m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Saturday, January 3, 2015

Perkahwinan Hairul dan Syahira di Taman Melawati

6 September 2014 - Ini kisah lama. Kami ke majlis perkahwinan kawan ofis wife aku, Hairul di Taman Melawati. Isteri Hairul bernama Syahira. Tempat majlis diadakan tu sangatlah cantik dengan laman yang agak luas. Cuma nak letak kereta aje yang susah sikit apabila tetamu semua datang hampir serentak. Akhirnya dapat jugak aku satu ruang letak kereta berdekatan dengan rumah-rumah di kejiranan di situ.


Upacara memotong kek tingkat dua.
Potong kek yang kat tingkat bawah pulak.
Lepas ni nanti kena potong kek kat tingkat tiga.
Alamak! Pisau dah tumpul. Tak boleh potong kek di tingkat atas.
Masa kami datang tu, tetamu tengah ramai. Kami capai dulu makanan utama di meja hidangan - nasi minyak. Lepas makan nasi, aku terus memburu kambing dengan menggunakan lembing dan panah. Setelah kambing berjaya ditangkap, ianya disembelih dan dipanggang. Dan terus para tetamu melapah dan mengganyangnya beramai-ramai bagaikan kumpulan dubuk (hyena) mengganyang kerbau. Ada makanan dessert yang pelbagai di suatu sudut meja yang lain. Setelah selesai urusan makan dan minum, kami pun mengambil peluang untuk bergambar dengan kedua mempelai sebelum berangkat pulang. 

Selamat pengantin baru kepada Hairul dan Syahira. Semoga kehidupan penuh berkat dan harmoni dalam rahmat dan redha Allah Taala. Amin.

Beratur untuk mendapatkan kambing yang menjadi pujaan hati orang ramai.
Akhirnya kambing gurun yang ditangkap telah pun berjaya disembelih dengan selamatnya.
Laman majlis perkahwinan.
Membakar kambing. Kedengaran bunyi kambing mengembek ketika daging ini dibakar.
Tetamu di kalangan saudara dan kawan.
Menjamu selera dengan penuh konsentrasi.
Bergambar dengan pengantin. Kak Jasha pun ada bersama.
Hairul dan Syahira.
Masih dengan pengantin.
Aku pulak bergambar dengan pengantin.
Di pintu pagar sebelum pulang.
Sebelah banner perkahwinan.

Memancing di Tepian Rimba lagi: Keli kurang menyengat

27 September 2014 - Sejak beroleh habuan yang agak lumayan ketika pertama kali mengunjungi tempat ini, kami telah menjadikan Kolam Memancing Tepian Rimba Hulu Langat sebagai port memancing regular kami. Sesekali, bila ada kelapangan, kami akan ke sini melepaskan gian dan gatal tangan menaikkan ikan dengan joran. Sekali lagi kami ke sini pada masa kolam tu agak lengang. Lega jugak kami bila melihatkan keadaan kolam yang tak ramai pengunjung. Jadi kami dapatlah conquer seluruh kolam sesuka hati kami.

Orang lain sibuk memancing. Amier lebih suka main i-phone.
"Korang pergilah mancing dulu".
Suasana kolam pancing yang agak lengang.
Tekun memburu patin.
Tetapi patin tak nak makan umpan.
Tetapi pada kali ini lain macam pulak penangan ikan kat dalam kolam ni. Target utama aku memanglah untuk menjerat keli. Banyak kali keli menggigit. Tetapi aku jugak turut menggigit. Menggigit jari, pasal ikan terlucut dari mata kailnya. Banyak kali jadi macam tu. Lantas aku pun meneliti mata kail yang aku gunakan. Ooooohhh... rupanya mata kail dah mula tumpul. Patutlah tak lekat di mulut ikan. Setelah mata kail diganti, barulah seekor demi seekor ikan berjaya kunaikkan bertali arus.

Tetapi lain pulak ceritanya dengan wife aku yang lebih berminat untuk menjejak patin dengan adunan umpan dedaknya. Banyak kali dia mencuba. Namun seekor patin pun tak sudi menjamah ikan. Akhirnya wife aku turut bertukar haluan menjejak keli sepertiku. 

Bersama hasil kali ini.
Inilah rezeki kami buat masa ini.
Amier jadi macam caddy - tolong bawak barang-barang.
Alhamdulillah. Boleh buat goreng garing-garing.
Setelah beberapa ketika kami memancing, barulah ikan keli dilepaskan. Tapi agak lewat jugak. Selalunya keli dilepaskan lebih kerap. Dan ikan pacu turut dilepaskan di suatu sudut kolam yang lain. Ikan pacu kali ni lebih kecil dari yang pernah kami pancing dulu. Cumanya, ikan pacu ni kalau dia lepaskan hari ni, esok harinya barulah dia akan makan. Pasal dia tengah mabuk lagi. Masa tengah mabuk ikan pacu tak ada selera nak menjamah umpan. Namun demikian, sempat jugak sekor pacu tersangkut mata kail pada badannya. Rezeki kamilah tu.

Ketika nak pulang, wife aku ternampak beberapa ekor ikan keli berenang-renang di longkang tepi jalan. Aku pun mengambil jaring dan menyauk ikan-ikan keli tu. Cuma seekor aje yang masuk jaring. Aku terus teringat cerita Abang Zai pasal ikan yang besar-besar ada berenang-renang di dalam longkang di Jepun pasal airnya sangat bersih.

Amier nak sauk ikan keli dalam longkang.
Sauk lagi. Kalau nasib baik dapatlah ikan kelah lima kilo.
Akhirnya aku yang sauk dapat dapat satu ekor ikan keli berkurap.
Sedang menimbang ikan.
Kalau ikut timbangan, ada kira-kira 3.8 kilogram beratnya.
Puas hati.
Ini saja yang berjaya dijinakkan.
Ada seekor iakn pacu di tengah-tengah kumpulan keli.
Di rumah, ikan-ikan tu aku keluarkan dari jaring, aku timbang dan hitung. Jumlah berat ikan adalah sekitar 3.8 kilogram. Jumlah ikan ada kira-kira 22 ekor kalau tak silap aku. Tapi ikan yang aku sauk tepi longkang tu aku dah buang pasal badannya banyak kurap. Ikan yang telah disiang kami simpan dalam freezer. Dan beberapa ekor kami bakar di atas dapur pembakar yang baru kami beli. Dan rasa ikan keli bakar memang sangat menyelerakan. Terutamanya bila dimakan bersama nasi panas, sayur pucuk ubi, ayam panggang, kambing golek, ketam masak lemak, udang galah masak rendang dan siakap tiga rasa. Begitulah kisah pengalaman kami membakar ikan keli. Sekian. Terima kasih.

Keli bakar in progress.
Mengancam jugak rasanya.

Friday, January 2, 2015

Ulangtahun perkahwinan yang ke-18

22 November 2014 - Ulangtahun perkahwinan kami yang ke-18 jatuh pada tarikh ini. Pada waktu siangnya, kami pergi ke rumah Kak Esah pasal ada orang datang merisik Atika. Dari rumah Kak Esah, setelah solat maghrib, kami terus ke Restoran Istana Bambu di Ulu Kelang. Masa tu hujan sangat lebat. Kebetulan Restoran Istana Bambu tu terletak tak jauh dari Highland Tower yang dah runtuh dan dikatakan agak keras tu. Amier entah kenapa, bila kami acah-acah macam nak pergi ke Highland Tower, menangis-nangis dia ketakutan. Tapi kami acah aje... He he he...

Di Restoran Istana Bambu, aku order lauk pauk untuk dibawa pulang dan dimakan beramai-ramai di rumah. Kami nak celebrate anniversary perkahwinan ni kat rumah aje. Kecil-kecilan. Setelah membeli, kami pun bawaklah pulang makanan tu. Tapi yang nyata, makanan yang dibeli lebih enak dimakan di restoran. Bila dah dibungkus, tahap kesedapannya agak berkurangan. Tapi tak kisahlah tu. Yang penting, kami dapat sambut acara keraian ini bersama-sama sekeluarga. Semoga ikatan perkahwinan ini berlanjutan hingga ke Jannah. Amin.

Makanan telah terhidang.
Menanti time untuk makan.
Lepas ni kita makan. Hooorrreeyyy!!!

Aqiqah cucu Pakcik Jamil & Makcik Kamisah

7 September 2014 - Kami dapat jemputan kenduri aqiqah dari Pakcik Jamil dan Makcik Kamisah. Kata mereka aqiqah untuk cucu mereka. Dibuat di Keramat, kat rumah besan mereka, yang juga didiami oleh anak dan menantu mereka. Maka pada hari tersebut, kami pun pergilah ke sana. Satu keluarga pergi. Termasuk mak aku yang masih berkerusi roda. Lagi pun Keramat bukannya jauh sangat.

Upacara menyembelih kambing golek aqiqah.
Kalau sekor macam ni, aku sorang pun boleh kasi licin sampai tinggal tulang.
Para tetamu mengambil makanan yang pelbagai.
Geng marhaban wanita sedang menjamu selera.
Team marhaban wanita sangat teruja menikmati juadah yang enak ini.
Dari kejauhan kami telah terhidu bau kambing dipanggang dan digolek. Ini menambahkan lagi semangat kami untuk pergi ke kenduri itu. Errrr... maksud aku untuk meraikan cucu Pakcik Jamil dan Makcik Kamisah. Sesampainya di sana, kumpulan marhaban wanita baru aje habis melaksanakan tugas. Dan mereka pun keluar ke tempat hidangan untuk memulakan santapan. Kami pun terus mencelah dan mengambil makanan-makanan yang terhidang untuk dimakan. Dan sudah pasti, kambing tergolek tak dapat kami sisihkan. Sudah pasti itulah yang menjadi pilihan kami terdahulu.

Para tetamu masih berbaris mendapatkan makanan.
Di meja kami. Wak Yan sedang menceritakan pengalaman zaman Jepunnya.
Penat bercerita. Masa untuk makan kambing.
Amier sedang termenung melihat perutnya yang semakin membuncit akibat banyak makan.
Bersama pulut kuning berhias untuk para tetamu.
Cantik pulut kuning ini dibentuk macam burung. Nampak lebih menyelerakan.
Banyak jugak aku makan. Kambing-kambing jalanan yang kebetulan ada kat sekitar kawasan tu kecut perut melihat aku meratah kambing golek dengan sebegitu rakus sekali. Kami diberi pulut kuning dalam gelas. Cantik hiasan pada pulut kuning tu. Teruja kami memperolehinya. Licin licap kami makan semua makanan yang ada di pinggan. Burp! Alhamdulillah...

Wak Yan sambung bercerita pasal zaman British pulak.
Bergosip dengan Makcik Kamisah.
Kisah artis berhijrah. Suatu perkembangan positif.
Terselit jugak kisah banjir di Semenanjung Malaysia.
Makcik Maznah, Pakcik Matshah dan Allahyarham Pakcik Misran. Al-Fatehah untuk roh beliau.
Macam biasalah, bila dah kumpul kaum keluarga ramai-ramai, sudah pastilah akan bersembang lama. Especially mak aku. Pasal ramai jugak yang hadir adalah keluarga di sebelah mak aku. Sebenarnya kami semua balik lebih awal. Dan meninggalkan mak aku kat situ untuk berborak lebih lama dengan sepupu-sepupunya yang lain. Lepas tu mak aku tumpang balik dengan adiknya, Pakcik Tahar. Sembang punya sembang, sekali wife aku ternampak seseorang yang wajahnya sangatlah familiar. Bila di tanya-tanya, Makcik Kamisah pun bagi tau, itulah besannya. Dan setelah diingat-ingat, barulah wife aku perasan yang makcik tu ada bukak gerai makan kat tempat wife aku bekerja. Patutlah macam biasa jumpa. Dan mereka pun bersalaman dan bertegur sapalah seperti kawan lama. Dan setelah kami semua dah kenyang, kami pun meminta diri untuk pulang. Matahari semakin menegak. Semakin terik. Semakin panas. Dan mak aku balik terkemudian sedikit dengan Pakcik Tahar. Terima kasih kerana menjemput.

Pakcik Jamil dan anak-anaknya sedang berdiskusi mengenai pertemuan keluarga besar Toi pada masa hadapan.
Reunion kali ni akan dibuat di tepi pantai.
Pakcik Jamil kata, sambil berkumpul boleh mandi-mandi, boleh memancing.
Wak Sufian kata, tengah musim hujan ni lebih baik buat kat padang bola - Stadium Bukit Jalil.
Isteriku baru perasan, besan Makcik Kamisah ni rupanya ada bukak gerai makan dekat dengan ofis wife aku.
Dunia ini kecil. Semua orang saling kenal-mengenali.
Bersama makcik yang dikenali isteriku.