m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Saturday, November 10, 2018

Festival Teater Malaysia 2018: Hari ketiga - Dilarang Menyanyi Di Bilik Mandi

Bahagian 1

17 Oktober 2018 - Selepas semalamnya menonton teater Metamorfosa Kosong dari Sarawak, malam ini penonton disajikan pula dengan teater berjudul "Dilarang Menyanyi Di Bilik Mandi". Karya asal oleh Seno Gumira Ajidarma, seorang penulis Indonesia. Olahan dan arahan oleh Noor Idlah Abdul Halim. Teater ini dipersembahkan oleh Politeknik Nilai dari Negeri Sembilan. Tetapi sebelum menonton teater ini, apa kata kita tinjau sejenak apa yang ada di laman luar, di warung Matic.

Karya asal - Dilarang Menyanyi Di Kamar Mandi.
Gerai Matic penuh dengan pengunjung yang ingin menjamu selera.
Orang-orang lama teater besembang panjang pasal teater.
Dato' Ahmad Tamimi menjadi pengerusi pada persidangan kali ini.
Abang Sani Sudin, Abang Lan Zailan dan Abang Rasdi ahli-ahli sidang yang hadir.
Aku sampai agak awal pada hari tu. Masih terang lagi harinya. Penggiat dan peminat teater berduyun-duyun turun ke Matic untuk menyaksikan persembahan dari Politeknik Nilai ini. Orang-orang lama dalam teater berkumpul di ruangan meja yang sama. Berbual santai soal teater. Mereka ini sealiran kerana telah berkecimpung dalam arena teater sejak tahun 70an, 80an, 90an sehingga mencecah ke era 2018. Ilmu dan pengalaman memang telah sangat jauh meninggalkan kelompok yang jauh lebih muda. Bergaul dengan mereka dan menimba sebanyak mungkin ilmu memang sangat memanfaatkan.

Abang Mubarak dan Abang Sani Sudin.
Abang Sani Sudin sebagai Setiausaha Kehormat membuat catatan.
Catatan Abang Sani Sudin: "Makan besar untuk 300 pax".
Lan Zailan menuding kepada Rama. "Dia yang bersalah dan bertanggungjawab".
Amran Nasaruddin turut bersidang di meja ini.
Persidangan semakin panas.
Di suatu sudut meja lain, Abang Kamarul dan Fais sedang menanti pesanan makanan dan minuman.
"Kau order apa, Dean Sitara?" tanya Abang Kamarul.
Anisa agak cemas menanti Dean Sitara memberikan jawapan kepada soalan Abang Kamarul tadi.
"Saya order kambing golek perasa vanila aje..." jawab Dean Sitara sambil tersengih.
"Wah! Kambing golek perasa vanila. Sedap jugak tu." fikir Abang Kamarul.
"Abang, pernah rasa kambing golek perasa vanila", soal Abang Kamarul kepada Pak Abang.
"Perasa vanila tak pernah rasa. Tapi kalau kambing golek perasa ayam, memang sedap rasanya", jawab Pak Abang.
"Hisap rokok cap apa tu, Abang", tanya Abang Kamarul kepada Pak Abang.
"Rokok Cap Ular Sawa Batik. Buatan Zimbabwe. Memang sedap rasanya", jawab Pak Abang.
Dari terang, sehinggalah gelap. Melepasi waktu maghrib sehingga kedengaran azan waktu isyak. Setelah solat isyak, ramai-ramai kami masuk ke auditorium Matic. Bersesak-sesak. Mujur aku telah dapat pas masuk lebih awal. Aku redah lautan manusia bagai seorang VVIP. Dan duduk di barisan tengah. Di sebelahku adalah seorang teman teater, Azri. Katanya teater yang bakal dipersembahkan ini penuh dengan komedi. Dan muzikal juga. Beliau pernah menontonnya sebelum ini. Memang menghiburkan. Aku berasa lega. Kerana pada malam itu aku memang sedang malas nak banyak berfikir bila menonton. Nak yang ringan-ringan aje rasanya.

Penonton pada malam itu memang luar biasa ramainya. Mungkin pihak Politeknik Nilai membawa penyokong-penyokongnya dari segenap negara dan dunia. Dengar cerita berbas-bas yang datang ke Matic untuk memberikan sokongan. Malah dengar cerita lagi, ada tiga buah Boeing Airbus turut diterbangkan khas dari merata dunia untuk menyokong dan menyaksikan persembahan ini. Semua kerusi dalam auditorium penuh dengan penonton. Ada yang terpaksa duduk atas tangga, atas lantai, dekat back stage, dekat tirai, dekat lighting. Yang tak dapat masuk terpaksalah berpuas hati dengan hanya menonton layar besar di amphitheatre. Sejurus lagu Negaraku dimainkan, semua berdiri dan menyanyi beramai-ramai dengan penuh bersemangat dan emosi. Gema suara penonton yang menyanyi sangat luar biasa impaknya. Auditorium jadi bergegar. Dan menurut kajian, gegar auditorium telah mencecah 3.7 skala richter lantaran dari gema nyanyain bersepadu ini.

Bersambung...

Penonton membanjiri auditorium.
Berdiri menyanyikan lagu Negaraku.
Sungguh bersemangat.
Bagaikan filem 1960an.


No comments:

Post a Comment