25 Februari 2017 - Mohon para pembaca menyedekahkan bacaan surah Al Fatihah untuk Allahyarhamah
Datin Hashimah (isteri kepada Datuk Jalaluddin Hassan) yang telah
kembali ke Rahmatullah kira-kira lebih tiga bulan yang lalu. Semoga roh beliau
ditempatkan di kalangan roh orang-orang yang beriman dan para syuhada.
Mendapat lindungan Allah dan sentiasa dalam rahmat dan redha Allah. Al
Fatihah.
* * * * * * * * *
Kami mendapat jemputan untuk ke majlis tahlil di rumah artis / pelakon terkenal tanah air, Datuk Jalaluddin Hassan di kediamannya di Ampang. Jemputan ini melalui group whatsapp Teater Hidayah. Setelah berbincang dengan isteri, kami putuskan untuk pergi ke majlis itu, sebab rumah Datuk Jalaluddin pun tak jauh dari rumah kami. Hanya sepelaung Tarzan aje. Lagi pun, Amier memang tersangat teruja untuk pergi.
Setelah solat maghrib, kami bersiap-siap untuk ke majis tahlil. Tapi sebelum tu, kami kena layan Sabriena yang tiba-tiba nak turut ikut. Kena pergi ke beberapa tempat lain sebelum kami menghala ke rumah Datuk Jalaluddin. Akhirnya kami sampai sesudah azan isyak berkumandang. Dan majlis baca Yaasiin dan tahlil pun dah selesai. Para tetamu nampak gayanya dah mula makan juadah yang disediakan. Masa ni aku dah jadi cuak. Tak kan datang untuk makan aje? Sepatutnya datang lebih awal, dapatlah kami bertahlil sekali.
Sebenarnya, masa dalam perjalanan ke rumah Datuk Jalaluddin, aku dah perasan kami akan sampai lewat - setelah majlis selesai. Lalu aku zikirkan Ya Baarii (salah satu nama-nama Allah yang bermaksud Maha Merancang/Mengadakan/Merencana) dengan harapan kelewatan ini akan memberikan kebaikan atau hikmah yang lain yang tidak kami jangkakan.
Waktu sampai tu, aku memang berasa agak malu. Al maklumlah, Datuk Jalaluddin pun bukannya kenal sangat kat aku. Maka aku nak makan pun segan, walaupun setelah dijemput oleh Datuk. Namun aku tetap menjamah sedikit makanan untuk memenuhi ajakan tuan rumah. Isteriku, Syahmie, Amier dan Sabriena yang ikut sama, makan dengan berselera sekali.
Setelah seketika berada di situ, kami memohon diri untuk pulang. Aku bersalaman dengan Datuk Jalaluddin. Kemudian memohon untuk bertemu dengan ayahandanya, Tan Sri Ustaz Haji Hassan Azhari. Datuk Jalaluddin lantas memimpin tanganku dan membawa kami berjumpa dengan ayahandanya. Kami bersalaman. Sebelum beredar, kami sempat bergambar dengan Datuk Jalaluddin. Lalu kata Datuk, kenapa tak bergambar dengan ayahandanya sekali? Lalu kami masuk semula ke ruang tamu, dan bertemu dengan Tan Sri Hassan sekali lagi. Kali ini, Tan Sri Hassan pulak yang menarik tanganku. Kemas. Aku duduk di sebelah Tan Sri, sambil tangan kami masih berpegangan. Dan kami bergambar bersama - keluarga kami, Datuk Jalaluddin dan Tan Sri Hassan.
Sempat jugak Tan Sri menduga Syahmie dengan meminta Syahmie menyambung bacaan ayat Al Quran yang dibacanya. Sebelum beredar, aku memohon izin untuk memeluk Tan Sri. Aku sendiri tak pasti apakah yang mendorong aku berbuat demikian. Mungkin kerana keakraban yang dizahirkan. Mungkin kerana sakinah/ketenangan yang dapat kurasakan ketika duduk bersebelahan dengannya. Mungkin juga kerana rindukan Allahyarham Ayahku. Aku bersalaman dan mencium tangannya sebelum pergi. Aku rasa ada dekat tiga atau empat kali aku mencium tangannya.
Kami berasa sangat bertuah pada malam itu. Walaupun kami ini bukanlah kenalan rapat, namun layanan yang telah diberikan oleh Datuk Jalaluddin, Tan Sri Hj Hassan, serta ahli keluarga yang lain, sangatlah luar biasa. Tutur kata mereka sangat lembut dan berhemah. Aku sangat-sangat tersentuh. Barulah aku nampak hikmah di sebalik kelewatan ini, ketika hadirin-hadirat sudah mula mengurang. Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Perancang. Alhamdulillah.
Aku meneman dan mengawasi Sabriena makan. |
Bergambar di ruang tamu. |
Seronok sungguh kami dapat berjumpa dengan dua individu yang sangat hebat ini. |
No comments:
Post a Comment