m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label cemetery. Show all posts
Showing posts with label cemetery. Show all posts

Tuesday, August 16, 2016

Allahyarham Wak Ros kembali ke Rahmatullah

11 Ogos 2016 - Mohon para pembaca yang budiman menyedekahkan bacaan surah Al Fatehah buat Allahyarham Hj Idrus Bin Hj Abdul Wahab yang telah kembali ke Rahmatullah pada 11 Ogos 2016, jam 6.53 petang Khamis lalu di Hospital Selayang. Al Fatehah.


Aku tiba di ofis wife aku setelah solat maghrib. Sesampainya di sana, aku telah dikhabarkan dengan satu berita sedih. Salah seorang pakcikku, abang kepada ibuku yang kupanggil Wak Ros telah pulang menemui Ilahi. Memang kami selalu mendengar khabar Allahyarham Wak Ros tak berapa sihat. Selalu keluar masuk hospital. Kali terakhir aku berjumpa dengan Allahyarham ialah pada Hari Raya Puasa - hari keempat di rumah beliau. Sempat kami bersalaman dan bermaafan. Tetapi kami tidak menjangkakan yang itu adalah pertemuan terakhir kami.

Kali terakhir kami bersua dengan Allahyarham Wak Ros ketika Hari Raya Aidilfitri.
Di Masjid Asam Jawa.
Jenazah Allahyarham telah diuruskan di Hospital Selayang. Dan telah disolatkan sebanyak lima kali dengan jemaah yang sangat ramai. Sekali di hospital. Dua kali di rumah. Dan dua kali di Masjid Asam Jawa. Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Asam Jawa. Allahyarham meninggalkan kehidupan yang sederhana untuk keluarganya. Dengan isteri yang solehah, anak-anak yang patuh agama, insya Allah roh beliau akan dirahmati dan digolongkan di kalangan orang-orang yang soleh, dan para syuhada. Takziah buat Wak Bunirah serta sepupu-sepupuku. Allah telah memuliakan Allahyarham di dunia, dan sedang membanjiri roh Allahyarham dengan Rahmat-Nya yang tiada batas. Amin.

Tanah Perkuburan Islam Asam Jawa yang terletak di sebelah masjid.
Para jemaah ramai yang mengiringi jenazah.

Thursday, March 17, 2016

Kembalinya Ayahanda tercinta ke Rahmatullah

28 Februari 2016 - Mohon sekelian pembaca menghadiahkan bacaan Al Fatihah buat Allahyarham ayahandaku, Haji Matari Bin Abdul Rahman. Al Fatihah...


Kira-kira lebih dua minggu yang lalu, Ayah telah dijemput Ilahi. Ayah yang pada mulanya boleh menikmati makanan dengan enak, tiba-tiba cukup tidak berselera. Yang diidam tidak mampu dikunyah. Yang dikunyah tidak mampu ditelan. Cuma air yang diminum berkali-kali sebagai penghapus dahaga. Tekak kian sarat dengan kahak yang pekat.

Pada hari Sabtu, 27 Februari 2016, aku dan isteri telah ke Kuantan, menghantar Abby bertunang. Bila pulang, aku lihat Ayah sudah tidak mampu menelan air yang kuberikan kepadanya. Lama aku menatap Ayah yang sengsara dengan tubuh yang longlai. Macam-macam yang bermain di fikiranku.

Esok harinya, Ahad 28 Februari 2016, ibuku menyuruh aku membawa Ayah ke hospital untuk dirawat. Fikirku, mungkin pihak hospital dapat memasukkan air ke dalam darah agar Ayah berasa sedikit segar. Dan dengan ubat-ubatan yang diberi doktor, mungkin kahak yang bertakung boleh dikurangkan. Aku berkata kepada Ayah, "Lepas solat zuhur kita pergi hospital ya?" Ayah mengangguk. Tubuh Ayah telah kubersihkan terlebih dahulu. Cuma kemeja sahaja yang belum kupakaikan. Sebelum ke hospital nanti, barulah akan kusarungkan kemeja ke tubuh ayahku.

Azan zuhur pun berkumandang. Aku solat zuhur di rumah. Terus aku ke bilik, melihat Ayah sedang berbaring seperti biasa. Kuambil sehelai kemeja lama, dan kupakaikan ke tubuh Ayah. Belum pun sempurna kemeja dipakaikan, Ayah terus berbaring semula. Tubuhnya betul-betul longlai kali ini. Tapi Ayah tidak berkata apa-apa. Aku lantas memeluk dan mendukung Ayah dan mendudukkannya di atas kerusi roda. Sejurus Ayah berada di atas kerusi roda, kulihat wajah Ayah sangat berbeza dari yang biasa kulihat. Terbit sedikit rasa panik. Aku bisikkan ke telinga Ayah, "Allah, Allah, Allah" berkali-kali. Lalu kupanggil Wanie (yang sepatutnya pulang ke asrama petang itu) untuk bersalaman dengan Ayah dan menyuruh Wanie mencium datuknya itu. Aku, ditemani anak saudaraku, Yana terus ke Hospital Pakar Ampang Puteri untuk mendapatkan rawatan.

Kami menanti giliran. Akhirnya nama Ayah dipanggil. Jururawat memeriksa tekanan darah Ayah. Bacaan tidak dapat diambil. Cuba lagi. Masih gagal. Jururawat memanggil Ayah dengan suara yang agak kuat. Tidak bersambut. Seorang jururawat yang lebih senior datang dan memeriksa nadi Ayah. "Panggil doktor!" kata jururawat itu. Ayah kemudiannya dibawa ke atas katil. Bacaan ECG diambil. Doktor memeriksa nadi dan mata Ayah. Dan di layar ECG menunjukkan tiada degupan jantung. Doktor mengesahkan Ayah telah tiada. Kata doktor, nadi Ayah mungkin telah terhenti sebelum kami tiba di hospital lagi. Aku tidak menangis atau berteriak. Aku masih tenang dan menerima hakikat ini. Cuma ketika hendak menyampaikan berita ini kepada Yana yang menanti di luar, kepada Ibu dan isteriku di rumah, aku jadi sebak.

Aku yang jahil dan naif mengenai kematian, tidak pasti bilakah sebenarnya roh Ayah telah diangkat keluar dari jasad. Adakah ketika kami dalam perjalanan ke hospital? Adakah ketika Ayah berada di atas kerusi roda? Atau adakah ketika aku sedang memeluk Ayah erat, ketika dada kami merapat, dan wajah kami bersentuhan? Sesungguhnya aku memang tidak tahu. Yang aku tahu cuma kini Ayah telah pergi meninggalkan kami buat selamanya.

Pada malam hari, ramai yang menziarahi Ayah - saudara-mara, jiran-jiran, kawan-kawan, bekas murid-murid Ayah. Malam itu aku tidur betul-betul di sebelah jenazah Ayah, di ruang tamu.

Jenazah Ayah dibawa ke Masjid untuk diuruskan.
Pusara Ayah.
Aku, Abang Mansor dan Farid sedang mengebumikan jenazah Ayah.
Pada esok harinya, jenazah dibawa ke Masjid Jamek Al Huda, di Kampung Melayu Ampang untuk diuruskan. Aku, Abang Mansor, Syahmie dan Farid, bersama dua orang petugas masjid bersama-sama memandikan jenazah Ayah. Waktu ini kurasakan sangat sayu dan hiba sekali. Menyedari inilah kali terakhir aku berpeluang memandikan Ayah. Jenazah Ayah dikafankan. Kemas. Sementara menanti waktu solat jenazah dimulakan, aku didatangi oleh seseorang yang tidak pernah aku kenali. Beliau mengenalkan diri sebagai Malik, teman sepejabat Ayah ketika di Kompleks Budaya Negara dulu. Lebih khusus, orang yang sering menemani Ayah ketika makan tengah hari. Ada sesuatu yang diungkapkan kepadaku mengenai Ayah yang membuat hatiku tersentuh. Air mataku mula menakung. Lekas-lekas kukesat sebelum ianya berlinang jatuh di pipi.

Setelah seketika menunggu, imam yang sepatutnya mengetuai solat jenazah tiba. Aku menghampiri Tuan Imam, dan memohon agar aku diberi kebenaran untuk mengimami solat jenazah ini. Tuan Imam menyetujui. Aku bersyukur ke hadrat Allah, hasratku ini kesampaian. Jenazah Ayah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Teratai Ampang. Dan itulah kali terakhir aku menatap wajah Ayah sebelum jenazahnya dilitupi dengan tanah sepenuhnya. Bersemadilah jasad Ayah di sisi kekandaku yang telah terlebih dulu pergi kira-kira dua tahun yang lalu.

Mengebumikan jenazah Ayah.
Sanak-saudara bekerjasama.
Imam membacakan Surah Kahfi dan talqin.
Jemaah mendengar dengan khusyuk.
Syahmie menjirus air.
Menabur bunga di pusara.
Pusara Ayah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Teratai Ampang.
Kira-kira seminggu setelah Ayah pergi, aku dan Amier telah pergi menziarahi pusara Ayah. Kami bertahlil di sana. Amier pula telah menyiapkan nesan sementara untuk diletakkan di pusara datuknya. Kini sudah tidak ada apa yang mampu kulakukan untuk terus berbakti kepada Ayah buat bekalan di alam sana. Melainkan aku MESTI menjadi seorang anak yang Soleh. MESTI! Dan berharap agar amalan dan doaku diterima oleh Allah dan dijadikan asbab untuk pelepasan Ayah dari segala kesengsaraan di alam akhirat. Semoga Ayah disatukan, dan digolongkan di kalangan orang-orang yang beriman yang mendapat redha dan lindungan Allah sentiasa. 

AMIN.

Amier menemaniku ketika menziarahi pusara Ayah.
Nesan sementara yang dibuat oleh Amier.

Sunday, December 20, 2015

Ziarah pusara di bulan Ramadan 2015

14 Julai 2015 - Dah lebih sebulan aku tak menulis. Apa maknanya tu? Maknanya aku sibuk sangatlah. Tak habis-habis dengan kerja ofis yang bertimbun-timbun. Membukit-bukit. Mengunung-gunung. Tak syoknya bila balik ke rumah masih perlu berfikir pasal kerja. Tapi lebih tak seronok bila kat ofis menyedari bersepah kerja yang masih tak tersiapkan. Klien pulak bising-bising pasal kita tak deliver sebagaimana yang diarahkan.

Sekarang dah agak lega sikit, aku nak mulakan balik menulislah. Apa kata aku mulakan berkisah pasal sesuatu yang boleh menginsafkan - ziarah kubur.

Pusara Allahyarhamah nendaku.
Pusara Allahyarham datukku.
Bulan Ramadhan yang lepas, aku menziarahi kubur keluarga yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang. Sewaktu ayahku masih sihat, aku dan ayahku memang selalu ke sini pada bulan Ramadhan. Kini ayahku dah tak begitu berdaya untuk banyak bergerak. Tapi tetap jugak ayahku mengingatkan aku untuk meneruskan tradisi menziarahi pusara ini. Bagi aku, ini bukan tradisi ikutan membuta tuli. Tetapi ini adalah suatu amalan agar si penziarah lebih mengingati kematian. Dan ini memang sangat-sangat dituntut agama.

Pusara Allahyarhamah makcikku.
Kawasan pusara Allahyarham abangku. Tetapi pusaranya gagal aku temui.
Aku bersendirian menziarahi kubur datukku, nenekku, makcik ku (kakak kepada ayahku), dan abangku. Aku ziarah dari satu kubur ke kubur yang lain. Mula-mula ziarah kubur nenekku. Diikuti kubur datukku. Dan kubur makcikku. Kemudian aku terus menghala ke kawasan kubur abangku. Aku jumpa pokok besar yang menjadi landmark untuk aku mengenali lokasi kubur abangku yang sangat kecil dan simple. Tapi aku tak pulak nampak kelibat kubur abangku. Memang sangat menghairankan. Dan lebih menghairankan lagi, kubur-bubur saudara-mara yang ada berdekatan juga tidak aku jumpai. Aku check sekali lagi kot-kot aku tersalah lokasi. Tak jumpa pulak lokasi yang lebih tepat. Akhirnya aku surrender. Aku beredar dengan pertanyaan-pertanyaan yang tak terjawab di dalam fikiranku.

Kawasan Tanah Perkuburan Islam Ampang, berhampiran Taman Bukit Teratai.
Merpati-merpati kelihatan bertenggek di atas pusara si fulan ini.
Dari Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, aku terus memandu bersendirian ke Tanah Perkuburan Islam Ampang, berhampiran dengan Taman Bukit Teratai. Kali ini aku menziarahi pusara Allahyarhamah kakakku. Kawasan ini agak lengang. Namun ada jugak beberapa pengunjung yang turut berziarah. Setelah membacakan tahlil ringkas dan berdoa, aku meninggalkan tempat itu sambil di fikiranku diingat-ingatkan akan tarikh mati kita semua telah ditetapkan. Cuma kita sahaja yang tidak mengetahuinya. Maka sentiasalah bersedia dengan bekalan untuk di bawa bertemu Yang Esa.

Pusara Allahyarhamah kekandaku.
Satu lagi sudut pusara Allahyarhamah kekandaku.
Bunga rampai ditabur di atas pusara.
Kerja penggalian kubur dijalankan.
Kawasan perkuburan dari suatu sudut yang lain.

Saturday, July 18, 2015

1 Syawal 2015 - Ziarah pusara di Taman Kosas

17 Julai 2015 - Selepas selesai solat Aidilfitri, kami terus ke Tanah Perkuburan Islam di Taman Kosas untuk menziarahi pusara ayahanda dan bonda mentuaku, serta menziarahi pusara anak sulung kami, Muhammad. Biasanya kami menziarah pada bulan Ramadhan. Tapi pada Ramadhan yang lepas kami tak sempat ke sini. Maka terpaksalah kami menziarahi pada pagi 1 Syawal.

Di tanah perkuburan ini kami lihat sangat ramai orang berkunjung. Tak sangka kami sebegitu ramai. Ada yang bertahlil anak beranak, membaca Yaasiin beramai-ramai, dan membersih-bersihkan pusara yang tidak kerap diziarahi. Kami menghala ke kubur anak sulung kami dulu. Masih seperti dulu. Tanahnya tak sebegitu kering. Maka rumput-rumput dan tumbuhan-tumbuhan kecil mampu hidup dan berzikir. Kami bertahlil ringkas dan berdoa. Yang ada bersamaku ketika itu hanyalah isteriku dan Syahmie.

Syahmie menjirus air mawar di atas kubur abangnya.
Syahmie masih di pusara abang.
Syahmie bersama mamanya.
Menabur bunga dan daun pandan serta menyiram air mawar.
Selanjutnya kami menziarahi pula pusara Bonda, dan kemudiannya pusara Ayahanda. Kedua-dua pusara ini sangatlah menghijau dengan rumput karpet yang tumbuh subur, serta pokok bunga mawar yang semakin membesar. Kami taburkan daun pandan dan bunga serta menjirus air mawar. Tahlil turut dibacakan dan disudahi dengan doa. Semoga roh-roh keduanya dihimpun bersama roh-roh orang-orang yang mendapat redha dan rahmat Allah subhanahu wataala. Amin.

Di pusara Bonda Rahmah.
Membaca tahlil ringkas dan berdoa.
Di pusara Ayahanda Atan.
Tahlil dan doa.
Syahmie dan mamanya.
Menyiram air mawar sebelum pergi meninggalkan pekarangan perkuburan.

Monday, September 8, 2014

Ke kuburan di Jalan Ampang

26 Julai 2014 - Tiap-tiap tahun pada bulan Ramadhan, aku dan ayah aku akan ke Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang untuk menziarahi pusara empat orang Allahyarham ini: Allahyarham Yaie (datuk), Allahyarhamah Nyaie (nenek), Allahyarhamah Wak (kakak ayahku), dan Allahyarham Abang (abang aku). Tahun ni ayah aku tak ikut pergi menziarahi kubur. Katanya dia tak berapa larat, pasal jarak dari tempat letak kereta ke pusara agak jauh jugak. Tapi ayah aku memang pesan suruh aku menziarahi jugak pusara-pusara tersebut.

Di tepi pusara Allahyarhamah Nyaie.
Pusara Allahyarhamah Nyaie yang berwajah baru.
Di sisi pusara Allahyarham Yaie.
Aku ajak Syahmie untuk menemani aku. Kami bertahlil ringkas dan baca doa arwah di pusara kaum keluarga kami. Aku perasan pusara Nyaie dah bertukar wajah jadi lebih kemas. Jubin yang pecah-pecah semua telah diganti dengan yang baru. Setelah selesai bertahlil dan berdoa, kami pergi meninggalkan perkarangan tanah perkuburan itu.

Bersebelahan pusara Allahyarhamah Wak.
Syahmie di tepi pusara Allahyarham abangku.
Sebelum kami berlalu pulang.

Monday, September 1, 2014

Hari menziarahi kuburan

20 Julai 2014 - Kira-kira dua minggu sebelum Aidilfitri, aku dan isteri ke Tanah Perkuburan Taman Kosas. Pada hari tu kami menziarahi kubur ahli keluarga kami yang telah pergi meninggalkan kami di dunia ini. Mula-mula kami ke kubur Allahyarham anak sulung kami. Muhammad namanya. Sesampainya di sana, kami bagi salam, tabur bunga, siram air, dan bertahlil. Aku lihat isteriku agak sebak ketika di sana. Tahun-tahun yang lalu dia tidak sedemikian. Pastinya ada sesuatu yang bermain di fikirannya.

Menabur bunga di pusara Allahyarham anak sulung kami.
Batu-bata kat pusara tu aku yang susun supaya mudah mengecamnya.
Dari kubur Allahyarham Muhammad, kami ke kubur Allahyarhamah ibu mentuaku pulak. Wajah kubur Allahyarhamah ibu mentuaku telah berubah sejak kali terakhir kami menziarahinya. Abang-abang iparku telah menyiapkan pusara batu dan menanam rumput karpet di atasnya. Setelah bertahlil ringkas, barulah kami ke kubur Allahyarham ayah mentuaku pula. Ketiga-tiga kubur ini terletak di kawasan tanah perkuburan yang sama. Dan jugak berhampiran dengan rumah kami. Seperti ketika menziarahi kedua-dua kubur sebelumnya, kami bertahlil, berdoa dan terus berlalu dari situ. Kami akan menziarahi kubur Allahyarhamah kakakku pulak yang terletak agak jauh dari situ.

Menabur bunga di pusara Allahyarhamah Bonda.
Masih di pusara Allahyarhamah Bonda.
Menyiram air di pusara Allahyarham Ayahanda.
Giliran aku pula menyiram di pusara.
Masih di pusara Allahyarham Ayahanda.
Kami perlu memandu hingga melewati Taman Bukit Teratai untuk ke Tanah Perkuburan Pekan Ampang yang baru, yang terletak di pinggir bukit. Setelah parkir kereta, kami mula mencari kubur Allahyarhamah kakakku. Dulu nampak lain. Nampak bersepah. Sekarang nampak lain, nampak lebih kemas. Semua kubur dengan design standard tersusun rapi mengikut petak masing-masing. Aku dan isteri mula mencari kubur Allahyarhamah kakakku. Tetiba isteriku berkata, "Eh! Ini hah kubur Kak Lin!" Rupanya aku sedang berdiri betul-betul di sebelah kubur Allahyarhamah kakakku. Sejurus menyedari ini, tetiba aku pulak yang jadi sebak. Kami terus bertahlil dan berdoa sebelum berlalu dari situ. Waktu tu matahari dah memuncak di atas kepala. Terasa bahangnya. Kami berlalu dengan sedikit terkesan di hati bahawa ajal itu pasti akan tiba.

Di pusara Allahyarhamah kakakku.
Menyiram air.
Sebelum pulang.