m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label vote. Show all posts
Showing posts with label vote. Show all posts

Saturday, May 12, 2018

PRU-14: Cara menghilangkan dakwat di jari

11 Mei 2018 - Seluruh rakyat Malaysia telah pun selesai memilih pemimpin pada 9 Mei 2018 lalu. Syarat sebelum membuang undi ialah mencelupkan jari telunjuk ke dalam botol dakwat, agar tiada berlaku sebarang kesangsian soal siapa yang sudah atau belum mengundi. Dakwat yang melekat pada jari pada awalnya berwarna keunguan. Lama-kelamaan ia menjadi gelap, semakin kehitaman, bagaikan tidak mungkin dapat dihilangkan.

Di sini aku ingin memberikan 9 langkah mudah cara untuk menghilangkan dakwat yang degil ini:

Jari telunjuk yang semakin kehitaman setelah tiga hari dicelupkan dengan dakwat.
Langkah 1: Sapukan sedikit kicap pekat sebarang jenama bagi menimbulkan keserasian di antara warna hitam pada jari dengan alam sekitar.


Langkah 2: Taburkan serbuk perasa sebarang jenama agar jari menjadi lebih berperisa dan lebih menyelerakan untuk dicuci nanti.


Langkah 3: Lumurkan pada jari sedikit sos tomato. Kemasaman tomato akan melancarkan perjalanan darah pada urat-urat di jari. Dan ini akan memudahkan proses menyah kotoran yang melekat pada jari.


Langkah 4: Ambil sedikit ubat gigi. Gunakan berus gigi bagi memberus jari tadi sehingga semua kotoran menjadi semakin menipis dan memutih bagaikan sebaris gigi yang baru diberus.


Langkah 5: Masukkan jari tadi ke dalam ketulan ais. Ini dinamakan proses pembekuan sel-sel kotoran. Apabila sel-sel kotoran membeku, sel-sel darah putih pada jari akan mula mengumpul dan bertindak balas bagi membuang segala toksin yang ada pada kotoran di jari.


Langkah 6: Sapukan sedikit syampu sebarang jenama bagi memberikan unsur-unsur rebonding pada jari yang sudah mulai mengecut akibat terkena ais tadi.


Langkah 7: Letakkan sedikit cecair pelembut sebarang jenama bagi melembutkan kesan dakwat pada jari. Jika kesan dakwat sudah lembut, maka lebih mudahlah ia untuk disingkirkan secara total.


Langkah 8: Bakar jari telunjuk pada api lilin selama sekurang-kurangnya 25 minit untuk mencairkan lemak-lemak tepu yang terbentuk akibat proses yang dilakukan terdahulu. Pembakaran ini perlulah dibuat secara rata dan menyeluruh agar kesan dakwat benar-benar telah hangus dan menghitam.


Langkah 9: Akhir sekali, rendam jari ke dalam cecair peluntur sebarang jenama selama beberapa minit. Gosok-gosokkan untuk seketika. Dan anda akan dapati kesan dakwat semakin memudar dan mencair. Ulang langkah ini untuk beberapa kali sehingga kesan dakwat benar-benar hilang.


Setelah kesemua 9 langkah ini dilaksanakan, anda akan dapati jari menjadi semakin memutih dan bersih. Cubalah ikuti 9 langkah mudah ini. Pasti anda akan berpuas hati dengan hasilnya. Sekiranya ia tidak mendatangkan hasil sepertimana yang diharapkan, anggaplah ini semua sebagai satu FAKE NEWS!

Sekian.

Jari sudah semakin memutih.

Thursday, May 10, 2018

PRU-14: Malaysia memilih 2018

9 Mei 2018 - Akhirnya hari yang ditunggu-tunggu seluruh rakyat Malaysia pun tiba. Hari membuang undi. Memilih kerajaan pujaan. Memilih wakil rakyat. Memilih warna. Memilih logo. Memilih bendera. Memilih karaktor paling berwibawa. Keluarga kami tidak terkecuali. Setelah sarapan pagi, menu nasi lemak international buatan sendiri, kami terus masuk ke dalam kereta, menuju ke Sekolah Menengah Dato' Ahmad Razali, ke tempat kami membuang undi. Kami keluar rumah tidaklah awal sangat. Sekitar jam 9.15 pagi. 

Sesampai di kawasan mengundi, aku lihat bersusun kenderaan parkir di tepi jalan. Aku turunkan dulu seluruh keluargaku di pagar sekolah sebelum beredar mencari tempat parkir yang strategik. Pusing punya pusing, berlegar-legar di sekitar kawasan, akhirnya aku terjumpa satu lokasi yang agak terpencil untuk meletakkan keretaku. Lokasi itu sangatlah jauh dari tempat mengundi. Aku terpaksa naik kapalterbang satu trip. Lepas tu naik bas ekspres sejauh 15 kilometer. Ambil Uber. Barulah sampai ke tempat pembuangan undi. Memang jauuuuuh betul perjalanan aku.

Inilah Sekolah Menengah Dato' Ahmad Razali - tempat kami mengundi.
Beratur di Saluran 3, Blok C.
Beratur di Blok B lagi panjang.
Yana pertama kali membuang undi.
Aku terus beratur untuk memastikan saluran yang telah ditetapkan untukku. Beratur kat sini tak panjang sangat. Sekejap aje dah selesai. Aku kemudiannya diarahkan untuk ke Saluran 3, Blok C bangunan sekolah untuk beratur. Aku pun berjalanlah ke arah Blok C dengan selamba dan senang hati. Menjangkakan barisan itu pendek dan proses pembuangan undi akan berlangsung pantas. Alangkah terkejut beruknya aku, apabila terlihat barisan yang sangat panjang yang perlu aku ikuti. Kalau mengikut perkiraan aku, barisan di Saluran 3 adalah sepanjang kira-kira 18 kilometer. Panjang tuuuuu!!! Aku bagai nak pengsan. Nasib baiklah aku bawak tong oksigen bersamaku untuk kusedut. Aku cuba menenangkan diriku dengan banyak beristighfar sambil membuat regangan otot. Dan aku pun berdirilah dalam barisan dalam keterpaksaan.

Kena naik turun tangga sebelum sampai ke destinasi.
Yana sangat teruja. Isteriku pun begitu juga.
Bayangkan betapa jauhnya nak kena beratur. Pintu masuk ke dalam dewan undi nun di hujung sana.
Pergerakan pengundi yang berbaris sangatlah perlahan. Bagaikan siput yang patah kakinya. Lama sungguh aku berbaris dan menunggu. Hampir seminggu jugaklah kami berbaris menanti giliran untuk menbuang undi. Kaki dan lutut kami sampai sakit-sakit dan sengal-sengal dan membengkak. Ada yang terus berkhemah, bawak kerusi malas, bawak katil, bawak makanan, agar penantian pada hari itu lebih santai dan selesa. Sesekali mataku melihat ke arah jam pada telefon bimbit. Alamak!! Dah nak pukul 5.00 petang! Takut jugak kalau aku tak sempat untuk membuang undi. Pada jam 4.59 59 saat, aku pun melangkah masuk ke dewan pembuangan undi. Ahhhhh.... Lega aku. Sempat jugak aku masuk ke dalam. Aku hulurkan kad pengenalanku. Namaku dibaca kuat oleh petugas. Jariku dicelup ke dalam botol dakwat berwarna ungu selama kira-kira dua jam untuk memastikan ia sudah sebati dengan dakwat. Setelah jariku dikeluarkan, barulah aku diberikan dua keping kertas undi. Satu untuk Parlimen Ampang. Dan satu lagi untuk DUN Bukit Antarabangsa.

Kami dah selesai menunaikan tanggungjawab.
Ibuku tidak terkecuali. Turut membuang undi.
Bersiap sedia untuk pulang.
Aku pun ke kotak undi. Bila aku buka kertas soalan, alangkah terkejutnya aku! Itulah soalan yang paling susah yang pernah aku jumpa. Lama aku berfikir di kotak undi. Tak tahu nak pangkah yang mana. Bagiku soalan ini memang agak 'tricky'. Aku tak sempat pulak nak ulangkaji sebelum hari pembuangan undi. Setelah hampir empat jam berfikir, akhirnya aku pun pilihlah satu jawapan yang aku rasa paling tepat. Dan berharap aku akan mendapat markah penuh nanti.

Bersama ibuku. Ibuku beratur di saluran warga emas. Sekejap aje dah selesai.
Kami semua sudah! Anda bagaimana?
Anak-anak saudaraku, Farid dan Yana mengundi untuk kali pertama. Mereka sangat teruja. Dan kami membiarkan mereka membuat keputusan sendiri dalam pemilihan ini. Aku tidak akan mengulas lanjut soal siapa yang menang dan siapa yang kalah. Itu ada tertulis di mana-mana saja dalam internet. Kalian carilah sendiri. Puas hati kami setelah berjaya menunaikan tanggungjawab kepada negara. Kini tinggal bertawakal dan berdoa agar segalanya berkesudahan dengan baik.

Malaysia tanah airku!

Semua yang menbuang undi.
Syahmie belum cukup umur untuk mengundi. Dia menolong tolak kerusi roda neneknya.
Jari telunjuk kiri yang baru dicelup dakwat - ungu warnanya.
Setelah beberapa jam, warna jari bertukar menjadi kehitaman.
"All for one, and one for all!"

Wednesday, May 9, 2018

PRU-14: Perang bendera

20 April 2018 - Kira-kira lebih dua minggu lalu, sebelum hari pembuangan undi, setelah pembubaran Parlimen, parti-parti politik yang bertanding mula berlumba-lumba memasang bendera dan banner dan iklan bagi memikat pemikiiran rakyat awam untuk memilih dan memangkah parti mereka pada hari pembuangan undi nanti.

Semakin hari semakin banyak bendera yang dipasang, dikibarkan. Ruang taman, ruang jalan, penuh dengan bendera yang berwarna-warni. Sehingga menutupi jalan. Selak bendera, baru nampak jalan. Kali ni di kawasan Ampang pertarungan empat penjuru untuk parlimen. BN lawan PH lawan PAS lawan PRM. Dan untuk DUN pulak, BN lawan PH lawan PAS lawan PRM lawan DIVA AA. Lima penjuru. Tak pernah aku mengundi sampai lima penjuru. Macam kompleks aje bunyinya. Tak kisahlah. Tepuk dada, tanya minda. Selamat mengundi!

Wau PAS di sebelah masjid Kg Melayu Ampang.
Bendera di bahagian jambatan.
Bendera di tiang telefon.
Jambatan Kg Melayu Ampang dikuasai bendera PH dan BN.

Monday, August 19, 2013

Gambar lama PRU-13

Tatkala aku tengah mengemas kini dan membelek-belek gambar-gambar dalam koleksi aku, terjumpalah aku beberapa gambar ni. Sekumpulan anak-anak muda belia (aku rasa pelajar IPT kot) sedang berkumpul kat tepi jalan sambil pegang bendera dan sepanduk yang tertulis - "Bunyikan hon". Dan tanpa keberatan, aku pun hon lah. Pasal lori kat depan aku pun dah tercegat lama tak bergerak-gerak, sedangkan lampu isyarat dah bertukar ke warna HIJAU!

Simpang bersebelahan dengan Flamingo Hotel.
Anak-anak muda in action.