m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Sunday, December 25, 2016

Happy birthday Halim!

17 Julai 2016 - Jiran kami Abang Azlan dan Kak Aishah telah mengajak kami untuk datang ke rumah mereka sempena menyambut hari jadi salah seorang anak mereka - Halim. Maka kami pun pergilah. Lagi pun rumah mereka tak jauh dari rumah kami. Kami pun datanglah anak beranak. Nampak gayanya macam tak berapa ramai sangat tetamu yang dijemput. Yang special-nya, siap ada food truck parking kat sebelah rumah. Order aje apa yang nak dimakan. Nanti orang food truck tu akan masaklah. Bezanya, yang ini tak perlu dibayar. Tuan rumah yang tolong kaw tim. Seronoklah kami. On top of that, budak-budak dapat angpau pulak lagi.

Kepada Abang Azlan dan Kak Aishah sekeluarga, kami mengucapkan berbanyak terima kasih. Kepada Halim, kami ucapkan: Selamat Hari Jadi!

Wanie dan Amier sedang menikmati makanan dengan penuh keasyikan.
Sabriena makan tortilla. Sedap jugak tortilla ni. Di-order dari food truck.
Masih dengan chicken nugget.
Seronok sungguh Sabriena.
Dapat goodies bag Spiderman pulak lagi.
Abang Azlan menghulurkan angpau kepada anak-anak.
Wanie dari tadi asyik makan dan minum aje.
Birthday boy Halim di samping food truck. Cantik food truck dia.
Food truck ni jual makan Italy.
Reaksi sesudah kenyang.
Menanti waktu pulang.
Minum air dulu.
Okay. Lepas ni kita balik rumah.

Wednesday, December 21, 2016

PT3 dan Wanie

19 Disember 2016 - Kami dah tak sabar-sabar nak tunggu detik ini. Gemuruh bercampur teruja. Wanie? Tak taulah. Aku tak dapat meneka apa yang terbuku di benaknya. Tapi kebanyakan ibu bapa sudah pasti berbaur-baur perasaan mereka.

Kami bertolak ke SMA Maahad Hamidiah Kajang taklah terlalu awal. Sampai kat sana kira-kira jam 10 pagi. Masa tu Ayahanda Pengetua sedang berucap. Banyak yang diucapkan kami tak sempat nak dengar pasal datang terlewat sedikit. Tak lama menanti, ibu bapa dipersilakan beratur mengikut kelas masing-masing untuk pergi mendapatkan keputusan peperiksaan PT3.

Aku yang pada awalnya tenang, tiba-tiba berasa cemas dan gemuruh. Lebih-lebih lagi bila melihat ada beberapa pelajar lelaki sekelas dengan Wanie mendapat 11A. Ternyata ibu dan ayah mereka sangat gembira. Bagai tak disangka-sangka. Akhirnya sampailah giliran kami untuk mengambil sampul besar berisi sijil peperiksaan dan keputusannya. Guru kelas Wanie bagai tiada reaksi jelas yang boleh membantu kami meneka pencapaian Wanie. Kami buka sampul. Lekas-lekas meneliti sijil keputusan PT3. Banyak A yang tersusun. Cuma ada 1B. Mata pelajaran Sains. Eh! Sama macam keputusan PT3 Syahmie dua tahun terdahulu. Macam dah janji-janji aje. Aku happy. Aku rasa Wani jugak happy dengan keputusan yang diperolehinya. Wanie kata subjek Matematik susah. Dia ingat subjek itu yang dapat B. Rupanya subjek Sains. Ok. Dan kami pun berlalulah dari sekolah dengan perasaan gumbira.

Beratur mendapatkan keputusan PT3.
Mendapatkan keputusan dari guru kelas.
Bergambar di luar dewan dengan perasaan bangga.
Gambar yang sama. Saja letak dua kali. Boleh?
Sesudah seketika meninggalkan pekarangan sekolah, aku membaca whatsapp Group Sekolah Maahad Hamidiah. Dari situ aku tahu beberapa perkara:
     11A - 13 orang pelajar
     10A 1B - 44 orang pelajar (termasuk Wanie)

Kemudian dalam whatsapp itu juga ada gambar pelajar-pelajar yang mendapat 11A bergambar di atas pentas bersama Pengetua. Aku tunjukkan gambar ini kepada Wanie. Wanie terlihat ada salah seorang kawan karibnya, Maryam turut berbaris dan bergambar. Tak lama selepas itu, Wanie tiba-tiba berasa sedih. Menitis-nitis air matanya. Bila ditanya kenapa Wanie bersedih, jawabnya "tak tahu". Tapi aku rasa, perasaan itu mungkin timbul bila melihat Maryam berada di kalangan 13 orang pelajar yang mendapat straight A's. Sedangkan dalam peperiksaan hujung penggal tempoh hari, Wanie menduduki tempat ke-3, dan Maryam di tempat pertama. Tak jauh bezanya. Rezeki masing-masing. Allah dah tentukan yang itulah keputusan untuk Wanie. Ada sebabnya. Setelah lama kami memujuk Wanie, barulah perasaan kesedihannya itu berlalu beransur-ansur. Bagi kami pencapaian Wanie itu sudah hebat. Untuk masa akan datang, Wanie perlu berusaha lebih gigih dan tekun berdoa memohon dari Allah. Kemudian bertawakkal. Apa yang Allah akan beri, itulah yang terbaik untuk kita. Tahniah kepada Wanie dan semua pelajar Maahad Hamidiah Kajang.

Keputusan peperiksaan PT3 Wanie.



Monday, December 19, 2016

Tenis bapak-anak dan perhimpunan keamanan Rohingya

4 Disember 2016 - Salah satu impian aku sejak dulu ialah dapat bermain tenis dengan seluruh keluarga aku - isteri dan anak-anak. Dulu-dulu ada jugak wife aku mencuba-cuba untuk bermain tenis, walaupun tak berapa pandai. Dan tiba-tiba lututnya pulak injured. Malah dulu-dulu aku ada jugak menghantar Syamie dan Wanie untuk belajar main tenis. Masa tu nampak gayanya mereka tak berapa berminat sangat. Especially bila kena hit backhand, dan kena bangun pagi untuk berlatih di court DBKL di Bangsar. Namun jauh di sudut hati aku masih berharap mereka dapat menguasai permainan tenis ini dan dapat sparring dengan aku di gelanggang.

Sewaktu Syahmie belajar di MRSM Gemencheh, aku telah membekalkan Syahmie dengan reket dan bola tenis supaya dia dapat training petang-petang. Kat MRSM Gemencheh ada court tenis yang cantik. Kalau tak digunakan kira sayanglah. Dan barangkali tak ada orang yang boleh bermain tenis di sekolahnya, akhirnya Syahmie terpilih jugak untuk mewakili sekolah bertanding di peringkat daerah. Bangga aku, walaupun dia selalu kalah. Tak kisahlah kan?

Maka pada pagi itu, aku bawaklah Syahmie ke gelanggang Titiwangsa untuk bermain tenis dengan teman-teman dari kelab TTC ku. Aku tahu, kalau pagi Ahad memang sangat susah nak dapat cukup players sejak kebelakangan ni. Jadi kalau tak cukup korum, bolehlah Syahmie top-up.

Sehari sebelum kami ke Titiwangsa, aku ada nengok kat tv, pada hari Ahad tu ada perhimpunan beramai-ramai rakyat Malaysia di Stadium Titiwangsa sempena gesaan untuk menghentikan pembunuhan etnik Rohingya di bumi Myanmar. Aku agak mesti orang akan ramai bersesak-sesak ke Titiwangsa. Tekaanku tepat. Kami keluar rumah pun taklah terlalu awal. Jadi kami sampai di gelanggang kira-kira jam 8 pagi lebih sikit. Masa tu dah banyak kenderaan parkir di tepi Jalan Tun Razak. Memang banyak sungguh. Bas berdozen-dozen tersadai di pinggir jalan. Kereta bersepah-sepah dan bersusun-susun di sekitar Titiwangsa. Tak cukup dengan tu. Kapalterbang pun ada empat lima buah landing kat Jalan Tun Razak. Semuanya jenis Airbus Boeing 777. Bukan saja rakyat Malaysia yang ramai berkunjung, tetapi suku etnik Rohingya yang ada kat Malaysia pun ramai jugak yang berhimpun. Aku menyaksikan ada di antara mereka yang bersalaman dan berpelukan bila bersua dengan teman-teman sekampung yang dah lama tak mereka temui. Jumpa kat KL pulaknya. Itulah rezeki mereka namanya. Kalau aku congak menggunakan kalkulator, ada kira-kira tak kurang dari 50 juta orang yang berhimpun di Tasik Titiwangsa. Memang ramai sungguh!

Poster di belakang lori - "Hentikan Pembunuhan Rohingya".
Bersama Syahmie.
Aku tak menghiraukan jumlah mereka yang ramai. Aku sekadar nak main tenis. Maka setelah letak kereta di pekarangan Istana Budaya, aku dan Syahmie terus melangkah ke court. Pada hari tu, turut hadir adalah Sidiq dan Nafi. Campur aku dan Syahmie, ngam-ngamlah 4 orang untuk kami bermain double. Aku partner dengan Syahmie lawan Nafi dan Sidiq. Memang sah-sahlah kami kalah. Tak kisahlah tu. Aku jugak nak bagi Syahmie expose dengan better players supaya dia cepat improve. Kami main beberapa set sebelum mengorak langkah pulang. Masa tu perhimpunan "Selamatkan Rohingya" dah bersurai. Namun masih ramai lagi peserta yang berlegar-legar di sekitar Taman Tasik Titiwangsa. Semoga aku dan Syahmie dapat meneruskan lagi gandingan anak-beranak ini sehingga mutu permainan kami meningkat.

Antara yang hadir dalam perhimpunan pada pagi itu.
Pengunjung memenuhi ruang taman.
Bukan senang kami dapat parkir kereta kat tempat eksklusif macam ni. Siap ada bumbung lagi.

Saturday, December 17, 2016

Farewell MRSM Gemencheh

29 November 2016 - Sejurus setelah pelajar-pelajar tingkatan 5 selesai menjawab kertas terakhir peperiksaan SPM tahun 2016, mereka terus dibenarkan pulang oleh pihak sekolah - MRSM Gemencheh Ulul Albab. Maka aku dan anak-anak pun bertolaklah ke Gemenchen setelah selesai solat Jumaat. Memandu secara tenang dan tidak tergopoh-gapah, kami sampai di MRSM kira-kira jam 6 petang. Setelah solat asar di surau MRSM, kami terus pergi mendapatkan Syahmie. 

Syahmie sedang menanti di asrama bersama teman-temannya yang lain. Sebahagian besar pulang pada hari Jumaat. Selebihnya pulang pada keesokan harinya - hari Sabtu. Setelah menyimpan barang-barang Syahmie di dalam kereta, kami membiarkan Syahmie bertemu, bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal kepada teman-temannya yang masih berada di asrama.

Tak pernah aku nengok surau ni lengang macam ni. Selalunya akan ada anak-anak yang duduk membaca Al Quran.
Syahmie di depan bilik asramanya. Goodbye Room!
Dari kiri: Imran, Syahmie dan Syahmi.
Ruang asrama semakin menyepi.
Syahmie bersama Haziq (mantan Presiden BWP dan tokoh pelajar 2016).
Dari kiri: Iman, Syahmie dan Azrie.
Dari kiri: Iman, Azrie, Syahmie dan Haikal.
Syahmie bersama Salihin.
Syahmie berdakapan dengan Fizo.
Dari kiri: Syahmie, Adi dan Muhaimin.
Syahmie bersama Hafiz (wakil tingkatan 5).
Berkumpul bersama teman-teman sebelum bersurai pada hari esoknya.
Hadapan dari kiri: Salman, Syahmie, Syakirin, Adam. Tengah dari kiri: Alif, Naqib, Fikri. Belakang dari kiri: Fawwaz, Hafiz, Mirza.
Sembang-sembang akhir tahun.
Dari kiri: Zul, Syahmie dan Amir.
Amier dan Syahmie bersama Luqman.
Bertukar-tukar nombor telefon dengan Luqman.
Amier sedang kebosanan.
Aku masih ingat lagi ketika aku dalam tingkatan 5 dulu, di MRSM Kota Bahru, sebelum kami pelajar-pelajar KL-Selangor pulang menaiki bas yang telah disediakan, kami bersalaman, berpelukan, menangis teresak-esak kerana terpaksa berpisah setelah sekian lama bersama. Lima tahun kami lalui hidup di MRSM bersama. Belajar bersama, makan minum bersama, solat bersama, bersukan bersama, bergurau bersama, cari air bersama, dan macam-macam benda lagi yang kami buat yang menyebabkan kenangan di antara kami sangat kuat melekat dalam ingatan kami. Aku rasa begitu jugaklah perasaan pelajar-pelajar batch Syahmie. Cuma suasana aje yang agak berbeza. 

Aku tahu mereka semuanya bersyukur dan lega, SPM telah berlalu. Tetapi pada masa yang sama berasa sedih terpaksa meninggalkan sekolah yang telah membentuk mereka menjadi manusia-manusia hebat seperti mana sekarang. Tak apa. Nanti masa ambil result SPM tahun depan, sudah pasti mereka akan menjengah kembali sekolah kesayangan ini. Dan diharapkan nanti, setelah tamat pengajian tinggi, dan menjadi tokoh-tokoh yang berjaya, mereka akan kembali menyumbangkan bakti kepada sekolah MRSM Gemencheh ini. Satu hari nanti. Insya Allah. Tetapi buat masa ini, adios, sayonara, ciao, selamat tinggal. Kita akan bersua lagi nanti.

Hadapan dari kiri: Nazrin, Syahmie, Anuar, Akmal dan Aiman. Dalam kaca dari kiri: Iman, Naqib, Zarif, Azrie, dan Haziq.
Sebelum meninggalkan pekarangan sekolah.
Hajatku nak memancing ikan di sini masih lagi tak kesampaian. Walaupun airnya menjadi keruh, namun riak ikan masih lagi dapat kulihat. Mungkin aku masih berpeluang pada tahun-tahun akan datang.

Tuesday, December 13, 2016

Malam Nur Hidayah

4 Disember 2016 - Kami mendapat jemputan untuk ke satu majlis 'pelbagai' dari Along Yusry. Majlis tu dinamakan Malam Nur Hidayah. Diadakan di kedai makan milik Abang Kamarul AR di Kota Damansara. Menurut Along Yusry, ada majlis tahlil, ada baca puisi, ada lagu puisi, dan makan-makan serta bersantai sesama ahli grup teater Hidayah bagi mengeratkan lagi silaturrahim. Pada awalnya kami sendiri tak pasti akan kehadiran kami. Lalu kami atur kembali jadual utuk malam hari Ahad itu. Dan dapatlah kami meluangkan masa dengan teman-teman teater kami.

Tema pakaian adalah berjubah putih atau hitam. Aku bukak almari baju, dan mencapai sepasang jubah hadiah Allahyarham ayah mentuaku yang dah sekian lama tidak kupakai. Poketnya sedikit robek dan aku sematkan pin baju agar kelihatan lebih kemas.

Back-drop majlis pada malam itu.
Syahmie sedang bersiap-siap untuk mengetuai bacaan tahlil.
Syahmie dan Amier berjubah putih.
Abang Brahem - otai dalam grup teater Hidayah.
Amier dah tak sabar-sabar nak menjamah makanan.
Minum-minum sambil tunggu acara selanjutnya.
Sabriena duduk kat pentas persembahan sementara menunggu acara bermula.
Sabriena memonopoli ruang pentas.
Kami bertolak dari rumah hampir waktu maghrib. Solat maghrib di masjid berhampiran. Dan kami terus ke tempat majlis - kedai makan Family D' Kota (FDK). Kami ingat kami dah terlewat sangat. Tapi rupanya tetamu masih tak berapa ramai. Abang Kamarul AR tiba-tiba mendekatiku. Mintak aku mengepalai bacaan tahlil. Wife aku suruh Syahmie yang jadi tok imam. Okay. Semua orang setuju. Dan Syahmie sendiri pun setuju. Maka Syahmie mengambil tempat di meja hadapan, pakai mikrofon macam DJ, lalu bermulalah baccan tahlil dan doa. Kami, seluruh jemaah menuruti. Antara arwah yang didoakan termasuklah Allahyarham Ahmad Sufiyan, Allahyarham ayahku Hj Matari Rahman, dan Allahyarham abang iparku Hj Khalid Hj Atan.

Syahmie memulakan bacaan tahlil.
Tahlil ringkas sahaja.
Untuk semua ahli keluarga yang telah pergi meninggalkan kami.
Memohon doa ke hadrat Ilahi.
Sesudah selesai berdoa, kami dipersilakan makan. Macam-macam makanan yang disajikan. Setakat yang aku boleh ingat, ada nasi dagang, ada mi kari, ada roti jala, ada pulut kuning dengan sambal bilis, ada kuih muih , ada air teh panas dan air sirap. Tapi yang paling klimaks sekali ialah ada kambing golek. Macam tau-tau aje aku suka makan kambing golek. Tak kiralah kambing jenis apa pun. Baik kambing kampung biasa, baik kambing biri-biri, baik kambing gurun, baik kambing Barbari, kambing Arapawa, kambing Anggora, kambing Alpines, atau apa saja jenis kambing. Pokok pangkalnya spesis kambing. Memang sangat-sangat aku dambakan. Majlis telah menyediakan dua ekor kambing sebenarnya. Tapi oleh kerana korum tak berapa ramai, maka yang digolekkan cuma sekor ajelah. Yang lagi sekor tu nanti aku nak usha kat Abang Kamarul AR, nak mintak tapau satu ekor. Keh keh keh...

Wanie makan dengan penuh berselera.
Abang Brahem sedang memilih juadah.
Berpusu-pusu mendapatkan kambing golek.
Penyediaan kambing golek secara profesional.
Kambing golek ini sangat lembut dan enak.
Sambil makan-makan, acara dimulakan. Pembuka majlis adalah ucapan kata alu-aluan oleh Presiden Hidayah, Abang Kamarul AR. Dan sejurus itu Abang Kamarul AR turut membacakan sebuah puisi dengan penuh beremosi. Penuh semangat. Nazri, selaku pengacara majlis turut mendeklamasikan sebuah puisi tulisan A Samad Said berjudul Tetamu Senja. Nazri turut menyanyikan lagu puisi Tetamu Senja yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Kopratasa. Menyusul sesudah itu adalah bacaan puisi oleh Syahmie (setelah didesak oleh isteriku). Syahmie tak keberatan untuk tampil ke hadapan dengan puisi berjudul Sumpah Anak Bangsa nukilan Yusmiyani Yusuf. Syahmie pernah mendapat tempat kedua dalam pertandingan deklamasi puisi di antara sekolah-sekolah MRSM Zon Selatan pada awal tahun ini.

Abang Kamarul AR memulakan bicara.
Abang Kamarul AR mendeklamasi puisi.
Penuh penghayatan.
Penuh emosi.
Nazri sebagai pengacara majlis pada malam itu.
Turut melagukan puisi Tetamu Senja karya A Samad Said.
Syahmie dengan sajak Sumpah Anak Bangsa.
Perwakilan Wanita UMNO berbicara.
Turut ke hadapan membacakan puisi termasuklah Azlansham, Abang Brahem dan Pak Malit. Abang Brahem yang aku kenal memang selalu berada di belakang tabir. Menguruskan hal-hal teknikal dalam satu-satu persembahan. Tapi kali ini ruang dan peluang telah diberikan untuk beliau mengenengahkan bakatnya yang terpendam. Sesudah itu, isteriku pula yang ke pentas persembahan dengan membacakan puisi berjudul Nur Hidayah nukilan Halida Baharuldin. Bacaan yang penuh beremosi. Dan persembahan terkahir pada malam itu ialah dari..... aku! He he he... Aku pun nak enter frame jugak. Tapi aku tak baca puisi. Aku menyanyi lagu puisi karya Abiet G Ade berjudul Berita Kepada Kawan. Liriknya aku tak berapa ingat. Jadi, main hentam sajalah ikut cita rasa aku sendiri. Sebenarnya Nazri dan Abang Kamarul AR turut menjemput para tetamu untuk membuat persembahan lagi pada malam tu. Tapi nampak gayanya, tak ada lagi yang nak ke hadapan. Maka sebagai penutup majlis, sekali lagi Abang Kamarul AR ke hadapan memberikan ucapan penutup.

Azlansham memilih sebuah puisi untuk dideklamasi.
Penghayatan yang menyeluruh.
Abang Brahem Dah 10 tahun tak baca puisi.
Selalunya duduk di belakang tabir. Kini di pentas persembahan.
Pak Malit dengan sajak tentang junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Intonasi yang bersahaja. Katanya tak pernah sekali pun baca puisi di khalayak ramai.
Isteriku, wakil wanita mendeklamasi puisi perjudul Nur Hidayah.
Setelah sekian lama tak berpuisi.
Sebak dan beremosi.
Ini dia Pak Arab Al Jawa sudah mari.
Mau nyanyi lagu Abiet G Ade - Berita Kepada Kawan.
Lepas tu pekena lagu Ombak Rindu, Anugerah Terindah, Isabela, Nak Pi Mana dan Still Loving You Scorpion.
Along Yusry dan Nazri menonton dari satu sudut pentas.
Abang Kamarul AR dengan penutup bicara majlis.
Sebelum bersurai, kami bergambar beramai-ramai. Kami tapau makanan yang masih banyak tertinggal. Bersalam dan berpelukan. Terasa lebih akrab kerana tetamu pada malam itu dalam kelompok yang sangat kecil. Kami sangat berterima kasih kepada Abang Kamarul AR dan seluruh warga Hidayah yang telah memberi sumbangan, bertungkus-lumus membuat persiapan untuk majlis. Sayangnya kehadiran tidak seperti yang diharapkan. Tak apalah. Semoga apa yang telah dilangsungkan ini akan diterima Allah sebagai satu amalan kebaktian. Sekali lagi kami ucapkan terima kasih untuk semua (walaupun nama kalian tidak dinyatakan satu per satu).

Bergambar beramai-ramai.
Antara sebahagian tetamu yang hadir. Sebahagian yang lain telah pun pulang.
Satu lagi gambar perlu diambil sebagai kenangan.
Bersama Pak Malit, Abang Brahem dan Abang Kamarul AR.
Bersama otai-otai grup teater Hidayah.
Bersama teman akrab Allahyarham ayahku - Pak Malit.