m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Friday, February 17, 2017

Kenduri-kendara rumah Abang Anjang: Moh makan dulu

Bahagian 1

Mohon para pembaca sekelian menyedekahkan bacaan surah Al Fatihah kepada Allahyarham Hj Khalid Bin Hj Atan, abang iparku yang telah pulang ke Rahmatullah pada hujung tahun lepas. Mendoakan agar roh beliau ditempatkan di kalangan roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Digolongkan di kalangan para syuhada. Dan sentiasa dalam rahmat dan redha Allah hendaknya.


28 Mei 2016 - Ini cerita tahun sudah. Abang sepupu wife aku, Abang Anjang ada mengajak kami, dan seluruh kerabat kami untuk datang ke rumahnya di Labu, Negeri Sembilan. Ada kenduri katanya. Tapi aku tak ingat pulak kenduri sempena apa. Menyambut datangnya bulan Ramadhan kot? Serta doa selamat. Dan apa-apa sajalah yang diniatkan. Kami anak-beranak pun bergeraklah dari Kuala Lumpur ke Labu dengan penuh semangat. Walaupun kami dah tak berapa ingat jalan masuk ke rumah Abang Anjang, tetap kami redah jugak. Pakai aplikasi Waze, GPS, Google Map, Microsoft Office, Photoshop dan Autocad. Akhirnya kami sampai jugak walau beberapa kali kami tersesat dan tersasar.

Abang Anjang menanti kehadiran tetamu dari seluruh pelusuk negara.
Memastikan kaca mata cukup cerah untuk digunakan ketika membaca surah Yaasiin nanti.
Allahyarham Abang Hj Khalid duduk dengan tenang.
Amier sedang menikmati keenakan bihun goreng pekan Labu yang amat tersohor.
Tiap-tiap suapan dihayati dengan sesungguh hati.
Kak Timah dan Kak Esah duduk-duduk sambil makan-makan.
Syura tak nak makan pasal takut giginya yang cantik menjadi comot.
Kak Shidah turut menikmati bihun goreng.
Sampai-sampai aje, setelah bersalaman dengan Abang Anjang, kami terus makan. Kira macam makan sarapanlah. Makanan ringan seperti kuih-muih dan bihun goreng. Abang Anjang sebenarnya tengah menanti kedatangan Tuan Imam untuk memulakan majlis bacaan Yaasiin dan bertahlil. Sementara tu kami makanlah dulu. Sampailah kenyang. Kenyang sangat. Tapi Tuan Imam masih belum jugak sampai. Pasal jaraknya jugak sangatlah jauh. Akhirnya Abang Anjang menghampiriku dan membisik, menyuruhku untuk mengepalai majlis. Aku tak menolak, walaupun aku kurang arif dalam banyak aspek. Abang Anjang mengumpulkan para tetamu. Dan aku mulakanlah dengan membaca surah Yaasin bersama-sama.

Kak Leha, Kak Ogie dan Ani sedang bekerja keras di dapur.
Mai sedang nak menggoreng landak raya sebagai juadah buat tetamu.
Kak Shidah, Kak Timah dan Kak Esah bersantai di ruang dalam rumah pulak.
Sedang kami semua membaca Yaasiin, tetiba Tuan Imam pun sampai. Aku masih proceed dengan bacaan Yaasiin. Sampai selesai. Aku teruskan dengan bertahlil beramai-ramai. Selesai tahlil, aku mintak Tuan Imam membacakan doa. Tuan Imam jugak tak menolak. Dan doa dibacakan agak panjang. Nasib baik bukan aku yang baca doa. Kalau aku baca, mesti tersangkut-sangkut dan sependek mungkin. Syukur. Seluruh majlis yang dihajatkan telah berlangsung dengan baik. Dan para tetamu diajak makan sekali lagi. Kali ni makan berat. Batu, besi, gajah dan badak air. Tak laaaahhhh.... Makan nasi daaa... Lauk kampung masak orang Negori.

Abang Naim dan Allahyarham Abang Hj Khalid menanti majlis dimulakan.
Koas dan beberapa tetamu lain sedang bersiap-siap untuk membaca Yaasiin dan bertahlil.
Sesudah berdoa, para tetamu dijemput makan tengah hari.
Lauk-pauk ada macam-macam jenis macam kat hotel.
Allahyarham Abang Hj Khalid sedang mengambil juadah.
Para tetamu masih beratur panjang untuk mendapatkan makanan.
Para tetamu beratur panjang untuk mendapatkan makanan. Panjang sangat barisannya. Macam Keretapi Tanah Melayu. Macam ERL. Macam Jambatan Pulau Pinang. Macam Tembok Besar Negara China! Tapi semua beratur dengan penuh tertib. Tak risau pasal makanan tak cukup. Pasal makanan yang disediakan memang sangat banyak dan mencukupi untuk semua. Dan masakan kampung air tangan Kak Leha memang tak dapat dinafikan tahap kesedapannya. Kami makan bertambah-tambah. Sampai membesar perut kami. Naik berat badan berkilo-kilo. Dari lidi menjadi balak gamaknya tubuh kami.

Bersambung...

Makanan dalam talam masih banyak lagi.
Koas pun tak nak ketinggalan untuk mendapatkan makanan.
Koas mendapatkan rendang rusa karibou.
Giliran Tuan Imam pulak untuk mengambil makanan.
Koas meneliti dengan berhati-hati sebelum mencedok lauk.
Kejap lagi bolehlah makan.

Sunday, February 12, 2017

Bagan Lalang 2016: Memancing dan selamat tinggal

Bahagian 6 (Akhir)

Aktiviti wajib untuk anak-anak sudah pastilah berenang di swimming pool. Dan aktiviti wajib untuk aku pulak (kalau pergi bercuti) sudah pastilah memancing. Tak kiralah memancing kat mana sekali pun. Kalau ada laut, pancing kat laut. Kalau ada sungai, pancing kat sungai. Kalau ada kolam, pancing kat kolam. Malah paling tidak, kalau ada lopak air tepi jalan, maka aku mancinglah kat lopak air tu. Pun boleeeeehhh...

Farid sedang menanti ikan kerapu menarik joran.
Kalau tak ada kerapu, kurau pun jadilah.
Paling tidak pun ikan siakap atau senangin.
Tak kan ikan gelama pun tak sudi menjamah umpan.
What about buntal? Tak nak datang makan ke?
Farid masih setia menjaga joran walaupun dah berjam-jam menanti.
Kami cuma berpeluang untuk memancing pada sebelah petang pada hari kedua. Pada asalnya aku nak cari perumpun sarang yang dulu-dulu ada dijual di jalan masuk ke Bagan Lalang. Tapi kali ni aku nengok macam dah tak jual lagi pulak kat situ. Orang tempatan kat situ kata perumpun ada dijual kat sebelah pekan. Alamak! Jauhlah pulak. Last-last aku pergi pasar cari umpan udang atau ikan kembung. Nak cari port mancing pun satu hal jugak. Pasal masa tu orang ramai dah membanjiri kawasan pancingan. Cari punya cari, akhirnya aku jumpa jugak satu port mancing kat satu sudut pantai. Kat situ ada beberapa orang pemancing yang sedang sabar menanti ikan meragut umpan. Aku pasang joran dan labuhkan umpan di dasar laut. Mengharapkan ikan-ikan bersaiz gadang menjamah umpan.

Wife aku turut mencuba nasib.
Ikan dalam air nak tidur. Tak nak bersiar-siar di darat nampak gayanya.
Last casting.
Setelah agak lama menanti, unpan yang aku pasang langsung tidak digetu ikan. Aku pun tertanya-tanya. Adakah ikan tak suka dengan umpan yang aku sajikan? Mungkin ikan-ikan kat sini lebih gemar makan burger, pizza, KFC atau McDonald's? Aku tak tahu. Tapi orang kat sebelah aku nampak gayanya dapat jugak beberapa ekor ikan gelama. Bila aku buat kajian dengan membuat Google di internet, aku berpendapat masalahnya adalah aku punya perambut terlalu kontot. Yang dapat ikan tu semua pakai batu ladung kat bawah, umpan kat atas. Dan jenis umpan pun lain sikit dari yang aku pakai. Tak apalah. Rezeki aku bukan keluar dari laut Bagan Lalang nampak gayanya. Tapi, bila petang semakin lewat, aku ternampak sirip ikan yang agak besar berenang-renang kat tepi pantai. Kira-kira 20 kaki dari tempat aku berdiri. Memang dekat sungguh! Aku rasa itu mungkin sirip ikan siakap. Atau pun ibu gelama. Atau pun jenahak. Dan mungkin jugak sirip killer whale. Sebenarnya ini bukan kali pertama aku ternampak sirip ikan besar tepi pantai. Masa dulu-dulu pun aku pernah ternampak perkara yang sama. Dan memang tak mustahil ikan-ikan besar berlegar-legar di gigi air untuk mencari ikan-ikan kecil yang berenang-renang di batu-batu tepi pantai. Kalau aku pasang gewang, mungkin ada ikan yang naik pada petang tu. Wallahu a'lam!

Sedang menanti makanan yang dipesan di gerai.
Char kuetiau on the way.
Brader ni masak memang cepat pasal pesanan punyalah banyak pada malam tu.
Campur ajelah apa-apa yang patut. Janji nampak macam char kuetiau.
Kebetulan masa kami pergi bercuti tu, ada sambutan hari spesel kat Bagan Lalang. Ada semacam ekspo. Tapi aku dah tak ingat apa kebendanya. Maka banyaklah gerai-gerai makanan di tepi pantai. Kami cuma beli makanan kat gerai-gerai yang bersepah tu, tapau dan makan kat bilik resort. Antara yang menarik perhatian kami adalah sotong gergasi goreng tepung serta teh hijau ais. Sangat sedap kami rasakan. Kami cuma berjalan kaki aje kalau nak ke gerai-gerai tu. Tak jauh pun lokasinya dari tempat tinggal kami.

Siap-siap nak balik ke Kuala Lumpur.
Amier sempat nak test layang-layang.
Layang-layang tak berapa nak terbang pulak pagi ni. Dah habis minyak kot?
Banyak jugak barang yang kami bawak.
Amier kecewa keana layang-layang dah mogok terbang.
Lalu Amier buat live video.
Sedang merakamkan bual bicara bersama Amier.
Farid sedang membantu neneknya untuk ke kereta.
Bergambar kenangan di hadapan tempat tinggal.
Bergambar lagi.
Dan lagi...
Keesokan paginya, setelah bersarapan, kami pun packinglah barang-barang untuk pulang ke rumah. Kami bergambar dulu sebelum pergi meninggalkan Seri Bayu Resort Hotel. Amier pulak sempat membuat video ulasan spontan mengenai prestasi resort tempat kami menginap. Selepas itu barulah kami berangkat pulang. Bye-bye Bagan Lalang! Bye-bye Seri Bayu Resort! Bye-bye laut dan pantai. Ada peluang, kami akan berkunjung lagi.

TAMAT.

Laman hadapan Seri Bayu Resort Hotel.
Ini tempat wajib untuk ambil gambar.
Masih di laman hadapan.
Sebelum meninggalkan pekarangan resort.
Happy sebab dah nak balik KL.
Pakcik dan makcik RELA setelah penat bertugas.
Sempat singgah sebentar beli buah naga.
Untuk makan sendiri dan bagi kepada jiran-jiran.