m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Friday, July 8, 2011

Ikan kat kolam dah semakin besar

Jam hampir 11.30 pagi aku dah beredar dari ofis di Seri Putra menghala ke Kuala Lumpur untuk menjemput anak-anak aku di sekolah. Lepas solat Jumaat, aku jumpa client di Pandan Indah. Kemudian bersama Amier kami menuju ke Tasik Ampang Hilir meninjau keadaan tasik dan ikan-ikannya di sana.

Aku beli roti dan membawa tiga keping ke pinggir tasik untuk diberi kepada ikan. Belum apa-apa lagi Amier dah ambil sekeping dan makan roti tersebut. Nyom nyom nyom... Sedap sungguh nampaknya. Bila aku jengah ke dalam air aku nampak beratus ikan tilapia kacukan menunggu di tepi batu-batu. Dulu saiznya kecil, tapi sekarang dah agak gadang. Geram jugak aku nengok. Rasa nak cabut signboard yang kata "Dilarang Memancing" dan terus melabuhkan kail bersalut umpan. Waktu aku melemparkan roti ke air, bukan saja ikan-ikan yang datang, tapi lebih 5 ekor kura-kura pelbagai saiz, termasuklah beberapa ekor kura-kura gergasi Galagapos dan seekor penyu belimbing datang berebut cebisan roti dengan ikan-ikan yang nakal. Sangat seronok aku melihatnya. Ketika haiwan-haiwan air itu sedang sibuk menyambar roti, tiba-tiba ada satu kocakan yang besar. Semua ikan-ikan yang lebih kecil tergamam seketika sambil mulut mereka ternganga besar. Bagaikan ada seekor arapaima gigas @ ikan naga atau toman raksasa baru melintas menghidu mangsa. Aku juga turut terlopong. Kegeramanku untuk memancing makin memuncak. Tapi papan tanda tak bernyawa itu jugak yang menjadi pematah seleraku.

Sedang aku asyik memberi ikan makan, Amier sibuk mengejar ayam-ayam hitam yang berkeliaran. Seronok aku nengok Amier seronok macam tu. Bila roti habis, kami pun beredar dengan harapan peluang memancing dibuka semula kepada awam, seperti dulu-dulu.



Gelanggang kembali meriah

Setelah mendapat sedikit dana dari abang Zahid, aku terus ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya untuk membuat tempahan dewan badminton. Malamnya aku dapati abang Zahid, Abby, Ali, Hidayat dan Kois datang dengan semangat membara untuk memanaskan gelanggang. Dah lama gelanggang tak semeriah ini. Akulah orang yang paling gembira malam itu.

Permainan agak hambar pada mulanya pasal masing-masing bagai tak bermaya kerana suasana belum cukup panas untuk menyaksikan pemain-pemain beraksi agresif. Lama kelamaan barulah Hidayat, Kois dan Ali lebih lincah di atas gelanggang. Aku masih mengagumi ketajaman smash Abby walaupun dah lama tak beraksi bersama kami. Pada hujung-hujung permainan ketika aku dah longlai letih mengelepek, team aku-Kois telah dibelasah teruk oleh team Hidayat-Ali. Dan lepas habis satu game terus aku arahkan net dibuka dan digulung. Tewas di hujung permainan, tapi aku puas!

See the legs...

Apa khabar Isma?

Secara tak sengaja kawan lamaku Isma terberi tahu semua rakan-rakan FB-nya yang kakinya akan dibedah akibat komplikasi pada lutut. Aku dapat tau dari Noris yang Isma berada di Ampang Puteri, sama aras dengan mak mentuaku yang juga sedang dirawat di hospital yang sama. 

Dah lama tak jumpa Isma. Lama sungguh. Kali terakhir aku jumpa Isma masa tu janggut aku masih hitam lagi, dan rambut pun masih lebat menutup kulit kepala. Waktu aku sampai di katilnya, Isma sedang ditemani oleh isteri kesayangannya, beserta sebuah laptop. Wajah Isma tak berubah, cuma tubuh agak monggel sikit, sama macam akulah.

Aku bersama isteriku memulakan bicara dengan bertanya khabar. Isma lalu menjawab dengan dialog-dialog merapu yang membuatkan kami tak kering gusi. Sampai nak menitik air mata kami mendengarkan celoteh Isma yang macam orang tak sakit aje. Falsafah segala macam diluahkan yang mengalahkan Karam Singh Walia. Tak jemu kami berada di situ lama-lama. Namun kami terpaksa meminta diri untuk kembali ke kamar bonda yang terletak tak jauh dari situ. Semoga Isma cepat sembuh, dan jangan gusar tentang kesakitan sementara ini. Insya Allah, ikut nasihat doktor dan rajin berubat dan berpantang, tubuh akan kembali sihat walafiat.

Orang sakit yang kelakar.

Bonda lepasi MRI

Pulang dari ofis, aku, isteri dan Amier ke Ampang Puteri melawat bonda yang  masih dirawat di hospital. Wah! Ramai sungguh pelawat yang datang, terdiri dari anak-anak, menantu dan cucu-cucu. Ceria sikit aku nengok bonda bila suasana jadi riuh meriah ceria dengan kehadiran semua orang yang disayangi. Kebetulan hari ni harijadi anak saudara isteriku, Yaya yang dari semalam menemani neneknya di hospital. Kami disaji dengan masakan lasagna yang hebat. Siapa yang masak ya? Mak Teh atau Ika. Aku pun tak tau. Aku tau makan aje. Memang enak.

Ada jugak kek harijadi, ada kerepek, ada roti pebagai rasa, ada buah-buahan, minuman pelbagai perisa dan ada tikar untuk duduk bersantai dan bergolek-golek kalau mengantuk. Ya, entah kenapa lama-lama mata aku memang mengantuk. Aku siap berbaring atas lantai dengan kepala beralas bantal. Kalau layan ngantuk memang boleh terlena nyenyak. Kami pulang setelah jam menunjukkan pukul 10.15 malam. 

Epilog: Bonda menjalani saringan MRI siang tadi dan doktor mendapati berlaku slipped disc pada tulang belakang bonda. Patutlah bonda selalu mengadu sakit pinggang dan punggung. Sekarang bonda menjalani latihan fisioterapi. Semoga rawatan yang diberikan akan menjadi assebab bonda sembuh dan sihat walafiat.

Bonda ambil gas - untuk pernafasan.

Thursday, July 7, 2011

Menjengah bonda di Ampang Puteri

Pagi tadi wife aku terbaca sms yang mengatakan bonda masuk hospital. Sebelum pergi kerja kami bergegas ke Hospital Ampang Puteri melihat keadaan bonda tersayang. Rupanya bonda collapse malam semalam dan abang ipar aku yang hantarkan bonda ke hospital. Sekarang bonda ditemani cucunya yang sedang bercuti belajar. Malam nanti kami akan lawat bonda lagi. Dan semoga bonda cepat sembuh dan walafiat hendaknya, dan selalu dalam redha dan rahmat Allah swt.

Tuesday, July 5, 2011

Kail sejengkal dan lautan seluas ufuk

Orang tua-tua ada berkata, "kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga". Maksudnya kalau ilmu masih cetek, janganlah nak act test power kat kelompok yang lebih mencabar dan handal. Tapi kalau fikir-fikir balik, kail kalau dah sejengkal panjang dia kira besarlah tu. Cuba tanya kengkawan aku yang kaki mancing, jangankan marlin dan layaran, killer whale, great white shark, giant squid dan paus biru Antartika pun senang-senang nak dinaikkan pakai mata kail sebesar tu. Tapi sekarang bukan pasal kail atau mancing yang nak aku ceritakan kat sini. Aku cuma nak cerita pasal pepatah tadi. Itulah yang telah aku alami malam semalam ketika berkunjung ke gelanggang badminton di Ampang.

Bulan ni aku masih belum berkesempatan nak booking court badminton sebagaimana selalu kerana ada sedikit masalah teknikal yang belum dibereskan. Jadi malam tadi aku mengambil peluang untuk menumpang main dengan geng sepupu aku, Widi. Memang dia pernah ajak, tapi aku menolak pasal dah ada geng sendiri yang lebih serasi. Selepas buat stretching, aku duduk tepi gelanggang melihat empat pemain beraksi. Hebat sungguh mereka. Aku terkaku dalam kekaguman. Smash angkat, smash angkat, smash angkat, drop angkat, drop angkat, drop angkat. Memang panjang sungguh rally diorang. Satu rally ada dekat 4-5 jam. Itu baru satu rally. Kalau satu game 2-3 hari baru habis. Kalau satu set? Bayangkanlah. 

Bila permainan tadi habis, aku pun masuk, partner dengan sepupuku, Widi. Tangkis sampai kat aku aje mati. Kalau tak pun aku asyik bagi bola tanggung aje, dan terus di-smash lawan. Tak sampai 10 minit dah selesai 1 set. Bukan satu game, tapi satu set. Alamak. Mesti partner aku dan lawan kami jugak tak puas main sebab terlalu cepat segalanya berakhir. Kalau main badminton atau apa-apa game sekali pun, kalau pihak lawan tak memberi tentangan yang setara, memang tak puas rasanya. Itulah yang dialami oleh pemain-pemain ketika berentap dengan aku. Menyedari keadaan ini, aku pun duduk kejap sembang-sembang dengan Widi, lepas tu mintak diri nak balik. Padahal plan asal nak main kurang-kurang 2-3 set. Memang aku tak setaraf mereka yang dah jauh lebih advance. Okay, kalau ada rezeki kita mula balik start minggu depan. Players! Get ready!

Tengok court sebelah tu kosong. Biasanya aku dan geng aku yang main kat situ.

Widi dan geng-gengnya yang terlalu hebat buatku.

Monday, July 4, 2011

Pingat emas kebanggaan

Balik dari kelas malam Syahmie tunjukkan pingat emas yang diperolehinya siang tadi kat sekolah. Dia jadi juara pertandingan tarik tali, lawan antara rumah-rumah. Aku sangat terharu dan menitiskan air mata syahdu. Lantas kutumbangkan seekor kerbau untuk dibuat kenduri kesyukuran bagi meraikan kejayaan cemerlang yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat 1 Malaysia. Yalah tu. Tapi aku memang bangga, walaupun cuma menang acara tarik tali. Macam ayahnya dulu sewaktu di sekolah rendah, dua tahun menang kejuaraan tarik tali antara rumah. Sekali masa darjah 4 dan sekali lagi masa darjah 6. 

Aku ingat lagi, biasanya aku duduk kat front line pasal badan aku besar. Kawan aku yang badannya lebih besar dan tegap akan duduk paling belakang jadi anchor. Jadi anchorman-lah yang paling penting. Tali kena diikat kemas pada pinggang & badan. Badan kena dicondongkan ke belakang pada sudut 45 darjah biar lebih stabil. Semua penarik tali kena rendahkan badan biar lebih rendah pusat graviti pada tubuh maka lebih stabil dan berat beban yang terbentuk. Ini akan menjadikan pihak lawan lebih payah nak menarik kita. Rumah aku cuma kalah masa aku darjah 5 pasal masa tu tak ada anchorman yang berpengalaman. Acara tarik tali merupakan acara kemuncak pada sukan olahraga tahunan. Siapa yang menang pasti berasa bangga sungguh sampai kembang kempis lubang hidung dan jalan pun terkengkang-kengkang kerana terlalu bangga. Syahmie dah ikut jejak langkah aku. Bagaimana pulak Amier bila dia dah bersekolah rendah nanti?