m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label fasting. Show all posts
Showing posts with label fasting. Show all posts

Monday, August 27, 2018

Main tenis dalam kereta di bulan Ramadan

8 Jun 2018 - Pada bulan puasa, bulan Ramadan, group tenis aku, kelab tenis TTC ada bukak gelanggang tenis pada setiap malam hari Jumaat. Tahun-tahun yang lepas pun macam tu jugak. Dan kalau ada kelapangan dan badan fit, aku akan turun jugak main.

Pada tahun ni memang aku ada plan nak turun main tenis jugak. Main kat gelanggang Jalan Duta. Dari seminggu ke seminggu, aku tunda kehendak aku tu. Pasal kekadang agak letih selepas solat tarowih. Tapi pada malam hari Jumaat yang terakhir tu, aku memang dah nekad nak pekena tenis jugak. Lepas solat tarowih lah. Sejak dari pagi lagi aku dah kenakan baju jersey TTC. Punyalah semangat!

Akhirnya malam pun menjelma. Solat tarowih kat surau berdekatan dengan rumah aku selesai pukul 10.20 malam. Okay lah tu. Perjalanan dari rumah ke court Jalan Duta dianggarkan setengah jam. Sampai sana pukul 11.00 malam. Dapatlah bermain dalam satu jam. Cukuplah tu. Buat pemanas badan aje - pekena satu set. Lalu aku ajak Syahmie teman aku. Dan kami pun berangkatlah menaiki kereta. 

Jalan clear. Aku dah terbayang-bayang nak buat pukulan top spin, under spin, side spin, no spin. Tetapi tiba-tiba anganan aku terhenti apabila aku tiba di Jalan Tun Razak. Kereta aku terhenti. Jalan sesak teruk. Tak taulah apa sebabnya. Semua kenderaan merangkak-rangkak dengan perlahan macam 'sloth'. Malah 'sloth' pun lagi laju rasanya. Aku dah mula mengeluh dalam kereta. Jam dalam kereta semakin menghampir ke pukul 12.00 malam. Argh! Sempat ke ni? Tanyaku. Rupanya memang ada accident kecil kat tengah jalan. Walaupun cuma kemalangan kecil, impaknya sangat besar buat sekelian pengguna jalanraya. Setelah melepasi tempat kemalangan, aku terus menghala ke Kompleks Tenis Jalan Duta. Masa tu memang dah dekat pukul 12.00 malam. Aku tak singgah. Memang tak sempat. Tempah court sampai midnight aje. Semua kengkawan tenisku sudah pasti ramai yang pulang. Aku pun berlalu dengan sedikit kecewa. Tetapi perlu menyedari, itulah rezeki. Dan kita kena terima dan redha.

Terkandas dalam kereta di Jalan Tun Razak pada bulan puasa.
Traffic jam. Teruk!


Monday, July 17, 2017

Iftar Neuformation di Bon Appetit

30 Mei 2017 - Ini cerita Ramadhan. Bukan cerita raya. Tapi apa kata kita gostan sedikit untuk mengingat kembali zaman kita berpuasa pada bulan lepas. Company tempat aku bekerja bercadang untuk membuat majlis berbuka puasa untuk staf ofis. Kami semua pun happy-lah dan bersorak "Horrreeeyy" tiga kali. Maka perbincangan pun dibuatlah di antara pembesar-pembesar negeri akan cara bagaimanakah, dan di manakah majlis berbuka puasa ini wajar diadakan. Antara pembesar yang terlibat dalam memberikan pandangan serta dipertanggungjawabkan untuk acara ini termasuklah Temenggung Ayou. Ada plan nak buat kat ofis aje. Ada yang propose buat kat tempat yang lebih gah seperti di hotel. Malah ada jugak yang suggest buat majlis berbuka puasa di luar negara seperti di New Zealand, Hawaii atau di Zimbabwe. Akhirnya, keputusan rasmi pun dibuatlah:

Setelah mengambil kira jarak perjalanan staff dari ofis ke tempat untuk berbuka puasa, serta kemudahan logistik yang lain, maka telah diputuskan supaya majlis diadakan di sebuah restoran di sekitar ofis kami sahaja, di Oasis Square, Ara Damansara. Nama restoran itu adalah Bon Appetit. Kalau tak salah aku itu macam bunyi bahasa French. Maka aku pun terbayanglah makanan-makanan French yang kami bakal berbuka nanti seperti 'french bread', 'french toast', dan 'french fries'. Okay-lah tu. Janji boleh buka puasa.

Inilah restoran Perancis tempat kami berbuka puasa.
Anak-anak terunaku, Syahmie dan Amier.
Nasir dan Wenq agak kecewa kerana sangka mereka cuma berbuka dengan buah kurma semata-mata.
Masing-masing menantikan hidangan selanjutnya.
Haz dan Fateha bermula dengan memakan sayur-sayuran segar dari Cameron Highland.
Pok Nik tak puas hati. Takkan makan daun aje? Macam kambing dan lembu?
Kami jugak mohon kepastian, boleh tak bawak pasangan atau ahli keluarga? Maka jawapannya boleh sangat. Maka aku pun bagi tau kat wife dan anak-anak aku supaya bersedia pada tarikh yang telah ditetapkan kerana ada makan besar boss nak belanja. Anak-anak aku menjerit kegirangan dan berteriak "Horrreeeyyy" tiga kali. Anak-anak aku semua ikut perangai bapak dia kalau bab makan-memakan ni. Tak banyak hal. Semua benda kami bedal macam ikan piranha. Sebab tulah badan sorang-sorang montel. Termasuklah aku!

Pucuk-pucuk daun ini kami kumpul dari sepanjang perjalanan dari ofis ke restoran ini.
Pally sorang aje yang dapat spageti. Yang lain tak merasa pasal Pally tak nak share langsung.
Menikmati spageti perasa mi kuning.
Zu terpaksa berpuas hati dengan spageti. Awal masih ingin menanti juadah yang lebih besar.
Shafiq juga redha dengan spageti. Shahril dah mula memesan Pizza Hut delivery.
Bagaikan tak merestui, Muhaimin mula memintal-mintal spageti dengan garfunya.
Tiba-tiba pelayan menghidangkan menu daging bakar.
Keluarga bahagia Muhaimin.
En Ar Jalid - salah seorang boss kami.
Keluarga bahagia Ar Firdaus.
Mula mengukir senyuman bila daging bakar tiba.
Pasangan yang baru berumahtangga - Tron dan isteri.
Pada hari yang telah dijanjikan, aku pick wife dan anak-anak aku kat Stesen LRT Ara Damansara. Terus aku bawak mereka ke restoran Bon Appetit. Itulah first time aku tau wujudnya restoran itu di sekitaran ofis kami. Cari punya cari, maka jumpalah kami tempat tu. Memang dekat sangat dengan ofis kami. Cuma sepelaung Tarzan aje jaraknya. Kami antara yang terawal tiba. Kat dalam restoran dah ada Temenggung Ayou, Farah dan suami. Serta Muhaimin dan anak isterinya. Lantas kami mengambil tempat duduk. Rupanya kat ruang dalam restoran tu memang semua kami dah booking untuk majlis ini. Kawasan ini kami yang conquer!

Anak perempuanku, Wanie teruja dengan makanan di hadapannya.
Farah, baby dan suami turut menikmati juadah istimewa.
Temenggung Ayou - orang penting dalam membuat arrangement berbuka puasa ini.
Firdaus, baby dan Obie. Ada dua 'B' di sini.
Bertungkus lumus untuk menghabiskan segala apa yang terhidang di atas meja.
Kami menanti azan maghrib berkumandang. Di depan kami sekadar ada air minuman dan sedikit kurma Arab. Kami masih tak mengetahui apakan menu yang bakal kami jamu sebentar nanti. Kami terus menanti azan dengan debaran di dada. Keringat jantanku terus menitis membasahi pinggan kosong di atas meja. Masing-masing berwajah cemas. Gementar tidak terkira. Tiba-tiba terdengar suara sahutan, "Allahu Akbar, Allahu Akbar". Yes! Itulah gema azan maghrib. Kami membaca doa dan terus meneguk air di gelas serta menjamah kurma yang sedari tadi terhidang. Tapi.... apakah menu kami pada kali ini? Apakah juadah berbuka kami?

Boss-boss kami - Puan Amna dan En Ar Jalid.
Boss besar kami berkata kepada pasangan pengantin baru ini, "Makanlah macam time bersanding hari tu".
Hafeez dan Muhaimin telah mula menampakkan keceriaan pada wajah.
Baby comel, puteri kepada Muhaimin dan isteri.
Pok Nik dan Salam makan sangat konsentrasi. Mak mentua lalu kat belakang pun tak nampak.
Persoalan-persoalan itu akhirnya terjawab juga apabila pelayan-pelayan berpakaian kemas membawa dulang dan pinggan berisi makanan yang pelbagai untuk kami makan. Bermula dengan salad. Diikuti pula dengan spagetti. Menyusul selepas itu ayam goreng spesel. Dan kemuncaknya adalah pinggan-pinggan besar yang berisi daging panggang dari pelbagai jenis haiwan di atas muka bumi ini. Termasuklah daging lembu steak, daging kambing lamb chop, daging ayam grilled chiken, daging ikan whiting. Itu kira masih okay lagi. Tapi kami menjadi semakin teruja apabila turut dihidangkan daging rusa, kijang, kerbau balau, seladang dan yak. Kami siap menitiskan air mata kegembiraan atas nikmat makanan yang penuh dengan unsur-unsur delicacy ini. Dan lebih mengharukan apabila kami disuakan pulak daging ikan lumba-lumba dan killer whale. Bagai nak pitam kami dibuatnya kerana kegembiraan. Dan penutup juadah adalah semangkuk aiskerim eksklusif yang dibuat khas untuk kami nikmati. Kami tersandar kekenyangan. Baki makanan yang tak habis kami bungkus dan bawak balik untuk sambung makan di rumah pulak nanti.

Inilah pertama kami Adika merasa memakan daging tenuk dan badak air.
Sebahagian dari kami yang hadir pada majlis iftar ini.
Lihatlah berapa punya banyak makanan yang terhidang.
Sabriena dah mula memakan aiskerim.
Mohon pulang dan bersalaman.
Makanan telah mula di-tapaw.
Kami mengucapkan berbanyak terima kasih kepada majikan-majikan kami En Ar Jalid dan Pn Amna. setelah bersalam-salaman dan bermaaf-maafan di hari raya yang mulia ini, kami pun bergegas naik ke ofis seketika untuk menyempurnakan fardhu maghrib sebelum bertolak pulang ke rumah masing-masing. Alhamdulillah...

Awal masih berazam untuk menghabiskan masakan daging dugong di pinggannya.
Pok Nik dan Fateha. Dah kenyang.
Kejap lagi nak balik.
Anak-anakku masih meneruskan perjuangan.
En Ar Jalid dan Obie. Makanan di pinggan tak dapat dihabiskan.
Semua orang dah mula give up.
Tron mencuba-cuba mendukung anak orang lain, sebelum berpeluang mendukung anak sendiri.
Firdaus menutup acara dengan memakan ulam-ulaman tradisional.
Bergambar kenangan di restoran Bon Appetit.


Sunday, December 20, 2015

Ziarah pusara di bulan Ramadan 2015

14 Julai 2015 - Dah lebih sebulan aku tak menulis. Apa maknanya tu? Maknanya aku sibuk sangatlah. Tak habis-habis dengan kerja ofis yang bertimbun-timbun. Membukit-bukit. Mengunung-gunung. Tak syoknya bila balik ke rumah masih perlu berfikir pasal kerja. Tapi lebih tak seronok bila kat ofis menyedari bersepah kerja yang masih tak tersiapkan. Klien pulak bising-bising pasal kita tak deliver sebagaimana yang diarahkan.

Sekarang dah agak lega sikit, aku nak mulakan balik menulislah. Apa kata aku mulakan berkisah pasal sesuatu yang boleh menginsafkan - ziarah kubur.

Pusara Allahyarhamah nendaku.
Pusara Allahyarham datukku.
Bulan Ramadhan yang lepas, aku menziarahi kubur keluarga yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang. Sewaktu ayahku masih sihat, aku dan ayahku memang selalu ke sini pada bulan Ramadhan. Kini ayahku dah tak begitu berdaya untuk banyak bergerak. Tapi tetap jugak ayahku mengingatkan aku untuk meneruskan tradisi menziarahi pusara ini. Bagi aku, ini bukan tradisi ikutan membuta tuli. Tetapi ini adalah suatu amalan agar si penziarah lebih mengingati kematian. Dan ini memang sangat-sangat dituntut agama.

Pusara Allahyarhamah makcikku.
Kawasan pusara Allahyarham abangku. Tetapi pusaranya gagal aku temui.
Aku bersendirian menziarahi kubur datukku, nenekku, makcik ku (kakak kepada ayahku), dan abangku. Aku ziarah dari satu kubur ke kubur yang lain. Mula-mula ziarah kubur nenekku. Diikuti kubur datukku. Dan kubur makcikku. Kemudian aku terus menghala ke kawasan kubur abangku. Aku jumpa pokok besar yang menjadi landmark untuk aku mengenali lokasi kubur abangku yang sangat kecil dan simple. Tapi aku tak pulak nampak kelibat kubur abangku. Memang sangat menghairankan. Dan lebih menghairankan lagi, kubur-bubur saudara-mara yang ada berdekatan juga tidak aku jumpai. Aku check sekali lagi kot-kot aku tersalah lokasi. Tak jumpa pulak lokasi yang lebih tepat. Akhirnya aku surrender. Aku beredar dengan pertanyaan-pertanyaan yang tak terjawab di dalam fikiranku.

Kawasan Tanah Perkuburan Islam Ampang, berhampiran Taman Bukit Teratai.
Merpati-merpati kelihatan bertenggek di atas pusara si fulan ini.
Dari Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, aku terus memandu bersendirian ke Tanah Perkuburan Islam Ampang, berhampiran dengan Taman Bukit Teratai. Kali ini aku menziarahi pusara Allahyarhamah kakakku. Kawasan ini agak lengang. Namun ada jugak beberapa pengunjung yang turut berziarah. Setelah membacakan tahlil ringkas dan berdoa, aku meninggalkan tempat itu sambil di fikiranku diingat-ingatkan akan tarikh mati kita semua telah ditetapkan. Cuma kita sahaja yang tidak mengetahuinya. Maka sentiasalah bersedia dengan bekalan untuk di bawa bertemu Yang Esa.

Pusara Allahyarhamah kekandaku.
Satu lagi sudut pusara Allahyarhamah kekandaku.
Bunga rampai ditabur di atas pusara.
Kerja penggalian kubur dijalankan.
Kawasan perkuburan dari suatu sudut yang lain.