12 November 2016 - Mohon para pembaca menyedekahkan bacaan Al Fatihah untuk Allahyarhamah Datin Hashimah (isteri kepada Datuk Jalaluddin Hassan) yang telah kembali ke rahmatullah kira-kira seminggu yang lalu. Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan roh orang-orang yang beriman dan para syuhada. Mendapat lindungan Allah dan sentiasa dalam rahmat dan redha Allah. Al Fatihah.
Malam kelmarin, isteriku mendapat undangan melalui group whatsapp kumpulan teater Hidayah, ke majlis tahlil di rumah pelakon veteran ternama, Datuk Jalaluddin Hassan di Ampang Jaya. Setelah solat isyak, kami bergegas ke sana bersama Amier. Sabriena yang menangis menjerit nak ikut, terpaksa kami tinggalkan di rumah.
Sesampainya di sana, kami lihat rumah Datuk Jalaluddin sesak dengan ahli keluarga serta sahabat handai. Masing-masing sedang menjamu selera, atau sedang beratur untuk mendapatkan makanan. Majlis tahlil yang sepatutnya bermula selepas solat isyak telah dipercepatkan. Maka setelah bersalaman dengan Datuk Jalaluddin, aku dan Amier mengambil sedikit makanan untuk dijamah. Kemudian aku bertegur sapa dengan beberapa orang yang aku kenal.
|
Bersama Abang Lokman Ghani dan Abang Harun Hashim. |
|
Bersama Abang Rosli. Kami pernah terlibat dalam satu produksi teater Tanggang arahan Hassan Jali di Auditorium DBKL. |
|
Antara para tetamu yang hadir - kalangan pelakon dan aktivis teater. |
|
Lagi gambar para hadirin. |
Antara yang aku nampak turut hadir pada majlis tahlil ini termasuklah Abang Kamarul AR serta keluarganya, pelakon-pelakon seperti Harun Hashim, Rosli, Lokman Ghani, Din Wahab, Zack Cool, Lidyawati, Arash Mohd, dan lain-lain lagi (yang aku kenal wajah mereka tetapi tidak kukenal nama mereka). Kami sempat berbual dengan bekas anak murid Allahyarham ayahku, Harun Hashim yang sangat teruja sejurus aku memperkenalkan diriku.
|
Bersama Amier dan Abang Harun Hashim. |
|
Sebahagian yang ada di sini merupakan bekas anak didik Allahyarham ayahku. |
Sebelum pulang, kami sempat bergambar dengan Datuk Jalaluddin Hassan yang telah menunjukkan gambar wajah isteri beliau yang telah dikafankan. Jelas terpancar cahaya seri pada wajah Allahyarhamah Datin Hashimah. Malah terukir senyuman pada wajah jenazah. Datuk turut menceritakan betapa Allahyarhamah sempat bangun awal pagi untuk solat sunat tahajjud, solat sunat taubat, serta solat subuh sebelum ke dewan pembedahan, dan sebelum roh beliau diambil. Datuk Jalaluddin akan menatap wajah Allahyarhamah isterinya agar tidurnya lebih lena setiap malam. Datuk lantas memberi satu nasihat, supaya jangan bersangka buruk terhadap para suami. Allahyarhamah Datin Hashimah tidak pernah bersangka buruk terhadap suaminya seorang pelakon.
Kami bersalaman dengan Datuk Jalaluddin serta para tetamu di sekitar, sebelum melangkah keluar dari pekarangan rumah. Doa kami agar Datuk Jalaluddin sentiasa diberikan kekuatan menempuhi saat-saat kehilangan ini. Dan turut mendoakan kesejahteraan roh Allahyarhamah di akhirat, di samping Sang Pencipta Yang Maha Agung, Pengasih dan Penyayang - Allah Azzawajalla. Amin.
|
Sangat ramai tetamu yang hadir. |
|
Bersama Datuk Jalaluddin Hassan dan keluarga Abang Kamarul AR. |