m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Thursday, November 24, 2011

Gua punya belt lu jangan tukar ha....

Lepas menjalani proses repair besar-besaran bulan sudah, kereta aku dah semakin selesa dan nyaman untuk dipandu. Aircond pun dah semakin sejuk sampaikan aku menggigil-gigil  dan terpaksa pakai baju salji ketika driving di tengah hari dalam kereta. Tapi tak semena-mena setelah beberapa minggu, keretaku mula buat sound seperti burung pipit mencari rezki di waktu pagi. Lama kelamaan bertukar menjadi bunyi burung merpati hendak mengawan. Kemudian bertukar lagi kepada bunyi helang hendak menerkam mangsanya yang sedang syok bersantai di atas padang. Dan yang paling aku tak tahan sekali bila dia start buat burung garuda yang merana kalah bola (Eh eh, lain macam je bunyinya. My Indon friends, no offense).

"Waaahhh... Gua ingat ini enjin mesti mau tukar ooo.... Tengok dia punya kaler, sudah tatak cantik ooo..."
Lalu aku pun hantar ke workshop check kereta. Aku memang dah tau, ini mesti angkara aircond belt. Bila check memang betul aircond belt dah haus. Bukan aje haus, malah lapar dan kebulur sekali gus. Belt dia dah menipis, bunga dah togel, grip dah takda. Patutlah bising semacam. Sekali mekanik tu nengok, rupanya power steering belt pun dah crack dan nak mula haus jugak. (Ya ke power steering ada belt. Tak pernah dengar pun. Biarlah, aku rela dikelentong). Jadi belt-belt yang dah tak berapa elok tu digantilah dengan yang baru.

Tiba-tiba mekanik tu tertengok pulak belt seluar aku yang jugak dah mula usang dan retak-retak. Lalu dia berkata, "Hayya.... Gua nengok lu munya belt pun sulah tatak cantik oooo... Misti mau ganti. Pakai itu Miitubishi atau Bosch munya belt manyak magus. High performance! Sikalang cuba lu nengok lu punya belt, lu punya seluar tatak moleh sangkut ooo..." "Eh! Ini gua punya belt, gua punya suka laaa... Gua tak mau ganti", jawab aku dalam kegeraman. Mekanik tu masih bersungguh-sungguh suruh aku tukar belt seluar aku. Letih aku nak menepis segala alasan yang diberikan. Akhirnya dia mengalah. Seburuk-buruk belt aku pun setidak-tidaknya dia tak mengeluarkan bunyi.

Tak lama menunggu, siaplah mekanik tu pasangkan belt yang baru untuk aircond dan power steering. Dan terbanglah lagi duitku ke kocek mekanik. Ya, dan keretaku jugak dah tak lagi mengeluarkan bunyi. Terasa sepilah pulak...

Inilah aircond belt kereta aku yang suka bersiul-siul tak kira siang atau malam.

Wednesday, November 23, 2011

Ketibaan kengkawan SMTM menjengah bonda

Dah lebih sebulan bonda mentuaku terlantar di hospital menderita pelbagai penyakit. Baru ni doktor kata bonda dah boleh pulang sekiranya dia boleh makan dan minum melalui mulut, bukan melalui hidung menggunakan tiub. Jadi kami kena melatih bonda untuk membiasakan diri menelan makanan dan minuman seperti biasa. Sejak sakit dulu, memang selera bonda telah terhakis. Kebolehan menelan juga telah terjejas. Otot-otot di sebelah kerongkong nampaknya menjadi semakin lemah. Jadi doktor arahkan makanan diberi menggunakan tiub. Itu dulu. Tapi syarat sebelum keluar hospital, bonda perlu kuat untuk boleh menelan makanan sendiri. Semoga diberikan Allah keupayaan itu, dan keafiatan buat bonda.

Bapak-bapak bersembang sesama sendiri.
Semalam kawan-kawan kami dari SMTM datang. Reha datang dengan suaminya Azarudin dan anak-anak. Mereka nak ke Kg Pandan, singgah sebentar menjengah bonda. Kemudian datang pulak Shida dengan suaminya, Zulkhairi. Terima kasih kerana sudi menziarahi bonda, dan sama-sama bersusah demi kawan. Sewaktu aku sedang berborak-borak dengan Azarudin, Zulkhairi dan ayah mentuaku, mataku tak lekang dari melihat keletah kedua anak lelaki Reha. Yang abang, berusia 12 tahun, ligat tangannya memutar satu alat yang dipanggil 'spinning pen'. Tak pernah aku nengok alat tu, dan tak pernah jugak aku lihat kemahiran sedemikian rupa. Kata abang, dia belajar melalui internet. Hebat! Jemarinya cukup ligat memutar spinning pen sebegitu laju. Lebih laju dari kipas helikopter. Sesekali terdetik jugak kerisauan aku kalau-kalau putaran sebegilu laju boleh mencederakan aku yang duduk berhampiran. Aku suruh si abang pusing lagi laju supaya keluar angin yang boleh menyejukkan badan kami yang agak panas. Si adik yang baru berusia 5 tahun pun tak mau kalah. Skil dia juga boleh tahan. Putarannya taklah selaju helikopter, sekadar selaju kipas siling aje.

Shida dengan isteri dan kakak-kakak iparku.
Sementara Reha dan Shida meninjau keadaan bonda, bapak-bapak bersembang sesama sendiri. Sejurus Zulkhairi ternampak kelibat ayah mentuaku, dia terus merapat, berbual mesra dan bermanja-manja. Tertanya-tanya jugak kami akan reaksi teman kami yang sorang tu. Rupa-rupanya raut wajah dan perwatakan ayah mentuaku memang saling tak tumpah dengan raut wajah dan perwatakan arwah ayah Zulkahiri. Okay. Baru kami faham. Kami pun seronok melihat keakraban yang sedemikian. Setelah agak lama di wad, kengkawan kami pun minta diri untuk pulang. Terima kasih sekali lagi kami ucapkan kepada mereka. Kehadiran mereka bukan saja menceriakan kami, malah menceriakan bonda dan ayah kami.

Reha dengan bonda.

Adik dan abang. Abang tengah tunjuk skill.

Inilah dia rupanya spinning pen.

Tuesday, November 22, 2011

Harimau menerkam garuda

Semalam semua sedia maklum ada perlawanan bola final Sukan SEA Malaysia lawan Indonesia. Dan semua orang sedia maklum Malaysia telah berjaya mempertahankan pingat emas dengan membenam Indonesia melalui penentuan sepakan penalti. Orang Malaysia bercerita betapa hebatnya pemain-pemain negara berjuang di atas padang Gelora Bung Karno. Orang Indonesia bergebang pasal betapa berat sebelahnya pengadil yang mengadili perlawanan. Itu diorang punya cerita, diorang punya pendapat. Aku ada pandangan aku sendiri.

Fahmi perform memang hebat malam tu. Yang lain pun hebat jugak sebenarnya.
Sejak Malaysia menang Piala AFC Suzuki, semua jiran-jiran kita memang dah start dengki kat kita. Diorang macam tak percaya kita boleh menang. Dan sokongan rakyat Malaysia pun dan semakin hebat, termasuklah aku sendiri. Pasukan Indonesia yang menyedari kehebatan pasukan kita telah cuba bertindak sangat agresif dan sangat garang pada awal permainan.  Mereka terlalu garang sampaikan referee pun kena marah dan terus terkedu. Pemain Malaysia yang semacam terkejut dengan kegarangan sang garuda yang selama ni lembut sopan telah tergamam seketika. Mereka semua terpaku untuk kira-kira hampir setengah jam. Dan waktu pemain Malaysia tengah tergamam inilah, Gunawan (yang memang serba guna) telah menanduk bola hantaran sepakan sudut pada minit ke-5. Gol! Malaysia ketinggalan 0-1.

Sejurus selepas gol ini, pamain Malaysia menjadi terlebih semangat dan bermain agresif dan membuat serangan demi serangan bak harimau luka yang sedang kelaparan daging garuda. Namun serangan itu semua telah berjaya dipatahkan oleh pertahanan Indonesia. Tiba-tiba, Asrarudin Putra Omar mendapat satu ilham. Dia telah pura-pura nak berbaring kat atas padang macam orang nak rehat. Jadi pemain Indonesia pun tak pedulikanlah si Asrarudin ni buat macam tu. Sehinggalah satu sepakan menghala ke arahnya dan Asrarudin menggunakan kelebihan kepalanya yang terlebih panjang sedikit untuk menanduk leret bola masuk ke gawang Indonesia. Gol! Sekarang kedudukan terikat 1-1 hingga wisel separuh masa pertama ditiupkan.

Kat bilik persalinan, Ong Kim Swee berleter panjang sampai semua pemain letih bebenar mendengarkan leteran jurulatih mereka. Jadi, bila masuk padang pada separuh masa kedua, mereka semua memang dah keletihan sangat. Ini semua Ong Kim Swee punya pasal lah. Masa tu pemain Malaysia nak kejar bola pun dah naik malas dan tak larat. Bila bola sampai, Fandi kata kat Mahali, "Ko la kejar. Aku tak laratlah". Mahali pulak kata kat Fadhli, "Ko ajelah yang kejor. Aku nak rehat kejap". Macam tulah mereka saling suruh menyuruh satu sama lain untuk mengejar bola yang bagai tak berhenti dari terus bergolek. Last-last Khairul Fahmi cakap, "Meh la biar aku aje yang tangkap. Aku masih bertenaga lagi!" Ini berlangsung sampailah tamat tempoh permainan, dan tamat masa tambahan sekali.

Akhirnya pemenang terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti. Masa tu Datuk Saberi Chik dah tepuk tangan kegembiraan. Bagaikan sudah terhidu kemenangan akan berpihak kepada Malaysia. Indonesia score gol pertama walaupun Fahmi dah terkam ke arah yang betul. Mahali score gol pertama Malaysia pulak. Ong Kim Swee sengaja hantar Mahali pasal muka dia yang selamba. Jadi goal keeper Indonesia tak konfiden dia boleh score gol. Percaturan Ong Kim Swee berhasil. Menyedari Fahmi pandai menerkam bak harimau, maka dua gol Indonesia selanjutnya disepak betul-betul kat tengah gol. Jadi bila Fahmi menerkam ke kanan atau ke kiri, tak menjadi soal. Bola tetap masuk gawang melalui jalan tengah. Sewaktu Fakri nak ambil sepakan, sebenarnya penjaga gol Indonesia telah sangat gabra dan hilang konfiden. Tapi waktu tu pulaklah tiba-tiba Fakri terfikir nak makan nasi lemak lauk sambal sotong campur paru goreng. Konsentrasinya telah hilang seketika dan apabila dia menyepak, sepakannya bagaikan tiada fokus. Penjaga gol Indonesia yang masih gabra telah pejam mata dan main hentam aje terkam kat satu arah. Tak sengaja tepat pulak terkamannya dan berjaya menyelamatkan bola.

Sewaktu team Malaysia tinggal satu sepakan yang membolehkan mereka menang, datanglah kapten pasukan Baddrol ke petak penalti untuk membuat sepakan. Baddrol memang berkeyakinan tinggi dan sangat konfiden dia boleh menjaringkan gol dengan sangat mudah. Tapi itu belum cukup bagi Baddrol. Dia nak buat penjaga gol Indonesia lebih merana dengan seolah-olah dapat menyelamatkan gol, tapi sebenarnya bola tetap menerjah gawang. Lalu Baddrol pun membuatlah satu sepakan yang macam senang, tapi sebenarnya susah untuk ditangkap. Dan akhirnya Malaysia menang 4-3. Pingat emas milik Malaysia. Datuk Saberi Chik meloncat kegembiraan dengan harapan pingat emas Malaysia akan melonjak dari 58 biji menjadi 75 biji. Jumlah pingat emas yang diagihkan memang banyak. Pemain campur simpanan, campur coach dan krew yang lain ada dekat 17 orang kot yang dapat pingat emas. Tapi bila keluar carta pingat, cuma satu pingat aje yang dicampurkan kepada jumlah pungutan pingat. Datuk Saberi Chik tak puas hati. Beliau plan nak buat bantahan, tapi takut dapat kad merah dan dibuang padang (macam Ong Kim Swee kena hari tu). Jadi niat tu dibatalkan saja. Janji menang emas. Horrreeyyy!!! Harimau juara!!

Monday, November 21, 2011

221111-15 kod nombor bermakna

221111-15 adalah satu kod rahsia yang cuma orang-rang tertentu aje yang faham. Tapi aku rasa aku bolehlah nak share dengan korang yang mungkin nak tau jugak apa kisahnya yang terselindung tu. Hari ini, 22 November 2011 adalah hari ulangtahun perkahwinan aku dengan isteri aku yang ke-15. Itulah makna kod nombor tu. Sebab tulah ramai orang nak bernikah pada tarikh yang pelik-pelik seperti 10 Oktober 2010, dan lebih tinggi lagi permintaan untuk nikah pada 11 November 2011. Jadi kod rahsia pasangan-pasangan yang bernikah pada tarikh-tarikh tersebut ialah 101010 dan 111111. Itu aje sebenarnya. Biar senang ingat.

Dah 15 tahun kami berkahwin dan dikurniakan 3 orang anak-Syahmie, Wanie dan Amier. Walaupun kami mula berkenalan ketika sama-sama terlibat dengan produksi teater, tapi sekarang ni dah jarang sangat nonton teater. In fact, dah bertahun-tahun tak tengok persembahan teater. Istana Budaya pun kami tak pernah jejak kaki lagi. Tak kisahlah itu semua. Semoga aku dapat mengemudi keluarga ini sebagaimana yang telah ditunjuk ajar oleh Rasulullah s.a.w. Untuk isteri aku: "I love you so much".

Saat-saat baru menjadi suami isteri.

Pergi nengok orang kahwin kat pulau nan indah

Ahad semalam kami memenuhi undangan ke majlis perkahwinan di sebuah pulau terpencil diberi nama Pulau Indah kat Kelang. Kami siap tempah tiket kapal layar untuk mengembara ke pulau yang sangat mistik itu. Siap dengan bekalan pakaian dan makanan sebab kami tak tahu berapa lama kami akan berlayar di perairan lautan samudera yang tak bertepi. Sehinggalah tiba-tiba anak aku tertengok kat Google Map dan mendapati rupanya ada highway yang menghubungkan Kuala Lumpur straight ke Pulau Indah dan perjalanannya pun tak sampai sejam. Jadi kami terpaksa kansel semua tiket kapal, dan memutuskan untuk naik kereta aje ke sana.

Kami meredah Lebuhraya Kesas. Tak sampai sejam, kami dah sampai. Dulu aku dan isteriku pernah pergi memancing ikan kat kawasan Teluk Nipah yang tak jauh dari Kampung Perigi Nanas. Itulah nama kampung yang kami pergi. Tapi sebijik perigi atau sebijik nanas pun kami tak nampak. Jemputannya bermula jam 10 pagi, sampailah membawa ke petang. Dengar cerita asalnya tuan rumah nak buat sebelum subuh. Tapi hajat telah dibatalkan pasal waktu tu orang ramai masih berselimut lagi daaaa...

Banner orang yang kahwin.
Bapak pengantin ialah sepupu mak aku. Maka pengantinnya adalah tiga pupu aku. Nanti kalau pengantin dapat anak, anak dia ialah empat pupu kepada anak-anak aku. Kat tempat pengantin, memang ramai sungguh tetamu yang datang. Aku rasa satu kampung diajak datang ke rumah. Bukan saja penduduk Kampung Perigi Nanas, tetapi jugak semua kampung berdekatan, kampung seberang, dan semua kampung yang wujud kat Selangor dan Negeri Sembilan. Memang ramai sangat-sangat tetamunya. 

Amier menghadap kerepek bawang sorang-sorang.
Sesampai di sana, kami terus ambil makanan dan cari tempat duduk. Memang masakan kampung betul semuanya. Nasi putih berlaukkan rendang daging, umbut kelapa masak lemak, sambal goreng jawa berkentang, dan kulit lembu masak lemak. Memang hebat! Ada jugak ayan golek yang digolek-golek di atas bara. Ayam dia memang sedap dan laris. Dan cukup banyak ayam-ayam di kampung tu yang telah digolekkan. Sehinggakan jabatan mergastua terpaksa menghentikan aktiviti menangkap ayam pasal ayam kat kampung tu telah hampir pupus disembelih dan dibuat ayam golek. Amier lepas makan nasi duduk menghadap kerepek bawang. Dijamah sampai habis satu bekas. Lepas tu cari bekas lain pulak.

Menjamu selera kampung.
Selain nasi berlauk, ada jugak dessert kerepek pisang, koci labu, kerecek, halwa maskat, agar-agar dan bubur kacang hijau. Puas kami makan dengan santainya. Mak ayah aku duduk semeja dengan pakcik aku. Aku duduk sekali dengan Syahmie dan Amier. Isteri aku duduk sekali dengan Yana dan Wanie. Terpaksa pecah-pecah pasal tempat duduk yang agak terhad.

Pakcik dan makcikku.
Amier masih menghadap kerepek bawang bersendirian.
Kenduri ni memang menggunakan kaedah rewang-rewang gotong-royong dari segi masakan dan persiapan. Semua yang tolong masak duduk kat bangsal luas. Sambil tetamu datang, masih ada lagi golongan yang masak memasak. Maklumlah, jamuan habis lambat lagi, sampai ke petang.

Bangsal tempat bekerja.
Tengah masak apa pun aku tak tau. Dodol kot? Tak kan pulak.
Brother ni gembira gambarnya diambil. Dia ingat nak masuk front page Berita Harian.
Kek dua tingkat tak sempat dipotong. Kempunan aku tak dapat rasa.
Inilah lauk pauk kenduri kahwin yang dihidang.
Sementara kami makan-makan, juru acara memanggil-manggil nombor cabutan bertuah untuk diberikan hadiah kepada para penanggah dan sanak saudara serta mereka yang terlibat dalam gotong-royong merewang tu. Tetamu biasa yang datang tak layak untuk mendapatkan hadiah apa-apa. Sekadar makan dan ambik goodies bag sorang satu.

Hadiah punyalah banyak. Satu pun aku tak dapat!
DJ yang melaung-laungkan nompor pemenang.
Ayam golek beratus ekor yang terkorban.
Lepas makan, kami pun beredar pulang, melalui kebun sawit yang mengalir di tepinya air parit yang ada anak-anak ikan dan berudu. Sesekali datang kenduri kat belah kampung macam ni memang terasa seronok jugak. Waktu memandu pulang, aku terasa sedikit mengantuk pasal matahari memancar terik ke muka aku. Itulah upacara kenduri kahwin yang kami hadiri semalam. Sekian terima kasih.

Balik time.
Masa ni tengah melangkah balik.
Meninggalkan perkarangan rumah pengantin.

Sunday, November 20, 2011

Exercise ringan-ringan depan rumah

Dah berminggu aku tak main badminton dan beberapa minggu tak main tenis. Jadi untuk menyeimbangkan kadar makan minum dan senaman aku telah luangkan sedikit masa untuk main badminton dengan Syahmie kat depan rumah pada hari Sabtu lepas. Main kat atas jalan raya. Bila kereta datang, berhenti mainlah kejap. Bila kereta dah lalu, sambung main balik. Main kat open air ni kena ikut angin bertiup arah mana dan kelajuan angin pun kena diambil kira. Nak pukul tangkis pun lain macam juga. Tangkis pukul arah depan, tapi dia akan korner pergi kanan. Macam tulah selalunya. Main pukul-pukul kejap aje dah penat. Al-maklumlah, pasal dah lama tak main. Agak-agak dah cukup penat dan berpeluh, kami pun berhenti dan makan banyak-banyak bagi gemuk balik.

Bonda Rahmah dalam wad

Sebagaimana yang pernah aku kisahkan dulu, bonda Rahmah telah dimasukkan ke ICU selepas pembedahan membuang barah di usus. Pada hari Rabu lepas bonda telah didapati lebih stabil dan doktor telah mengarahkan bonda ditempatkan di wad biasa. Oleh kerana wad single tak ada masa tu, jadi bonda telah ditempatkan di wad Premier untuk satu hari. Keesokan harinya barulah masuk balik kat wad single yang biasa.

Di wad premier untuk sehari.
Jururawat sedang memberi bonda susu melalui tiub.
Faiisal sering juga menziarahi atuknya.
Masih di wad premier.
Bonda sedang dirawat.
Ketika di wad biasa, memang sangat kerap anak-anak dan menantu dan cucu datang melawat. Ada jugak yang bawak makanan pelbagai macam. Jadi kami yang kebetulan ada kat sana akan menyambut dengan mesra terhadap pembawa-pembawa makanan. Tapi lepas makan dan kenyang, bilik mesti selalu dikemaskan supaya kuman tak mudah membiak dan suasana lebih sihat.

Menjamah sate Hj Sahmuri Kajang dengan penuh selera.
Sate ini Pak Nyah yang belanja.
Pak Nyah dan Mak Nyah yang belanja sate.
Keadaan bonda sekarang kelihatan lebih sihat. Namun begitu bonda masih sukar untuk membuat pergerakan secara menyeluruh, melainkan sekadar menggerakkan kedua tangannya. Pertuturannya juga masih belum dapat diluahkan. Lebih banyak memberi bahasa isyarat yang memang difahami oleh anak-anak. Semoga bonda akan lebih sihat walafiat dari sehari ke sehari. Itu doa dan harapan kami.

Ali tak lekang dari buku pasal masih dalam suasana SPM.
Syura telah sedaya upaya nak menghabiskan biskut dalam tin pasal dia sangat lapar. Tersangatlah lapar sebenarnya.