleh dirinya sahaja, Amier pula berasa selesa bergaya ranggi di pentas berpasir. Jelas di sepanjang pantai ini berhimpun ramai warga bandar yang ingin menikmati hebatnya air dan bayu laut. Bot siar dan ski jet sesakali membelah ombak. Sedikit mengganggu konsentrasiku yang sedang menumpu dalam pancinganku.

Syahmie sedang mengumpul air laut sebanyak mungkin menggunakan baldi kecilnya.
Nak buat air suling dari air laut.
Dan membuat garam buat kegunaan masak tengah hari nanti.
Tak jadilah. Buang balik ke laut.
Amier menyejukkan badan di dalam air.
Semakin lama di dalam air, semakin sejuk badannya.
Dah sejuk badan barulah Amier keluar dari air sambil bergaya.
Satu posing Usin Bolt untuk sekelian pembaca.
Pasir halus begini sesuai untuk dilumur pada kaki.
Aku sedang bertugas sebagai lifeguard.

Sebelum kembali ke hotel, kami berhimpun kembali. Syahmie memetik gitar. Isteriku menyanyi-nyanyi. Wanie bermain pasir. Amier mengambus dirinya ke dalam pasir. Sabriena menghimpunkan pasir buat menutupi tubuh abangnya. Aku pula mula mengemas barang pancingku, setelah gagal menaikkan walau seekor ikan sekali pun. Kami perlu bergegas ke pekarangan hotel. Anak-anak nak mandi manda di kolam renang. Barang-barang di bilik perlu dikemas sebelum berangkat pergi. Semua ini perlu dibereskan dalam masa yang singkat yang masih berbaki.

Bersambung...

Dah puas duduk di pantai, Syahmie memetik gitar pula.
Isteriku sedang memilih lagu.
Beach Buskers sedang beraksi.
Gandingan ibu dan anak.
Amier main tanam-tanam.
Kami semua tolong Amier mengambus dirinya dalam pasir.
Hampir melitupi seluruh tubuhnya.
Syahmie pulak nak kambus kakinya dalam pasir.
Ini adalah sebahagain dari ujian ketahanan diri.
Lubang tak cukup dalam. Perlu gali lagi 5 meter untuk mencapai kedalaman yang ideal.
Lepas ni barulah boleh tuang konkrit.
Masing-masing dengan hal masing-masing.
Okay. Aku dah packing barang pancing. Jom kita beredar.