Tak jauh dari kawasan Masjid Terapung Kuala Terengganu, terdapat sebuah lagoon yang sederhana luasnya. Aku parking kereta di tepi jalan. Lalu turun menjenguk air lagoon yang kelihatan sedang menyurut. Terlihat oleh kami riak ikan-ikan kecil tak jauh dari batu pemecah ombak tempat kami berdiri. Lalu aku dan isteriku bergegas mengambil joran untuk menduga perairan lagoon tadi. Manalah tau, masih ada pemangsa-pemangsa seperti siakap putih dan merah yang sedang memburu anak-anak ikan untuk dijadikan santapan siang.
Dan kami pun melabuh umpan. Isteriku mencuba umpan roti. Sedangkan aku mengayuh kekili memainkan gewang soft plastic untuk memperdaya pemangsa yang masiih tak kelihatan. Memang ada anak-anak ikan yang berminat dengan lentok renangan umpan soft plastic ku. Tapi yang besar masih tak kunjung jelma. Ketika aku berhasrat untuk menukar kepada umpan jenama Halco, baru aku sedari bahawa umpan itu telah tersangkut ke dalam poket seluarku. Alamak! Apasal lah aku simpan gewang dalam kocek? Kan dah sangkut. Jenuh aku berusaha untuk meloloskan kail mata tiga yang telah tertancap kemas pada saku seluar. Tarik punya tarik masih jugak gagal. Sebahagian poket seluarku terpaksa kugunting dan potong. Masih gagal. Akhirnya aku terpaksa mematahkan mata kail tadi. Dan barulah berjaya kuleraikan cengkaman kail pada seluarku. Phew...
No comments:
Post a Comment