m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Tuesday, May 17, 2011

Malam Masihkah Kau Ingat: Berselawat, bersalaman dan berpelukan

Setelah semua acara di dalam Malam Masihkah Kau Ingat berlangsung dengan lancarnya, tampillah pak haji yang baca doa tadi membuat cadangan supaya diadakan acara berselawat sambil semua hadirin lelaki bersalaman dan berpelukan dengan Tuan Haji Abu Bakar. Sementara yang perempuan berbuat perkara yang sama terhadap isteri kepada Tuan Haji Bakar.

Selawat ke atas Nabi diketuai oleh pak haji yang baca doa. Bekas pelajar-pelajar beratur dan salam cium tangan sambil berpelukan. Yang bukan bekas anak murid pun (seperti aku dan suami-suami yang lain) tumpang sekaki. Kot-kot masa salam tu ada hulur sekeping dua, dapatlah jugak lepas duit minyak. Acara ini berlangsung dengan sangat harmonis dan penuh syahdu. Tuan Haji Bakar jugak nampaknya macam nak pengsan pasal ada di kalangan hadirin lelaki yang tak sempat mandi petang dan berbau agak menusuk kalbu. Namun demikian wajah semua orang kelihatan gembira dan ceria.



Beratur nak kutip duit raya.

Pak haji yang baca doa mengetuai bacaan selawat Nabi.

Pelukan penuh emosi.





Monday, May 16, 2011

Malam Masihkah Kau Ingat: Cabutan bertuah dan cenderahati

Antara acara yang dinanti-nantikan oleh semua hadirin adalah acara cabutan bertuah. Hadiah bagi yang bertuah ada macam-macam. Ia termasukah kereta F1, kondominium kat Bukit Bendera dan tiket menonton final bola Piala Juara-juara - Manchester United lawan Barcelona.  Tapi oleh kerana budget tak cukup maka tak dapatlah nak bagi benda-benda tu semua dan digantikan dengan hadiah yang lebih simple. Lepas tu wakil bekas pelajar pulak yang bagi hadiah kat Tn Haji Bakar. Walaupun tak dapat apa-apa hadiah, semua orang puas hati.






Malam Masihkah Kau Ingat: Acara yang luar biasa

Malam Masihkah Kau Ingat bermula dengan acara makan-makan. Cikgu Hj Abu Bakar dah tau, kalau perut lapar masing-masing akan meragam. Jadi dia suruh semua jemputan makan dulu. Biar semua kenyang sampai menyandar. Dan sesudah tu barulah acara sebenar dimulakan.

 
Zul: penuh khusyuk mengaminkan doa.

Doa dibacakan oleh satu-satunya bekas murid yang pakai kupiah. Seorang haji yang buat package umrah & haji, bekas pelajar SRK Batu 4 (2). Doa yang hebat dan menjadikan semua orang khusyuk mengaminkan doa itu.

"Saya ingin bercerita dari zaman dinosaur dulu... Siapa yang ingat awak buat apa masa tu?"
Lepas tu barulah Tn Haji Bakar berucap. Memang aku dah pernah dengar, kalau Tn Haji bagi ucapan panjangnya berjela-jela. Tapi diselang-selikan dengan pertunjukan slides, interaksi bersama "peminat" dan mengajak bekas pelajar dari sekolah berlainan mengenali antara satu sama lain. Satu idea yang kreatif dan simple, tapi menarik. Kami juga diarahkan untuk bertukar-tukar kontek number. Peminat-peminat Tn Haji Bakar jugak nampaknya sporting ketika menuruti arahan yang diberikan.







Masa saya kat sekolah dulu, saya budak baik. Baaaaiiiikkkk sangat... He he he.

Malam Masihkah Kau Ingat: Ramainya orang datang...

Tetamu yang datang pada malam meraikan Cikgu Tn Hj Abu Bakar adalah kira-kira 90 orang kot. Umur tetamu sekitar 50an sampai 30an. Dan cikgu sendiri berusia 76 tahun, yang juga merupakan kawan sekampung ayahku di Kampung Baru, KL. Kami dijamu dengan masakan Melayu asli. Makan nasi menggunakan tangan serta duduk bersila sangat-sangatlah digalakkan bagi mengekalkan tradisi keMelayuan. Aku mungkin makan tak banyak sangat, tapi tekak memang selalu haus nak minum banyak-banyak macam unta. Ulam-ulaman juga banyak sehinggakan aku yang merupakan penggemar ulam terpaksa beraksi seperti kambing untuk menambahkan feel ketika memakan dedaunan yang kehijauan yang disajikan. Mmmmbbbeeekkkk..... laungku ketika daunan ulam disumbatkan ke dalam mulutku.



Beratur mendapatkan subsidi makanan.

Ulam dedaunan hijau yang membuatkan aku terliur.


Masih ramai tetamu yang belum hadir ketika sebahagian tetamu sedang makan.


Yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang, yang sakit kaki datang bertongkat.

Tuan Haji Abu Bakar dan isteri.



Malam Masihkah Kau Ingat: Muqadimah

Malam Masihkah Kau Ingat adalah suatu perjumpaan di antara seorang guru yang bernama Tuan Haji Abu Bakar Bin Osman dengan bekas pelajar-pelajarnya. Pencetus majlis ini bukanlah bekas pelajar-pelajarnya, tapi guru itu sendiri. Ia diadakan di Bilik Jade Palace, Kelab Sri Damansara pada malam hari Sabtu 14 Mei 2011. Meh aku berkisah sikit pasal malam ni.

Asal-asalnya ada beberapa kumpulan bekas pelajar-pelajar dari empat sekolah yang berlainan ajak Tn Hj Abu Bakar datang pada majlis reunion sekolah itu sebagai tetamu. Of course, pada waktu yang lain-lainlah. Sekolah-sekolah itu adalah: 1.SRK Batu 4 (2) 2.SMK Kampong Batu 3.SMK Raja Ali & 4.SMK Taman Maluri. Lalu cikgu ni terfikir, "Dulu diorang ajak aku jadi tetamu. Apa kata kali ni aku pulak ajak diorang jadi tetamu aku". Simple macam tu aje kisah dia. Antara satu sekolah dengan yang lain memanglah tak saling mengenali. Tapi cikgu ni nak gabungkan semuanya biar bekas anak-anak muridnya mula mengenali antara satu dengan yang lain. Bagus jugak idea ni. Menambahkan cable persahabatan.

 
Wife aku sebagai salah seorang committee terpaksalah datang awal sikit dari orang lain. Aku kat situ pun pada awalnya jadi macam gorila sumbang jugak pasal semua orang aku tak kenal. Tapi bila beberapa orang kenalan aku dari SMK Taman Maluri datang, barulah aku agak selesa sikit. Bukannya aku banyak berbual-bual pun, sekadar mengetahui ada orang yang kenal aku. Itu pun dah cukup bagus. 


Seekor kumbang di antara bunga-bunga - itulah Cikgu Tn Hj Abu Bakar.

Sunday, May 15, 2011

Kali ketiga Foong kecewa

Foong adalah pemain terhebat dalam group kami. Orangnya rendah-rendah, kecik-kecik, kepala agak botak sikit, jalan agak terkengkang-kengkang sikit, dan umur sekitar lewat 30-an atau mungkin telah mencecah awal 40-an. Kalau tengok dari segi fizikalnya memang tak jangka dia ni pandai main tenis. Tetapi sebenarnya dia sangat hebat. Dia pemain tangan kidal. Servisnya melengkung macam pisang tanduk. Forehand-nya tinggi dan penuh top spin. Backhand-nya sangat deras dan tepat. Under spin-nya pada sudut-sudut yang sukar. Dan yang paling berbisa adalah permainan volley-nya. Pihak lawan yang cuba-cuba nak tewaskan dia dalam permainan jaring perlu berfikir semula. Reflect-nya terlalu cepat dan boleh mematikan bola-bola deras yang menerpa ke arahnya. Ini menjadikan sesiapa saja yang berpasangan dengannya dalam permainan bergu menempa kemenangan walaupun pasangannya itu sangat lemah prestasinya, seperti aku.

Tapi semalam merupakan kali ketiga aku berpasangan dengan Foong dan kami tumpas. Set terakhir merupakan yang paling mengecewakan. Kami tumpas kepada pasangan hebat abang haji Nordin dan Bob. Tapi aku tak jangka akan tumpas sampai 1-6. Bola mudah pun aku kantoi. Aku rasa itulah yang menyebabkan Foong seperti berputus asa untuk bekerja keras mengejar dan mematikan bola di gelanggang lawan. Partner kena bekerja keras jugak, kalau tidak sia-sialah usaha keras yang dilakukan. Memang betul pun. Semalam merupakan kali ketiga aku bagaikan tak pandai main tenis langsung. Tak pandai main tu maksudnya macam beginner-lah. Tapi masa stroke dengan Foong okay pulak. Macam tulah adat pemain amatur macam aku. Kadang OK, kadang KO. Walaupun agak mengecewakan, tapi aku tetap happy dapat turun jumpa kawan-kawan seperjuangan.

Bob sedang beraksi.

Saturday, May 14, 2011

Badminton di malam dingin

Khamis baru ni hujan turun sampai lewat petang. Mungkin sampai mencecah waktu maghrib. Beberapa malam sebelum ini yang agak panas kini telah berubah menjadi dingin dan menyegarkan. Malam tu aku turun awal ke gelanggang. Membuat regangan otot dan menyiapkan diri untuk beraksi di gelanggang. Tak lama selepas aku sampai, datang pulak Faiisal, Hidayat dan Kois. Ngam-ngam empat orang untuk permainan double. Kami bermain terus menerus dengan bertukar-tukar rakan bergu.

Untuk kali ini, tiada siapa yang paling hebat atau paling lemah dalam permainan. Masing-masing pada tahap yang sama. Aku cuma perasan beberapa perkara mengenai kami. Kois pemain yang lambat panas. Walaupun cuaca panas, walaupun bermain di padang pasir waktu tengah hari, Kois tetap lambat panas. Tapi bila dah panas segala pukulan dan hantaran tangkis boleh menjadi sangat menyeksakan bagi pihak lawan. Hidayat dengan aku pulak lebih kurang sama. Permainan terbaik adalah pada game ketiga hingga kelima. Di hujung-hujung permainan biasanya kami akan banyak membuat kesilapan-kesilapan mudah. Faiisal memang susah nak dijangka. Ikut tangan dan kaki. Adakala hebat sampai ke sudah. Dan adakala lain pulak pukulan tangkisnya serba tak menjadi.

Aku berharap pada masa cuti sekolah dan cuti universiti nanti akan lebih ramailah yang datang memeriahkan gelanggang. Bak kata pensyarah aku, waktu belajar, belajarlah bersungguh-sungguh. Waktu bermain, bermain jugaklah bersungguh-sungguh. Semoga aku dan kalian cemerlang dalam pelajaran, kerjaya dan sukan.


Kehebatan permainan bergantung kepada rupa bentuk tapak kaki. Agak-agaknya siapalah yang terhebat?