m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Friday, February 24, 2012

Ambil Syahmie, hantar Syahmie

Aktiviti mingguan aku dan isteri kebelakangan ni ialah ambil dan hantar Syahmie yang sedang belajar di MRSM Gemencheh. Dulu kami rasa Gemencheh tu macam jauh benar kat tengah hutan belantara yang penuh dengan gajah dan monyet liar serta badak air yang berkampung. Tapi sekarang persepsi kami dah berubah. Gemencheh tu dah macam kat belakang rumah aje. Selangkah aje dari pagar rumah, dah ternampak kelibat pekan kecil kat Negeri Sembilan tu.

Bangunan asrama Syahmie.
Bersiap sedia untuk pulang bercuti. Baju kotor penuh sebakul
Kalau pergi Gemencheh kami akan singgah kat gerai tepi jalan beli wajik sirat berharga RM8.50 dalam bekas kecil. Wajik sirat kat situ memang sedap. Lebih sedap dari wajik sirat lain-lain yang pernah aku makan. Kerepek-kerepak pun ada dijual dan ada kalanya kami beli buat aktiviti mengunyah dalam kereta. Krup-krap-krup-krap, bunyi kami mengunyah kerepek. Pemandu-pemandu kat kereta sebelah yang lalu-lalang sebelah kami pastinya akan jealous bila mendengar lunak bunyi kerepek digigit garing.

Wanie di luar asrama lelaki.
Masa cuti Maulidur Rasul hari tu, aku terpaksa pergi dengan mak aku untuk bawak Syahmie pulang bercuti pasal wife aku tengah jaga Amier yang sakit di wad hospital. Tapi dalam keadaan biasa, kami satu famili termasuk Wanie dan Amier akan ikut serta menjemput Syahmie. Drive dari Kuala Lumpur ke Gemencheh kami anggarkan selama dua setengah jam kalau bawak kereta tak terlalu laju, sekadar mematuhi had laju jalan raya. Rupanya bukan keluarga kami aje yang kerap melawat anak hujung-huung minggu. Mak bapak yang lain pun ramai jugak yang jenguk anak mereka yang di tingkatan satu. Nanti kalau dah besar sikit barulah kadar lawatan tu dikurangkan.

Amier suka berlari-lari kat perkarangan asrama.
Ini gambar Syahmie nak balik asrama.

Tuesday, February 21, 2012

Turun ke laut lagi...

Bila freezer kat rumahku dibuka, nampak jelas kandungannya telah berkurangan. Kelibat ikan-ikan berenang-renang dah tak kelihatan. Maka kami tau bahawa telah tiba masanya untuk aku, seorang nelayan turun ke 'laut' mencari rezeki yang halal berupa ikan-ikan segar dari pelbagai spesis.

Maka pada hari Sabtu lepas, aku telah ke 'laut' yang terletak di Selayang. 'Laut' tidak bergelora pada pagi tu. Ombak setinggi seinci pun tak kelihatan. Para nelayan nampak bersesak-sesak mendapatkan ikan di perairan terbuka. Bermacam-macam ikan telah aku dapatkan, termasuklah siakap, kembung, sardin, kerisi dan keli. Ingatkan nak tangkap great white shark dan ikan paus biru. Tapi memandangkan bonet kereta aku terlalu kecil, maka aku batalkan saja niat asalku itu. Udang agak kurang di perairan, maka harganya agak melambung.

Bila sampai di rumah, aku punggah semua hasil tangkapan ku yang seberat puluhan kilo dan mula menyiang ikan-ikan itu. Kepala-kepala ikan kembung aku asingkan untuk direbus dan dibagi kepada kerabat kucing-kucingku di luar sana. Kepala ikan yang telah dicuci bersih menggunakan sabun Breeze dan sedikit Clorox, dimasukkan ke dalam periuk kecil. Ditambah pulak dengan air paip dari Syabas yang telah ditapis menggunakan penapis Diamond. Pergh! Menengoknya saja telah mengundang seleraku untuk menjamah kepala ikan tadi. 

Bila siap direbus, kepala-kepala ikan itu diadun pulak dengan nasi putih keluaran tempatan dan diramas menggunakan tangan yang berbau hanyir ikan. Dan bila disuakan aje kat kucing-kucingkku, berebut-rebut mereka makan sampai tak perasan mak mentua kucing tu lalu kat belakang. Aku yang melihat kucing-kucingku berselera makan, terus terbuka pulak seleraku untuk menjamah sama. Siap berebut-rebut dan bertolak-tolak antara aku dan kucing-kucingku agar masing-msing dapat merasa kehebatan dan kelazatan kepala ikan rebus bersulam nasi. Lepas makan, semua kucing kepuasan. Aku juga kepuasan dan terus lentok untuk seketika sampai tiba waktu asar.

Kepala ikan kembung yang menjadi idaman kucing-kucing se-Malaya.

Monday, February 20, 2012

Tenis di petang hari yang basah

Aku rasa ada dekat sebulan aku tak main tenis, lebih dua bulan aku tak main badminton, lebih setahun aku tak main bola, sedekad aku tak main takraw, suku abad aku tak main hoki. Petang Sabtu lepas, kawan tenis aku ada sms kata dia ada booking court tenis kat Titiwangsa jam 5 hingga 7 petang. Selalunya kalau time petang aku memang ada agenda kekeluargaan. Tapi Sabtu lepas sempat jugaklah aku mencuri masa mengeluarkan peluh.

Cadangnya lepas solat suhur kami nak ke Gombak lawat mentua aku. Tapi kerana keletihan, aku tidur punyalah lama lepas zuhur sampai dekat nak masuk asar. Mengantuklah pulak. Pagi tu ke pasar borong Selayang. Balik rumah siang ikan. Sedap aje aku landing atas katil lepas bersolat. Nak-nak pulak pekena dengan air-cond yang baru diganti dengan 1.5 kuasa kuda belang Afrika. Memang layan lentok bila saja kepala bertemu bantal. 

Sedar-sedar dah nak asar. Alamak! Sempat ke main tenis nanti ni. Pergi ke Gombak aje dah setengah jam. Begitu begini dah pukul 7 petang. Memang macam tak sempat main aje. Tapi wife aku kata, main dulu tenis. Lepas tu straight pergi ke Gombak. Cadangan yang baik. Jadi kami pun teruslah ke gelanggang Titiwangsa. Court Titiwangsa kelihatan agak basah kerana hujan baru berhenti. Sesampainya di sana aku tak nampak pun kelibat abang Aziz, orang yang buat booking court. Bila aku call, jawab abang Aziz, "Sini hujan lebatlah. Tak dapat nak keluar. Kawan-kawan yang lain pun telefon cakap benda yang sama". Aku bagi tau abang Aziz, kat Titiwangsa hujan dah tak turun lagi. Tapi abang Aziz memang dah putus tak nak datang petang tu. Maknanya aku kena cari geng lain.

Kebetulan ternampak Awe sedang stroke dengan kawan dia yang tak aku kenali. Awe kata nanti Bob nak datang. Tak lama menunggu, Bob pun datang dengan penuh semangat. Oleh kerana group masing-masing tak cukup korum, jadi kami combine main double empat orang. Aku partner dengan Awe, dan Bob dengan rakan yang lagi sorang tu. Aku main tenis tak salin seluar track pun. Belasah pakai seluar jeans hitam aje. Permainan berlangsung sengit. 1-1, 2-2, 3-3, dan 4-4. Tapi akhirnya aku dan Awe tewas 4-6 kepada Bob dan pasangannya. Puas, berpeluh dan ringan sikit rasa badan. Lepas cakap terima kasih, aku terus ke Gombak dengan isteri aku. Kalau nak main lagi, kena tunggu peluang yang lain pulak.

30 peratus court masih basah kena air hujan.

Tuesday, February 14, 2012

Perlanggaran yang mengerikan!

Masa tu aku dan isteri kat Hospital Ampang Puteri menemani Amier yang dimasukkan ke wad kanak-kanak kerana sakit muntah-muntah, cirit-birit dan demam. Kami suspect assebab "rotavirus" yang baru ni melanda Perak. Sedang aku berehat kat wad, tiba-tiba handphone aku berdering, "Rrrinnggg, rringgg", bunyinya bertalu-talu. Aku pun capai telefon, dan rupanya kakak aku yang telefon dengan nada sangat cemas. "Helo! Blackie kena langgar!" ujar kakakku. "Siapa yang langgar?" tanyaku. "Kereta yang lalu depan rumah. Kena kaki Blackie. Keluar banyak darah!" Aku membayangkan sesuatu yang amat mengerikan. Tak lama lepas tu Syahmie pulak call aku, memberitakan hal yang sama pasal Blackie. Blackie adalah salah sekor dari kucing peliharaan kami yang masih remaja dan sangat tidak ramah dengan kami semua.

Bila aku berkesempatan pulang ke rumah seketika, aku cari Blackie. Dia duduk terdiam di suatu sudut tepi pintu masuk rumah. Mukanya nampak sayu, menahan kesakitan. Teruk jugak aku nengok lukanya. Tapi cuma kena sebelah kaki. Blackie masih boleh berjalan sambil mengheret kakinya yang longlai. Orang gajiku yang menyaksikan kejadian itu turut menceritakan detik-detik cemas kejadian itu, dan betapa banyaknya darah yang mengalir keluar dari kaki Blackie. Aku sedih nengok blackie sedih. Aku runsing memikirkan jangkitan yang mungkin berlaku pada bahagiaan tubuhnya yang cedera itu. Setelah menjenguk Blackie, aku kembali menemani Amier kat hospital.

Selepas itu, kami dah tak nampak lagi kelibat Blackie kat mana-mana berhampiran rumah kami. Mungkin dia telah pergi jauh membawa diri. Syahmie kata dia berjalan pergi ke SPCA Ampang Jaya (Society for the Prevention of Cruelty to Animals). Amier pulak kata dia jalan pergi jumpa doktor haiwan. Sebenarnya kami pun tak tau. Aku cuma berharap pandai-pandailah dia bawak diri, dan semoga dia lebih sihat dan kuat.

Dan semalam, kami dapat satu lagi berita sedih pasal kucing kami. Adik beradik Blackie bernama Gray dijumpai terbunuh di porch rumah jiran kami. Jiran kami, Mr Loke tiba-tiba datang ke rumah kami dan berkata, "Itu tikus kelabu you punya ka? Sudah matilah itu kecik2 punya tikus." Kami ingatkan tikus mana pulak ni. Bila aku jengah, rupanya Gray yang telah kaku. Punca kematian masih tak dapat dikenalpasti. Mungkin kena langgar kereta dan mengalami internal bleeding, pasal tak nampak kesan luka langsung. Atau mungkin kena keracunan makanan, seperti termakan kencing tikus atau apa-apa saja yang boleh menjadi penyebab maut. Masa petaka menimpa Blackie, kami menjadi sedih. Tapi kami lebih sedih lagi bila Gray mati mengejut, kerana dalam empat ekor anak remaja Snowcat, Gray-lah yang paling bijak dan peramah. Kini anak remaja Snowcat cuma tinggal dua ekor saja kat rumah kami. Mati seekor Gray tak akan dihisab di akhirat. Peringatan untuk kita semua - manusia.

Blackie dalam kesakitan.

Tuesday, February 7, 2012

Kembar enam!!!

Baru aje aku melangkahkan kaki ke rumah menghala ke dapur untuk minum air, tiba-tiba aku ternampak kelibat Snowcat turun dari tangga bilikku. "Apa yang Snowcat buat kat atas?" bisik hatiku. Mungkin dia sekadar nak beralih angin kerana dah bosan terlalu lama duduk kat luar rumah kena habuk dan tempias hujan. Aku biarkan kisah itu berlalu begitu saja.

Selepas solat maghrib aku terdengar sedikit keriuhan di aras bawah rumahku. Tak lama kemudian terlihatlah Snowcat menggonggong anaknya yang masih belum terbuka matanya masuk ke kamarku. Lalu menyelinap ke bawah katil yang semak dengan joran, reket tenis dan badminton serta keyboard lamaku. Oh! Rupanya Snowcat nak memindahkan anak-anaknya ke dalam bilikku. Jadi, tadi petang dia baru membuat lawatan sambil memilih-milih lokasi terbaik untuk menempatkan anak-anaknya yang kecil dari bahaya musuh. Aku biarkan Snowcat meletakkan anaknya di situ.

Tak lama kemudian, dua lagi anak kucing dipindahkan ke bawah katil penuh habuk. Snowcat kemudian berehat sambil termengah-mengah. Aku tak pasti ada lagi atau tidak. Kalau ada pun, mungkin lagi sekor. Memang kami ada mendengar suara anak-anak Snowcat yang barangkali telah ditempatkan di atas siling rumah sebelum ini. Jangkaan kami tepat. Setelah berehat seketika, Snowcat beredar sebentar dan datang kembali membawa seekor lagi anaknya yang comel. 

Lalu kami kumpulkan kesemua anak Snowcat dan masukkan ke dalam kotak yang telah dilapik dengan suratkhabar lama. Dan Snowcat mula berbaring dan menyusukan anak-anaknya yang kehausan. "Dulu anak dia empat ekor. Sekarang pun empat jugak", kataku kepada anak-anakku.

Setelah setengah jam berlalu, Snowcat keluar bilik dan memanjat siling, dan membawa bersamanya dua ekor lagi anak-anak kucing miliknya. Menjadikan jumlah anak Snowcat kali ini sebanyak enam ekor. Wow! Banyak tu!!! Seronok kami melihat keletah anak-anak kucing berenam itu bersama ibunya berebut minum susu. Tapi kami tak dapat membiarkan mereka terus berada di dalam bilik, walaupun di dalam kotak, atas faktor-faktor kebersihan dan kesihatan. Akhirnya kami setuju untuk membebaskan empat ekor anak Snowcat yang telah remaja dari dalam sangkar, dan memasukkan anak-anak Snowcat yang baru lahir ke dalam sangkar pula. Kalau Snowcat nak masuk atau keluar sangkar, dia memang pandai memberi tahu kami. Jadi kini keenam-enam mereka kami biarkan bersantai di dalam sangkar sehingga mereka cukup besar untuk dibebaskan. Tapi dari riak air muka Snowcat, aku tau dia masih tak puas hati dan masih mengintai peluang untuk memindahkan anak-anaknya ke dalam rumah.

Enam ekor anak Snowcat.
Sedang menyusu.
Comel-comel anak-anak Snowcat.
Snowcat keletihan setelah memindahkan anak-anaknya.

Tuesday, January 31, 2012

Abou akan kerja di tempat baru

Semalam sorang lagi staf ofis aku yang bernama Abou berhenti kerja. Dia dah dapat tawaran pekerjaan kat tempat lain yang lebiih baik. Semoga Abou lebih cemerlang dan maju kat tempat barunya nanti. Aku sedih jugak bila Abou kata hari tu dia nak berhenti. Pasal dia antara staf yang komited dengan kerjanya dan kira bagi kerja apa pun dia boleh bikin. Biasanya kalau ada staf nak berhenti, kami akan buat farewell lunch untuk dia. Tapi kesian pulak kat Abou, time ni masing-masing tengah kering, malah ofis kami pun tengah kering. Seriously! Jadi paling-paling pun ofis cuma boleh belanja Abou minum air suam ajelah kat pantry. Apa-apa pun semoga yang terbaik mengiringi Abou dalam dunia ini dan akhirat nanti.


Menghantar Syahmie ke Gemencheh: Baru hantar dah melawat

Bahagian 5 (Akhir)

Baru tiga hari kami hantar Syahmie ke Gemencheh, kami dah pergi melawatnya pada hari Sabtu lepas. Syahmie dua kali telefon kami pakai telefon warden dan telefon senior cakap boleh melawat pada hari Sabtu dan Ahad. Jadi dalam fikiran kami mungkin Syahmie nak kami lawat dia. Maka di kesempatan yang ada, kami pun pergilah lawat dia kat Gemencheh.

Syahmie baru habis satu aktiviti. Kejap lagi ada aktiviti lain pulak.
Syahmie nampak gelap sikit pasal banyak terkena pancaran matahari.
Kami sampai Gemencheh kira-kira jam 2 petang. Sebelum tu kami pergi ke Gemas dulu beli sim card untuk Syahmie dan buat fotostat sikit. Lepas tu barulah kami ke MRSM. Masa kami datang tu, kebetulan Syahmie ada kat luar surau. Jadi kami terus ternampak dan tak payah tercari-cari. Rupanya hari tu aktiviti silaturrahimnya (orientasi) masih belum selesai. Hari tu jadual pelajar tingkatan satu memang pack habis. Dari pagi sampai ke malam ada aktiviti mengenal sekolah dan mengenal warga sekolah. Baguslah macam tu. Tapi dengan jadual yang sebegitu ketat dan mampat, kami cuma dapat jumpa Syahmie sekejap-sekejap ajelah. Yang paling penting kedatangan hari tu ialah untuk memberikan Syahmie sebiji handphone tanpa kamera, tanpa memory card atau gadget-gadget lain agar kami mudah berhubungan. Pengetua dia kata boleh bawak handphone masa taklimat hari tu. Itu yang kami belikan satu untuk Syahmie. Selain bagi handphone, kami jugak bawakkan sedikit juadah dari rumah seperti nasi lemak, karipap bakar dan air mineral sekotak untuk dinikmati di asrama bersama kawan-kawan. Itu tak masuk kelapa muda satu tandan, pisang abu satu tandan jugak, kuali, minyak masak, dapur gas, tong gas, tepung. Manalah tau kalau-kalau lapar bolehlah Syahmie dan kawan-kawan buat pisang goreng kat asrama. He he he. 

Makan tengah hari - nasi lemak dari rumah.
Aku kena habiskan nasi Wanie dan Amier.
Memandangkan Syahmie dan semua pelajar tingkatan satu sangat sibuk, jadi kami pun melepaklah kat kafeteria depan surau sepanjang petang tu sambil makan-makan, minum-minum dan melayan kerenah Amier. Kat kafeteria tu suara Amierlah yang paling kuat sekali. Angin kat kawasan sekolah memang kuat tapi tak kencang. Memang sangat nyaman untuk kami beristirahat. Dan ada kalanya menyebabkan mata mengantuk sebab terlalu nyaman.

Duduk kat kafeteria ni memang nyaman.
Kami makan nasi lemak yang kami bawak dari rumah kat kafeteria tu. Lepas makan nasi, Amier mulalah dengan aktiviti melukisnya. Gambar kegemaran Amier ialah gambar dinosaur. Berhelai-helai kertas yang digunakan Amier untuk melukis.

Amier dapat ilham nak lukis gambar dinosaur.
Bergelas-gelas air minuman habis.
MRSM Gemencheh ni merupakan satu-satunya MRSM yang ada sungai dan tasik kat dalam kawasan sekolahnya. Sebenarnya tasik tu ialah kolam tadahan atau kolam limpahan air hujan (retention pond). Pelajar-pelajar memang tak dibenarkan mendekati tebing kolam atas alasan apa sekali pun. Bentengnya pun sangat tinggi dan curam. Sekeliling kolam tu dipagari dengan pagar dawai. Tapi dari bahagian atas, aku sempat menengok secara fokus akan persekitaran kolam itu. Memang boleh nampak riak-riak ikan yang besar sedang berenang di dalam kolam. Malah kat suatu sudut kolam, aku boleh nampak kelibat beberapa ekor ikan bersaiz gadang sedang berenang-renang dengan gembiranya. Saiz seekor ikan tu kalau tak salah mata aku memandang, ada sebesar ikan lumba-lumba yang terdapat di lautan Atlantik. Itu yang membuatkan aku jadi geram nak turun memancing kat situ! Entah-entah orang kafeteria tu tangkap ikan kat kolam tu, masak dan jual kat student MRSM. Manalah tau, kan.

Kolam tadahan yang banyak ikan besar-besar.
Kat kawasan bulat merah tu ada ikan jaws yang sebesar bas sekolah!
Setelah solat asar, kami berkesempatan berjumpa dengan Syahmie lagi. Segala bekalan kami berikan kepada Syahmie. Handphone pun kami beri dengan beberapa pesanan. Peraturan sekolah perlu dipatuhi. Kalau tak nanti telefon kena rampas. Lepas bersalaman kami pun tinggalkanlah Syahmie meneruskan aktiviti minggu orientasinya di sekolah. Kali ni kami tinggalkan Syahmie dengan perasaan yang setabil. Tak terlalu sayu macam dulu. Lagi pun kalau rindu, boleh telefon aje Syahmie selepas waktu kelas malamnya. Oh, ya! Minggu depan ni ada cuti Maulidurrasul dan Thaipusam. Pelajar dibenarkan balik cuti empat hari. Yes! Kami plan nak pergi berjalan bersama satu keluarga sebelum masuk balik hari bersekolah dan hari bekerja.

Kawasan sekolah MRSM Gemencheh.