m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label trap. Show all posts
Showing posts with label trap. Show all posts

Tuesday, May 15, 2012

Lagi tikus kena tangkap!

Yang ini bukan tikus yang sama. Mungkin macam pelanduk dua serupa. Ada iras-iras dengan tikus yang telah diberkas beberapa hari sebelum ini. Tapi sebenarnya ini tikus yang lain. Anak perempuan aku, Wanie yang mula-mula nampak tikus ni meniti di para-para pinggan kat dapur. Kali ni aku gunakan umpan kepala ikan goreng menggunakan minyak sawit yang tanpa kolesterol. Maklumlah, tikus zaman sekarang ni memang ambil berat jugak soal kesihatan.

Hari pertama pasang jerat, memang tak mengena. Hari kedua baru masuk dalam. Warna bulu tikus ni agak kecokelatan sedikit. Mungkin ada kacukan dengan tikus mat saleh. Seperti biasa, aku serahkan tikus ini kepada orang gajiku untuk menghapuskannya. Dan aku dah siang-siang pesan kat dia, jangan dibuat lauk pulak!

Tikus ini tak begitu aktif.
Umpan kepala ikan, seperti yang dicadangkan oleh ibuku, memang mengena.

Friday, May 11, 2012

Sepandai-pandai tikus melompat

Bak kata orang-orang tua - sepandai-pandai tikus melompat, akhirnya jatuh ke perangkap juga. Bak Karam Singh Walia cakap - kucing tak bergigi, tikus menari-nari. Bak aku cakap - kucing tak ada gigi, tapi orang banyak gigi. Tikus melompat tinggi, terus masuk perangkap lagi!

Semalam, operasi menangkap tikus yang kami perasan dah mula bermaharajalela telah dimulakan lagi. Memang dah lama kami nampak kesan gigitannya pada bekas-bekas makanan, atau makanan yang tertinggal atas meja seperti tepung dalam plastik, pisang, biskut dan roti. Semua diratahnya. Tapi kelibat tikus masih kami tak nampak, untuk sekian lama.

Satu malam tu aku terdengar bunyi bising kat dapur. Dan aku turut ternampak seekor tikus besar sedang menari-nari ikut rentak zapin. Tikus itu kegembiraan kerana kucing-kucing kami yang lapan ekor tu semua kami tempatkan kat luar rumah. Jadi tikus itu berasa selamat dari ancaman maut. Lalu aku pasang perangkap. Tak mengena. Mungkin salah lokasi, atau salah umpan. Malam keduanya, aku ternampak ia melompat-lompat di suatu sudut dapur yang penuh dengan makanan. Aku sangat terkejut sehinggakan tanganku yang sedang memegang ayam goreng terlepas dari genggaman dan terjatuh di lantai. (Yang ini cerita betul. Memang ayam tu terpelanting. Seriously!) Lalu aku ambil perangkap tikus berumpankan cheddar chesee, makanan kegemaran para tikus sedunia dan meletakkannya berhampiran dengan tempat tikus tadi bermain-main. Lalu lampu dapur aku padamkan dan aku terus masuk tidur.

Terjerat dan tak bisa terlepas lagi!
Esok paginya, aku nengok ada seekor tikus sebesar anak kerbau terperangkap dalam sangkar besi bak penjara. Aku sangat gembira dengan pencapaian ini. Sangkar ini memang telah sangat berjasa kepada aku. Ratusan, malah ribuan tikus-tikus durjana telah berjaya kujerat menggunakan perangkap ini. Dan yang seekor ini hanya menambahkan lagi koleksi peribadi aku. Aku serahkan tikus itu kepada orang gaji ku - "The Butcher" untuk melunaskan tikus tadi. Aku pun tak tau dia buat apa dengan tikus tu. Tau-tau bila aku balik dari kerja, tikus tu dah tak ada. Jangan dia buat lauk makan malam sudah. Memang kebetulan ada lauk daging masak lemak cili api yang lembut dan sangat enak malam tu. Hmmmm... daging apakah itu?

Bersama keju yang telah memperdayakannya.