m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Tuesday, March 27, 2012

Cuti di Melaka - Kereta lembu dari Melaka

Bahagian 7

Di Ayer Keroh, Melaka, sempat jugak kami naik kereta lembu sambil bersiar-siar. Mulanya ingatkan cuma nak ambil gambar aje. Tapi nengokkan pakcik tua tu macam tak ada pelanggan aje, jadi kami pun secara sepontan setuju untuk naik kereta lembu tu berlima. Wanie aje yang tak ikut. Pakcik tu tanya, "Nak ke mana?" Jawabku, "KLCC. Ada brann...?" Okaylah, sebenarnya kereta lembu tu jalan pada jarak yang dekat aje. Dalam seratus meter perjalanan saja. Bayaran yang dikenakan cuma RM10.

Lembu-lembu yang gagah perkasa.
Masa mula-mula menjejakkan kaki kat belakang tempat duduk tu, aku bagaikan nak muntah jugak pasal bau lembu-lembu tu sangat semerbak. Terasa macam nak pitam pun ada sikit-sikit. Tapi bila semakin aku menghidu bauan lembu tu, makin rasa macam best pulak bau dia. Naik ketagih pulak aku nak bau badan lembu yang harum semerbak tu.

Amier muka monyok menahan bau lembu yang busuk.
Muka buat-buat happy sambil menahan bau lembu.
Kereta lembu yang dihias cantik.
Bergambar selepas selesai bersiar-siar.
"Jom turun dan tinggalkan lembu yang busuk ni," kata Amier.
Lembu-lembu yang membawa kami bersiar-siar tu sangatlah perkasa. Tubuh badan yang sasa dan besar gadang bak kereta kebal Russia. Muscle otot berketul-ketul macam body builder Mr Universe. Daging dia kalau masak buat sup atau rendang, mesti liat macam makan getah sekerap, dan urat dia mesti dah macam dawai kabel elektrik. Selepas selesai perjalanan yang singkat tu, kami bayar pakcik drebar RM10 dan bergambar. Itulah pengalaman pertama kami menaiki kereta lembu dari Melaka.

Kereta lembu yang hebat!
Bonggol kat belakang lembu tu sangat besar, sebesar anak badak.

Cuti di Melaka - Amukan ikan di Philea

Bahagian 6

Di Philea Resort, kami sarapan dengan juadah yang agak hebat. Tapi sayangnya, kami tekak kami tak pulak boleh menerima makanan yang sebegitu banyak kuantitinya. Di luar dewan makan, ada kolam ikan koi. Beratus ikan koi diternak di dalam kolam yang luas diperbuat daripada konkrit. Kolam ini menjadi penghias pekarangan yang memang sudah sedia cantik ini.

Meninjau kolam ikan.
Okay. Line is clear. Boleh baling roti.
Selepas kami hampir selesai menjamu selera di dewan makan, Syahmie tiba-tiba mendapatkan beberapa keping roti putih dan disumbatkan ke dalam beg. Mulanya kami musykil akan muslihat di sebalik perlakuan pelik Syahmie itu. Tapi kemudian kami dapat mengagak, ini tentu nak bagi makan ikan koi yang berenang senang kat luar sana tu. Tapi aku bagi tau Syahmie, "Kat situ dia tulis jangan bagi makan ikan. Tak boleh bagi makan ikan, Mie." Syahmie akur dengan arahan aku. Lalu kami pun meninggalkan dewan makan dan lalu di sebelah kolam ikan yang luas itu.

Ratusan ikan mula berkumpul ketika mula-mula kami melemparkan roti ke dalam kolam.
Seronok nengok ikan makan roti.
Secara tak semena-mena, isteriku mengambil sedikit roti dari simpanannya, dan melemparkannya ke dalam kolam ikan. Ratusan ikan berkejaran berebut-rebut mendapatkan roti yang cuma secebis itu. Lapar sungguh ikan tu. Bagai sebulan tak makan gamaknya. Dan kemudian kami semua melemparkan roti yang kami bawa keluar tadi ke dalam kolam. Baling roti, sembunyi tangan. Kami sangat tergamam dengan kelakuan ikan-ikan yang bagaikan rakyat Somalia kelaparan.

Makin lama, semakin banyak ikan yang berkumpul.
Ikan-ikan ini merayu-rayu meminta kami memberi mereka makan.
"Ikan-ikan ni kalau buat ikan bakar mesti sedap," bisik hati Syahmie.
Ikan-ikan masih lapar. Mereka minta makan lagi.
Keesokan harinya, kami pergi sarapan lagi. Ikan-ikan di kolam sudah mulai mengenali kami. Kami lalu aje tepi kolam, semua ikan bagaikan bersorak-sorai dan bertepuk sirip meraikan kami. Kami ini bagaikan sekumpulan hartawan dermawan yang mengagih-agihkan makanan kepada golongan fakir miskin. Sesudah sarapan, macam semalam, kami lemparkan roti ke dalam kolam. Berebut semua ikan kat kolam. Asyik kami memerhatikannya. Kami baling lagi roti. Dan baling lagi. Dan lagi. Dan setiap kali balingan disambut dengan perebutan serta sorakan oleh ikan-ikan yang dah sangat kebulur tu. Akhirnya roti yang kami bawa habis. Ikan masih tak kecukupan. Mereka mau makan lagi.

Roti dan segala makanan dilemparkan ke dalam kolam.
Kami masuk balik ke dewan makan. Dan ambil lagi bekalan roti, sampai habis semua roti kat dewan makan dari pelbagai jenis dan rasa. Termasuk roti canai. Semua kami baling kat kolam. Dan ikan-ikan makan dengan rakusnya. Habis roti, kami baling pulak scramble egg, nasi goreng, mi goreng, nasi lemak dengan sambal bilis sekali, dim sum, sosej, salami, burger, cereal, buah-buahan, malah segala jenis minuman semua kami humbankan ke dalam kolam ikan. Ikan-ikan koi melahap segala makanan dan minuman yang dihulurkan sampai bersih licin. Dan kat dewan makan, dan dapur sampai dah tak ada makanan lagi nak diberikan kepada ikan ikan itu.

Jutaan ikan koi menghurungi kami.
Nampak jelas kat wajah semua ikan-ikan itu, mereka sangat puas hati dan berterima kasih kepada kami. Sampaikan ketika kami nak naik buggy pulang ke bilik ada sekumpulan ikan siap melompat ke darat nak ikut kami naik buggy. Terpaksa aku memujuk mereka secara lembut dan penuh hikmah supaya jangan mengikut kami. Kataku secara lembut, "Wahai ikan-ikan koi sekelian, pulanglah ke kolam anda semula. Kalau anda semua ikut kami balik, kami akan goreng anda dalam kuali dan masak sweet sour dan tiga rasa. Okay, bye-bye, jumpa lagi..." Sejurus mendengar aku berkata demikian, ikan-ikan itu pun melompat kembali ke dalam kolam dan tak timbul-timbul lagi.

Gembira dapat nengok ikan warna-warni makan dengan gelojohnya.

Friday, March 23, 2012

Cuti di Melaka - Makan sarapan di Philea

Bahagian 5

Antara perkara yang seronok bila pergi bercuti ialah makan sarapan. Satu bilik cuma dapat dua tiket untuk makan sarapan. Yang lain sama ada kena bayar tambahan atau makan kat bilik/luar. Mak aku kata dia makan tak banyak, jadi dia nak makan kat bilik ajelah. Memang kami ada bawak bekal sikit dari rumah. Yang lain semua naik buggy menuju ke dewan makan yang agak luas.

Menunggu telur scramble siap dimasak.
Macam-macam makanan ada terhidang untuk kami makan. Dari masakan Melayu, Cina, India dan western. Malah ada jugak masakan Afrika, Eskimo, Uzbekistan, Tibet dan Columbia. Tapi entah kenapa, bila time makan sarapan kali ni, aku tak berasa terlalu lapar. Jadi aku makan yang ringan-ringan aje seperti gula-gula kapas, roti tisu, ikan bulu ayam dan air kosong. Yang mungkin nampak berselera sikit mungkin Syahmie dan Farid kot. Seluruh dewan makan tu memang nampak teratur dan makanannya pun agak boleh tahan jugak rasanya. Tapi banyak makanan yang aku tak rasa. Jadi tak dapatlah aku nak kisahkan kesedapannya.

Syahmie nampak berselera.
Farid memang dari dulu kuat makan.
Amier makan telur, tapi tak habis.
Dalam banyak-banyak makanan yang aku makan, yang aku paling suka ialah daging ayam belanda dan daging lembu yang di-grille. Telur scramble pun enak jugak. Aku makan tak terlalu kenyang. Mungkin selera aku datang lambat sikit kot. Kalau makan tengah hari atau dinner memang boleh habis semua lauk pauk yang tersaji. Aku nengok masih banyak makanan yang terhidang. Mungkin orang lain pun makannya sikit macam aku jugak kot.

Ayah aku pun suka jugak makan buffet macam ni.
Kakak aku suka rasa semua benda tapi pada kadar yang sedikit.
Amier suka sosej.
Mengambil air panas.
Ayah aku sambung makan.
Bersarapan pada pagi berikutnya.
"Boleh Kakak Wanie makan yang ini?" tanya Wanie kepada Amier.
"Semua ini saya nak habiskan".

Cuti di Melaka - Philea Resort: Mandian terhebat

Bahagian 4

Apalah makna bercuti bagi anak-anak kalau tak ada sessi mandi-manda kat swimming pool. Dan swimming pool kat Philea Resort memang hebat dengan back-drop pemandangan yang menarik. Dibuat natural macam air terjun semulajadi. Yang paling seronok sekali nak mandi kolam mestilah Amier. Turut mandi sambil menjaga Amier ialah Wanie dan Yana. Aku, isteri, dan Syahmie sekadar duduk di tepi kolam, memerhati dari jauh.

Wanie suka mandi. Hari-hari Wanie mandi.
Lihatlah back-drop nya yang cantik.
Cuaca pagi tu agak panas terik jugak. Kebetulan pulak tak ada payung. Jadi kami kena selubung kepala kami dengan tuala mandi. Bunyi air terjun buatan tu sedikit sebanyak memberikan aura sejuk nyaman kepada kami walaupun sebenarnya matahari sedang memuncak di atas kepala.

Syahmie dah kurang minat mandi kat swimming pool.
Ramai budak-budak yang mandi kolam renang.
Yana kat kolam dalam, Wanie kat kolam cetek, teman Amier.
Aku dan isteri duduk tepi kolam tengah panas.
Farid pun mandi jugak.
Air terjun kat belakang tu yang palling best.
Setelah sekian lama berjemur tengah panas sambil mengawasi anak-anak dari jauh, tiba-tiba ada satu wakaf tepi kolam yang telah dikosongkan oleh tetamu kat situ. Jadi kami pun cepat-cepat mengisi kekosongan wakaf tadi. Punyalah best. Ada tilam, ada kipas angin. Dan sungguh redup kalau berbaring kat situ sambil main I-Pad. Kalau layan boleh terus tertidur nyenyak. Kami bagi masa lebih sikit untuk anak-anak, biar mereka betul-betul puas mandi kolam. Dah agak lama, barulah kami ajak semua balik bilik. Kejap lagi nak makan tengah hari dan berjalan-jalan sekitar kota pulak.

Akhirnya dapat jugak kami berehat di wakaf dingin.
Seronok dapat baring santai dalam wakaf.
Kalau layan boleh terus terlena.
Time untuk balik bilik.
Macam kat Niagara Falls.
Amier yang paling happy bila jumpa kolam renang.
Terlalu panas. Syahmie kena selubung kepala dengan tuala mandi.
Okay. Amier dah puas mandi.

Cuti di Melaka - Resort review: Dalam rumah di Philea Resort

Bahagian 3

Yang agak unik di Philea Resort adalah tempat penginapannya. Seluruh bangunan diperbuat daripada kayu. Tiang, alang, bumbung, malah dinding jugak diperbuat daripada kayu. Bukannya kayu plywood atau papan, tapi kayu balak! Bayangkanlah berapa punya banyak balak daaa... dia kena tebang nak buat satu unit bangunan ni. Kalau dah perpuluh unit, mestilah habis gondol hutan kat Malaysia ni. Ini memang pengalaman baru bagi kami untuk mendiami di dalam rumah yang sedemikian keadaannya. Rumah batu, rumah besi, rumah igloo semua kami dah rasa. Kalau rumah balak, ini baru first time.

Teruja ketika baru sampai di bilik penginapan.
Ibu, ayah dan kakakku menginap di unit bersebelahan.
Maka pastinya kami sangatlah teruja. Mundar mandir kami keluar masuk bilik bagi menghayati keunikan dan kepelikan rumah balak ini. Semua sudut kami ambil gambar. Kat tangga, kat pintu bilik, kat tandas, kat katil. Maklumlah, bagaikan orang bandar masuk kampung lagaknya.

Syahmie di muka pintu.
Menghirup udara segar di luar kamar.
Ada dua unit lagi di bahagian atas.
Bergambar di tangga masuk yang cantik.
Memang santai berlepak-lepak di luar.
Bilik dihiasi dengan kraf tangan tempatan buatan Amerika.
Agak unik jugak pintu bilik airnya yang hanya menggunakan selak daripada kayu jugak, macam selak gerubuk almari kampung. Namun kemudahan di dalamnya agak modern jugak. Cuma katil yang dibagi hanya dua bijik katil single. Kami pulak datang kat situ satu batalion, mana nak muat tidur atas dua katil saiz kecik macam tu. Jadi kami pun pisahkan tilam atas dengan tilam bawah. Dan bentangkan kat atas lantai. Maka jadinya ada empat bijik tilam single. Dan muatlah kami bertujuh tidur satu bilik dengan kadar agak selesa jugaklah.

Pintu bilik air yang menggunakan selak kayu macam almari lama.
Bilah kipas diperbuat dari daun ketapang yang telah dikeraskan. Yalah tu!
Masa nak bentang tilam tu perlulah kami alihkan perabot-perabot yang telah disusun rapi. Kami kena adjust balik ikut keperluan semasa kami. Dia punya perabot pun diperbuat daripada kayu solid padu. Punyalah berat nak seret perabot. Dia punya meja kecil pun berat macam bapak seladang. Aku kena upah gajah Siam datang sini untuk tolong tarik meja kecik yang beratnya bukan kepalang ni. Urgh urgh urgh!!!

Macam nak tarik anak badak lagaknya.
Amier di tangga kayu.
Pada dasarnya semua berjalan lancar pada malam pertama kami bermalam di situ. Bilik selesa, walaupun sempit. Tilam selesa, walaupun berhimpit. Kemudahan dalaman juga selesa, walaupun berkongsi. Dan malam pertama tu memang kami tidur nyenyak sampaikan bunyi guruh dari langit, auman harimau kat pinggir hutan serta keriuhan kenderaan kat highway berdekatan tak mampu menggugah kejut kami.

Tapi.... Tapi pada malam kedua, sesuatu telah berlaku... Tarik nafas dalam-dalam sebelum terus membaca. Minum air kopi jantan pekat tanpa gula dulu. Cuci muka dengan air suam-suam kuku. Tenyeh mata berkali-kali. Buat regangan otot tangan dan kaki. Dan baring dengan selesa di atas tilam yang empuk.

Pada malam kedua, telah ada satu keluarga keturunan Tionghua datang menyewa bilik di atas bilik kami. Bangunan kediaman tu memang dua tingkat. Kami kat bawah, dan keluarga Cina tu kat atas. Okay, itu tak jadi masalah bagi kami. Kami keluar resort untuk makan malam. Dan bila pulang sampai balik bilik, dah kira-kira jam 11 malam. Mestilah badan letih dan mengantuk. Okay, tak apa. Lepas ni kan boleh tidur nyenyak macam semalam. Solat isyak pun dah ditunaikan. Maka sesampai aje kat bilik, kami semua terus landing kat atas tilam dengan perasaan gembira sekalli. Tengok tv kejap, lepas tu tutup tv dan tidur. 

Tiba-tiba terdengar bising-bising dari bilik atas. Bunyi budak berlari ke sana sini. Ok, waktu tu baru jam 12 malam. Tak apalah. Kejap lagi tidurlah budak tu. Dan bunyi budak berlari tu masih berterusan. Kini dah jam 1 pagi pulak. Kejap lagi sikit kot baru budak tu nak tidur, bisik hati aku. Dan hingar dari atas masih berlarutan sampai jam 2 pagi. Alamak! Macam mana nak tidur kalau bising macam ni. Dan larian bagai di kejohanan olimpik tu bersambungan lagi sampai kira-kira jam 3 pagi. Memang nak kejutkan kami buat solat tahajjud kot. Adus! Kalau lantai tu bukan lantai kayu, tak adalah dia sebising itu. Kalau lantai tu lantai konkrit, tak adalah suara bilik atas terdengar sampai ke bawah. Kami semua mengeluh panjang. Lebih panjang dari Tembok Besar Cina. Namun satu pengajaran bagi aku untuk tidak mereka bentuk resort pakai lantai kayu. Nanti inilah akibatnya. Pagi esoknya kami memang agak keletihan pasal tak cukup tidur. Apa nak buat, orang atas pun bayar sewa jugak.

Farid dan Yana tidur sebilik dengan kami.
Salah satu unit di atas disewa oleh adikku yang datang lewat sehari.
Syahmie  sedang menunggu buggy untuk angkut barang sebelum pulang.