m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Friday, June 17, 2011

Terpenjara kat KLCC

Ni dah dekat seminggu aku dipenjara kat menara berkembar KLCC. Sedang menilai kontraktor yang masuk tender untuk satu kerja pembangunan kerajaan kat Pahang. Inilah first time aku kerja macam ni. Nasib baik ada kawan-kawan yang berpengalaman yang boleh ngajar aku. Pergerakan tak boleh terlalu bebas. Banyak pantang larangnya supaya maklumat tak bocor. Akibatnya bila dah duduk lama-lama kat bilik kecil yang tertutup rapi, masing-masing punya mental pun jadi tak berapa normal. Kawan aku sampai mula cakap merapu-rapu dan keluar semua jenis lawak jenaka yang diketahui dari kecil sampai sekarang.

Yang bestnya dapatlah aku merasa naik bangunan tinggi sampai ke paras jambatan link bridge. Makan tengahari pun jam 6.30 petang. Balik bila lampu shut down automatic jam 9.00 malam. Tapi taklah setiap hari macam tu. Kekadang je. Ini adalah pengalaman pertama yang sangat bermakna bagi aku.

Dari tingkat 42 Menara Berkembar.

Jambatan tingkat 42.

Kitab misteri di Masjid KUIS

Macam biasa, kalau hari Jumaat aku bersolat di Masjid Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS). Hari ni rutin aku macam biasa. Aku sampai sebelum azan. Lepas solat sunat, duduklah beriktikaf kat masjid. Mata aku mula melilau menengok rak di masjid yang tersusun di atasnya kitab-kitab Al-Quran, kitab-kitab zikir dan kitab-kitab agama. Tiba-tiba di satu sudut, di bahagian bawah sebuah rak, aku ternampak satu kitab yang lain macam rupa bentuknya. Kulitnya warna putih dan lembut bila disentuh. Nak katakan dibuat dari kulit lembu, kulit dia tak kasap. Nak katakan dibuat dari kulit buaya atau ular, taklah pulak keras kulit dia. Macam kulit arnab pun ada jugak.

Aku belek lebih dekat. Muka surat tak banyak. Helaiannya pun agak pelik. Tak pernah aku jumpa kitab yang macam tu di kedai-kedai buku terkenal seperti Popular atau MPH. Kat Perpustakaan Negara pun tak pernah jumpa. Kandungannya bukan pasal ekonomi atau matematik atau sains. Tapi pasal haiwan peliharaan. Itulah kitab misteri yang terletak kat rak bahagian bawah masjid KUIS. 

Kitab tu tergolek dengan tenang ketika azan dan ketika khatib membaca khutbah. Maklumlah, penuh ketenangan (macam makmum jugaklah terlentok masa khutbah). Itulah satu-satunya kitab yang comel yang pernah aku nengok ada kat masjid.

Kitab misteri terletak di bahagian bawah rak.

Thursday, June 16, 2011

Kisah ikan puyu

Ini kisah ikan puyu. Bukan ikan yang poyo. Kalau ikan poyo dah lama kena goreng dalam kuali, siap masak tiga rasa lagi. Aku mula-mula berjinak-jinak dengan membela ikan puyu ni sejak aku balik kampung ayah mentua aku kat Ulu Tiram. Aku impot 2 ekor ikan dari makcik wife aku dan bela mereka kat KL. Ikan-ikan tu yang tak pernah nengok KLCC memang tercengang-cengang bila first time menjejakkan kaki, eh ikan mana ada kaki, menjejakkan sirip kat Bandaraya terbesar di Malaysia ni. Aku takda akuarium besar, jadi aku bela mereka dalam bekas kecik je. Tapi tak pulak aku dengar diorang merungut.

Aku memang minat mancing. Tempat pancing favourite aku time dulu-dulu ialah Tasik Ampang Hilir. Kalau pancing kat tepi longkang besar guna umpan cengkerik memang senang nak dapat ikan puyu. Jadi ikan-ikan puyu yang aku pancing ni aku bela jugak dan ada dalam 10 ekor termasuk yang diimport dari Ulu Tiram. Aku masih takda akuarium besar. Jadi satu bekas aku letak 2 ekor ikan puyu. Air ikan tu cepat kotor dan aku pun naik malas nak cuci. Sampai air jadi hitam macam kicap pun ikan puyu masih boleh survive. 

Oleh kerana kesian kat ikan-ikan tu, aku pun belilah akuarium yang agak besar dan humban semua ikan-ikan tu kat satu akuarium. Mula-mula tak ngam. Gaduh jugak. Tapi lama-lama jadi kawan. Aku bagi ikan-ikan tu makan macam-macam. Kekadang cacing beku, kekadang cacing tanah, kekadang cengkerik, kekadang ulat glamer (ulat yang selalu berlakon dalam drama kena seksa sebelum mati), kekadang udang dan kekadang anak ikan. Ikan puyu aku memang ganas, malah lebih ganas dari ikan toman. Satu hari tu aku beli ikan pin-pin yang berbadan panjang dan berkilat. Aku lemparkan semua ikan-ikan tu dalam akuarium puyu. Kejap aje ikan puyu aku belasah dah makan ikan-ikan tu. Esok harinya aku dapati ada ikan puyu aku yang mati. Rupanya pasal kekenyangan dan ada yang mati tercekik ikan pin-pin. Aduh! Bilangan ikan puyu aku dah berkurangan. Lepas tu ada yang mati sakit dan macam-macam lagilah sampaikan semua ikan-ikan puyu aku mati.

Bila menengok akuarium aku kosong, aku pun belilah ikan puyu kat kedai. Dari dua ekor jadi empat ekor. Ikan-ikan inilah yang jinak dengan aku sampai sekarang. Kalau aku lalu sebelah aje, mesti mereka datang dekat nak mintak makan. Siap boleh belai-belai dan bawak tidur sekali macam kucing. (Ish ish ish, melampaulah tu!) Maksud aku memang jinaklah. Tapi akuarium dah lama tak cuci. Nasib baiklah ikan-ikan tu tak pernah komplen. Borang komplen yang aku bagi pun tak ada siapa yang isi. maknanya diorang kira okaylah duduk dalam air kotor tu. Begitulah kisah ikan puyu yang tak poyo.

Ikan-ikan ini sedang menunggu rezeki turun dari langit.

Musim demam sedunia

Semalam dua dari tiga orang anak aku demam. Hari tu demam jugak. Lepas tu dah baik. Dan semalam mereka demam lagi. Mula-mula aku yang demam. Dah baik dah. Lepas tu wife aku pulak demam. Dah baik jugak. Kemudian giliran kedua anak aku pulak. Walaupun aku & wife dah baik demam, tapi batuk dan selesema masih tak reda lagi. Kung kang kung kang terus tercampak kuman-kuman virus tu kat anak-anak aku. Tapi kalau redha dengan penyakit yang kita hadapi, banyak manfaat dunia & akhirat. 

Apa-apa pun ikhtiar aku ialah dengan berjumpa doktor kat klinik dekat. Muka masing-masing monyok je. (Actually masa bergambar mula-mula tu mereka ceria, tapi aku suruh buat muka monyok, barulah ada feel sikit, kan). Ubat dah diambil untuk Wanie & Amier. Wanie takda problem makan ubat. Tapi Amier, kena ikhtiar pulak cara bagaimana nak bagi dia telan ubat yang doktor bagi tu.

Sunday, June 12, 2011

Dari Mumbai ke Bangi

Pagi Ahad tadi selepas subuh, aku dah bersiap-siap untuk ke Bangi. Aku ada temu janji dengan Zul, kawan lama yang sama-sama kerja kat Monorail dulu. Zul pulang sekejap ke Malaysia dari Mumbai. Esok Zul dah nak balik ke Mumbai untuk bekerja. Tapi Zul tak pulak duduk kat Bangi. Dah tu, buat apa jumpa kat Bangi? Jauh tu dari rumah aku. 

Sebenarnya kami ada janji nak main tenis kat Pusat Latihan Maybank kat Bangi lama. Aku sampai lokasi kira-kira jam 8 lebih. Tak lama lepas tu Zul pun datang. Maka kami stroke-lah dulu sebelum start main single. Memang tak larat langsung. Court dahlah bump tak kuat. Bola pulak tu tak ada angin. Kejap aje main dah pancit. Aku kalah dengan Zul 0-6. Last time aku main tenis dengan Zul dah bertahun-tahun dahulu. Masa tu dia masih beginner lagi. Sekarang dengan tunjuk ajar seorang kawan yang jugak coach telah mempertingkatkan mutu permainannya secara agak drastik. Pukulan bolanya sangat konsisten dan susah nak matikan langkahnya pasal Zul ni rajin kejar bola.

Lepas tu aku jugak dapat bermain dengan coach yang ajar Zul. Sahir namanya. Main relax je, tapi pukulannya melambung-lambung sampai tak larat aku nak balas. Itu pun masa lawan aku dia tak bagi bola kanan kiri. Kalau tak mesti aku dah terkincit. Dan seperti diduga aku kalah jugak 0-6. Single memang bukan untuk aku. Strateginya lain dari main double.

Sementara menunggu Zul berentap dengan Sahir, aku sempat main double dengan geng sebelah gelanggang. Kalau main double memang aku punya kategori. Aku menang 6-2 dan 6-3. Main double tak memenatkan sangat.

Sempat aku berborak dengan Sahir pasal game tenis. Katanya pukul top spin kalau beriya sangat memenatkan. Dia suruh pukul masa bola baru naik, ketika masih rendah. Jangan tunggu sampai bola melambung. Yang itu memang aku tak biasa buat. Kena training tu. Walaupun bola yang Sahir pukul relax, tapi spin dia boleh tahan jugak. Heran betul aku. Kata Sahir lagi, kena pelbagaikan pukulan. Tidak setiap masa top spin merupakan pukulan terbaik. Dan biasakan main dengan bermacam-macam orang biar lebih exposure. Yang itu aku sangat setuju. Kalau asyik main dengan kelompok yang sama, mutusamy takkan berkembang. Aku sangat puas main tadi. Badan lencun dengan peluh. Dan badan terasa lapang.



CERAGEM - urutan gaya Korea

Selepas main tenis di awal pagi, aku, ibu, kakak dan isteriku menghala ke sebuah pusat urutan Korea di Ampang yang bernama CERAGEM. Ceragem adalah cara urutan dengan menggunakan sejenis katil khas yang beroperasi menggunakan elektrik. Batu-batu jade digunakan sebagai pengurut badan, khususnya tulang belakang. Bagi mendapat kesan yang lebih efektif, pesakit perlu memakai pakaian serba putih. Pusat urutan ini menawarkan perkhidmatan percuma. Maka ramailah jugak warga emas dan warga perak datang berkunjung untuk menyihatkan badan. Tapi pada masa yang sama, satu katil urut turut dijual dengan harga sekitar RM9,000.

Sementara menanti giliran, Mr Park Ji Sung (pemain midfield Manchester United), eh silap, bukan Mr Park Ji Sung, tapi Mr Park, orang yang bertanggung jawab memperkenalkan alatan urut ini kat sini memberi ceramah pasal pemakanan serta penggunaan alatan mengurut ini. Kami jugak membuat exercise mengikut video (macam arobik) selama kira-kira 15-20 minit. 

Tak lama menanti, tibalah giliran kami menggunakan katil mengurut itu. Mula-mula baring kat katil tu rasa pelik dan sangat tak selesa pasal ketulan jade menolak tulang belakang serta haba panas yang dikeluarkannya, sampai berpeluh kami dibuatnya yang berselubung di dalam selimut. Selepas berurut selama 40 minit, badan terasa sangat ringan - macam dan turun 10 kilo. Kalau ikut penjelasan Mr Park, macam-macam penyakit boleh terubat dengan as-sebab katil urut ini.



Mr Park bagi ceramah pasal kesihatan.

Berselubung sambil berurut.

Cuaca yang nyaman untuk bersukan

Cuaca yang paling diidam-idamkan oleh peminat tenis macam aku adalah cuaca dingin, redup dan sedikit berangin di waktu pagi atau petang. Cuaca yang sedemikian tiba pada pagi Sabtu lalu di Titiwangsa. Sayangnya yang hadir cuma kami berempat, aku, abang Aziz, Foong dan Nas. Dalam keadaan nyaman seperti itu, badan pun tak merasa penat dan permainan lebih terfokus. Aku dapat main 3 set dengan bertukar-tukar partner. Siapa saja yang berpasangan dengan Foong pasti menang. Dan mood Foong pun aku nengok pada pagi tu sangat ceria dan sempat jugak bergurau dengan kami, walaupun Foong pada dasarnya adalah seorang yang serius. Menjelang pukul 10 pagi, Danny datang. Memang tepat pada waktunya kerana aku pun terpaksa pulang segera. Ada urusan lain yang perlu dilaksanakan.