m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Monday, May 7, 2012

Cemas menyambut cahaya mata

Agak lama jugak aku tak blogging-kan? Sebab dah lama aku tak berdamping dengan komputer. Aku berdamping dengan isteri tersayang di hospital. Meh aku kisahkan sikit apa yang telah berlaku selama lebih seminggu sudah.

Hari Rabu 25 April, aku dan wife ke Prince Court Medical Centre pasal isteri aku dijangka akan bersalin pada esok harinya - hari Khamis 26 April melalui kaedah induce. Okaylah tu. Seperti bapa-bapa yang lain, tentunya aku seronok nak dapat baby lagi, dan pada masa yang sama sangat gementar memikirkan keselamatan kedua-dua insan yang aku sayangi ini. Isteri aku tentulah lebih nervous lagi pasal dah lama tak melalui saat yang macam ni. Kali terakhir dia melahirkan anak ialah kira-kira enam tahun dulu.

Menanti saat bersalin di labour room.
Pada hari Khamis di labour room, doktor telah menggunakan ubat untuk menggalakkan contraction. Untuk mengurangkan kadar sakit, isteriku meminta doktor menggunakan epidural. Setelah dose epidural dikenakan pada tubuh isteriku, sakit jadi berkurang. Tapi masih jugak sakit tatkala contraction mendatang. Tiba jam dua petang lebih. Nurse dan doktor mengesahkan bahawa waktunya telah tiba untuk isteriku melahirkan bayi secara normal. Dan bermulalah adegan "push". Selagi tak nampak kelibat kepala bayi, hati aku terus-menerus resah. Isteri aku juga semakin letih dalam usaha memaksa bayi keluar secara normal. Tiba-tiba terkeluar lelehan darah merah hidup yang agak banyak. Doktor memberi tahu kami, bayi nampak gayanya masih enggan turun ke bawah. Dan lelehan darah itu membuatkan doktor memutuskan untuk membawa isteri aku ke bilik bedah untuk menjalani proses C-section. Kaedah yang biasa jika diteruskan hanya akan mendatangkan bahaya kepada kedua-dua ibu dan anak.

Perkakas yang digunakan untuk memasukkan epidural ke tubuh isteriku.
Isteriku terus dibawa ke OT. Aku diajak doktor untuk turut masuk ke dalam. Setelah tukar pakaian, aku pun dibenarkan masuk dan menyaksikan proses melahirkan anak melalui kaedah Caesarean section. Tak semudah yang aku jangka rupanya. Setelah berhempas pulas, akhirnya lahirlah seorang bayi perempuan comel seberat 3.58 kg ke muka bumi ini. Cumanya bayi ini enggan menangis walaupun doktor telah membersihkan mulut dan hidungnya yang berlumuran darah. Aku agak cemas seketika. Tapi doktor pediatrik kata bayiku itu okay. Namun dia tetap terus diawasi secara rapi di unit khas ICU kanak-kanak. Sementara itu, doktor O&G meneruskan menjahit luka bedah pada tubuh isteriku. Dan aku dibawa keluar oleh seorang staf.


Bersiap sedia sebelum masuk ke OT untuk menyaksikan isteriku dibedah bagi melahirkan anak.
Pada waktu maghrib, doktor O&G memaklumkan kepada aku tekanan darah isteri aku turun secara drastik. Dia menjangkakan ada pendarahan dalaman yang masih berlarutan. Kami semua jadi cemas. Sangat cemas! Dan selepas isyak, doktor-doktor pakar mula menganalisa sebab-sebabnya. Berpain-pain darah telah dimasukkan ke dalam tubuh isteri aku. Tekanan darah masih tak setabil. Akhirnya pihak doktor tiada cara lain melainkan perlu membedah isteriku untuk kali kedua bagi merawat bahagian dalaman tubuh isteriku. Tahap cemas ku makin menjadi-jadi. Aku tercegat lama di ICU, bersendirian dalam kegusaran yang sangat hebat. Kira-kira jam 12 malam, isteriku dimasukkan ke OT sekali lagi untuk dibedah. Waktu itu kakak-kakak iparku, Kak Uda, Kak Esah, Kak Timah, serta birasku Abang Azman dan anaknya Syura datang menemanku di luar bilik OT. Keresahan aku kini dapat dikongsi dengan ahli keluarga yang sama-sama menyayangi isteriku. Kira-kira jam 3 pagi, doktor keluar dan berjumpa kami. Katanya pembedahan telah berjaya dan insya-Allah, isteri aku akan selamat. Aku sedikit lega. Tetapi masih tak puas selagi tak dapat melihat sendiri keadaan isteriku.  Setelah melihat isteriku masih tak sedarkan diri di ICU, aku ke wad biasa untuk berehat. Bila hari telah cerah nanti, akan aku datang lagi ke ICU.

Ibu dan kakakku melawat isteriku yang terlantar di ICU.
Ayah dan anak-anak turut melawat isteriku di ICU.
Isteriku dirawat di ICU untuk beberapa hari sehingga badannya lebih kuat. Tubuh badan dipenuhi segala jenis wayar dan tiub. Ahli keluarga dan kawan-kawan ada yang datang melawat memberikan semangat sambil berdoa. Kepada mereka semua, aku ucapkan terima kasih.

Adikku yang datang ke ICU dari pejabatnya.
Bayi kami terpaksa dijaga di bahagian nursery sehingga isteriku betul-betul kuat tubuh badannya. Doktor juga telah memeriksa seluruh tubuh bayi kami, dan telah mengesahkan akan kesihatannya. Syukur kepada Ilahi. Setelah lebih kurang tiga hari di ICU, isteriku dipindahkan ke wad biasa sehinggalah dibenarkan pulang pada hari Sabtu lepas bersama bayi kami. Sekali lagi kami mengucapkan syukur kerana semuanya telah selamat. Dan banyak-banyak berterima kasih kepada kaum keluarga dan teman-teman yang terus berdoa, dan melawat kami di hospital. Pengalaman ini sangat mencemaskan buat kami, dan membuatkan kami lebih insaf betapa seorang ibu itu memang adakalanya bersabung nyawa untuk melahirkan seorang bayi. Kami akan cuba ingat ini sampai bila-bila. Dan akan berusaha mencurah sebanyak mungkin bakti kepada orang tua kami. Dan mendidik anak-anak kami untuk melakukan yang serupa. Semoga Allah sentiasa memandu kami ke jalan yang benar dan diredhai.

Bayi kami berusia empat hari.
Bayi kami berusia enam hari.
Bayi kami berusia lapan hari.
Pulang dari hospital pada petang Sabtu.
Bayi lena di pangkuan ibunya.

No comments:

Post a Comment