m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Monday, December 11, 2017

Nelayan malam di Tepian Rimba

1 Disember 2017 - Hidup sebagai nelayan memang tidak mudah. Perlu meredah ombak yang ganas di laut luas untuk mencari rezeki yang halal buat keluarga yang disayangi. Kami tak terkecuali. Atas desakan hidup, kami berempat - aku, isteri, Syahmie dan Amier telah meredah gelita malam menuju rimba raya sebelum tiba di destinasi untuk menuai hasil laut dalam di Hulu Langat. Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 9.40 malam dan tiba di lubuk sang ikan pada kira-kira jam 10 malam. Di laut, tak banyak nelayan tempatan yang turun. Nelayan asing pun tak kelihatan. Suasana agak tenang. Kedengaran bunyi cengkerik dan katak bersahut-sahut. Dan sesekali bunyi air berkocak bila ikan-ikan melibaskan ekornya ke permukaan air.

Memasang joran sejurus sampai di tempat memangcing.
Amier menjadi tuan manager yang memastikan semua berjalan lancar.
Isteriku segera memancing dan melabuhkan umpan ke dasar air.
Nelayan tegar - aku dan isteri.
Teruja berpeluang untuk memancing di larut malam.
Aku bawa bersamaku, lima batang joran. Satu untuk aku - yang ringan dan mudah untuk dikendalikan. Satu untuk isteriku. Dan satu lagi untuk Syahmie. Dua lagi kuletakkan di sisi bot. Tidak kugunakan. Kalau perlu, barulah akan aku siapkan kail dan umpannya. Amier tidak memancing. Amier bercadang untuk membuat laporan dan lintas langsung akan aktiviti kami ketika memancing ikan di samudera luas. Kami memilih satu lubuk terpencil di suatu teluk  yang memang biasa kami kunjungi. Umpan cengkerik dan daging serta pedal ayam kami gunakan untuk memikat sang keli berkumis melenting. Setelah setengah jam berlalu, tiada sebarang getuan dari penghuni air. Kami masih menanti dengan sabar. Fikirku, mungkin kerana gelap malam, ikan-ikan tidak nampak kelibat umpan yang membuai-buai di dasar lautan ditolak ombak.

Isteriku dengan joran teleskopik yang telah banyak berjasa.
Syahmie juga bertungkus-lumus berusaha untuk menaikkan ikan.
Amier sedang meceritakan detik-detik cemas ketika menaikkan ikan jerung putih di perairan Australia kira-kira tiga tahun lalu.
Syahmie sedang menjejak keli.
Amier turut mencuba untuk menaikkan ikan.
Memancing bersama ibu dan anak.
Secara tak semena-mena, seorang petugas laut dalam bergerak ke arah kami dengan membawa bot pukat tunda yang sarat dengan ikan keli. Dilepaskan semua ikan itu ke laut, hampir dengan tempat kami memancing. Kami sangat teruja. Sempat jugak aku mengucapkan terima kasih kepada petugas tadi. Kami lantas melontarkan umpan kami ke arah ikan-ikan yang bermain-main di gigi air. Dan sang keli mula membaham umpan dengan rakus. Dan setiap bahaman berakhir dengan mulut ikan tersangkut pada mata kail yang tajam bak sembilu nipah. Satu per satu si ikan keli kami naikkan, dan dimasukkan ke dalam jaring besi. Kami mula menghitung seekor demi seekor sehingga kami tak terhitung lagi jumlahnya.

Syahmie berbangga dengan ikan tilapia bersaiz tiga jari yang berjaya dipancingnya.
Isteriku berjaya menjerat seekor keli yang agak kasar.
Syahmie bertungkus-lumus berusaha melepaskan mata kail dari mulut ikan keli.
Seekor ikan keli yang terkapai-kapai dalam kehampaan.
Syahmie yang telah lama tidak memancing, berasa agak cuak untuk menusukkan cengkerik ke mata kail. Malah pada awalnya, turut berasakan kekok untuk melepaskan mata kail dari mulut ikan keli yang telah berjaya dipancing. Terpaksa aku mengajar dan mengingatkan kembali akan teknik menyediakan umpan dan melepaskan mata kail. Sehingga akhirnya Syahmie faham dan mengerti apa yang perlu dilakukan.

Syahmie menjinjing ikan seberat 9 kilogram.
Menimbang ikan.
Aku dan anak-anak terunaku.
Cukup tiga jam memancing, kira-kira jam 1.15 pagi pada ketika itu, kami berhenti memancing dan mula menimbang hasil tangkapan kami. Jumlah tangkapan ialah kira-kira 9 kilogram kesemuanya. Dan aku membuat bayaran kepada petugas lautan. Satu jam memancing berharga RM11. Tiga jam memancing berharga RM32. Kalau tiga orang yang memancing, perlu membayar sejumlah RM96. Okay-lah, okay-lah. Kami bukan memancing di lautan laaaahhh. Kami memancing kat kolam bayar Tepian Rimba. Tutup jam 3 pagi. Tapi nak pancing sampai waktu tu memang tak berapa nak laratlah. Dan nak membayar pun mahal jugak harganya.

Dalam kereta kami bermain teka-teki. Siapa yang dapat meneka jumlah ikan yang telah berjaya kami pancing akan dikira sebgai pemenang. Hadiahnya adalah, tepukan gemuruh dari seluruh ahli Persatuan Nelayan Sedunia. Aku teka 36 ekor. Syahmie teka 35 ekor. Isteriku teka 40 ekor. Dan Amier teka 47 ekor. Di rumah, kami hitung keli yang ada dalam bakul. Ada 47 ekor ikan keli dan seekor anak ikan tilapia. Wow! Amier lah yang telah berjaya meneka dengan paling tepat! Hebat jugak Amier meneka. Ikan-ikan itu disiang oleh orang gajiku. Dan sebahagiannya telah pun dimasak. Inilah lubuk ikan yang tak pernah mengecewakan kami. Pada lain masa, kami berharap untuk bisa membawa pulang sang patin, pacu dan baung.

Ikan keli yang berjaya dipancing.
47 ekor ikan keli kesemuanya.
Menimbang ikan sebelum pulang.
Kira-kira seberat 9 kilogram.
Inilah kolam memancing ikan Tepian Rimba di Hulu Langat.


Monday, December 4, 2017

Ke Tasik Ampang Hilir bukan untuk memancing?

25 November 2017 - Wife ajak aku ke Tasik Ampang Hilir. Ada office mate dia kahwinkan anak katanya. Aku terus terimbau kenangan lama di Tasik Ampang Hilir. Inilah tasik tempat kami memancing tilapia berumpankan cacing lebih sepuluh tahun lalu. Inilah tempatnya juga aku menjejak puyu menggunakan cengkerik, dan kemudiannya aku bela dalam bekas-bekas kecil sampai ikan-ikan itu mati dalam cara yang pelbagai. Kalau Bandaraya masih lagi bagi pengunjungnya memancing di situ, sudah pasti aku akan membawa segala macam perkakas memancing yang up-to-date dan tercanggih bagi memburu ikan-ikan yang dah semakin besar dan gadang - toman, patin, kelah temoleh, marlin, dan layaran. Apakan daya, kawasan tu dah jadi kawasan larangan memancing. Tengok sajalah riak dan olak air yang membusar di tengah tasik bila ikan-ikan timbul mendapatkan oksigen.

Sejurus tiba di dewan majlis, isteriku terus menulis di buku catatan tetamu.
Menulis secara kreatif.
Terus mencari ilham.
Sabriena cuba memberikan pandangannya.
Pengantin yang diraikan - Wawa dan Ewan.
Sampai-sampai aje di dewan majlis, wife aku terus menulis di dalam buku catatan tetamu. Kemudian bertemu dengan mak dan bapa pengantin sebelum pergi mencari tempat duduk. Time kami datang tu memang tengah waktu makan tengah hari betul. Pengunjung tengah ramai pada masa tu. Semua tengah lapar. Juadah yang disajikan jugak agak banyak dan pelbagai. Ada nasi minyak dan ada nasi putih. Ada lauk ayam, lauk daging, lauk ikan, lauk sotong kering. Ada ulam-ulaman dan buah-buahan. Ada gerai cendol, gerai laksa, gerai aiskerim, gerai apam balik, dan gerai jajan makanan ringan. Sebab tulah pengunjung duduk lama tak bergerak-gerak, sebab nak menikmati menu hebat yang disajikan.

Sabriena jamah aiskerim dulu.
Dah dapat aiskerim, Sabriena terus senyap
Berbelanja di 'Kedai Runcit'.
Sabriena di hadapan 'Kedai Runcit'.
Ada warung aiskerim. Wan sedang melayan anak-anak.
Kedai runcit yang tak payah bayar kalau ambil barang.
Bergambar di photo booth.
Official cameraman yang tolong ambil gambar kami.
Makan masa agak lama jugak sebelum kami mendapat tempat duduk. Maka berpeluanglah kami menikmati keenakan segala makanan  yang ada dihidangkan. Tapi kami jugak tahu betapa masih ramai lagi tetamu yang tidak mendapat tempat duduk. Jadi, kami tak diam lama di atas kerusi. Setelah selesai makan, kami terus beredar dari meja makan. Pergi ambil gambar di photo booth. Lepas tu pergi ke kedai runcit bagi mendapatkan barangan jajan yang turut disediakan. Setting seluruh kawasan tempat makan ini sangatlah mengujakan dan sangat menarik. Terbuka selera aku untuk mencuba segalanya.

Sabriena dan Mama di Kedai Runcit.
Seronok Sabriena dapat ambil jajan.
Kak Zu sebagai mak pengantin sangatlah sibuk melayan tetamu.
Terima kasih kerana sudi datang.
Setelah selesai makan dan mengambil barangan jajan dari 'Kedai Runcit', kami pun bersalaman dengan ibu dan bapa pengantin untuk beredar pulang. Tapi mak pengantin, Kak Zu telah menghalang kami. Dia suruh tunggu sekejap sehingga pengantin datang. So kami pun tunggu kejaplah kat luar dewan. Masa tu hujan tengah turun dengan agak lebat jugak. Setelah kira-kira setengah jam, pengantin pun tiba. Sempat aku menyibuk dengan mengambil gambar kedua mempelai itu. Lalu pengantin diarak dengan kumpulan kompang, masuk ke dalam dewan majlis. Sesudah itu barulah kami beredar pergi dari pekarangan dewan pengantin. Kepada Kak Zu dan suami, terima kasih kerana menjemput. Tahniah kepada Wawa dan suami. Tahniah jugak kepada Kak Zu dan suami kerana menerima menantu.

Tunggu di luar dewan setelah selesai makan.
Syahmie menanti ketibaan pengantin.
Inilah tasik yang kami selalu pergi memancing kira-kira lebih sepuluh tahun dahulu.
Wanie dan Amier berteduh dari hujan.
Para tetamu yang menanti ketibaan pengantin.
Wawa berpakaian pengantin.
Pasangan pengantin baru - Ewan dan Wawa.
Ewan tertarik dengan Ferrero Rocher di tangan Wawa.
Jom berarak masuk.
Bagai pinang di belah dua.
Sama cantik sama padan.
Berseri-seri wajah pengantin.
Tiba-tiba ada orang nak pecah pintu pakai penukul. Eh! Bukan. Itu geng kompang daaaaa.....