m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Tuesday, June 7, 2016

Kem Motivasi Lubok Manggis: Penghargaan kepada ibubapa

Bahagian 4

Agenda hari ketiga sebelum bersurai adalah menghimpunkan anak-anak dan para ibu bapa. Di dewan acara, kami melihat anak-anak membacakan doa yang telah diberikan pada hari pertama kem bermula. Panjang doanya. Aku sendiri pun tak hafal. Kemudian anak-anak menyanyikan lagu tema kem ini - lagu bertajuk Hambamu nyanyian Mawi dan Akhil Hayy. Best jugak lagu dia. Bersemangat aku nengok Amier menggayakan penumbuk tangan kanannya. Bak master taekwondo lagaknya.

Ustaz Bakhtiar sedang menerangkan sesuatu yang sangat penting kepada semua.
Mengisahkan hal yang pernah berlaku ke atas salah seorang peserta kem.
Para peserta memberi penuh perhatian kepada cerita Ustaz Bakhtiar.
Seterusnya Ustaz Bakhtiar mula memberikan ceramah motivasinya mengenai anak-anak, mengenai ibu bapa, mengenai pertalian di antara keduanya. Syahdu jugak jadinya aku. Ustaz Bakhtiar seterusnya menayangkan dua video bagaimana pentingnya peranan ibu dan bapa dalam memberi semangat kepada anak-anak, dan dalam membentuk jati diri anak-anak. Bila video ni ditayangkan, aku dah makin syahdu. Pagi ni aku memang dalam mood syahdu nampak gayanya. Pagi-pagi masa breakfast, ketika sedang makan nasi lemak dan paru goreng, aku teringat kat Allahyarham Ayah aku. Bertakung air mata kejap. Lepas tu masa kat kem, Ustaz Bakhtiar pulak bagi cerita sedih. Dengan background music yang feeling-meeling pulak tu.

Aku masih cuba control kesayuan aku di sebalik kamera yang aku pegang. Kalau rasa macam nak nangis aje, aku akan ambil gambar. Tapi semakin lama semakin banyaklah pulak air mata terkumpul kat mata aku yang tak berapa besar ni. Air mata bertakung terlalu banyak, macam boleh buat ternak ikan air tawar aje. Aku pakai stapler, pakai cellotape, pakai paku tekan, pakai sealant, supaya air mata tak mengalir kat pipi. Walaupun aku telah berusaha keras, namun empangan air mata tak dapat dibendung lagi. Di satu sudut di sebelah kanan mataku, ia mula keluar. Mengalir di pipi, masuk ke dalam mulut. Masin rasanya. Tapi masih kurang perisa. Aku kesat air mata tadi. Keluar dan mengalir lagi. Terus menerus, sampai tak dapat aku kawal lagi. Last-last aku biarkan aje ia mengalir. Sebanyak mana sekali pun aku tak kisah. Keluarlah. Keluarlah lagi. Inilah pertama kali aku menangis kat depan orang ramai, kat public. Dan aku tak kisah. Walaupun kelihatannya kurang macho. Pasal orang lain pun menangis jugak macam aku.

Ustaz Bakhtiar Fitri - motivator dalam kem kali ini.
Kem 'Aku Membesarkan Seorang Khalifah'.
Ustaz Bakhtiar menayangkan sebuah video yang menyayat hati serta memberi ulasan mengenainya.
Anak-anak sudah mula berasa sebak.
Setelah puas memberi motivasi, Ustaz Bakhtiar lantas mempelawa anak-anak untuk tampil ke hadapan dan memberikan penghargaan kepada ibu dan ayah secara terbuka. Tak perlu lama menanti, seorang anak perempuan bergegas tampil ke hadapan sambil teresak-esak menangis. Dalam kepayahan, anak itu mengucapkan sesuatu yang tak dapat kufahami sepenuhnya kerana pertuturannya yang bersulam dengan tangisan. Tapi aku sangat kagum dengan keberaniannya. Bila ibunya dijemput ke hadapan, anak ini terus memeluk erat ibunya. Sangat menyentuh hati.

Anak ini merupakan orang yang pertama ke hadapan untuk memberi penghargaan kepada ayah dan ibunya.
Mendakap erat ibu.
Anak ini turut memperkatakan sesuatu. Tetapi kedua orang tuanya tidak hadir pada pagi itu.
Anak ini berjanji untuk mentaati ayah dan ibunya.
Amier masih di situ.
Pertalian keluarga yang utuh.
Seorang lagi anak kecil tampil ke hadapan.
Beberapa orang anak telah turut ke hadapan memberikan kata-kata penghargaan kepada kedua orang tuanya. Kesemuanya berbicara sambil menangis teresak-esak. Ustaz Bakhtiar bertanya lagi, "Siapa lagi yang nak bagi penghargaan kepada mak ayah dia? Sila datang ke hadapan". Sesekali aku menjeling ke arah Wanie dan Amier. Mereka kelihatannya berada dalam 'silent mode'. Tanpa disangka-sangka, Wanie tiba-tiba mengangkat tangan untuk pergi ke hadapan. Aku agak terkejut jugak. Bila dihulurkan mikrofon, Wanie mula berkata-kata. Perkataan-perkataannya antara kedengaran dan tidak, kerana Wanie turut menahan sebak. Anehnya aku tidak pulak berasa sayu atau terharu dengan apa yang dikatakan oleh Wanie. Tetapi aku berasa sangat-sangat-sangat bangga dengan Wanie. Wanie berani, tak macam selalu. Wanie konfiden, tak macam kebiasaannya. Wanie telah keluar dari kepompong keselesaannya untuk belajar menjadi rama-rama yang cantik.

Bersambung...

Wanie juga turut ke hadapan untuk memperkatakan sesuatu.
Pertuturan Wanie tidak begitu jelas kerana disulami dengan sebak.
Aku sangat bangga dengan Wanie.
Sijil penyertaan diserahkan kepada para peserta.
Saleh selaku ketua Kumpulan 2 menerima sijil penyertaan bagi pihak semua peserta dalam kumpulannya.
Turut menerima sijil penyertaan.

No comments:

Post a Comment