25 Mei 2019 - Okay! Kita beralih sebentar dari kisah Syawal, walaupun Syawal masih berbaki seminggu. Ini kisah masa bulan puasa baru lalu. Sedang kami anak-beranak duduk belepak-lepak di dalam bilik sambil bersembang dan menonton tv, tiba-tiba terdengar bunyi hiruk-pikuk di luar jendela. Isteri aku bagai telah tahu angkara siapakah itu. Lantas menyuruhku menyelak kain langsir di jendela. Dan bagai telah dijangka, terlihat oleh kami kelibat seekor monyet Afrika dari dataran Safari sedang berlegar-legar dengan penuh menumpu dan minat di luar kamar kami.
Bagaikan marah atau teruja dengan refleksi bayang-bayangannya sendiri di kaca jendela, monyet itu bersikap sangat agresif menghentak-hentak kaca jendela berkali-kali. Nasib baiklah kaca jendela kami itu dari jenis "bullet proof" (kononnya lah). Tak puas dengan itu, monyet tadi siap bergayut pada wayar kabel pendingin hawa yang berada di luar. Wayar elektrik itu siap ditarik-tarik. Bergayut lagi di situ. Dan yang paling mengerikan, monyet itu siap menggigit-gigit lagi wayar itu. Berkali-kali juga aku menasihati sang monyet untuk tidak menggigit wayar itu. Khuatir monyet itu akan terkena karan yang boleh mengundang maut kepada dirinya sendiri.
Setelah puas aku memujuk dan merayu, barulah monyet itu beredar, dan bergayut pada dahan-dahan pohon berdekatan. Aku berasa hairan kenapa monyet itu sungguh-sungguh mahu menngganyang wayar air-cond bilikku. Lalu aku mengambil keputusan untuk mencuba menggigit wayar itu agar aku dapat mengalami sendiri apa yang dialami oleh monyet tadi. Tatkala aku menggigit wayar elektrik itu dengan gigitan yang pertama, terasa olehku sedikit renjatan elektrik di lidah dan gusiku. Renjatan yang kuat ini kemudiannya bertukar menjadi suatu perasa yang sangat istimewa - perasa pisang dari benua Tropikana. Oooohhh... patutlah monyet tu suka! Rupanya wayar elektrik tu ada perasa pisang yang sangat sedap!!!
Mengikut kata isteriku, monyet yang sama ini memang selalu berkunjung ke jendela bilik kami, dan melakukan aksi yang sama sejak dulu lagi. Cuma inilah kali pertama aku dapat menyaksikannya sendiri dengan mata kepala aku. Sungguh mengujakan!
|
Sang monyet hadir dan sedang mengganyang wayar elektrik. |
|
Berlegar-legar di atas kompresor air-cond. |
|
Berpaut pada wayar. |
|
Bermain dengan wayar elektrik lagi. |
|
Apalah sedap sangat wayar tu sampai digigitnya berulang kali? |
|
Buat apa lagi tu? |
|
Merenung ke kaca jendela. Memerhatikan wajah sendiri. |
|
Reaksi yang mengerikan. Mungkin marah pada diri sendiri. |
No comments:
Post a Comment