Bagi yang belum tau, meh aku nak bagi tau. Aku ni memang suka bebenar makan ulam-ulaman. Tak kiralah daun atau pucuk apa sekali pun. Asalkan boleh dijadikan ulam, aku akan makan. Antaranya ialah ulam raja, pegaga, salon, pucuk gajus, daun putat, cemumak, petai belalang serta daun selasih. Malah kacang bendir dan terung pipit pun aku lebih suka makan sebagai ulam dari dimasak. Dan ada kalanya aku akan makan jugak pucuk kepada pokok kayu jati dan cengal. Tak ketinggalan, pucuk kaktus dan pucuk bakau.
Tapi yang nak aku kisahkan kali ni ialah ulam daun tenggek burung dan daun kemangi. Petang semalam, kat depan ofis aku ada pasar malam. Jadi aku mengambil kesempatan ni untuk mencari pepucuk ulaman yang dijual. Aku sempat membeli kedua-dua jenis ulaman tadi. Meh aku kisahkan sikit pasal jenis ulaman yang aku beli kelmarin.
Daun tenggek burung boleh didapati daripada pokok tenggek burung. Yalah, takkan dari pokok kelapa atau pokok durian pulak, kan? Ia mendapat nama sedemikian kerana pokok ini sering menjadi idaman burung-burung se-Malaya untuk bertenggek di atasnya, terutamanya burung kelicap, murai dan burung-burung kecil yang lain. Tapi burung-burung yang lebih besar pun ada kalanya bertenggek jugak di sini seperti burung gagak, helang dan burung hantu serta enggang. Tapi sejak kebelakangan ni burung-burung yang lebih bagak pun ada menumpang sekaki seperti burung ostrich, emu dan kasawari. Malah pernah dilaporkan oleh sumber yang boleh dipercayai, burung penguin jugak pernah dilihat bertenggek kat pokok ni. Pokok pangkalnya, pokok ni memang sangat popular di kalangan burung-burung sedunia.
Pokok tenggek burung boleh didapati di kawasan belukar yang lembab seperti di paya, kebun getah atau tepian sungai. Ia mempunyai banyak khasiat. Tapi khasiat yang telah dikenalpasti agak popular ialah ia digunakan sebagai perubatan untuk menurunkan tekanan darah yang tinggi. Serta ia juga berperanan sebagai ubat kuat untuk orang laki-laki. Aku pun baru je tau benda alah ni dari internet. Entah ya entah tidak. Pokok pangkalnya, aku suka rasanya yang pahit-pahit dan krispi macam biskut.
 |
Daun pokok tenggek burung. |
Daun kemangi pulak memang sangat terkenal dan popular penggunaannya untuk perubatan. Ekstraknya digunakan untuk membuat minyak bagi merawat penyakit pening kepala, muntah-muntah, cirit-birit, dan entah macam-macam penyakit lagi. Ia jugak dapat menghilangkan bau mulut serta bau peluh, menguatkan buah pinggang, meredakan kembung perut, melawan cacing dalam perut serta mengelakkan nyamuk dari datang dekat dengan kita. Tapi satu benda yang aku agak hairan ialah, asal nama ulam aje, mesti berkhasiat untuk bab-bab kelamin. Itulah yang biasa tertulis kat buku-buku atau artikel pasal ulaman. Daun kemangi ni jugak memang selalu digunakan bagi menyedapkan makanan. Bau dia ada ala-ala mint serta pudina sikit-sikit.
 |
Daun kemangi. |
Bagi anda yang memang suka makan ulam-ulam, aku ucapkan tahniah. Bagi yang tak biasa makan, berjinak-jinaklah dengan makanan dedaunan ulaman untuk kesihatan - macam orang-orang tua dulu. Cubalah!
 |
Berselindung di sebalik ulam-ulaman. |