m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label steamboat. Show all posts
Showing posts with label steamboat. Show all posts

Tuesday, July 6, 2021

Cameron Highlands: Malam yang menyeramkan!!!

Bahagian 9

25 Disember 2015 - Malam ini memang malam yang menyeramkan. Ada sesuatu yang mistik berlaku di tempat penginapan kami. Tapi tunggu dulu. Kalau nak tahu apa kisahnya, bacalah episod ini sehingga habis.

Di Taman Lebah, tidak ada apa-apa yang terlalu menarik di situ. Kami ke Taman Orkid dan Ros yang terletak tidak jauh dari situ dan barangkali juga lebih membuatkan kami berasa teruja. Isteri aku memang suka melilhat bunga ros. Allahyarham Ayah pula minat orkid. Aku minat tumbuh-tumbuhan yang aneh seperti periuk kera dan venus flytrap (tumbuhan yang macam monster). Kami berlegar-legarlah di situ sampai puas. Dan sempat membeli buah tangan untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur nanti.

Amier berbangga dapat memegang lobak putih raksasa.

Allahyarham Ayah duduk menghadap epal Cameron.

Venus flytrap yang mengerikan.

Mulut-mulut yang terbuka sedang menanti mangsa masuk untuk dimakan.

Sekali ia menggigit, tak akan dilepas sehingga berdentum guruh berbunyi. Hehehe...

Cantik betul ros ini.

Sudah melawat dan membeli, kami keluar untuk pulang.

Berehat dulu di pekarangan Taman.

Nasib baik anak-anak tak banyak meragam.

Amier pun nampak happy aje.

Wanie nak bersin ke tu?

Tunggu driver datang pickup.

Duduk di bawah teduhan pohon cendawan gergasi.

Beg sandang diletakkan di atas potongan balak dari hutan Pahang.

Allahyarham Ayah yang kesejukan membalut diri dengan jaket tebal.

Syahmie terperangkap dalam periuk King Kong. Tetapi berjaya melepaskan diri selepas itu.

Bunga pink yang cantik.

Macam morning glory dan macam lili juga.

Kami berehat secukupnya di hotel. Berjalan-jalan pada sebelah siang tadi agak meletihkan. Walaupun tak berpeluh. Walaupun dalam suasana dingin, sedingin 18 darjah Celcius. Kami tetap letih. Setelah solat jamak maghrib dan isyak, kami bersiap-siap untuk makan malam. Kami memang tidak ada panduan untuk menjamu selera di mana. Apa-apa pun, pandu kereta dulu, pergi ke pekan, dan carilah mana-mana kedai makan yang buka, dan halal. Suasana malam di Cameron Highlands memang agak kelam dan muram. Tak banyak aktiviti yang berlaku. Tetapi kebun-kebun sayurnya terang benderang kerana lampu-lampu dipasang. Dari jauh nampak sangat menarik, seperti dalam movie Blade Runner (lakonan Harrison Ford). 

Waktu itu hujan renyai-renyai. Menambah kedinginan yang sedia ada. Kami terlihat sebuah kedai makan kecil yang menyediakan menu steamboat. Wah! Macam sesuai sangat makan steamboat pada waktu-waktu begini. Allahyarham Ayah juga memang peminat steamboat. Dengan persetujuan semua, kami pun masuklah ke kedai itu. Pengunjung tak begitu ramai. Jadi kami tidak perlu menggagau-gagau untuk mencari tempat duduk. Kami order set yang ada dalam senarai menunya. Menarik juga juadah yang disajikan. Ada ketam bunga, ada udang harimau Malaya, ada sotong, ada fish ball dan macam-macam ball lagi, ada sayuran, ada telur dan bihun. Makan seperti ini memanglah tak begitu mengenyangkan. Kami pun bertujuh semua sekali. Tetapi kira buat alas perut ajelah. Kami makan sampai licin. Dah settle, kami pulang ke hotel.

Di bilik menanti waktu makan malam.

Syahmie mencuba membaiki permainan "coil" yang dah tersimpul.

Sabriena dah tak sabar-sabar nak keluar makan.

Amier makan jajan dulu.

Kami dah sampai kedai makan steamboat.

Menanti pesanan tiba.

Periuk dan dapur memasak telah diberikan.

Sekarang tunggu makanan tiba pula.

Eh! Masa bila chipmunk ni join kami makan. Dan di mana Amier?

Lauk-pauk untuk steamboat dah sampai. Mmmmm.... Sedapnya...

Wanie geram aje tengok udang harimau Malaya yang disajikan.

Makan seorang sedikit. Memang menyelerakan.

Meratah ketam bunga.

Ketam ini masih meronta-ronta walaupun telah dipotong dan dimasak.

Wap steamboat ini turut membantu menghangatkan tubuh kami.

Amier menghirup kuah sup yang enak.

Sebelum pulang dari tempat makan, sempat juga kami menyinggah dan melihat-lihat jualan yang ada di sekitaran pekan. Allahyarham Ayah memang sangat teruja bila melihat sayur-sayuran segar yang ada dijual di situ. Kalau tak silap aku (maafkan aku, sebab kisah ini dah berlalui lebih lima tahun dulu, dan aku kurang ingat perinciannya), kami singgah di sebuah pasar yang menjual produk pertanian. Ada yang keluar, ada yang duduk di dalam kereta. Kami berjalan merentas kabus yang mulai naik dari jalan tar yang panas. Suasananya seperti di London pada tahun 1800an. Di pasar kami ada membeli keledek kerdil yang aku tahu memang digemari oleh Allahyarham Ayah. Keledek ini memang sedap dimakan bila direbus. Kami tak lama di pasar. Kami terus ke hotel untuk berehat panjang. 

Oleh kerana badan kami sudah keletihan, dan tambahan pula dilingkung oleh kedinginan malam, di tanah tinggi, kami tidak memerlukan masa yang lama untuk terlena dibuai mimpi. ...dan di sinilah bermulanya kisah seram yang ingin aku kisahkan...

Entah jam berapa agaknya, tidurku tiba-tiba terganggu. Aku tersedar setelah digugah oleh mimpi yang sangat menyeramkan. Butir mimpinya tak dapat aku ingat. Namun yang masih segar dalam ingatan aku adalah dadaku berdegup kencang kerana keseraman yang luar biasa yang aku rasakan. Tetapi aku tak ternampak apa-apa kelibat di kamar kami. Mataku melilau-lilau juga sebenarnya. Lantas membaca ayatul Kursi. Rupanya bukan aku saja yang merasakan keseraman ini. Isteriku juga turut terkejut dan terjaga dan sejenak berada dalam situasi ketakutan. Aku tak pasti pula bagaimana perasaan anak-anak kami pada ketika itu. Kami sama-sama membaca surah-surah dalam Al Quran sebelum menyambung tidur sehingga waktu subuh menjelang. 

Sebenarnya pada waktu itu aku sekadar menganggap ianya adalah sebuah mimpi seram yang biasa saja. Tetapi setelah anak saudara kami yang juga ke Cameron Highlands beberapa tahun setelah kunjungan kami itu menceritakan pengalaman seram mereka ketika menginap di hotel yang sama, barulah aku mula memikirkan satu teori yang berlainan. Mungkin hotel itu memang "keras". Atau keluar pada waktu malam berkabus dengan hujan renyai-renyai mengundang tetamu tak diingini masuk ke kamar tidur. Wallahu a'lam. Yang penting, ke mana saja kita pergi, perlu selalu beringat dan dindinglah diri dengan membaca ayat-ayat Al Quran dan zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah (S.A.W.) dan ulamak-ulamak yang muktabar. 

Bersambung...

Produk pertanian yang dijual di gerai dan di pasar.


Friday, April 6, 2018

D'Jeram Grill & Steamboat

11 Februari 2018 - Nun di suatu sudut dunia, bagai terdampar di pantai, disuluh mentari, bersinar di pasir putih..... Fuh! Letih betul kalau bercerita macam ni. Dah macam baca sajaklah pulak. Aku cuma nak kisahkan pasal sebuah restoran yang pernah diusahakan oleh ipar dan biras aku. Sebuah restoran makanan grill dan steamboat. Terletak di Jalan Jati, Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor. Bersebelahan dengan Restoran Aroma Ikan Bakar. Nama kedainya ialah D'Jeram Grill & Steamboat!

Banner tertera nama restoran dan orang yang boleh dihubungi untuk tempahan.
Pandangan dari luar.
Ruang meletak kenderaan yang luas.
Selain dari tempat makan, D'Jeram Grill & Steamboat turut menyediakan kemudahan untuk pengunjungnya seperti surau, bilik penginapan, dan asrama. Tapi yang best dan syioq-nya tempat ni adalah faktor lokasinya. Ia duduk di sebelah pantai. Bayangkan ajelah, sambil makan-makan, sambil sembang-sembang, sesekali angin pantai bertiup nyaman. Dan bila matahari mula terbenam, langit menjadi kemerahan bercampur jingga. Memang sangat cantik. Itulah yang seronoknya tempat makan ini.

Surau untuk kegunaan pengujung bersolat.
Tertera di hadapan kedai makan.
Menu istimewa pada setiap masa.
Kanak-kanak suka yang ini.
Aku suka yang ini.
Bagi peminat makanan bercengkerang, pilihlah sendiri.
Jeruk masam pun ada. Boleh buat pemanis mulut. Atau juga pembuka selera.
Suasana pantai ketika air surut.
Pantai yang berselut, tetapi tetap tenang kalau dipandang.
Airnya telah pergi nun jauh ke tengah.
Tak jauh dari paya bakau.
Biar aku bagi tau sedikit maklumat pasal bayaran untuk makan di sini:

Satu kepala - RM25.00
Kanak-kanak - RM12.00
Konsep "all you can eat". Makan sampai gemuk! Asalkan jangan membazir.
Dibuka jam 4 petang.
Tapi kalau buat tempahan, boleh aje datang untuk makan tengah hari.
Bayaran sewa bilik dan asrama, tak pulak aku tahu. Yang ini korang kena try telefon tuan tanah.

Pandangan dari belakang.
Cantik dengan pokok kelapa rendah tumbuh di sepanjang bangunan ini.
Kalau korang dapat peluang, pergilah jalan-jalan di tepi pantai. Waktu air tengah surut, memang jauh mata memandang melihat darat. Ada lebih satu kilometer gamaknya. Dan kalau air pasang besar pulak, memang sampai ke tebing perginya ombak. Bagi peminat aktiviti memancing, boleh saja mencuba nasib menjinak sembilang. Paling-paling tidak pun, duri dan belukang memang sangat sudi menjamah umpan.

Amier dan Mama memilih makanan.
Masing-masing dengan pilihan masing-masing.
Sekitar jam 6 petang, kami dah mula mencari tempat duduk yang strategik. Kami cuma berempat. Syahmie dan Wanie masih belajar di asrama pada ketika ini. Jadi mereka tak dapat bersama kami. Memang dah lama sangat kami tak pekena menu grill dan steamboat ni. Aku memang peminat grill. Anak-anak aku peminat steamboat. Wife aku peminat kedua-duanya. Saat memiih makanan di peti sejuk merupakan saat yang sangat mengujakan. Masing-masing bawak pinggan sendiri, memilih makanan mengikut cita rasa pada ketika itu. Aku suka daging dan sotong. Tapi demi kesihatan aku kena kurangkan makan kedua-dua makanan tu. Tapi untuk kali ini, aku bedal aje secukup rasa. Esok-esok barulah aku berpantang kembali.

Proses memasak sedang dijalankan.
Nampak berselerakan?
Masa untuk makan pulak.
Enjoy sungguh kami makan.
Waktu makanan dimasak, sama ada di atas grill atau secara steamboat, aroma makanannya sangat-sangat menusuk kalbu. Selera terus terbuka. Menambah keenakan tatkala bayu laut menghembus, dan langit bertukar menjadi jingga. Kami makan sampai dah tak larat nak makan lagi. Maklumlah - all you can eat lah katakan. Makan rehat, makan rehat pun boleh jugak. Sambil lepak-lepak tengok langit dan bulan. Kami solat maghrib dulu sebelum pulang ke Kuala Lumpur dengan perasaan yang sangat gembira. Jomlah!!!

Makan pakai chopstik lebih mencabar.
Amier masih memasak.
Matahari dah mula terbenam.
Kalau pandai adjust lighting, lagi cantik pemandangan ini sebenarnya.
Amier turut mengambil gambar.