m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Friday, April 19, 2013

"Mau bikin paspor, pak!"

Dah nak cukup tiga tahun maid aku kerja dengan kami. Mungkin dia pun dah serasi dengan keluarga kami. Dan dia pun ada kawan-kawan dari kejiranan. Suami, serta saudara-mara dia pun ada yang kerja kat Malaysia jugak. Jadi dia taklah kekok untuk meneruskan mencari rezeki kat negara ni. Dan kekadang, mak aku pun ada speaking Jawa jugak dengan maid yang datang dari Jawa Timur ni. Dan dia pun ada plan nak sambung kerja untuk beberapa tahun lagi. Tak taulah berapa lama lagi. Tapi kalau lama sikit pun tak apa, pasal nak cari maid baru jauh lebih mahal dan merumitkan.

Ini adalah bangunan kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak.
Tapi sebelum boleh renew permit untuk tahun keempat, kenalah renew pasport dia dulu yang dah nak mati tengah tahun ni. Mau tak mau, aku terpaksa jugak spend time untuk bawak dia ke Duta Indonesia kat Jalan Tun Razak bagi tujuan tersebut, walaupun aku ada dengar betapa lecehnya proses nak buat pasport baru.

Sebelum ke pejabat kedutaan Indonesia, aku telah menyuruh maid aku menanya seorang temannya, yang majikannya ialah jugak jiran kami, akan kaedah yang mudah untuk membuat pasport baru. Sementara aku pulak sempat bertanya dengan salah sorang sepupu aku, Kak Hashimah, yang jugak pernah membuat pasport baru untuk orang gaji Indonesia-nya. Rata-rata menasihatkan supaya ambil borang biar awal sehari. Datang biar di awal pagi. (Kalau boleh sebelum subuh!) Prosesnya memang akan berjalan lama. Pergi pagi, petang baru boleh balik. Alamak! Punyalah lama aku kena berkampung kat kedutaan Indonesia. Nampak gayanya aku kenalah bawak khemah dan sleeping bag sekali.

Inilah kedai fotokopi yang mahal tu. Dia jugak jual insurans untuk maid.
Kami keluar rumah agak pagi jugaklah. Dua hari sebelum tu, aku ada ambil borang renewal, dan siap kena beli insuran pulak lagi untuk maid. Untuk dua tahun kena bayar RM90. Itu adalah prasyarat baru yang perlu dipatuhi. Gaji maid pulak kena tak kurang dari RM700 untuk kontrak sambungan yang baru ni. Aku ikut ajelah syarat-syarat tu.

Bila masuk ke dalam kawasan pagar kedutaan, mula-mula sekali kena beratur untuk ambil satu borang biru. Panjjaaaaaaaaaaannnggggg kena beratur. Setelah borang biru diambil dan diisi, kena pulak beratur panjjaaaaaaaaannngggg untuk ambil nombor giliran. Lepas ambil nombor giliran, kena lagi beratur panjjjaaaaaaaaaaaaannnnngggggg untuk ambil gambar pasport. Tapi yang ini aku tak payah beraturlah. Pasal bukan gambar aku yang kena ambil. Lepas tu aku menyedari ada dokumen yang aku tak sempat buat fotokopi. Antara dokkumen yang kena buat salinan ialah:

1)   Salinan kad pengenalan majikan (2 salinan)
2)   Salinan pasport maid, termasuk visa (2 salinan)
3)   Salinan resit insuran (2 salinan)
4)   Salinan buku bank maid (2 salinan). Yang ini aku tak ada. Aku tanya kat petugas kat situ, kalau tak ada, tak apa ke? Dia kata nanti kena bincang dengan pegawai kat dalam pejabat.

Oleh kerana ada dokumen yang tak sempat aku buat fotokopi, maka kenalah aku beratur kat satu barisan untuk buat fotokopi pulak. Dan macam tadi jugak, pannnnjjjjaaaaaaaaaannnnngggggg sungguh barisan tu. Dan lammmaaaaaaaaaaa sungguh untuk sampai ke giliran aku. Tetiba ada pulak tiga empat mala'un warga Indon yang memintas aku. Mereka siap berwajah selamba rock, sambil tersengih-sengih seperti tak ada apa-apa kesalahan yang mereka lakukan. Hangin jugak aku sekejap. Setelah beratur sekian lama (dekat seminggu lamanya), akhirnya keluarlah sorang pegawai dari bilik fotokopi. Dia kata buat barisan lurus dan jangan potong queue. Kemudian polis Indon yang ada kat situ pulak cakap, "Kalau berasa terlalu lama, fotokopi aja di luar". Di luar kena bayar. Kalau buat kat situ free aje. Tapi nak menanti terlalu lama lagi tension. Maka aku pun keluar dari barisan, dan pergi ke luar untuk buat fotokopi berbayar.

Kedai di luar memang tak payah beratur langsung. Jadi aku pun suruh orang kedai tu buat fotokopi dokumen yang terlibat. Lepas tu aku tanyakan harganya. Rupanya sekeping kertas fotokopi dia charge 50 sen! Wah! Sedap betul letak harga macam tu. Kalau sekeping dua, kira tak apalah jugak. Tapi kalau dah seratus keping, tak ke dah kena RM50? Kalau sejuta keping, sudah pasti kena bayar RM500,000!!! Aku pun bertanyalah kat budak mesin fotokopi tu, kenapa mahal sangat. Dan dia pun menjawab, "Oh! Mesin ini adalah mesin tercanggih di dunia yang menggabungkan teknologi dari Jepun, German dan Amerika. Dakwatnya saja diperbuat dari adunan platinium dan uranium. Dan kertasnya pulak daripada pokok-pokok kayu jati dan cengal. Bla bla bla..." Okaylah, okaylah, kataku!

Menunggu nombor dipanggil.
Setelah tu, kena pulak tunggu sampai nombor giliran dipanggil. Rupa-rupanya kaunter depan hanya dibuka pada kira-kira jam 9 pagi, walaupun orang yang datang menunggu cukup ramai memenuhi dewan. Siang berganti malam, malam berganti siang, akhirnya nombor kami dipanggil juga. Kat kaunter, aku serahkan borang yang telah lengkap diisi kepada pegawai bertugas. Kami diarahkan untuk ke kaunter 31 atau 32 bagi urusan yang selanjutnya.

Di ruang menunggu kaunter 31 dan 32, kami masih terpaksa menunggu. Dan penantiannya sangatlah laaaaaaaaammmmmaaaaaaaaa..... sangat! Jarak dari satu nombor ke nombor yang berikutnya mengambil masa lebih tiga hari tiga malam. Sedang aku asyik menunggu dengan penuh fokus, tetiba muncul sorang pegawai wanita yang bertubuh kecil, tetapi bersuara besar berteriak, "Semuanya perlu tungguuuuu!!!! Loket ditutup seketika. Kami mau makannnnnnn!!! Kami sangaaaaattt lapaaaaaarrrrrr...!!!" Nadanya sangat garang, sehinggakan ada orang yang menunggu jatuh pengsan kerana nada garangnya itu. (By the way, 'loket' tu bermaksud kaunter).

Kami terpaksa menanti sehingga jam 2 petang. Aku suruh maid aku makan dulu kan kantin. Sementara aku menanti kat ruang menunggu dengan penuh kesabaran. Pengalaman menanti umpan di makan ikan amat bermanfaat buatku pada masa-masa sebegini.

Bila kaunter dibuka kembali, kami tak perlu menunggu terlalu lama sebelum angka giliran kami dipanggil. Aku ingat dah boleh terus dapat pasport. Rupanya dia baru nak proses. Orang gajiku kena tanya beberapa soalan seperti alamat rumah, kampung halaman, hobi, cita-cita, pilihan raya nanti nak undi parti mana, suka makan apa, buat kerja apa, dan macam-macam lagi soalan yang bersangkutan dengan geografi negeri Selangor. Tapi soalan yang paling penting sekali ialah berapa gaji yang diperolehi. Maid aku kata RM700. Aku tak ada pilihan lain. Memang itulah gaji baru yang perlu diberi kepada maid aku, mengikut kontrak baru! Lepas tu kami diarah menunggu lagi.

Bila nak panggil nombor ni? Semua orang dah mengeluh panjang.
Kami menunggu lagi di suatu seksyen yang lain pulak. Penantian kali ni masih agak lama. Tapi taklah terlalu lama seperti yang sebelum-sebelum ini. Lalu nama maid aku pun dipanggil menggunakan mikrofon. Dan maid aku pun ke kaunter untuk mengambil pasport. Yes!!! Aku terus melonjak kegembiraan kerana akhirnya, proses membuat pasport baru telah selesai dengan jayanya. Oleh kerana terlalu gembira, maka aku telah belanja semua orang yang ada kat kedutaan Indonesia tu makan roti canai sekeping bersama teh tarik segelas. Makan, makan! Every thing is on me!!! Dan kami pun pulanglah ke rumah dengan perasaan sangat teruja. Next step - kena renew permit kat Putrajaya!

Yah! Nombornya sudah dekat. Tapi masih jauh. APA KHABAR SEMUA!!!

Thursday, April 18, 2013

Char kuetiau hebat dari Penang, KL

Char kuetiau memanglah satu masakan yang sedap dimakan, wangi dihidu, dan mudah dimasak. Banyak tempat dah aku makan masakan ni. Kebanyakannya mempunyai rasa sedap yang memang memuaskan hati dalam gaya yang berbeza-beza. Ini ada satu lagi lokasi masakan char kuetiau yang terletak tak berapa jauh dari tempat tinggal aku. Letaknya kat Taman Bukit Indah. First time aku try makan, rasa macam sedap sangat. Penyediaannya pun sangat cepat. Kuah char kuetiau tu dia dah siap-siap adun kat rumah. Jadi untuk satu pinggan, tukang masak mengambil masa kira-kira dua minit untuk menyediakannya. Tukang masak ni dia masak sikit-sikit. Sepinggan-sepinggan. Dia tak masak sekali banyak-banyak. Mungkin takut resipi lari kot. Tapi tak kisahlah tu. Janji kira cepat jugaklah.

Banner char koay teow - Penang mari.
Char kuetiau ni ada dua kategori. Yang biasa harganya RM4.00. Yang special harganya RM5.00. Aku tanya dia, apa lebihnya yang special. Dia kata, lebih dia biasa. Aku tak pulak tanya apa yang lebih dari biasa tu. Setakat yang aku nampak, yang lebihnya ialah harganya aje. Sebab tu aku dok order yang biasa aje. Aku jugak mendapat tau, kalau nak extra telur ada extra charge juga. Extra 50 sen kot. Tak pasti pulak aku. Gerai ni dibuka pada kira-kira jam 6 petang sampai jam 1 malam. Setakat yang aku perasan, ramai jugak orang order dari gerai ni. Kebanyakannya order tapau untuk makan kat rumah.

Chef sedang masak - memenuhi permintaan pembeli.
Char kuetiau ni paling enak kalau dimakan panas-panas. Lagi panas lagi power. Yang paling power sekali ialah lepas dia dah masak dalam kuali, terus aje curahkan masakan tu ke dalam mulut dan masuk ke dalam perut. Itu baru betul-betul power. Kalau tak cukup power jugak, cucuh api kat perut biar char kuetiau tu maintain panas dan berapi. Bagi penggemar-penggemar masakan char kuetiau, bolehlah mencuba makan masakan dari gerai ni pulak. Selamat mencuba!

Satu pinggan char kuetiau dimasak kurang dari dua minit.

Wednesday, April 17, 2013

Banjir di Ampang

Hari Rabu minggu lepas aku cuti. Jadi sebelah petangnya, aku pergilah jemput anak-anak aku, Wanie dan Amier kat sekolah. Mula-mula ambil Wanie kat sekolah agama. Lepas tu terus ke sekolah kebangsaan untuk jemput Amier pulak. Masa tu hujan turun agak lebat jugaklah. Aku dengan Wanie duduk aje dalam kereta yang aku parking kat perkarangan masjid Ampang. Masa kami sampai kat masjid, tak ada pun air bertakung kat atas jalan. Tapi hujan semakin lama semakin lebat turunnya. Dan air mulai naik sedikit demi sedikit. Air sungai pun mengalir deras macam F1. Dan semua longkang dipenuhi air. Longkang yang kecil nampak gayanya tak mampu untuk menampung kebanjiran air hujan yang naik dengan sebegitu pantas.

Jalan raya dinaiki air.
Bila dah kira-kira jam 6.30 petang, aku pun keluar dari kereta dan terus menghala ke sekolah untuk menjemput Amier. Pintu pagar sekolah yang dibuka terlalu kecil. Berpusu-pusu anak-anak yang meluru keluar dari pintu pagar kecil tu. Kelibat Amier tak jugak aku nampak. Bila berpeluang, aku terus masuk ke dalam sekolah. Pun masih tak nampak Amier. Aku keluar lagi. Nengok pulak kat bus stop. Tak jugak nampak Amier. Mata aku liar mencari Amier ke segenap penjuru kawasan luar sekolah. Tiba-tiba aku agak terkejut bila disapa oleh seorang kanak-kanak yang lencun habis tubuh badannya. Dan kanak-kanak itu ialah Amier. Aku pun tak tau tadinya dia tunggu aku kat mana.

Untuk ke kereta, kami terpaksa meredah air yang naik ke paras betis. Perlu jalan hati-hati. Takut kaki termasuk ke dalam longkang. Oleh kerana air sungai berdekatan turut naik, maka ikan-ikan dari sungai semuanya telah berenang keluar hingga ke jalan raya. Antara ikan-ikan yang sempat aku lihat termasuklah ikan kelah, sebarau, temoleh, tengas, baung, kelisa, kenerak, begahak, belida, jerung putih, ikan lumba-lumba dan ikan duyung. Nasih baik aku tak bawak jala. Kalau aku bawak jala, sudah tentu aku dah menjala semua ikan dan jual kat pasar malam berdekatan. Oh ya, terlupa pulak aku nak kisahkan. Selain dari ikan-ikan, aku jugak ternampak beberapa perenang olimpik entah macam mana telah tersesat dan berenang atas jalan raya yang dipenuhi air tu. Aku sangat pasti, mereka ini sudah tentu tak akan mendapat pingat emas kerana haluan mereka sudah tersasar.

Amier terpaksa meredah hujan untuk ke kereta.


Monday, April 15, 2013

Ceramah di kantin

Memang sudah menjadi kebiasaan di sekolah rendah anak aku akan ada ceramah motivasi bagi pelajar dan ibu bapa yang ada anak-anak yang akan menghadapi peperiksaan UPSR. Kadang kala aku datang jugak dengar ceramah yang disampaikan oleh pakar motivasi. 

Pada suatu malam tu, ada acara ceramah motivasi yang dijalankan di sekolah. Tiba di saat-saat akhir, tetiba pakar motivasi tu terpaksa tarik diri pasal ada hal yang tak dapat dielakkan. Alamak! Pihak sekolah lalu menggelabah, pasal surat jemputan sudah diedarkan. Malam tu nak buat ceramah, petang baru maklum tak dapat datang. Fikir punya fikir, akhirnya pihak sekolah menjemput salah sorang dari AJK PIBG sekolah tu jugak yang ada sedikit pengalaman membagi ceramah motivasi. Setelah disetujui oleh semua pihak, maka ceramah pun diteruskanlah.

Malangnya, masa tu dewan sekolah masih buat renovation. Jadi kenalah tukar tempat ceramah ke kantin sekolah. Kantin pun kantinlah. Janji rock! Semua mak bapak dan pelajar pun mendengarlah ceramah yang diberikan dengan penuh dedikasi. Kira okay jugaklah. Pandai jugak si penceramah mendapatkan tumpuan para pendengar. Cuma aku masa tu memang tengah sangat-sangat-sangat-sangat-sangat mengantuk tahap Dewa 19! Kalau aku tak kontrol tulang belakang aku, alamat jatuh terlentang ke lantailah aku dibuatnya. Pasal bangku kantin mana ada tempat sandar, tak macam kerusi kat dewan. Nasib baiklah ceramah tu tak berapa panjang. Aku cepat-cepat ajak anak aku, Wanie balik. Aku nak tidur awal pasal dah mengantuk sangat. Tapi bila sampai kat rumah, lain pulak jadinya. Dok buat itu dan ini, akhirnya tidur lambat jugak jadinya...

Hadirin dan hadirat yang datang ke kantin sekolah.
Macam ceramah ketua kampung aje suasananya.

Dah terlebih pahala ke?

First time aku ternampak produk ni, kira tergamam jugaklah aku. Ada ke orang yang nak membelinya? Orang yang banyak pahala pun belum tentu nak membelinya. Apatah lagi yang memang dah banyak dosa. Takkan lah nak tambah dosa lagi? Antara perkara yang bermain-main di benak aku adalah, adakah antara isi kandungan makanan ini diperbuat daripada serbuk dosa? Kenapa kena letak serbuk dosa? Kenapa tak letak serbuk pahala, biar pemakannya mendapat lebih pahala?

Oh, tapi bila aku telah tersedar dari lamunan, aku mulai faham, dosa dan pahala bukan boleh dijual beli dan didagangkan di dalam kotak. Ia adalah amalan kita di muka bumi ini, yang natijahnya akan terlihat ketika di akhirat nanti. Maka makanlah sebanyak mana pun Rava Dosa ini. Asalkan makanannya halal, dan tak dimakan berlebihan, rasa-rasanya ia tak menambahkan dosa walau sezarah pun.

Paket kotak Rava Dosa.

Doa untuk Lahad Datu

Ini kisah lama. Tapi aku rasa sangat berminat nak menceritakan pada korang pasal kisah ni. Kat masjid di Subang, tempat aku selalu solat Jumaat pada hari Jumaat, aku telah mendengar satu khutbah yang ada menyentuh sedikit sebanyak pasal kes di Lahad Datu. Masa khatib membaca khutbah tu, aku mungkin tak berapa nak dengar sangat inti patinya, pasal waktu tu aku tengah melayan perasaan dan sedang bertarung hebat dengan perasaan mengantuk yang luar biasa datang menyerang aku. Tapi masa khatib membaca doa, barulah mata dan telingaku terbuka lebih luas dan butir-butir ungkapan doa tu lebih dapat kuhayati dengan lebih terperinci.

Antara doa yang dibaca khatib pada siang Jumaat tu ialah, "..... Ya Allah, ya Tuhan kami, jadikah peristiwa di Lahad Datu ini segera berakhir dengan baik. Mereka Islam, dan kami juga Islam, maka jadikanlah ia dapat diselesaikan dengan penuh hikmah...." Sebenarnya ini bukanlah sebutan doa yang sama sebijik seperti yang dibacakan khatib. Tapi maknanya lebih kurang sama jugaklah. Aku agak tersentuh kerana khatib tak mengaitkan langsung dengan sebarang spekulasi politik tempatan. Malah tidak sewenang-wenangnya menuding jagi pada mana-mana pihak, baik pihak kerajaan Malaysia, mahu pun pihak kesultanan Sulu mengenai pergolakan ini. Khatib cuma mendoakan suatu penyudahan yang terbaik buat kedua-dua kelompok ini, dan dapat diselesaikan dengan penuh hikmah. Cerita di belakang tabir memang macam-macam kita dengar. Tapi ada kalanya melihat di luarannya sahaja adalah sangat bermanfaat untuk mendidik hati kita menjadi insan yang lebih penyayang dan pemaaf. (Alamak! Main falsafahlah pulak, kannnnn???)

Masjid Subang.

Saturday, April 13, 2013

Kisah kopi

Bagi  penggemar-penggemar kopi, tentu mereka tau jenis-jenis kopi yang pelbagai kat muka bumi ni. Malah kat Malaysia aje ada berpuluh jenis kopi yang yang saling bersaing sesama sendiri untuk mendapat perhatian dari peminum-peminum kopi tegar. Aku memang minat minum kopi. Tapi bab merasa kopi tu aku tak pulak arif. Aku rasa semua kopi lebih kurang sama aje rasa dia. Jenis kopi yang aku tau cuma kopi Hang Tuah, kopi Hang Jebat, kopi Hang Kasturi, kopi Hang Lekir, kopi Hang Lekiu, dan kopi Hang Nak Pi Mana? Dan kalau di Indon pulak ada kopi taik musang, kopi taik tenuk, kopi taik gajah, dan kopi taik hidung. Tapi sejak kebelakangan ni, aku tau pulak ada satu kopi yang namanya kopi Tenom Sabah. Inilah satu jenis kopi yang sangat hebat dari Sabah.

Kopi tenom Sabah dalam gelas spesel.
Pada suatu malam, selepas main badminton macam biasa, kami ke sebuah warung berdekatan untuk minum-minum. Aku order teh halia macam biasa. Abang Zai dan Abang Zahid pulak order kopi tenom Sabah. Masa first time order kopi tenom ni, semua orang berasa sangat teruja pasal dapat guna gelas khas, dan dapat biskut bulat dua keping. Masa mula-mula dapat gelas khas tu, Abang Zai dan Abang Zahid pun menekanlah tombol yang ada pada gelas tu berkali-kali. Niatnya supaya kopi tu lebih sebati bercampur dengan air panas. Tapi rupanya semakin berselerak serbuk keladak kopi tu ke seluruh gelas. Makin susah nak minum. Lepas tu Zila mulalah membuat ulasan dan penerangan pasal penggunaan tombol gelas, yang sebenarnya merupakan penapis serbuk kopi versi moden. Lepas tu barulah kami tahu cara menggunakan tombol tu dengan lebih professional. Lepas ni bolehlah kami kerap meng-order kopi menggunakan gelas khas ni tanpa perlu berasa segan dan malu kerana telah tau teknik dan cara-cara penggunaannya dengan betul.

Abang Zahid dan Abang Zai peminat kopi tenom Sabah.