m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Wednesday, June 27, 2018

Lagu Raya 2018: Sempurnakan Hari Raya

Setelah lagu Bahagia di Aidilfitri berjaya disiapkan, kini lagu ciptaan Amier pulak yang menyusul. Sebenarnya tahun lepas pun Amier dah mencuba membuat sebuah lagu raya atas galakan aku. Amier telah menghasilkan satu lagu rap sepenuhnya. Cuma senikatanya agak berterabur. Aku suruh jugak Amier usahakan lagu rap dia tu, tapi akhirnya Amier macam dah tawar hati pasal hari-hari dalam Syawal sudah semakin menuju ke penghujungnya. 

Pada tahun ini, Amier siapkan lagu jauh lebih awal. Siap pinjam i-phone Syahmie untuk rakam suara ketika mendapat ilham melodinya. Nak siapkan lagu ni memakan masa sikit pasal Syahmie perlu fahamkan melodi dia betul-betul. Rakaman lagu yang 'raw' agak sedikit meleret walaupun melodinya bagi aku sangat menarik. Aku pun turut mencuba untuk simplify lagu asalnya. Setelah sekian lama berusaha, barulah lagu yang complete pun terhasil. Dengarkanlah:




SEMPURNAKAN HARI RAYA

Lagu: Amier
Lirik: Amier
Penyanyi: Syahmie (feat Amier - rap)
Susunan muzik: Syahmie
Video: Wanie

Sebulan berpuasa
Kini tiba masanya
Hari yang dinantikan semua

Perjalanan yang lama
Menanti Syawal tiba
Akhirnya kedengaran takbir raya

Marilah bersama-sama menyambut Syawal tiba
Yang kita nantikan sekian lama
Memohon maaf dan bersalaman pada yang mendoakan
Kita dari kesusahan

(Chorus)
Oh hari raya
Aidilfitri mulia
Memohon maaf atas segala dosa
Mengenangi mereka
Yang telah tinggalkan kita
Oh Tuhan, jadikanlah hari ini
Sempurna

(Rap)
Hari raya ini, pada tahun ini
Semua balik kampung untuk jumpa granpa granny
Oh sangat meriah, kita menziarah
Makan banyak dekat kampung bukan dekat rumah
Hari yang mulia, ampun maaf kami pinta
Ampunkanlah segala dosa, Muslimin Muslimat semua
Kerana tiada raya, bagaimana bergembira
Bersama-sama mereka
Ya, oh bagaimana...


(Chorus)

(Rap)
Ya tolonglah, tolonglah Tuhan (7x)
Ya tolonglah

Ya Allah, sempurnakanlah semua



Monday, June 25, 2018

Lagu raya 2018: Bahagia Di Aidilfitri

Setelah Syahmie menyiapkan lagu rayanya yang berjudul Raya Terindah, giliran aku pulak menyudahkan lagu aku. Pada tahun ni aku pilih untuk buat lagu ala-ala lagu Melayu moden dan ada sikit-sikit macam joget. Tapi faham-faham ajelah, orang amatur buat lagu memang lain yang difikir, lain pulak yang jadi. Hantam sajalah! Masa Amier first time dengar lagu ni, dia kata macam pernah dengar aje lagu ni. Mungkinlah kot. Aku pun tak nak claim lagu ni 100% original. Namun begitu, masa lagu ni dicipta, memang aku tak plan nak ikut mana-mana lagu yang dah wujud di alam maya ini. Kalau ada persamaan, itu adalah kebetulan sahaja dan sama sekali tidak disengajakan. Dengarkanlah...





BAHAGIA DI AIDILFITRI

Lagu: Adisarah
Lirik: Adisarah
Penyanyi: Syahmie
Susunan muzik: Syahmie
Video: Wanie

Anak-anak berlompat-lompat
Bermain ting-ting di laman rumah
Abang kakak menganyam ketupat
Ibu di dapur mengadun rempah
Abang kakak menganyam ketupat
Ibu di dapur mengadun rempah

Kaki beralas sepasang capal
Melangkah pantas menyusur bendang
Abah seorang sibuk di bangsal
Membakar lemang berbatang-batang
Abah seorang sibuk di bangsal
Membakar lemang berbatang-batang

(Chorus)
Ramadan pergi, Syawal tiba
Suara takbir bergema-gema
Wajah manis, senyum mesra
Bermaafan sesama kita

Baju cantik menghias diri
Berjalan-jalan di siang hari
Ziarah-menziarah kaum famili
Berlapang dada, bersenang hati
Ziarah-menziarah kaum famili
Berlapang dada, bersenang hati

(Chorus)

Riuh-rendah anak bermain
Handai taulan bersembang
Segak baju melayu bersampin
Baju kebaya berhias kerongsang

(Chorus)

Hari raya kita bersua
Membersih jiwa dan diri
Berkat rahmat Yang Maha Esa
Moga bahagia di Aidilfitri

(Chorus)


Sunday, June 24, 2018

Lagu Raya 2018: Raya Terindah

Raya tahun ni kami perdengarkan lagi lagu raya baru untuk pendengar-pendengar lagu raya yang budiman. Macam tahun lepas, aku mintak anak-anak aku yang dah cukup umur untuk mencipta melodi dan lirik lagu raya. Kali ni masa yang aku berikan lebih panjang dari dulu supaya penghasilan lagu raya lebih bermutu dan tidak tergesa-gesa. Tanpa membuang masa, Syahmie telah menghasilkan sebuah lagu baru. Siap dengan music arrangement nya yang tersendiri. 

Perdengarkanlah lagunya:






RAYA TERINDAH

Komposer: Syahmie
Lirik: Syahmie
Penyanyi: Syahmie
Susunan muzik: Syahmie
Video: Wanie

Bergema suara takbir
Sayu indah dan berseri
Tiba jua hari yang dinanti
Ayuh bersama kita syukuri

Yang jauh juga yang dekat
Pulang berhimpun bersama
Mengharapkan restu dan berkat
Ayah dan bonda yang tercinta

(Chorus)
Kakak abang keriangan
Berpakaian serba indah
Cantik segak dan menawan
Bagi menyambut hari raya

Aidilfitri
Hari penuh kebahagiaan

Aidilfitri
Kaya miskin meraikan

Salam dihulur meminta keampunan
Yang telah pergi doa disampaikan

Aidilfitri
Kuberdoa pada Tuhan

Aidilfitri
Jiwa suci kudambakan

Hari yang murni kita saling memaafi
Raya terindah kita kecapi

(Chorus)

Raya terindah kita kecapi


 
 

Tuesday, June 19, 2018

Kawan sekolah rendah kahwinkan anak

31 Mac 2018 -  Pada suatu hari yang hening sebelum Malaysia beralih kerajaan baru, aku telah mendapat satu pesanan melalui laman whatsapp dari seorang teman lama. Teman lamaaaaa sangat. Dan memang dah terlalu lamaaaaa sangat kami tak berjumpa. Sekadar bertemu text dalam group whatsapp. Nama temanku itu ialah Azmi Hussin. Teman sekolah rendah kat Kuala Ampang. Beliau nak kahwinkan anak. Ada buat majlis perkahwinanlah di Putrajaya. Masa tu tak ada clash program. Jadi aku pun bertekadlah nak pergi bersama seisi keluargaku.

Nak cari parking memang agak susah. Puas jugaklah aku bertawaf mengelilingi Putrajaya Sentral. Walaupun tempat parkirnya besar, namun sesak padat dengan kereta yang pelbagai. Akhirnya aku putuskan untuk parkir di satu ramp yang kebetulan ada sedikit ruang kecil cukup untuk kutempatkan keretaku.

Amier dan Sabriena sedang asyik menikmati juadah orang kahwin.
Wife aku pun dah nak selesai makan.
"Apa pandang-pandang?" tanya Sabriena.
Amierlah yang paling bersemangat makan pada tengah hari itu.
Goodies bag - jodoh doktor bertemu doktor.
Dah selesai makan.
Sedang berkira-kira nak ambil dessert pulak.
Sampai-sampai aje di ruang majlis, aku terus cari Azmi. Tak susah nak nampak Azmi. Tubuh yang tinggi dan besar berbusana Melayu warna kuning mudah kucamkan dari jauh. Mujur wajah terkini Azmi telah kulihat terlebih dahulu dalam group whatswapp. Kalau tidak, memang tak mungkin dapat aku mengenal raut muka temanku ini yang telah lebih 40 tahun tidak kujumpa.

Sejurus bertemu Azmi, kami terus bersalaman dan berpelukan ala-ala al-Arabia ya habibi, ya maulana. Azmi tengah sibuk masa tu. Jadi kami uruskan dulu keperluan tembolok kami. Kebetulan memang kami tengah lapar waktu itu.

Di suatu sudut fotografi.
Tiga beranak sedang ber-posing.
Amier jadi cameraman pulak.
Sabriena dah nak terbaring pasal dah terlalu kenyang.
Masih di photo booth.
Sabriena di papan tanda.
Kami tak perlu menunggu lama untuk mencari tempat duduk. Ada ruang kosong, cukup untuk menempatkan kami empat beranak. Syahmie dan Wanie tak dapat ikut sebab mereka masih belajar di asrama. Juadah yang terhidang untuk tetamu agak pelbagai juga. Dan enak-enak rasanya. Kami pun makanlah sampai kenyang. Sekenyang-kenyangnya. Nasi dan dessert, semua aku makan. Kek pengantin pun aku nak makan. Tapi aku dihalang oleh orang-orang kat sekeliling pasal kata mereka kek pengantin masih belum dipotong lagi. Oh! Ya ke? Tak apalah.

Pengantin dan upacara memotong kek.
Memotong kek jauh lebih mudah dari membedah pesakit.
Alamak! Terlupa pulak nak bagi ubat bius kat kek ni.
Setelah seketika kami kat situ, barulah aku berjumpa lagi dengan Azmi untuk mengucapkan terima kasih kerana menjemput. Kami bergambar satu familli. Tapi kami tak sempat berbual panjang pasal sebagai bapak pengantin, Azmi memang sangat sibuk pada hari itu. Maknanya kami kena berjumpa lagi pada lain masa yang lebih sesuai untuk bertanya khabar dan mengikuti perkembangn semasa diri masing-masing. Selain Azmi, aku sempat jugak bertemu dengan Zuhaimi dan Zaiton yang turut hadir pada majlis itu. Ada beberapa teman yang lain telah sampai lebih awal dan telahpun beredar. Sekali lagi terima kasih buat Azmi. Dan tahniah kerana menerima menantu lelaki yang sama-sama doktor seperti anak perempuan beliau.

Bergambar bersama bapak pengantin perempuan.
Azmi Hussin - dulu slim dan rendah sikit. Sekarang aku kena mendongak untuk melihat wajahnya.
Terima kasih kerana menjemput kami sekeluarga.