m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Monday, March 6, 2017

Koas + Anis: Berdebar-debar menanti saat ijab & qabul

Bahagian 2

Setelah seluruh ahli rombongan keluarga tiba di pekarangan rumah Ustaz, kami dijemput masuk oleh pihak tuan rumah. Tanpa membuang walau sedikit masa pun, kami melangkah ke dalam. Terus duduk di atas lantai ruang tamu. Ustaz dan seluruh keluarga beliau, serta juru nikah telah lama berada di sana. Mereka lega kami akhirnya tiba juga. Walaupun sedikit terlewat. Kami disapa dengan baik. Dengan senyuman manis yang terukir pada setiap wajah ahli keluarga.

Sepantas kilat Koas duduk bersila di hadapan juru nikah dan Ustaz.
Masing-masing menantikan loceng berbunyi sebelum memulai acara pernikahan.
Koas cuba mengukir senyuman agar dapat menyembunyikan perasaan gementarnya.
Barang-barang hantaran yang disediakan.
Koas terus duduk bersila di hadapan juru nikah. Duduknya santun. Pergerakannya dikawal agar tidak kelihatan kasar. Ini adalah hari besar buat Koas. Hari yang sangat bersejarah. Koas perlu kelihatan seperti lelaki Melayu terakhir. Dan ahli keluarga nampaknya memang memberikan sokongan yang penuh kepada Koas. "You can do it bro!" bisik sepupu-sepupu lelaki ke pendenganran Koas. Koas semakin bersemangat.

Juru nikah tak sabar-sabar nak menikahkan Koas.
Juru nikah menanyakan beberapa soalan kepada Koas sebelum memulakan acara. Antara soalannya adalah siapakah Menteri Kewangan Uganda?
Ayah pengantin gembira akhirnya anak sulungnya bertemu jodoh.
Koas sedang memikirkan jawapan kepada soalan yang diajukan oleh juru nikah.
Seingat Koas apa yang pernah dipelajarinya ketika di sekolah rendah dulu, Menteri Kewangan Uganda ialah Kasaija Matia.
Jawapan Koas tepat. Juru nikah memberikan satu markah kepada Koas.
Tetapi para tetamu bagaikan tak ada emosi.
Para tetamu masih tidak faham macam mana Koas boleh menjawab soalan yang sangat susah itu.
Seperti biasa, ijab dan qabul tidak akan berlaku sehinggalah juru nikah selesai membacakan teks ucapan kata alu-aluan, khutbah nikah, kata-kata nasihat, kisah-kisah Nabi, cerita-cerita Hikayat lama-Hikayat Hang Tuah, pembentangan badjet 2016 dan macam-macam teks lagi yang perlu dibacakan oleh juru nikah. Setelah menanti agak lama, tak kurang dari empat jam setengah, barulah juru nikah bersedia untuk memulakan acara akad nikah. Ustaz akan menikahkan sendiri anaknya dengan Koas. Juru nikah dah pass batton kat Ustaz. Lepas ini ustaz akan take over.

Anis bangga sebab bakal suaminya dapat menjawab soalan yang berprestij itu.
Abang Zai dan Allahyarham Abang Hj Khalid mendokan yang terbaik buat Koas dan Anis.
Kois dan sepupu-sepupu Koas sedang berbincang tentang apakah soalan juru nikah yang selanjutnya.
Di satu sudut yang lain, ibu dan ibu-ibu saudara duduk memerhatikan perjalanan majlis.
Ayah pengantin tetap tenang.
Kelihatan semakin berdebar-debar Koas. Jantungnya berdegup pantas, seperti genderang mahu perang. (Macam pernah dengar aje ayat ni). Gegaran jantung Koas semakin memuncak. Seluruh ruang tamu turut bergegar seketika, bagai dilanda gempa bumi berskala kecil. Lidah Koas ligat berzikir. Jiwanya semakin tenteram. Dan semakin bersedia untuk menyambut tangan bakal ayah mentuanya. Dan bersedia untuk melafazkan ucapan keramat yang bakal menyatukan ikatan dengan insan yang bakal bergelar isteri - Anis. Dan seluruh tetamu turut menanti saat itu tiba. Beberapa saat saja lagi.

Bersambung...

Juru nikah sedang bersedia untuk mengajukan soalan yang kedua kepada Koas.
"Soalan Geografi. Namakan kesemua ibu negara di dunia ini".
"Alamak! Senangnya soalan ni", bisik Amier kepada dirinya sendiri.
"Habislah kau kali ni Koas. Aku pun tak tau jawapannya", kata Wawan kepada sepupunya.
"Aiseyyy maan. Apasal lah pulak dia bagi soalan yang susah macam ni".
"Oleh kerana awak tak dapat jawab, kita kira serilah. Awak satu point, dan saya pun satu point jugak", kata juru nikah.

Friday, March 3, 2017

Koas + Anis: Rombongan besar datang menghadap

Bahagian 1

Memohon sekelian pembaca yang budiman menghadiahkan bacaan Ummul Kitab Al Fatihah buat Allahyarham Hj Khalid Bin Hj Atan yang telah pulang ke Rahmatullah pada penghujung tahun lepas. Serta mendoakan agar roh beliau sentiasa dirahmati dan diredhai Allah hendaknya. Al Fatihah.

* * * * * * * * *

4 Jun 2016 - Setelah kira-kira 2 bulan Koas dan Anis bertunang, kini tibalah masanya untuk mereka diijabqabulkan. Barisan rombongan ahli keluarga dari pihak Koas berderet-deret tersusun menghala ke rumah Ustaz (yakni ayahanda kepada Anis). Bersusun-susun kenderaan dari bermacam jenis - kereta, van, bas, kapalterbang dan keretapi. Tidak ketinggalan kapal selam jugak. Semuanya ahli keluarga yang datang untuk meraikan ikatan Koas dan Anis. Tak siapa yang mahu terlepas saat ini. Semua ingin menjadi saksi keajaiban majlis pernikahan ini. Semua ahli keluarga berkumpul di satu penjuru berhampiran dengan rumah Ustaz. Dan secara tak semena-mena, dengan suara yang garau dan lantang, Koas menjerit, "Kita serbuuuuuuu!!!!!" Dan menerpalah seluruh ahli keluarga dari pelbagai lapisan usia berlari, bergegas ke arah rumah Uslaz tanpa menoleh ke belakang lagi!

Baru sampai di kawasan kejiranan rumah Ustaz.
Koas memastikan semua ahli keluarga sudah tiba.
Sebahagian barang hantaran yang dibawa.
Menyusun batalion rombongan ahli keluarga sebelum masuk ke rumah Ustaz.
Koas nampak sangat segak.
Barang hantaran dibawa oleh sepupu-sepapat.
Seluruh ahli keluargaku turut hadir meraikan.
Memastikan barisan tersusun rapi.
Hafez sempat ber-selfie-wefie.
Barang-barang hantaran yang berhias sangat molek diletakkan di atas meja. Bersusun kemas bagaikan hantaran yang diminta oleh Puteri Gunung Ledang dari Sultan Melaka. Gah dan terserlah. Kami masih belum mahu masuk ke dalam. Menanti sebuah lagi kenderaan ahli keluarga yang telah tersasar entah di mana. Koas perlu menyusun kembali anggota batalion ahli keluarga untuk membuat rempuhan kali kedua. Kali ini sudah pasti lagi keras, lagi memaksa, lagi dinamik tingkah dan sifatnya. 

Setelah ahli keluarga yang dinanti tiba, Koas berteriak lagi. Bak halilintar membelah bumi, "Maraaaaa.... serbuuuuu.....!!!!" Dan kami yang mengikut arahan bergegas-gegas masuk ke dalam. Berpusu-pusu. Berbondong-bondong. Koas sebenarnya sudah tak sabar-sabar untuk masuk ke dalam. Namun raut wajahnya tetap kelihatan tenang.

Bersambung...

Syafiq sebagai kapten sekolah sedang memastikan bilangan dulang hantaran cukup bilangannya.
Syafiq puas hati. Laporan telah dibuat kepada cikgu seklolah.
Elin tak ketinggalan meraikan perkahwinan sepupunya.
Kumpulan nasyid "The New Way Boyz" yang baru ditubuhkan sebentar saja tadi.
Menanti arahan dari Koas untuk masuk ke dalam rumah.
Amier turut menanti.
Adik-adik Koas -  Suraya, Syura dan Intan berasa sangat teruja.
Sempat memberikan mesej resipi masak rendang kerbau sementara menanti.
Ali turut membawa barang hantaran.
Mak Uda melayan cucu saudaranya. "Eleh eleh eleh... comelnya..."
Saleh sedang berfikir macam mana caranya untuk dapat masuk ke dalam rumah dengan lebih cepat.
Syahmie ditugaskan menjaga adiknya, Sabriena.
Alahai...comelnya budak ini. Anak siapa ya? He he he...
Ibu pengantin, Kak Esah menanti dengan resah.
Ayah pengantin, Abang Azman tetap maintain cool.
Okay, masa dah time. Jom jemput ke dalam!

Tuesday, February 28, 2017

Bertahlil di rumah Datuk Jalaluddin Hassan

25 Februari 2017 - Mohon para pembaca menyedekahkan bacaan surah Al Fatihah untuk Allahyarhamah Datin Hashimah (isteri kepada Datuk Jalaluddin Hassan) yang telah kembali ke Rahmatullah kira-kira lebih tiga bulan yang lalu. Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan roh orang-orang yang beriman dan para syuhada. Mendapat lindungan Allah dan sentiasa dalam rahmat dan redha Allah. Al Fatihah.


* * * * * * * * *


Kami mendapat jemputan untuk ke majlis tahlil di rumah artis / pelakon terkenal tanah air, Datuk Jalaluddin Hassan di kediamannya di Ampang. Jemputan ini melalui group whatsapp Teater Hidayah. Setelah berbincang dengan isteri, kami putuskan untuk pergi ke majlis itu, sebab rumah Datuk Jalaluddin pun tak jauh dari rumah kami. Hanya sepelaung Tarzan aje. Lagi pun, Amier memang tersangat teruja untuk pergi.

Setelah solat maghrib, kami bersiap-siap untuk ke majis tahlil. Tapi sebelum tu, kami kena layan Sabriena yang tiba-tiba nak turut ikut. Kena pergi ke beberapa tempat lain sebelum kami menghala ke rumah Datuk Jalaluddin. Akhirnya kami sampai sesudah azan isyak berkumandang. Dan majlis baca Yaasiin dan tahlil pun dah selesai. Para tetamu nampak gayanya dah mula makan juadah yang disediakan. Masa ni aku dah jadi cuak. Tak kan datang untuk makan aje? Sepatutnya datang lebih awal, dapatlah kami bertahlil sekali.

Sebenarnya, masa dalam perjalanan ke rumah Datuk Jalaluddin, aku dah perasan kami akan sampai lewat - setelah majlis selesai. Lalu aku zikirkan Ya Baarii (salah satu nama-nama Allah yang bermaksud Maha Merancang/Mengadakan/Merencana) dengan harapan kelewatan ini akan memberikan kebaikan atau hikmah yang lain yang tidak kami jangkakan.

Waktu sampai tu, aku memang berasa agak malu. Al maklumlah, Datuk Jalaluddin pun bukannya kenal sangat kat aku. Maka aku nak makan pun segan, walaupun setelah dijemput oleh Datuk. Namun aku tetap menjamah sedikit makanan untuk memenuhi ajakan tuan rumah. Isteriku, Syahmie, Amier dan Sabriena yang ikut sama, makan dengan berselera sekali. 

Setelah seketika berada di situ, kami memohon diri untuk pulang. Aku bersalaman dengan Datuk Jalaluddin. Kemudian memohon untuk bertemu dengan ayahandanya, Tan Sri Ustaz Haji Hassan Azhari. Datuk Jalaluddin lantas memimpin tanganku dan membawa kami berjumpa dengan ayahandanya. Kami bersalaman. Sebelum beredar, kami sempat bergambar dengan Datuk Jalaluddin. Lalu kata Datuk, kenapa tak bergambar dengan ayahandanya sekali? Lalu kami masuk semula ke ruang tamu, dan bertemu dengan Tan Sri Hassan sekali lagi. Kali ini, Tan Sri Hassan pulak yang menarik tanganku. Kemas. Aku duduk di sebelah Tan Sri, sambil tangan kami masih berpegangan. Dan kami bergambar bersama - keluarga kami, Datuk Jalaluddin dan Tan Sri Hassan. 

Sempat jugak Tan Sri menduga Syahmie dengan meminta Syahmie menyambung bacaan ayat Al Quran yang dibacanya. Sebelum beredar, aku memohon izin untuk memeluk Tan Sri. Aku sendiri tak pasti apakah yang mendorong aku berbuat demikian. Mungkin kerana keakraban yang dizahirkan. Mungkin kerana sakinah/ketenangan yang dapat kurasakan ketika duduk bersebelahan dengannya. Mungkin juga kerana rindukan Allahyarham Ayahku. Aku bersalaman dan mencium tangannya sebelum pergi. Aku rasa ada dekat tiga atau empat kali aku mencium tangannya.

Kami berasa sangat bertuah pada malam itu. Walaupun kami ini bukanlah kenalan rapat, namun layanan yang telah diberikan oleh Datuk Jalaluddin, Tan Sri Hj Hassan, serta ahli keluarga yang lain, sangatlah luar biasa. Tutur kata mereka sangat lembut dan berhemah. Aku sangat-sangat tersentuh. Barulah aku nampak hikmah di sebalik kelewatan ini, ketika hadirin-hadirat sudah mula mengurang. Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Perancang. Alhamdulillah.

Aku meneman dan mengawasi Sabriena makan.
Bergambar di ruang tamu.
Seronok sungguh kami dapat berjumpa dengan dua individu yang sangat hebat ini.