m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label bagan lalang. Show all posts
Showing posts with label bagan lalang. Show all posts

Tuesday, January 28, 2020

Memancing di Jeti Wak Sempuh

24 Disember 2017 - Sebelum ini kami sempat melawat Muzium Kota Lukut di Negeri Sembilan. Dari Lukut, kami tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya kami terus menghala ke Sepang. Ke Bagan Lalang. Ke sebuah jeti memancing yang terkenal bernama Jeti Memancing Wak Sempuh. Dah lama teman sepejabatku, Tuan Salam bercerita pasal jeti ini. Dan dah beberapa kali beliau menduga perairan ini untuk memburu ikan bersaiz gadang. Dan Tuan Salam sendiri pernah berjaya menaikkan seekor gemang yang agak kasar berumpankan udang hidup. Dan dah lama juga aku berhajat nak memancing bersama temanku itu di lokasi ini. Tapi masih tak berkesempatan. Sampailah temanku itu berpindah kerja ke Terengganu. "Sorry, Salam".

Di pekarangan Jeti Wak Sempuh.
Jeti ini sangat popular sebenarnya.
Kami makan-makan dan minum-minum dulu.
Pekena sizzling yee mee dulu.
Anak-anak pekena pisang goreng panas-panas.
Seronok aku tengok wajah anak-anak yang tersenyum.

Di kawasan Jeti Wak Sempuh, kami cari tempat makan dulu. Kebetulan tak jauh dari situ ada beberapa gerai yang beroperasi. Jadi perut-perut kami yang kelaparan kami penuhkan dulu sebelum kami pergi menduga penghuni muara di sini. Terlihat wajah kegembiraan anak-anak kami bila mendapat juadah yang mereka pesan. Maklumlah, dah petang masih belum makan tengah hari lagi. Dah sudah makan barulah kami anak beranak menghala ke jeti. 

Jeti ini bagaikan sebuah rakit yang ditambat di tebing. Jadi pelantarnya turut berayun bila ombak memukul. Rasa macam memancing dari dalam bot. Itulah yang seronoknya. Masa kami pergi tu, umpan terbaik, iaitu umpan udang hidup tak dijual. Dah kehabisan stok. Para pemancing agak kecewa jika tak dapat menggunakan umpan yang paling laris itu. Biasanya umpan udang hidup dijual dengan harga 50 sen seekor. Kami terpaksa mencari umpan alternatif. Aku singgah ke pasar kecil bersebelahan dengan lokasi ini. Aku beli umpan ikan dan udang mati. Di jeti kami mulakan pancingan dengan harapan yang tinggi. Pemancing dikenakan yuran pancingan sebanyak RM5 untuk setiap joran yang digunakan. Memang murah. Cuma tiada jaminan akan berjaya mendaratkan ikan. Itu rezeki masing-masinglah.

Inilah tempat memancing Jeti Wak Sempuh.
Kawasannya agak lapang juga.
Amier merehatkan tubuhnya yang kepenatan.
Sabriena lebih minat berada dekat dengan air.
Sesekali wajah Sabriena ditiup angin dingin.
Seronok dia melihat air.
Dan pohon-pohon di seberang sana.
Sebelum ini aku pernah melihat blog-blog pemancing yang lain. Kalau kena gayanya, kena waktu dan umpannya, boleh naik ikan-ikan dari gred A seperti ikan Einstein, ikan Isaac Newton, ikan ....... Eh! Apa yang aku merapu ni! Maksud aku ikan yang mahal harganya di pasaran antarabangsa seperti ikan kerapu, kurau, senangin, jenahak, tuna sirip kuning, great white shark dan killer whale. Jadi faham-faham sajalah. Bila memancing di sini sudah pastilah anganan aku perlu besar. Perlu target untuk memperolehi habuan yang lumayan juga, walaupun sekadar menggunakan umpan mati.

Pada hari itu nampaknya ikan tak berapa aktif menjamah umpan.
Tetapi para pemancing tetap bersabar dan berharap.
Joran-joran bersusun kemas.
Bilalah agaknya ikan nak datang.
Isteriku dengan joran telescopic ultra light.
Casting sambil santai.
Tak silap aku, aku pasang empat batang joran. Salah satu isteri aku yang guna. Isteri aku lebih suka main casting. Aku cuma baling, tinggal dan tunggu sampai ikan makan. Kadang-kadang aje aku casting. Lama juga kami menunggu untuk umpan digetu ikan. Terasa juga kadang-kala hujung tali ditarik ikan. Tapi ikan kecil kot. Sebab tarikannya sangat lemah. Akhirnya sepanjang aku memancing di situ, dua kali umpanku disambut oleh sang sesirat yang tak berapa besar. Malangnya tak ada gambar untuk membuktikan kesahihannya. Tapi sesirat aje pun. Bukannya  kerapu bara. Hehehe...

Anak-anak kelihatanya sangat sabar melayan minat ayah dan ibu mereka. Masing-masing duduk diam di atas bangku tanpa banyak bicara dan bergerak. Terima kasih anak-anak Papa - Syahmie, Wanie, Amier dan Sabriena pasal memahami. Mereka terus tersenyum walaupun ketika bosan.

Amier, Syahmie dan Wanie sabar duduk di bangku.
Aku menanti ikan makan.
Bagai menanti kucing bertanduk.
Bagai menanti kucing berkepak.
Bagai menanti buah tak gugur.

Sebegitu lama memancing, kira-kira dua atau tiga jam, masih tiada walau seekor ikan pun yang sudi menjamah umpan (selain ikan sesirat tadi). Akhirnya isteriku memutuskan untuk memancing dari daratan. Memburu anak-anak ikan yang kelihatannya bermain-main di gigi air. Memancing di situ rasanya lebih membuahkan hasil. Dan memang benar, isteriku berjaya juga menaikkan beberapa ekor ikan bersaiz tiga jari. Aku sendiri tak tahu jenis spesisnya. Gembira sungguh isteriku. Anak-anak yang memberikan sokongan juga berasa seronok. Akhirnya aku juga naik ke darat dan menyertai isteriku untuk memancing di situ. Ternyata memang lebih seronok dari melanguk menanti tanpa getuan ikan. Tapi aku tak bernasib baik. Seekor ikan pun tak melekat di mata kail.

Kami beredar dari situ sebelum masuk waktu maghrib. Kami solat asar dulu di sebuah ruang kecil sebelah jeti. Ketika kami bergerak pergi, masih ada lagi pemancing yang meneruskan pancingan. Ada juga yang membawa selimut dan khemah untuk bermalam di situ. Itu bukan aneh. Memang biasa penggemar aktiviti memancing melakukan sedemikian. Siap bawa keluarga lagi - anak-anak dan isteri. Walau pun kami pulang tangan kosong, pengalaman ini masih kurasakan menyeronokkan. Rasanya kami akan "repeat" lagi kalau ada kesempatan. "Hei Jeti Wak Sempuh. Mu tunggu, aku datang!"

Isteriku berjaya menaikkan ikan kecil.
Ada seorang anak yang ditemani ibunya turut memancng di situ.
Syahmie, Wanie, Amier dan Sabriena semua sudah ada di daratan meninggalkan aku di jeti.
Pengalaman ini kurasakan sangat indah. Bersama isteri dan anak-anak tersayang.


Sunday, February 12, 2017

Bagan Lalang 2016: Memancing dan selamat tinggal

Bahagian 6 (Akhir)

Aktiviti wajib untuk anak-anak sudah pastilah berenang di swimming pool. Dan aktiviti wajib untuk aku pulak (kalau pergi bercuti) sudah pastilah memancing. Tak kiralah memancing kat mana sekali pun. Kalau ada laut, pancing kat laut. Kalau ada sungai, pancing kat sungai. Kalau ada kolam, pancing kat kolam. Malah paling tidak, kalau ada lopak air tepi jalan, maka aku mancinglah kat lopak air tu. Pun boleeeeehhh...

Farid sedang menanti ikan kerapu menarik joran.
Kalau tak ada kerapu, kurau pun jadilah.
Paling tidak pun ikan siakap atau senangin.
Tak kan ikan gelama pun tak sudi menjamah umpan.
What about buntal? Tak nak datang makan ke?
Farid masih setia menjaga joran walaupun dah berjam-jam menanti.
Kami cuma berpeluang untuk memancing pada sebelah petang pada hari kedua. Pada asalnya aku nak cari perumpun sarang yang dulu-dulu ada dijual di jalan masuk ke Bagan Lalang. Tapi kali ni aku nengok macam dah tak jual lagi pulak kat situ. Orang tempatan kat situ kata perumpun ada dijual kat sebelah pekan. Alamak! Jauhlah pulak. Last-last aku pergi pasar cari umpan udang atau ikan kembung. Nak cari port mancing pun satu hal jugak. Pasal masa tu orang ramai dah membanjiri kawasan pancingan. Cari punya cari, akhirnya aku jumpa jugak satu port mancing kat satu sudut pantai. Kat situ ada beberapa orang pemancing yang sedang sabar menanti ikan meragut umpan. Aku pasang joran dan labuhkan umpan di dasar laut. Mengharapkan ikan-ikan bersaiz gadang menjamah umpan.

Wife aku turut mencuba nasib.
Ikan dalam air nak tidur. Tak nak bersiar-siar di darat nampak gayanya.
Last casting.
Setelah agak lama menanti, unpan yang aku pasang langsung tidak digetu ikan. Aku pun tertanya-tanya. Adakah ikan tak suka dengan umpan yang aku sajikan? Mungkin ikan-ikan kat sini lebih gemar makan burger, pizza, KFC atau McDonald's? Aku tak tahu. Tapi orang kat sebelah aku nampak gayanya dapat jugak beberapa ekor ikan gelama. Bila aku buat kajian dengan membuat Google di internet, aku berpendapat masalahnya adalah aku punya perambut terlalu kontot. Yang dapat ikan tu semua pakai batu ladung kat bawah, umpan kat atas. Dan jenis umpan pun lain sikit dari yang aku pakai. Tak apalah. Rezeki aku bukan keluar dari laut Bagan Lalang nampak gayanya. Tapi, bila petang semakin lewat, aku ternampak sirip ikan yang agak besar berenang-renang kat tepi pantai. Kira-kira 20 kaki dari tempat aku berdiri. Memang dekat sungguh! Aku rasa itu mungkin sirip ikan siakap. Atau pun ibu gelama. Atau pun jenahak. Dan mungkin jugak sirip killer whale. Sebenarnya ini bukan kali pertama aku ternampak sirip ikan besar tepi pantai. Masa dulu-dulu pun aku pernah ternampak perkara yang sama. Dan memang tak mustahil ikan-ikan besar berlegar-legar di gigi air untuk mencari ikan-ikan kecil yang berenang-renang di batu-batu tepi pantai. Kalau aku pasang gewang, mungkin ada ikan yang naik pada petang tu. Wallahu a'lam!

Sedang menanti makanan yang dipesan di gerai.
Char kuetiau on the way.
Brader ni masak memang cepat pasal pesanan punyalah banyak pada malam tu.
Campur ajelah apa-apa yang patut. Janji nampak macam char kuetiau.
Kebetulan masa kami pergi bercuti tu, ada sambutan hari spesel kat Bagan Lalang. Ada semacam ekspo. Tapi aku dah tak ingat apa kebendanya. Maka banyaklah gerai-gerai makanan di tepi pantai. Kami cuma beli makanan kat gerai-gerai yang bersepah tu, tapau dan makan kat bilik resort. Antara yang menarik perhatian kami adalah sotong gergasi goreng tepung serta teh hijau ais. Sangat sedap kami rasakan. Kami cuma berjalan kaki aje kalau nak ke gerai-gerai tu. Tak jauh pun lokasinya dari tempat tinggal kami.

Siap-siap nak balik ke Kuala Lumpur.
Amier sempat nak test layang-layang.
Layang-layang tak berapa nak terbang pulak pagi ni. Dah habis minyak kot?
Banyak jugak barang yang kami bawak.
Amier kecewa keana layang-layang dah mogok terbang.
Lalu Amier buat live video.
Sedang merakamkan bual bicara bersama Amier.
Farid sedang membantu neneknya untuk ke kereta.
Bergambar kenangan di hadapan tempat tinggal.
Bergambar lagi.
Dan lagi...
Keesokan paginya, setelah bersarapan, kami pun packinglah barang-barang untuk pulang ke rumah. Kami bergambar dulu sebelum pergi meninggalkan Seri Bayu Resort Hotel. Amier pulak sempat membuat video ulasan spontan mengenai prestasi resort tempat kami menginap. Selepas itu barulah kami berangkat pulang. Bye-bye Bagan Lalang! Bye-bye Seri Bayu Resort! Bye-bye laut dan pantai. Ada peluang, kami akan berkunjung lagi.

TAMAT.

Laman hadapan Seri Bayu Resort Hotel.
Ini tempat wajib untuk ambil gambar.
Masih di laman hadapan.
Sebelum meninggalkan pekarangan resort.
Happy sebab dah nak balik KL.
Pakcik dan makcik RELA setelah penat bertugas.
Sempat singgah sebentar beli buah naga.
Untuk makan sendiri dan bagi kepada jiran-jiran.