m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Monday, September 25, 2017

Bangsawan Dewa Kencana: Pementasan pada 15, 16 & 17 September 2017

Saat-saat terakhir sebelum Paduka Raja Demara Muazar mangkat dibunuh Kiabang Indera.
"Berjanjilah... Selendang Mahkota mesti ditebus kembali... 
Demi agama, keturunan bangsa dan tanah pertiwi..."

Itulah amanat pesan Paduka Raja Demara Muazar sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, akibat luka parah ditikam si pengkhianat Kiabang Indera. Takhta dirampas rakus tanpa belas, dan Kiabang Indera lantas mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Selendang Mahkota yang baru.

Poster rasmi Bangsawan Dewa Kencana.
Kisah rampasan kuasa, pengkhianatan, dendam, adalah lumrah di dunia nyata. Dan inilah yang dipaparkan dalam Bangsawan Dewa Kencana yang telah dipentaskan pada 15, 16 & 17 September 2017 yang lalu di Auditorium DBKL sempena Semarak Bangsawan, hasil usahasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bangsawan Dewa Kencana (BDK) telah dipersembahkan oleh Pertubuhan Teater Hidayah yang diterajui oleh Tn Hj Kamarul AR. Persembahan yang berdurasi lebih dua jam itu penuh dengan warna-warni busana Melayu lama, padat dengan aksi persilatan, sarat dengan pengajaran dan mesej tersirat, tepu dengan kepelbagaian emosi yang mengusik. Namun disulami dengan nyanyian dan gurindam merdu yang bisa membuai jiwa yang mendengar.

Kiabang Indera melantik dirinya sebagai Raja Selendang Mahkota yang baru.
Kencana remaja memujuk jiwanya yang sayu dengan gurindam merdu.

Sinopsis


Paduka Raja Demara Muazar, Manong Satria (guru agama) dan Wangsa Jati (guru persilatan) adalah tiga sahabat akrab yang tidak terukur kesetiaan mereka. Sehinggalah pada suatu ketika, Paduka Raja Demara Muazar telah dibunuh oleh Kiabang Indera yang telah turut merampas takhta pemerintahan Tanah Selendang Mahkota. Di penghujung saat sebelum kemangkatannya, Baginda sempat berpesan kepada sahabatnya Wangsa Jati, agar menjaga dan membesarkan puteri tunggalnya yang bernama Kencana. Dan tampuk pemerintahan Selendang Mahkota perlu dikembalikan kepada yang berhak - kepada waris Paduka Raja Demara Muazar, kepada Kencana!

Rencana untuk merampas kembali tampuk pemerintahan Selendang Mahkota dari Kiabang Indera telah disusun rapi oleh Wangsa Jati. Dadang (putera kepada Manong Satria) menjadi duri dalam daging yang pada zahirnya seolah-olah berpihak kepada Kiabang Indera, sedangkan maksudnya adalah untuk menyusun rancangan bagi menumpaskan raja yang zalim itu.

Dadang mencuri 'keris pusaka' dari Kiabang Indera dan menyerahkannya kepada Wangsa Jati.
Kencana yang sedang berkasih dengan Dewa (putera kepada Wangsa Jati) telah diarahkan berpisah untuk seketika oleh Wangsa Jati. Kencana perlu mendalami ilmu mempertahankan diri, sedangkan Dewa dipenuhkan dadanya dengan ilmu agama.

Di gua rahsia, Dadang dan Dewa beradu tenaga.
Kumpulan pedagang asing yang dikepalai oleh Orang Kaya Rantau telah menangguk di air yang keruh. Mengambil kesempatan di atas suasana yang melanda Selendang Mahkota. Mereka menyogok Kiabang Indera agar mereka dianugerahkan keistimewaan dalam perniagaan. Ini turut memberi impak dalam senario ekonomi dan politik Selendang Mahkota.

Orang Kaya Rantau dan teman-temannya.
Akhirnya saat penentangan secara terang-terangan pun bermula. Dewa, Kencana, Dadang dan teman-teman serta pengikut-pengikut mereka telah bergabung menentang Kiabang Indera dan konco-konconya. Dan akhirnya Kiabang Indera tumpas di tangan Kencana, dan Selendang Mahkota kembali kepada yang berhak. Kepada waris Paduka Raja Demara Muazar.

Kecik, Kesuma, Sura dan Rokan berhadapan dengan Rantau dan teman-temannya.
Babak terakhir - semua bergabung menentang Kiabang Indera.
Dadang memperlihatkan pendiriannya yang sebenar.
Pertarungan sengit di antara Kencana dan Kiabang Indera.
Menjunjung keris pusaka.
Kencana menamatkan riwayat Kiabang Indera.
Tiga teman seperguruan - Dewa, Dadang dan Kencana.

Persembahan

Pementasan Bangsawan Dewa Kencana menyaksikan gabungan pelakon-pelakon baru yang digandingkan dengan nama-nama besar dalam dunia teater seperti Dato' Jalaluddin Hassan dan Mubarak Majid. Turut beraksi dalam persembahan ini Zack Kool, Razi Adnan, Dean Sitara, Marup Mustapah, dan lain-lain lagi. Turut memperkenalkan Pangiran Shah yang memegang watak Dewa, yang merupakan seorang guru Silat Gayong Maarifat Wilayah Persekutuan. Dan watak Kencana pula dipegang oleh Dayang Norinah yang juga seorang juru latih tari Persatuan Anak-anak Sabah, Kuala Lumpur (PERASA) dan dalam masa yang sama menguruskan syarikatnya iaitu Dayang Entertainment. 

Pangiran Shah - guru silat yang menjadi pelakon.
Dayang Norinah - juru latih seni tari yang juga seorang pelakon.
Turut menggabungkan pemuzik-pemuzik dari Orkes Pulasan Merah, pesilat-pesilat dari JK Studio Performance dan penari-penari dari Dayang Entertainment. Koordinasi mantap dari kesemua yang membuat persembahan serta kru produksi di belakang pentas membuahkan sebuah persembahan yang hebat dan mudah diingati.
 
Dari kaca mata seorang peminat teater, Bangsawan Dewa Kencana dilihat sebagai sebuah persembahan yang istimewa dan penuh dengan unsur-unsur keterujaan. Dibuka dengan instrumental bangsawan yang membuat penonton bersemangat untuk menanti apakah cerita yang bakal dihidangkan. Disusuli pula dengan gurindam merdu nyanyian Kencana Remaja yang sangat mengasyikkan.
 
Warna-warni di sepanjang pementasan Dewa Kencana - busana Melayu lama, backdrop, pencahayaan, menambah seri dan selera. Penonton diajak berkhayal dalam dunia yang bagai mimpi itu. Runut bunyi dan muzik latar memberikan segala rasa yang mendampingi aksi para pelaku - rasa marah, sedih, dendam, cemas, gembira, bersemangat dan kecewa. Dan ini semua adalah sebahagain dari rencah yang mengindahkan persembahan ini.

Orkes Pulasan Merah menghidupkan 'mood' persembahan ini.
Bangsawan Dewa Kencana penuh dengan aksi silat. Seni mempertahankan diri turunan nenek moyang ini dipersembahkan dengan penuh berseni. Koreografinya halus dan mempesonakan - menampakkan santun dalam ketegasan. Tarian yang digayakan buat tatapan penonton juga sangat menghiburkan dan sangat bersahaja.

Pesilat-pesilat dari JK Studio Performance.
Penari-penari dari Dayang Entertainment.
Namun, kesemua kehebatan ini tidak bererti tanpa lakonan dan pengarahan yang mantap dari para pendukung watak dan sang suteradaranya. Pelbagai personaliti watak yang ditampilkan memberi kepelbagaian dalam penceritaan ini. Dewa - bersemangat namun naif. Kencana - tegas dan penuh dendam. Dadang - tenang dan bijak. Kiabang Indera - bongkak angkuh. Manong Satria - alim dan warak. Wangsa Jati - bijaksana. Rantau dan teman-teman - menangguk di air yang keruh. Sura - taat. Dan semua watak ada cerminan sifat dan keperibadiannya masing-masing yang wajar diberikan perhatian oleh penonton.
 
Tidak boleh diketepikan peranan Tauke Panggung dan temannya ketika berinteraksi di antara babak-babak. Jenaka mereka yang santai sangat mencuit hati. Malah extra-turn juga sangat menghiburkan dengan nyanyian dari Dato' Jalaluddin Hassan, Zack Kool serta tarian era 60an oleh penari-penari Dayang Entertainment. Semua ini melengkapkan sebuah teater bercirikan kebangsawanan dengan Mahkota Alam tersergam megah di kepala pentas.

Tauke Panggung dan temannya - Salman Al Farisi dan Lan Zailan.
Nyanyian merdu dari Dato' Jalaluddin Hassan.
Zack Kool mendendangkan lagu Gadis Melayu dengan penuh bersemangat.
Bangsawan Dewa Kencana mendapat sambutan hangat terutamanya pada malam persembahan kedua. Auditorium DBKL penuh dengan penonton. Memberikan sokongan kepada pementasan ini termasuklah teman-teman artis dalam lakonan dan nyanyian, tokoh-tokoh teater, serta tokoh-tokoh seni yang terbilang. Kepada mereka ini, tentunya jutaan terima kasih diucapkan.

Prof Dr Siti Zainon Ismail mewakili Yayasan Usman Awang.
Pelakon-pelakon veteran - Mak Jah, Kismah Johar & Normah Damanhuri.
Turut kelihatan penyanyi era 70'an - Seniwati Raftah Bachik.
Seniman Negara dan tokoh bangsawan - Rahman B.
Pelakon serta bekas pesilat negara - Ruzaidi Abd Rahman serta Amran Nasaruddin.
Presiden Persatuan Teater Malaysia - Sakrani Shamsuddin.
Tokoh teater - Zakaria Ariffin turut memberikan sokongan.
Wan Shades dan Munir.
Koreografer tarian serta aktivis teater - Pat Ibrahim.
Aktivis teater serta pelakon - Harun Hashim di samping Lan Zailan.
Turut disampaikan sekalung penghargaan kepada badan-badan kerajaan dan agensi persendirian yang telah memberikan sumbangan dan sokongan dalam bentuk material dan publisiti. Antaranya termasuklah:

- Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN)
- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
- Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia
- Alam Flora
- Kementerian Kerja Raya Malaysia
- Dewan Bahasa Pustaka
- Penerbitan Rumpun Ilmu
- Persatuan Seniman Malaysia
- Faisal Langsay Photographer
- Armada Malaiu Malaysia 
- Family D Kota
- Kelab Kilat TNB Bangsar
- Galas Amar Resources
- Yayasan Usman Awang
- Qalish Beauty Care
- SK Seksyen 7 Kota Damansara
- Media cetak dan elektronik

 Barisan Pelakon :

Dewa - Pangiran Syah
Kencana - Dayang Norinah
Manong Satria - Dato' Jalaluddin Hassan
Wangsa Jati - Mubarak Majid
Kiabang Indera - Zack Kool
Demara Muazar - Nazri Ahmad
Dadang - Razi Adnan
Rantau - Marup Mustapah
Sura - Dean Sitara
Isteri Wangsa Jati - Watie Khahar
Kencana Remaja - Aine Yusof
Kecik - Nazli Noordin
Kesuma - Chi Azim
Rokan - Ikhwan
Teman 1 - Neo Ibrahim
Teman 2 - R Azmi
Teman 3 - Shahril Kamil
Anak murid Wangsa Jati - Naqiuddin
Bendahara - Faisal Langsay
Bentara - Muazzam Jamaluddin
Tauke Panggung - Salman Al Farisi
Teman Tauke Panggung - Lan Zailan
Dayang Istana 1 - Fathiah Nazihah
Dayang Istana 2 - Nuramanina Anuar
Pesilat - JK Studio Performance
Penari - Dayang Entertainment
Pemuzik - Orkes Pulasan Merah

Barisan Produksi:

Pengarah & Penulis Skirp - Hj Kamarul AR
Pengurus Produksi - Azlansham Ismail
Penyelaras Produksi - Yusry Kamaruzaman
Pengarah Senimatografi - Pak Morad
Penolong Pengarah - Nazri Ahmad
Pengarah Teknikal - Nazri Idris (BK)
Pengarah Muzik - Rosman Mohamed Nor
Pengurus Pentas - Nohman Isa
Penolong Pengurus Pentas - Anisa Majid
Pengurus Set - Pak Malit
Penggubah Lagu - Mardau Hamzah
Penata Cahaya - Azhar Ithnin
Pengurus Tatarias - Een Afendi
Pengurus Busana - Watie Khahar, Lang Indah, Manja, Yanty Haron
Propman - Faisal Langsay
Pembantu Set - Farzana Malit
Pembantu Tatarias - Senaini Muda
Pembantu Teknikal - Izwan Mimo, Nasriq Azhar, Afzaal Roszlan
Pembantu Pentas - Shany Bashar, Azmi Daim, Hafizan, Naqim
Penyelaras Panggung - Sarah Atan, Adi Matari
Percetakan - Hartini 

Persembahan ini ditutup dengan sebuah lagu gubahan Mardau Hamzah dan senikatanya ditulis oleh Hj Kamarul AR sendiri, yang merumuskan keseluruhan cerita Bangsawan Dewa Kencana ini. Hayatilah bait-bait liriknya:


Biarlah darah dibalas darah
Selendang Mahkota kekalkan maruah
Nenek moyang bersusah payah
Ketuanan asal jangan berpindah

Dewa dan Kencana gagah sepakat
Teruskan cinta tidak tersekat
Amanah jua senada diangkat
Tuhan merestui membawa berkat

Semangat setia sahabat bertiga
Guru silat melangsungkan, titah Raja
Pendita agama siap siaga
Hak yang terlepas kembali jua

Pengarah dan penulis skrip Bangsawan Dewa Kencana - Hj Kamarul AR.
Curtain call - para pelakon dan tenaga produksi di atas pentas.

No comments:

Post a Comment