m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Tuesday, May 15, 2012

Kesian Amier

Petang Ahad lepas, Amier mengadu sukar bernafas. Dadanya ada sedikit berbunyi. Badannya pun ada sedikit dedar. Lalu aku bawak Amier pergi ke klinik untuk diperiksa doktor. Doktor bagi gas nebulizer bagi mencairkan kahak dan melapangkan dada. Lepas buat nebulizer, doktor bagi Amier ubat dan dia agak sedikit selesa. Lalu Amiaer tidur kat bilik dengan agak lena. 

Lepas kira-kira sejam Amier tidur, dia terjaga dan bangun sambil mengadu perut dan belakangnya sangat sakit. Menangis-nangis dia malam tu sampaikan kami jadi susah hati. Lalu aku bawak Amier ke hospital Ampang Puteri berdekatan untuk diperiksa sekali lagi. Sepanjang menanti doktor datang untuk memeriksanya, Amier terus-menerus mengeluh kesakitan. Doktor arahkan nurse ambil darah dan masukkan drip kat tangan Amier. Seorang nurse cuba untuk melaksanakan tugas itu. Gagal, kerana Amier terus menarik tangannya ketika jarum mula menyentuh kulitnya. Lalu tiga orang nurse datang. Tubuh Amier dibedung dengan kain selimut. Aku turut peluk Amier. Kederat Amier memang sangat kuat bagaikan Badang. Setelah berhempas pulas, akhirnya jarum berjaya dicucuk di tangan Amier dan sample darah dapat diambil. Tapi drip tetap tak dapat dimasukkan kerana tiub halus yang sepatutnya masuk bersama jarum telah tercabut akibat rontaan Amier yang sangat kuat. Sewaktu Amier meronta, dia siap jerit-jerit macam budak kena dera. Tapi yang aku rasa agak kelakar ialah apabila Amier menjerit, "Tidaaaaaakkkkk!!!!!" Macam dalam drama tv pulak.

Amier tengah ambil nebulizer kat klinik.
Doktor mengarahkan Amier dimasukkan ke dalam wad untuk pemeriksaan lanjut. X-ray turut dibuat di bahagian perut, dan sample air kencing juga diambil. Rupanya perut Amier penuh najis yang tersimpan. Dada Amier masih lagi ada bunyi wheezing. Jadi doktor rawat untuk sehari semalam. Petang hari Isnin barulah kami dibenarkan pulang apabila Amier kelihatan lebih sihat dan ceria. Bukan Amier tak buang air besar, cuma dia makan terlalu banyak dan buang airnya terlalu sedikit. Doktor bagi ubat untuk lawaskan pembuangan airnya. Semoga Amier cepat sembuh. Amin.

Amier dirawat di klinik, sebelum kami ke hospital kemudiannya.

Lagi tikus kena tangkap!

Yang ini bukan tikus yang sama. Mungkin macam pelanduk dua serupa. Ada iras-iras dengan tikus yang telah diberkas beberapa hari sebelum ini. Tapi sebenarnya ini tikus yang lain. Anak perempuan aku, Wanie yang mula-mula nampak tikus ni meniti di para-para pinggan kat dapur. Kali ni aku gunakan umpan kepala ikan goreng menggunakan minyak sawit yang tanpa kolesterol. Maklumlah, tikus zaman sekarang ni memang ambil berat jugak soal kesihatan.

Hari pertama pasang jerat, memang tak mengena. Hari kedua baru masuk dalam. Warna bulu tikus ni agak kecokelatan sedikit. Mungkin ada kacukan dengan tikus mat saleh. Seperti biasa, aku serahkan tikus ini kepada orang gajiku untuk menghapuskannya. Dan aku dah siang-siang pesan kat dia, jangan dibuat lauk pulak!

Tikus ini tak begitu aktif.
Umpan kepala ikan, seperti yang dicadangkan oleh ibuku, memang mengena.

Permainan tenis yang hambar

Bila dah lama tak bersukan, hati aku meluap-luap teringin nak ke Titiwangsa menghayun reket tenis kat gelanggang bersama rakan-rakan. Lalu aku berkesempatan membuat tempahan court untuk sejam pada hari Ahad lalu. Aku cuma kontek Abang Aziz aje. Tapi dia kata, seorang lagi kawan kami, Asri telah juga mengajaknya bermain tenis pada hari dan waktu yang sama. Okaylah. Nanti aku akan ajak budak-budak training untuk main dengan aku, fikir aku.

Hari Ahad pagi pun tiba. Aku sampai lewat sikit dari jam 8. Gelanggang agak basah dan sangat lengang. Budak-budak training pun nampak gayanya masih belum datang untuk kuajak bermain bersama. Lalu aku berjalan ke court yang telah ditempah oleh Asri. Rupanya Asri juga keseorangan. Abang Aziz tak dapat datang. Okaylah. Kalau macam tu, aku berentap dengan Asri ajelah untuk game single. Sama-sama dah lama tak main. Tapi Asri lebih konsisten dan akhirnya aku tewas di tangan Asri 2-3. Asri pun nampaknya agak terburu-buru nak menamatkan permainan sebab kawan-kawannya yang sepatutnya main volleyball dengan dia dah pun sampai. Memang aku tak puas main. Tapi dah keluar sedikit keringat kira cukuplah sebagai muqadimah. Memang dengan ketiadaan Abang Hj Nordin, suasana ceria ketika bermain tenis dulu telah menjadi semakin hambar.

Bergambar dengan Asri sesudah game.

Friday, May 11, 2012

Sepandai-pandai tikus melompat

Bak kata orang-orang tua - sepandai-pandai tikus melompat, akhirnya jatuh ke perangkap juga. Bak Karam Singh Walia cakap - kucing tak bergigi, tikus menari-nari. Bak aku cakap - kucing tak ada gigi, tapi orang banyak gigi. Tikus melompat tinggi, terus masuk perangkap lagi!

Semalam, operasi menangkap tikus yang kami perasan dah mula bermaharajalela telah dimulakan lagi. Memang dah lama kami nampak kesan gigitannya pada bekas-bekas makanan, atau makanan yang tertinggal atas meja seperti tepung dalam plastik, pisang, biskut dan roti. Semua diratahnya. Tapi kelibat tikus masih kami tak nampak, untuk sekian lama.

Satu malam tu aku terdengar bunyi bising kat dapur. Dan aku turut ternampak seekor tikus besar sedang menari-nari ikut rentak zapin. Tikus itu kegembiraan kerana kucing-kucing kami yang lapan ekor tu semua kami tempatkan kat luar rumah. Jadi tikus itu berasa selamat dari ancaman maut. Lalu aku pasang perangkap. Tak mengena. Mungkin salah lokasi, atau salah umpan. Malam keduanya, aku ternampak ia melompat-lompat di suatu sudut dapur yang penuh dengan makanan. Aku sangat terkejut sehinggakan tanganku yang sedang memegang ayam goreng terlepas dari genggaman dan terjatuh di lantai. (Yang ini cerita betul. Memang ayam tu terpelanting. Seriously!) Lalu aku ambil perangkap tikus berumpankan cheddar chesee, makanan kegemaran para tikus sedunia dan meletakkannya berhampiran dengan tempat tikus tadi bermain-main. Lalu lampu dapur aku padamkan dan aku terus masuk tidur.

Terjerat dan tak bisa terlepas lagi!
Esok paginya, aku nengok ada seekor tikus sebesar anak kerbau terperangkap dalam sangkar besi bak penjara. Aku sangat gembira dengan pencapaian ini. Sangkar ini memang telah sangat berjasa kepada aku. Ratusan, malah ribuan tikus-tikus durjana telah berjaya kujerat menggunakan perangkap ini. Dan yang seekor ini hanya menambahkan lagi koleksi peribadi aku. Aku serahkan tikus itu kepada orang gaji ku - "The Butcher" untuk melunaskan tikus tadi. Aku pun tak tau dia buat apa dengan tikus tu. Tau-tau bila aku balik dari kerja, tikus tu dah tak ada. Jangan dia buat lauk makan malam sudah. Memang kebetulan ada lauk daging masak lemak cili api yang lembut dan sangat enak malam tu. Hmmmm... daging apakah itu?

Bersama keju yang telah memperdayakannya.

Tuesday, May 8, 2012

Amier dan giginya

Gigi susu Amier sebelah depan telah patah kira-kira seminggu yang lalu. Waktu tu aku tak ada kat rumah. Aku kat hospital menemani isteriku yang sakit selepas melahirkan anak kami. Amier tetap nampak gembira walaupun giginya telah rongak. Semangat makannya tetap hebat walaupun tidak boleh mengacip dengan sempurna makanan yang masuk ke dalam mulutnya. Dan Amier semakin tembam dan bulat dan montel. Cuma Amier ada satu masalah aje yang belum dapat dia tangani. Kalau Amier berbicara, beginilah bunyinya:

"Nama thaya Amier. Thaya thuka makan thayur. Thetiap thaat thaya thuka membaca thurat khabar.  Thaya jugak thuka makan thothej, thardin, thotong, thengkuang, thalad, thup, nathi goreng dan mi thiam. Inilah kithah thaya yang hebat. Thekian terima kathih".

Ya! Amier kini memang ada masalah nak sebut huruf "S" tanpa gigi depannya. Kena tunggulah sampai gigi kekalnya tumbuh mengisi ruang yang kosong.

Rongak di depan.

Monday, May 7, 2012

Baby dah dapat nama!

Pagi tadi aku ke Jabatan Pendaftaran Negara cawangan Taman Maluri untuk mendaftarkan nama bayi perempuan kami yang dilahirkan pada 26 April 2012 lalu. Trafik tak sesak. Mudah dan cepat aku sampai ke destinasi. Aku terus ke kaunter untuk mengambil nombor giliran. Tiba-tiba seorang pegawai wanita menyuruh aku terus ke kaunter tanpa perlu duduk menunggu. Rupa-rupanya itu jiran rumahku yang selalu memberi kami juadah makanan. Aku tak cam wajahnya. Kira-kira lima belas minit menunggu, surat beranak atau sijil kelahiran pun siap dicetak. Dan hari ini bayi kami secara rasmi telah diberi nama Miasarah Sabriena.

Sijil kelahiran Sabriena.
Wajah comel Sabriena.

Cemas menyambut cahaya mata

Agak lama jugak aku tak blogging-kan? Sebab dah lama aku tak berdamping dengan komputer. Aku berdamping dengan isteri tersayang di hospital. Meh aku kisahkan sikit apa yang telah berlaku selama lebih seminggu sudah.

Hari Rabu 25 April, aku dan wife ke Prince Court Medical Centre pasal isteri aku dijangka akan bersalin pada esok harinya - hari Khamis 26 April melalui kaedah induce. Okaylah tu. Seperti bapa-bapa yang lain, tentunya aku seronok nak dapat baby lagi, dan pada masa yang sama sangat gementar memikirkan keselamatan kedua-dua insan yang aku sayangi ini. Isteri aku tentulah lebih nervous lagi pasal dah lama tak melalui saat yang macam ni. Kali terakhir dia melahirkan anak ialah kira-kira enam tahun dulu.

Menanti saat bersalin di labour room.
Pada hari Khamis di labour room, doktor telah menggunakan ubat untuk menggalakkan contraction. Untuk mengurangkan kadar sakit, isteriku meminta doktor menggunakan epidural. Setelah dose epidural dikenakan pada tubuh isteriku, sakit jadi berkurang. Tapi masih jugak sakit tatkala contraction mendatang. Tiba jam dua petang lebih. Nurse dan doktor mengesahkan bahawa waktunya telah tiba untuk isteriku melahirkan bayi secara normal. Dan bermulalah adegan "push". Selagi tak nampak kelibat kepala bayi, hati aku terus-menerus resah. Isteri aku juga semakin letih dalam usaha memaksa bayi keluar secara normal. Tiba-tiba terkeluar lelehan darah merah hidup yang agak banyak. Doktor memberi tahu kami, bayi nampak gayanya masih enggan turun ke bawah. Dan lelehan darah itu membuatkan doktor memutuskan untuk membawa isteri aku ke bilik bedah untuk menjalani proses C-section. Kaedah yang biasa jika diteruskan hanya akan mendatangkan bahaya kepada kedua-dua ibu dan anak.

Perkakas yang digunakan untuk memasukkan epidural ke tubuh isteriku.
Isteriku terus dibawa ke OT. Aku diajak doktor untuk turut masuk ke dalam. Setelah tukar pakaian, aku pun dibenarkan masuk dan menyaksikan proses melahirkan anak melalui kaedah Caesarean section. Tak semudah yang aku jangka rupanya. Setelah berhempas pulas, akhirnya lahirlah seorang bayi perempuan comel seberat 3.58 kg ke muka bumi ini. Cumanya bayi ini enggan menangis walaupun doktor telah membersihkan mulut dan hidungnya yang berlumuran darah. Aku agak cemas seketika. Tapi doktor pediatrik kata bayiku itu okay. Namun dia tetap terus diawasi secara rapi di unit khas ICU kanak-kanak. Sementara itu, doktor O&G meneruskan menjahit luka bedah pada tubuh isteriku. Dan aku dibawa keluar oleh seorang staf.


Bersiap sedia sebelum masuk ke OT untuk menyaksikan isteriku dibedah bagi melahirkan anak.
Pada waktu maghrib, doktor O&G memaklumkan kepada aku tekanan darah isteri aku turun secara drastik. Dia menjangkakan ada pendarahan dalaman yang masih berlarutan. Kami semua jadi cemas. Sangat cemas! Dan selepas isyak, doktor-doktor pakar mula menganalisa sebab-sebabnya. Berpain-pain darah telah dimasukkan ke dalam tubuh isteri aku. Tekanan darah masih tak setabil. Akhirnya pihak doktor tiada cara lain melainkan perlu membedah isteriku untuk kali kedua bagi merawat bahagian dalaman tubuh isteriku. Tahap cemas ku makin menjadi-jadi. Aku tercegat lama di ICU, bersendirian dalam kegusaran yang sangat hebat. Kira-kira jam 12 malam, isteriku dimasukkan ke OT sekali lagi untuk dibedah. Waktu itu kakak-kakak iparku, Kak Uda, Kak Esah, Kak Timah, serta birasku Abang Azman dan anaknya Syura datang menemanku di luar bilik OT. Keresahan aku kini dapat dikongsi dengan ahli keluarga yang sama-sama menyayangi isteriku. Kira-kira jam 3 pagi, doktor keluar dan berjumpa kami. Katanya pembedahan telah berjaya dan insya-Allah, isteri aku akan selamat. Aku sedikit lega. Tetapi masih tak puas selagi tak dapat melihat sendiri keadaan isteriku.  Setelah melihat isteriku masih tak sedarkan diri di ICU, aku ke wad biasa untuk berehat. Bila hari telah cerah nanti, akan aku datang lagi ke ICU.

Ibu dan kakakku melawat isteriku yang terlantar di ICU.
Ayah dan anak-anak turut melawat isteriku di ICU.
Isteriku dirawat di ICU untuk beberapa hari sehingga badannya lebih kuat. Tubuh badan dipenuhi segala jenis wayar dan tiub. Ahli keluarga dan kawan-kawan ada yang datang melawat memberikan semangat sambil berdoa. Kepada mereka semua, aku ucapkan terima kasih.

Adikku yang datang ke ICU dari pejabatnya.
Bayi kami terpaksa dijaga di bahagian nursery sehingga isteriku betul-betul kuat tubuh badannya. Doktor juga telah memeriksa seluruh tubuh bayi kami, dan telah mengesahkan akan kesihatannya. Syukur kepada Ilahi. Setelah lebih kurang tiga hari di ICU, isteriku dipindahkan ke wad biasa sehinggalah dibenarkan pulang pada hari Sabtu lepas bersama bayi kami. Sekali lagi kami mengucapkan syukur kerana semuanya telah selamat. Dan banyak-banyak berterima kasih kepada kaum keluarga dan teman-teman yang terus berdoa, dan melawat kami di hospital. Pengalaman ini sangat mencemaskan buat kami, dan membuatkan kami lebih insaf betapa seorang ibu itu memang adakalanya bersabung nyawa untuk melahirkan seorang bayi. Kami akan cuba ingat ini sampai bila-bila. Dan akan berusaha mencurah sebanyak mungkin bakti kepada orang tua kami. Dan mendidik anak-anak kami untuk melakukan yang serupa. Semoga Allah sentiasa memandu kami ke jalan yang benar dan diredhai.

Bayi kami berusia empat hari.
Bayi kami berusia enam hari.
Bayi kami berusia lapan hari.
Pulang dari hospital pada petang Sabtu.
Bayi lena di pangkuan ibunya.