m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Saturday, November 10, 2018

Festival Teater Malaysia 2018: Hari ketiga - Jumpa teman lama

Bahagian 2 (Akhir)

Penonton telah masuk ke auditorium. Menanti persembahan teater Dilarang Menyanyi Di Bilik Mandi oleh Politeknik Nilai. Aku menanti tirai dibuka, lampu dinyalakan. Bermula dengan nyanyian dan tarian yang sangat "synchronise" dan tersusun. Cantik. Dan aku pun bersandar lega menonton keseluruhan persembahan tanpa rasa bosan dan penuh menumpu.

Diringkaskan cerita, ada beberapa elemen yang aku sangat suka pada persembahan ini:

1. Pelakon utama lelaki dan perempuannya (Tok Ketua dan Mak Som) mempunyai mutu lakonan yang sangat baik. Mereka bercakap dalam tempo yang agak laju, tapi jelas butir-butir pertuturannya. Tak mumble langsung. Setelah menonton, aku berpendapat kedua-dua watak ini mungkin boleh memenangi kategori Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita terbaik. Tapi aku sekadar membandingkan tiga persembahan sajalah. Yang lagi tiga belum dipentaskan lagi.

2. Antara babak-babak yang aku kira menarik termasuklah babak di rumah Sapiah. Satu lagi babak ketika Tok Ketua melihat sendiri anak-anak muda berhimpun di tepi bilik air menantikan terbitnya "suara nyanyian" yang memikat itu. Dialog "Heh, korang nak pergi mana tu?! Tolak balik bilik air rumah aku tu!!" sangat-sangat mencuit hati. 

3. Koreografi tarian dan nyanyian sangat cantik susunannya.

Itu saja komen dari aku.

Team produksi Politeknik Nilai bergambar setelah show.
Tetamu kenormat turut bergambar.
Puas hati dengan persembahan yang dihulurkan buat penonton.
Gaya bebas.
Terima kasih kerana telah memberikan satu persembahan yang menghiburkan buat penonton.
Gabungan senior dan junior.
Para penonton nampaknya sangat berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan. Begitu juga aku. Team produksi dan para pelakon juga kelihatan happy. Mereka memang wajar happy dengan apa yang telah dipersembahkan.

Aku lantas ke ruang pameran untuk melihat suasana di sana. Dua hari lepas aku tak sempat meninjau. Pameran oleh kumpulan yang menyertai sangat ringkas tetapi agak menarik. Buku-buku kesenian juga agak banyak dijual. Malah naskhah-naskhah lama juga kedapatan untuk dibeli pengunjung. Antara yang membuka gerai termasuklah wartawan dan pengkritik teater, Ku Seman Ku Hussein dan pelakon senior, Zulkifli Ismail dengan produk IZI Gel-nya. 

Pameran dari grup teater Tronoh TTSKL.
Pameran dari grup teater Sanggar Kretaif Kuching.
Pameran dari grup teater Politeknik Nilai.
Pameran dari grup teater KERTAS.
Pameran dari grup teater Waris dan Senandika.
Pameran dari grup teater TOPENG.
Sebahagian penonton yang terpaksa menonton melalui layar di amphitheater.
Gerai buku. Banyak buku-buku lama dijual.
Bagi peminat-peminat seni, memang wajar berkunjung ke sini.
Menanti pembeli tiba.
Ku Seman Ku Hussein, Supra dan Zulkifli Ismail. Semalamnya aku sempat memperkenalkan diriku kepada Ku Seman.
Dalam ramai-ramai pengunjung dan penonton, aku terserempak pula dengan dua orang teman teater ketika kami sama-sama dalam grup teater ANGKA dulu - Rosnanee Seman dan Azman Hassan. Masing-masing telah semakin maju dalam career masing-masing. Dan aku sangat gembira dapat bersua dengan mereka setelah sekian lama.

Cukup dululah aku berkisah untuk malam ini. Esok kita tonton teater lain pulak ya?

Bersambung...

Bergambar dengan Zulkifli Ismail. Teman teater lamaku, Rosnanee Seman juga ada.
Good vibes dari para penggemar teater.
Seorang lagi teman lama dalam teater - Azman Hassan bersama Halim dan Pak Malit.
Azman Hassan tak sempat menonton teater ini. Datang kejap aje menjengah.
Teman lama Halim jugak. Satu grup teater ANGKA.
Semua orang kenal Pak Malit - tukang yang hebat dalam dunia teater.
Oleh kerana jarang-jarang dapat jumpa Azman Hassan, aku ambil gambar dia lebih sikitlah.
Happy couple - Mardau dan BK.
Rosli dan Nohman berbincang tentang sesuatu yang menggembirakan.
Rosli dengan teman-teman di warung Matic.


Festival Teater Malaysia 2018: Hari ketiga - Dilarang Menyanyi Di Bilik Mandi

Bahagian 1

17 Oktober 2018 - Selepas semalamnya menonton teater Metamorfosa Kosong dari Sarawak, malam ini penonton disajikan pula dengan teater berjudul "Dilarang Menyanyi Di Bilik Mandi". Karya asal oleh Seno Gumira Ajidarma, seorang penulis Indonesia. Olahan dan arahan oleh Noor Idlah Abdul Halim. Teater ini dipersembahkan oleh Politeknik Nilai dari Negeri Sembilan. Tetapi sebelum menonton teater ini, apa kata kita tinjau sejenak apa yang ada di laman luar, di warung Matic.

Karya asal - Dilarang Menyanyi Di Kamar Mandi.
Gerai Matic penuh dengan pengunjung yang ingin menjamu selera.
Orang-orang lama teater besembang panjang pasal teater.
Dato' Ahmad Tamimi menjadi pengerusi pada persidangan kali ini.
Abang Sani Sudin, Abang Lan Zailan dan Abang Rasdi ahli-ahli sidang yang hadir.
Aku sampai agak awal pada hari tu. Masih terang lagi harinya. Penggiat dan peminat teater berduyun-duyun turun ke Matic untuk menyaksikan persembahan dari Politeknik Nilai ini. Orang-orang lama dalam teater berkumpul di ruangan meja yang sama. Berbual santai soal teater. Mereka ini sealiran kerana telah berkecimpung dalam arena teater sejak tahun 70an, 80an, 90an sehingga mencecah ke era 2018. Ilmu dan pengalaman memang telah sangat jauh meninggalkan kelompok yang jauh lebih muda. Bergaul dengan mereka dan menimba sebanyak mungkin ilmu memang sangat memanfaatkan.

Abang Mubarak dan Abang Sani Sudin.
Abang Sani Sudin sebagai Setiausaha Kehormat membuat catatan.
Catatan Abang Sani Sudin: "Makan besar untuk 300 pax".
Lan Zailan menuding kepada Rama. "Dia yang bersalah dan bertanggungjawab".
Amran Nasaruddin turut bersidang di meja ini.
Persidangan semakin panas.
Di suatu sudut meja lain, Abang Kamarul dan Fais sedang menanti pesanan makanan dan minuman.
"Kau order apa, Dean Sitara?" tanya Abang Kamarul.
Anisa agak cemas menanti Dean Sitara memberikan jawapan kepada soalan Abang Kamarul tadi.
"Saya order kambing golek perasa vanila aje..." jawab Dean Sitara sambil tersengih.
"Wah! Kambing golek perasa vanila. Sedap jugak tu." fikir Abang Kamarul.
"Abang, pernah rasa kambing golek perasa vanila", soal Abang Kamarul kepada Pak Abang.
"Perasa vanila tak pernah rasa. Tapi kalau kambing golek perasa ayam, memang sedap rasanya", jawab Pak Abang.
"Hisap rokok cap apa tu, Abang", tanya Abang Kamarul kepada Pak Abang.
"Rokok Cap Ular Sawa Batik. Buatan Zimbabwe. Memang sedap rasanya", jawab Pak Abang.
Dari terang, sehinggalah gelap. Melepasi waktu maghrib sehingga kedengaran azan waktu isyak. Setelah solat isyak, ramai-ramai kami masuk ke auditorium Matic. Bersesak-sesak. Mujur aku telah dapat pas masuk lebih awal. Aku redah lautan manusia bagai seorang VVIP. Dan duduk di barisan tengah. Di sebelahku adalah seorang teman teater, Azri. Katanya teater yang bakal dipersembahkan ini penuh dengan komedi. Dan muzikal juga. Beliau pernah menontonnya sebelum ini. Memang menghiburkan. Aku berasa lega. Kerana pada malam itu aku memang sedang malas nak banyak berfikir bila menonton. Nak yang ringan-ringan aje rasanya.

Penonton pada malam itu memang luar biasa ramainya. Mungkin pihak Politeknik Nilai membawa penyokong-penyokongnya dari segenap negara dan dunia. Dengar cerita berbas-bas yang datang ke Matic untuk memberikan sokongan. Malah dengar cerita lagi, ada tiga buah Boeing Airbus turut diterbangkan khas dari merata dunia untuk menyokong dan menyaksikan persembahan ini. Semua kerusi dalam auditorium penuh dengan penonton. Ada yang terpaksa duduk atas tangga, atas lantai, dekat back stage, dekat tirai, dekat lighting. Yang tak dapat masuk terpaksalah berpuas hati dengan hanya menonton layar besar di amphitheatre. Sejurus lagu Negaraku dimainkan, semua berdiri dan menyanyi beramai-ramai dengan penuh bersemangat dan emosi. Gema suara penonton yang menyanyi sangat luar biasa impaknya. Auditorium jadi bergegar. Dan menurut kajian, gegar auditorium telah mencecah 3.7 skala richter lantaran dari gema nyanyain bersepadu ini.

Bersambung...

Penonton membanjiri auditorium.
Berdiri menyanyikan lagu Negaraku.
Sungguh bersemangat.
Bagaikan filem 1960an.